بسم
الله الرحمن
الرحيم
CYBER KEFAHAMAN
ISLAM
BAHAGIAN PERTAMA
BAB PERTAMA
KEPENTINGAN ILMU
الحمد
لله رب
العالمين
والصلاة والسلام
على اشرف
المرسلين
وعلى اله
وصحبه أجمعين
Takrif Ilmu
Perkataan ilmu berasal dari
kalimat bahasa Arab 'alima maknanya ia telah mengetahui. Kalimat `ilm
atau ilmu bermakna pengetahuan dan kepandaian.(Kamus Dewan, kalimat ilmu)
Dari segi istilah pula ialah
pengetahuan manusia yang diperolehi dengan method fikiran bebas dan penelitian
dalam usahanya menggali dan menyatakan kebenaran. (Drs.Sidi Gazalba, Islam
Integrasi Ilmu dan Kebudayaan, hal, 11)
Takrif di atas merupakan takrif
ilmu yang berdasarkan indera, pengalaman dan kemampuan akal manusia melalui
eksperiman lahiriah semata-mata dan ia tidak sampai kepada hakikat sesuatu
perkara. Ini berbeza dengan pengertian ilmu yang dimaksudkan oleh Islam.
Imam al-Ghazali memberi maksud
ilmu adalah sebagai berikut: Ilmu itu untuk mengetahui cara-cara dan jalan
kepada keredaan Allah dan yang dapat mendekatkan orang kepada-Nya, dan apa-apa
yang menjuhkan dia dari Allah swt. dan mengetahui akibat-akibat buruk,
pendakian-pendakian, dan bahaya-bahaya dalam perjalanan (mencari keredhaan
Allah).( Minhajul 'Abidin, hal. 34)
Pengertian ilmu seperti inilah
yang menjadi wajib kepada setiap orang Islam menuntut dan mencarinya dan inilah
hakikat ilmu yang sebenar-benarnya di mana bagi mereka yang mempunyainya akan
di tempatkan oleh Allah swt. di martabat yang tinggi dan mulia sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud: Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman dari
kalangan kamu dan juga orang yang dikurniani ilmu, dengan beberapa
darjat.(al-Mujadalah: 1)
Telah diriwayatkan bahawa Allah
swt. memberi wahyu kepada nabi Daud as. Firman-Nya bermaksud: "Wahai Daud
! pelajarilah olehmu ilmu yang bermanfaat ! Sabda Nabi Daud: Ya Tuhanku, apakah
ilmu yang bermanfaat itu ? Firman Allah: Ialah untuk mengetahui keluhuran,
keagungan dan kebesaran-Ku, dan kesempurnaan kekuasaan-Ku atas segala sesuatu.
Inilah yang mendekatkan engaku kepada-Ku". (Imam al-Ghazali, Minhajul
Abidin, hal. 45)
Berdasarkan kepada
perkara-perkara yang tersebut di atas, Ilmu yang dimaksudkan oleh Islam ialah
makrifat atau mengenali hakikat sesuatu dengan tepat sebagaimana kenyataan yang
sebenar-benarnya, mengetahui sesuatu yang diturunkan oleh Allah swt. mengetahui
tujuan manusia diwujudkan serta tugas- tugas hidupnya dan mengetahui kehidupan
akhirat yang mengakhiri kehidupan makhluk manusia ini. Dengan ini jelaslah
kepada kita bahawa ilmu yang sebenar itu ialah ilmu yang dapat mengenal
(makrifat) Allah sebagai Tuhan seluruh alam, yang boleh mencapai keredhaan
Allah swt.
Makrifat di sisni bermakna
mengenal dirinya, mengenal Tuhannya, mengenal dunia dan mengenal akhirat.
(Minhajul-'Abidin, hal, 34).
Hukum Menuntut Ilmu
Menuntut ilmu itu adalah suatu
kewajipan bagi setiap muslimin dan muslimat sebagaimana yang tersebut dalam
hadis Nabi saw. dan disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin,
Bab ilmu. Rasulullah saw. bersabda: "Menuntut ilmu itu adalah fardhu
kepada setiap muslim." (H.R.Ibnu Majah)
Ayat pertama yang diwahyukan
kepada Nabi Muhammad saw. dari Allah swt. yang memerintahkan kepada kita Iqra'
(membaca) adalah suatu isyarat betapa pentinnya ilmu ini yang boleh didapati
melalui pembacaan-pembacaan kerana dengan membaca manusia dapat menguasai ilmu
dan seterusnya membina peribadi mulia dalam kehidupan umat Islam bagi mencapai
kesempurnaan akhirat.
Orang Islam juga diperintahkan
supaya berusaha dengan gigih menambahkan ilmu mereka lagi seberapa banyak yang
boleh dan termampu sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran.
Firman Allah swt. maksudnya: "Katakanlah, Wahai Tuhanku tambahkanlah
ilmu kepadaku." (al-Anbia': 114)
Menuntut ilmu itu hendaklah di
dasarkan kepada keihlasan kerana ingin mencari kebenaran dan beramal dengannya
bagi mendapatkan makrifat terhadap Allah dan keradhaan-Nya.
Tingkat-Tingkat Ilmu
Ilmu yang dapat mengenal Islam
sebagai agama Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammammad saw. Islam sebagai
ad-deen suatu-satunya sistem hidup yang lengkap dan sempurna serta sesuai
dengan semua manusia, di semua tempat dan zaman adalah ilmu yang tinggi
martabatnya di sisi Allah swt.
Dengan mengenali Allah dan
mengenali Islam dalam ertikata yang sebenar, mereka akan mengenali Tuhan,
Rasul, Islam dan ajaran-Nya yang tekandung di dalam al-Kitab dan as-Sunnah
sebagai sumber ilmu benar dan asli. Kemudian diikuti pula dengan mempelajari
berbagai cabang ilmu untuk urusan kehidupan yang berbagai macam itu seperti
ilmu sains dan teknologi dengan tujuan untuk memandu dan membimbing mereka ke
jalan yang lurusdan benar bagi mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat.
Islam memandang tinggi kedudukan ilmu dan ulamak, sebagaimana yang ditegaskan
oleh Allah dalam al-Quran.
Firman Allah swt. maksudnya:
"Allah mempersaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Dia, yang menegakkan
keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berlimu." (ali-Imran: 18)
Dan firman-Nya lagi maksudnya: "Adakah
sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu." (az-Zumar:
9)
Ilmu yang paling tinggi dan mulia
kedudukannya di sisi Allah swt. ialah ilmu yang dapat mengenal dan makrifat
kepada Allah Tuhan yang sebenar (al-Haq), Tuhan seluruh alam dan Tuhan yang
berhak disembah, Tuhan yang Maha Mencipta dan Tuhan yang mengatur serta mendidik
kita makhluk-Nya dengan undang-undang dan peraturan-Nya yang paling sesuai dan
dapat memandu manusia ke jalan yang lurus, benar dan sejahtera, jalan yang
boleh membawa manusia kepada Allah dan keredhaan-Nya.
Kelebihan Menuntut Ilmu
Penuntut-penuntut ilmu diberi
kemuliaan dan kerahmatan oleh Allah awt. dengan mendapat keampunan dan
keredhaan Allah semua makhluk termasuk malaikat, ikan dan semut sentiasa
mendoakan keampunan kepada mereka kerana menuntu ilmu itu dapat disamakan
dengan kerja-kerja jihad fi-sabilillah.
Saidina Muaz ra. meriwayatkan
dari Baginda Rasulullah saw. baginda bersabda: "Pelajarilah ilmu,
mempelajarinya itu saja merupakan suatu tanda takwa, mencarinya adalah sebagai
ibadah, menuntutnya sama dengan jihad sebab ilmu itulah yang memberi
pengetahuan mana yang halal dan mana yang haram, ilmulah sebagai pelita jalan
ahli syurga, Ilmu adalah kawan dalam kerisauan, sahabat dalam tempat yang
asing, teman bercakap di kala sendirian, penunjuk jalan di kala suka dan duka,
senjata untuk melawan musuh, merupakan perhiasan di samping kekasih.Dengan
ilmulah Allah mengangkat darjat beberapa umat, maka mereka itulah yang
dijadikan sebgai pembimbing, dipuji kesan tindakannya, diikuti kelakuannya,
digunakan sebagai pedoman pendapatnya. Malaikat mencintai perbuatan mereka itu
dan dengan sayap-sayapnya mereka itu dilindungi. Setiap sesuatu memintakan
ampun pada mereka, baik benda basah (hidupan) dan kering (mati), juga ikan-ikan
yu dilautan dan binatang-binatang melata di bumi, ikan-ikan buas di lautan, dan
binatang-binatang ternak, sebab ilmu adalah kehidupan hati dari kebodohan,
pelita mata dari kegelapan. Seseorang hamba dapat mencapai tingkatan (taraf)
yang terpilih dan darjat yang luhur dengan mempergunakan ilmu itu. Berfikir
tentang ilmu sama pahalanya dengan puasa, mempelajari ilmu sama dengan
mendirikan solat. Dengan ilmulah dapat dipertemukan kekeluargaan, dengannya
pula dapat diketahui sesuatu yang halal dari yang haram. Ilmu adalah pemimpin
amal-amal adalah pengikutnya. Ilmu diilhamkan kepada orang-orang yang
mendapatkan kebahagiaan dan dijauhkandari orang-orang yang mendapat
celaka". (H.R.Ibnu Abdul Bar dalam kitab Ilmu, Hadis Mauquf)
Sesungguhnya harta dunia itu
tidak ada bandingannya dengan nilai kemuliaan ilmu kerana tanpa ilmu manusia
itu akan menderita kerana kejahilan dan meraba-raba dalam hindupnya. Terdapat
dalam al-Quran tentang perintah mencari dan menuntut ilmu ini sehingga Allah
menyebutkan supaya sebahagian dari kalangan orang yang beriman berusaha mencari
ilmu jangan kesemuanya pergi berperang, ini menjelaskan betapa pentingnya ilmu
dan menuntutnya sebagaimana firman Allah swt.
Maksudnya: "Tidak
sepatutnya bagi orang-orang mukmin itu pergi semuannya (ke medan perang).
Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka; beberapa orang
untuk memperdalam pengetahun (bertafaqquh) mereka tentang agama dan untuk
memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya,
supaya mereka itu dapat menjaga diri". (at-Taubah: 122)
Orang yang berilmu itu berbeza
dengan orang yang tidak berilmu di dalam pandangan Tuhan dan manusia, mereka
yang berilmu dipandang tinggi dan mulia serta di hormati oleh masyarakat.
Sebaliknya orang yang tidak
berilmu tertutup mata hatinya dan dipandang rendah kerana ia tidak dapat
membezakan yang benar dan yang salah dan tidak dapat membezakan yang baik
dengan yang buruk.
Firman Allah maksudnya: "Adakah
orang yang berilmu (mengerti) perihal apa yang diturunkan dari Tuhan mu, agama
yang hak itu, dapat disamakan denganorang yang buta dan ini dapat dijadikan
peringatan untuk orang-orang yang berakal".(ar-Ra'ad: 19)
Apa juga ibadah yang tidak
didasarkan kepada ilmu dan makrifat, pasti ibadah tersebut tidak di terima oleh
Allah swt. Allah swt. menganggap tidak ada suatu kemaksiatan yang lebih besar
dari kejahilan terhadap-Nya dan agama-Nya.
Imam Ali ra. berkata: "Punggungku
dapat dipatahkan oleh dua orang yakni orang bodoh yang melakukan ibadah dan
orang alim melakukan kecurangan". Maksud punggung dipatahkan ialah
tersangat hairannya sambil menyesal.
Ilmu yang paling tinggi
martabatnya ialah ilmu yang berdasarkan wahyu di mana ia merangkumi ilmu
al-Kitab dan as-Sunnah yang sohih, kerana kebenaran yang terkandung di dalamnya
tidak boleh diragui sedangakan sumber-sember yang lain tidak dapat mencapai
sepenuhnya ilmul-yakin. Kedua-dua sumber ilmu inilah yang boleh membawa manusia
sampai kepada hakikat kebenaran sesuatu (Haqqul-yakin).
Para ulama' mengambil dari
kedua-dua sumber ini berbagai ilmu dan pengajaran, kemudiannya mereka menyusun
pula kitab-kitab dan risalah-risalah bagi kemudahan kita orang awam memahami
dinul-Islam, agama Allah swt. yang benar dan suci itu.
Kajian yang teliti, usaha yang
gigih dan ikhlas oleh para ulamak leluhur kita yang bersumberkan kepada
sumber-sumber autantik dan muktabar, disertai pula dengan amanah dan ketakwaan
mereka, ilmu Islam dapat disebar dan dapat difahami dengan lebih mudah pada
hari ini berkat kejujuran mereka seperti Ilmu-ilmu Tauhid, Ilmu Fiqh, Ilmu
Tasawuf dan berbagai ilmu agama lainnya.
Pada keseluruhannya, ilmu dilihat
dari kepentingan dan martabatnya dapatlah dibahagikan kepada dua bahagian besar
iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Fardhu ain ilmu yang berhubung
dengan perkara asas dan pokok yang mesti diketahui oleh setiap individu muslim
seperti Ilmu Tauhid, Ilmu Fiqh dan Tasawuf. Ilmu fardhu kifayah pula ialah ilmu
yang berhubung dengan keperluan dan kepentingan bersama dalam masyarakat secara
umum seperti ilmu kedoktoran, ilmu sains dan teknologi, ketenteraan, teknik,
ekonomi, perdagangan, politik, sains dsb. maka akan berdosalah seluruh umat
Islam sekiranya tidak ada seorangpun dari kalangan mereka yang ahli dan pakar.
Para Ulamak sependapat mengatakan
bahawa mempelajarai ilmu-ilmu yang berhubung dengan ilmu-ilmu umum tersebut di
atas adalah fardhu kifayah.
Rasulullah saw. bersabda:
"Ilmu itu tiga, ayat yang ditetapkan, sunnah yang dilakukan dan kewajipan
yang disamaratakan". (Kitab Unsur-Unsur Kekuatan Dalam Islam)
Berhubung dengan ilmu-ilmu bagi
kemajuan dan kemakmuran dunia seluruhnya dijelaskan oleh Allah dalam beberapa
ayat berikut di bawah ini: (1) Surah Qaf: 6-11 (2) Surah ar-Rum: 22 dan 50 (3)
Surah an-Nur: 43-44 (4) Surah at-Tariq: 5-7 (5) Surah az-Zaariaat: 20-21 (6)
Surah Fussilat: 53-54.
Ibadah merupakan kemuncak segala
kepatuhan dan ketaatan seorang hamba kepada al-Khaliq Tuhannya dan ibadah juga
merupakan hubungan antara makhluq dan al-Khaliqnya. Pehubungan ini sangat
penting kerana dengan ini mereka akan dapat mengetahui hakikat dirinya sebagai
makhluk dan mengenal dirinya sebagai hamba kepada Allah Tuhannya dan mereka
mempunyai tugas dan kewajipan yang mesti dipikul dan dilaksanakan sebagai
makhluk dan hamba, mereka juga berkewajipan mengenali Tuhannya iaitu Allah
kerana Allah sahajalah yang berhak disembah,disujud,dipatuhi perintahnya,
dicintai, dipohon sesuatu, ditakuti dan di harapkan dan segala-galanya
untuk-Nya, segala-gala dari-Nya dan segala-gala kembali kepada-Nya.
Untuk melaksanakan amal ibadah
dengan betul dan sempurna manusia hendaklah mempelajari kaedah-kaedah dan ilmu
bagaiamana seharusnya mereka diperintahkan untuk beramal dan melaksanakan
ibadah dengan betul kepada Allah swt. Tuhannya. Oleh itu ilmu sangat berkait
rapat dengan amal ibadah, tanpa ilmu yang betul maka segala amal ibadah
seseorang itu tidak sempurna dan mungkin ditolak oleh Allah swt.
Oleh yang demikian menuntut ilmu
merupakan suatu perkara yang sangat penting dan utama bagai kesempurnaan hidup
manusia dari segi kesempurnaan ibadah dan bagi mencapai kemuliaan dunia dan
keredhaan Allah di akhirat.
Sikap Umat Islam Terhadap Ilmu
Sikap Islam terhadap ilmu adalah
sangat jelas sekali kerana dengan ilmu yang benar sahajalah hakikat sesuatu itu
dapat dikenal atau dimakrifati, begitu juga dengan ilmu, dapat dibezakan antara
yang hak dengan yang batil antara yang baik dengan yang buruk dan antara yang
benar dengan yang salah.
Sikap muslim sebenar terhadap
ilmu ini hendaklah ia sentiasa mencari dan menambah ilmu, ia tidak merasa puas
dengan ilmu yang telah ada dan dimilikinya, sebagaimana hadis dari Abu Said
al-Khudri ra. bahawa nabi saw. bersabda: "Seseorang mukmin itu sama
sekali tidak puas dengan kebaikan yang didengarnya,sehingga penghabisannya
nanti ialah masuk syorga". (H.R.Tirmizi. Hasan)
Oranga yang berimu itu dipandang
mulia oleh Allah dan dihormati semua makhluk yang baik, seperti malaikat, para
solihin. Ilmu di ibaratkan sebagai nur atau cahaya yang dapat menerangi
kegelapan syirik dan jahiliah dan dapat menghindarkan dari kesesatan.
Manusia yang dikurniai ilmu oleh
Allah hendaklah berusaha menyebar, mengajar dan mendidik orang lain supaya
mereka sama-sama berada di alam cahaya ilmu dan Nur Iman yang dapat memandu
mereka ke jalan tauhid, iman yang sempurna ibadat yang benar dan kehidupan yang
diredai oleh Allah swt.
Kepentingan ilmu dalam kehidupan
dunia dan akhirat adalah jelas sekali kerana kemajuan sesuatu bangsa dan negara
di dunia ini adalah berdasarkan kepada ketinggian ilmu sains dan teknologi yang
dimilikinya, begitu juga tamdun sesuatu bangsa itu bergantung kepada pencapaian
ilmu mereka.
Ilmu adalah pusaka kenabian,
tersebut dalam sebuah hadis dari Abu Darda' bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa
menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan jalannya untuk
menuju syurga. Bahawasanya malaikat itu meletakkan naungan sayapnya pada orang
yang menuntut ilmu kerana sangat rela terhadap apa yang dilakukannya.
Bahawasanya alim ulamak adalah pewaris para nabi. Bahawasanya para nabi itu
tidak mewariskan wang (ringgit), tetapi yang diwariskannya adalah ilmu. Oleh
itu barangsiapa yang mengambilnya ia telah memperoleh bahagian (pusaka) yang
banyak sekali". (H.R.Abu Daud dan Tirmizi)
Sikap umat Islam terhadap ilmu
khususnya ilmu-ilmu Islam yang memungkinkannya mereka dapat makrifat kepada
Allah dan mengenali hakikat kebenaran yang sebenar kian luntur, sepi dan
dipandang rengan sahaja. Berbeza dengan sikap mereka terhadap ilmu kemahiran
yang lebih bersifat duniawi dan ilmu-ilmu sekular, mereka memandang besar dan
penting dan mereka sanggup untuk membelanjakan harta yang banyak semata-mata
untuk mendapatkannya.
Sikap Umat Islam Terhadap
Kegiatan Menuntut Ilmu
Islam tidak melarang seseorang
muslim menambah dan meluaskan ilmu penge-tahuan mereka tentang sains dan
teknologi, kejadian alam, ilmu perusahaan dan ilmu kemahiran yang termasuk
dalam erti ilmu sains dan teknologi yang dapat memberi kemahiran untuk manusia
bagi memaju dan memakmurkan bumi Allah ini, begitu juga ilmu pengetahuan yang
dapat membongkar rahsia-rahsia alam yang tersembunyi untuk kepentingan hidup
manusia di dunia dan akhirat.
Tetapi sayugia diingatkan segala
ilmu dan kemahiran yang ada itu hendaklah mereka gunakan dengan sebaik-baiknya
dalam rangka memenuhi tuntutan ibadah di mana hendaklah mereka sentiasa
mensyukuri Allah swt. yang telah memberi akal, ilmu dan kemahiran kepada
mereka.
Allah menjadikan alam ini untuk
kepentingan dan kemudahan semua makhluknya dalam keadaan mudah digunaka oleh
manusia. Ilmu pengengetahuan dan kemahiran yang didapati dan diperolehinya itu
haruslah digunakan bagi tujuan mencari kebaikan, kebajikan dan seterusnya
keredhaan Allah swt. semata-mata.
Islam menetapkan bahawa tujuan
pokok Risalah Islamiah ialah menyampaikan seruan Allah, mengajak mereka
mengabdikan diri kepada Allah dengan mengikhlaskannya, mengajak mereka berbudi
luhur dan berakhlak mulia, menghapuskan semua sifat-sifat yang keji, hina dan
rendah.
Firman Allah yang bermaksud:
"Allahlah yang menguutus kepada kaum yang ummi seorang rasul dari kalangan
mereka sendiri, membacakannya ayat-ayat Allah kepada kaumnya itu, mensucikan
mereka, juga mengajarkan al-Kitab dan hikmat, sedang keadaan kaum itu
sebelumnya adalah dalam kesesatan yang nyata". (al-Jumu'ah: 2)
Orang yang melangkahkan kakinya
untuk menuntut ilmu adalah sama dengan halnya orang yang berjihad
fi-sabilillah.
Diraiwayatkan dari Anas ra.
bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa yang keluar untuk
menuntut satu bab dari ilmu, maka ia adalah fisabilillah sampai ia kembali ke
rumah". H.R.Tirmizi.Hadis Hasan)
Rata-rata umat Islam kini tidak
begitu mengambil perhatian yang bersungguh-sungguh tehadap ilmu yang sebenar
iaitu Ilmu yang berdasarkan wahyu Ilahi di mana pengertian yang hakiki
terhadap ilmu itu adalah makrifat dan mengenal Allah sebagai Tuhan yang Maha
Esa dan Tuhan yang sebenar. Mereka mula terpedaya dengan ilmu-ilmu Sekular
yang memisahkan ilmu itu dengan matlamat dan tujuan kebahagaiaan akhirat.
Kebayakan umat Islam kini
terpesona dengan ilmu yang dapat membangun keperluan material tetapi memandang
sepi terhadap ilmu yang dapat membangun syakhsiah muslim yang bertersakan
akidah dan syariah Islamiah. Gejala-gejala seperti ini lambat laun akan
merungkaikan ikatan-ikatan yang harmoni di dalam kehidupan insan dan akibatnya
akan berlakulah penyakit-penyakit sosial yang sukar untuk diubati seperti
hilangnya rasa persaudaraan Islam, longgarnya ikatan kekeluargaan, berlakunya
penyelewengan, tidak amanah, penderaan kanak- kanak, arak, dadah, pembuangan
anak yang baru dilahirkan dsb.
Kelebihan Orang Yang Berilmu
(Ulama')
Orang yang berilmu atau para
ulama' mendapat tempat yang tinggi dan mulia di sisi Allah swt. dan masyarakat
dan ia mulia di dunia dan akhirat, kerana dengan ilmunya ia dapat megetahui
halal dan haram yang baik dan buruk tauhid dan syirik dan dengan itu ia boleh
menjaga dirinya dan menasihati orang lain kerana mereka memahami ilmu Allah di
dalam al-Quran dan meahami sunnah nabi-Nya, dengan itu para ulamak dan mereka
yang seumpamanya di ibaratkan sebagai pelita dan cahaya yang memerangi mereka
dan begitulah besar dan pentingnya golongan ulamak dalam masyarakat.
Allah swt. berfiman maksudnya: "Allah
akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang
diberi ilmu beberapa darjat".(al-Mujadilah: 11)
Begitu juga Allah menjelaskan
dari kalangan ulamaklah yang terdapat,mereka yang merasa gerun dan takut
melanggar perperintah-Nya sama ada meningglkan perintah-Nya atau menceroboh had
dan larangan-Nya.
Firman-Nya bermaksud:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di atara hamba-hamba-Nya, hanyalah
ulamak". (Faathir: 28)
Rasulullah saw. juga menjelaskan
tentang kelebihan dan kemuliaan para ulamak ini dalam hadis berikut di bawah
ini: Rasulullah saw. bersabda: "Kelebihan seorang alim di atas seorang
'abid (orang yang beribadah tanpa ilmu) seperti keutamaanku di atas
serendah-rendah orang dari kalangan sahabat-sahabatku". (H.R.Tirmizi)
Ilmu Untuk Kepentingan Islam
Orang-orang yang berilmu
hendaklah menggunakan ilmunya hanya semata-mata untuk mencari keredaan Allah
swt. dengan memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya untuk faedah dan kepentingan
masyarakat manusia dan alam seluruhnya. Secara sedar dan insaf mereka hendaklah
memahami dan meyakini bahawa apa yang diketahuinya dari ilmu yang ada pada
dirinya adalah hidayah yang datang dari kurniaan Allah, oleh itu apa yng
menjadi kewajipannya ialah menggunakan ilmu permberian Allah itu untuk
kepentingan Islam dan kemanusiaan seluruhnya.
Mereka yang telah dikurniakan
ilmu itu janganlah sombong dan membesarkan diri dan berbangga kerana ilmu yang
dipunyainya. Sikap yang seperti ini adalah suatu sikap yang salah dan dibenci
oleh Allah kerana ia telah khianat terhadap amanah ilmu yang diberikan oleh
Allah swt. Allah berfirman maksudnya: "Dan tidaklah kamu di beri ilmu
melainkan sedikit". (al-Isra': 85)
Ahli ilmu merupakan orang yang
menggantikan tugas-tugas para Nabi dan Rasul menyampaikan ilmu kebenaran, oleh
itu mereka sentiasa dirahmati oleh Allah swt. dan wajahnya sentiasa
berseri-seri. Rasulullah saw. Bersabda: "Semoga Allah merahmati
pengganti-penggantiku. Para sahabat bertanya: Bukankah kita ini
pengganti-pengganti tuan, wahai Rasulullah ? Beliau saw. bersabda: Engkau
adalah sahabat-sahabatku, yang disebut Pengganti-penggantiku ialah orang-orang
yang datang selepasku nanti yang mempelajari sunnahku lalu diajarkannya kepada
seluruh manusia". (H.R.Tirmizi.H.Hasan)
Sabdanya lagi: "Allah
akan memberikan wajah yang berseri-seri kepada seseorang yang mendengar
ucapanku lalu disimpannya kemudian disampaikannya, sebagaimana yang
didenganrnya. Banyak juga orang yang menyampaikan itu lebih pandai menghafal
daripada yang mendengarnya".(H.Sahih Riwayat Tirmizi)
Ahli ilmu yang membimbing seluruh
umat manusia kepada kebaikan berhak mendapat penghormatan dan kemuliaan. Mereka
juga akan memperolehi pertolongan Allah serta keberkatan hidupnya dari Allah
swt. Inilah satu darjat dan kedudukan serta pangkat yang tidak pernah terlintas
dalam hati setiap orang akan kemuliaan para ulama' yang ikhlas dan bekerja
untuk Islam kerana mencari keredhaan Allah swt. Tersebut dalam sebuah hadis
dari Abu Umamah bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Bahawasanya Allah,
seluruh para malaikat, penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang berada di
dalam lubangnya, juga ikan, semuanya memohon kerahmatan kepada orang yang
mengajarkan (kebaikan) kepada manusia. (H.R.Tirmizi.Hadis Hasan)
Dengan ini jelas dan nyatalah
kepada kita betapa tingginya ilmu dan orang-orang yang berilmu itu kerana
dengan ilmu ia dapat mengenal Allah Tuhannya, dan ia dapat mengetahui bagaimana
cara ia hendak beribadah dan mengabdi diri kepada-Nya, dan dengan ilmu juga ia
bapat mengetahui bagaimana amalan yang betul dan dan ia dapat menghindarkan
diri dari berbuat kesalahan dan kesilapan serta ia mengetahui bagaimana hendak
mengerjakan sesuatu amalan itu supaya ikhlas, jauh dan terhindar dari
sifat-sifat riak, ujub dan sum'ah, kerana perkara-perkara itu semua boleh
merosakan ibadah.
Sikap seperti inilah yang harus
ada kepada setiap orang yang berilmu, iaitu melaksanakan tanggungjawabnya bagi
kepentingan Islam dan kesejahteraan umatnya, tetapi pada hari ini sikap mulia
dan ikhlas seperti ini telah luntur dan terhakis dari jiwa orang-orang yang
berilmu. Rata-rata orang yang berilmu sekarang mempunyai sikap berbangga dan
bermegah dengan ilmu yang dimilikinya untuk mencari keuntungan dunia seperti
mencari kedudukan mulia di dalam masyarakat, ilmu juga digunakan untuk merebut
pangkat dan juga yang menjadikan ilmu itu sebagai suatu barangan yang
diperniagakan.
Gejala-gejala seperti inilah yang
meruntuhkan Islam dan umat Islam itu sendiri, lebih-lebih lagi jika sikap
seperti ini berlaku kepada mereka yang diberi ilmu agama atau orang yang
beranama ulamak.
Hubungan Antara Ilmu dan Amal
Ibadah merupakan kemuncak segala
kepatuhan dan ketaatan seorang hamba kepada al-Khaliq Tuhannya dan ibadah juga
merupakan hubungan antara makhluk dan al-Khaliqnya. Pehubungan ini sangat
penting kerana dengan ini mereka akan dapat mengetahui hakikat dirinya sebagai
makhluk dan mengenal dirinya sebagai hamba kepada Allah Tuhannya dan mereka
mempunyai tugas dan kewajipan yang mesti dipikul dan dilaksanakan sebagai
makhluk dan hamba, mereka juga berke-wajipan mengenali Tuhannya iaitu Allah
kerana Allah sahajalah yang berhak disembah, disujud, dipatuhi perintahnya,
dicintai, dipohon sesuatu, ditakuti dan segala-galanya untuk-Nya, segala-gala
dari-Nya dan segala-gala kembali kepada-Nya.
Untuk melaksanakan amal ibadah
dengan betul dan sempurna manusia hendaklah mempelajari kaedah-kaedah dan ilmu
bagaiamana seharusnya mereka diperintahkan untuk beramal dan melaksanakan
ibadah dengan betul kepada Allah swt. Tuhannya. Oleh itu ilmu sangat berkait
rapat dengan amal ibadah, tanpa ilmu yang betul maka segala amal ibadah
seseorang itu tidak sempurna dan mungkin ditolak oleh Allah swt.
Oleh
yang demikian menuntut ilmu merupakan suatu perkara yang sangat penting dan
utama bagai kesempurnaan hidup manusia untuk kesempurnaan ibadah dan bagi
mencapai kemuliaan dunia dan keredaan Allah di akhirat.
Updated: Sunday,
16 October, 2005
والحمد
لله رب
العالمين