CYBER KEFAHAMAN ISLAM

 

BAHAGIAN PERTAMA

BAB KE EMPAT

 

KONSEP DUA KALIMAH SYAHADAH

 

Pengertian Syahadah

Syahadah dapat diertikan dengan pengakuan, pemberitahuan dan keterangan atau peryataan. Oleh itu orang yang telah mengakui dan menuturkannya dinamakan orang yang telah menyaksikan, kerana ia telah memberi tahukan apa yang telah diketahuinya, sama ada secara perkataan mahupun secara perbuatan. Pengakuan dengan perbuatan ini, seperti yang dijelaskan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Tidaklah sepatutnya orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid Allah, sedangkan mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir". (at-Taubah: 18)

Kalimah syahadah juga mengandungi erti persetujuan, pengakuan, sumpah dan keyakinan. Oleh itu setiap orang yang mengakui tentu meyakini kebenaran apa yang mereka akui, sekiranya pengakuan lidahnya bertentangan dengan apa yang diakui oleh hatinya, maka pengakuan yang demikian itu suatu pengakuan dusta.

Firman Allah swt. maksudnya: "Bilamana orang-orang munafik datang kepada mu, meraka berkata: Kami mengakui bahawa sesunggunya kamu sebenarnya Rasulullah. Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu benar-benar orang pendusta". (al-Munafiqun: )

Perkataan orang munafik (nasyhadu) dalam ayat ini bererti suatu sumpah. Ulamak Hanafiah menyatakan apabila orang mengatakan asyhadu itu ia telah bersumpah.

Kesimpulannya Kalimat Syahadah bermakna pengetahuan, pengenalan dan kebenaran dan juga memberi erti penetapan, penegasan, pengakuan, sumpah dan keyakinan.

Erti Perkataan Ilah (Tuhan)

Perkataan Ilah (Tuhan) boleh dipergunakan bagi memberi erti apa sahaja yang di sembah dan dipuja oleh manusia, sama ada sembahan yang benar (haq) atau yang salah (batil).

Firman Allah swt. maksudnya: "Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya". (al-Jathiyah: 23)

Firman-Nya yang bermaksud: "Maka ketahuailah bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan mohonlah ampun bagi dosamu". (Muhammad: 19)

Erti Kalimah Tauhid

Kalimah Tauhid (LAA-ILAAHA-ILLALLAH) "Aku naik saksi (mengakui) bahawa tiada Tuhan yang (berhak) disembah melainkan Allah". dapat diberi makna:

"Aku mengetahui, menetapkan dan meyakinkan bahawa yang sebenar disembah hanyalah Allah dan dengan demikian itu aku menyatakan dengan perkataanku, perbuatanku dan perangaiku". Pengertian demikian hanya berlaku apabila sesorang itu telah menetapkan bahawa dia beribadah atau pengabdiannya hanya kepada Allah semata-mata yang terkandung dalam pengertian Tauhid Uluhiyah atau Tauhid Ubudiyah. Tauhid Rububiyah pula bererti menyakini bahawa hanya Allah Yang Mencipta, Mendidik, Mengatur, Mentadbir dan Mengurus Alam seluruhnya.

Dengan demikian tauhid terbahagi kepada DUA, Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah. Tauhid Rububiyah ini masih di percayai dan diimani oleh sebahagian orang kafir musyrikin Makkah, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Dan jika kamu tanyakan kepada mereka siapakah yang menciptakan mereka ? Niscaya mereka menjawab Allah. Maka bagaimana mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)". (az-Zukhruf: 87)

Tetapi mereka tidak beriman dengan Tauhid Uluhiyah atau tidak mentulus-kan ibadahnya kepada Allah swt. semata-mata. Kedatangan para Rasul itu antara tugas besarnya adalah mengajak dan menyeru manusia supaya mentauhidkan Allah dalam kedua-dua bahagian Tauhid tersebut, sesuai dengan makna dan pengertian dan tuntutan Syahadah itu sendiri.

Tauhid Uluhiyah (Ubudiyah)

Tauhid Uluhiyah atau Ubudiyah bermaksud mentauhidkan Allah swt. dari segi pengabdian, pengibadatan atau penyembahan, dengan kata lain penyembahan dan pengabdian hanya kepada Allah dan untuk Allah semata-mata; sesiapa juga yang lain-Nya tidak berhak dan tidak layak untuk disembah, dipuji dan puja, ditaati perintahnya dan dipatuhi hukumnya. Kerana untuk mengajak dan menyeru umat manusia supaya mereka semua menyembah dan mengabdi serta beribadah semata-mata kepada Allah dan menolak pengabdian yang selain dari-Nyalah kenapa Para Rasul itu diutus oleh Allah swt. ke dunia ini sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu, melainkan kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidak ada Tuhan (yang disembah) melainkan Aku, maka sembahlah Aku". (al-Anbiya': 25)

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada tiap-tiap ummat (untuk menyeru). Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah taghut". (an-Nahl: 36)

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya maka ia berkata: Wahai kaumku ! Sembahlah olehmu akan Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu selain Dia, mengapa kamu tidak bertakwa". (al-A'raaf: 65)

Beribadah atau menyembah kepada Allah hendaklah didasarkan kepada cinta yang murni, sehingga betul-betul tunduk dan patuh kepada yang dicintai, dan sebagai tanda kecintaan ini, haruslah ia bertawakkal dengan menyerah diri kepada Allah swt. percaya akan kekuasaan-Nya, takut dan meminta serta berharap hanya kepada-Nya.

Tanda dan kesan kecintaannya kepada Allah juga ia selalu menyebut nama-Nya dan bersedia melaksanakan Syariat-Nya, berakhlak mulia, baik dalam tindakan dan perkataanya sesuai dengan kehendak dan peraturan-Nya.

Setiap manusia sewajarnya mencapai tingkat ubudiyah (pengabdian) yang seutuhnya dengan kata lain segala ibadahnya hendaklah ditujukan semata-mata untuk Allah Tuhan yang al-Haq dan Tuhan yang sebenar, tidak ada Tuhan lain yang sekutu, serupa dan sebanding dengan-Nya.

Sebagai insan yang mengenal dirinya dan hamba yang sifatnya tidak mendurhakai perintah Tuhannya, hendaklah sentiasa bersedia untuk melaksanakan segala arahan-Nya tanpa sedikitpun merasa berat dan terpaksa, jauh dari rasa ingin mempersoal dan bertindak engkar terhadap arahan-Nya.

Tingkat kehambaan inilah tingkat yang setinggi-tingginya kedudukan manusia di sisi Tuhannya, sebagaimana tingkat inilah yang dicapai oleh para Rasul sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Kemudiaan Ia mewahyukan kepada hamba Allah (Muhammad) apa-apa yang diwahyukan". (An-Najmu:19)

Tauhid Uluhiyah inilah yang menjadi persoalan terpenting dalam perutusan semua Rasul-Rasul ke alam ini, mereka menyeru umat manusia untuk mentauhidkan Allah terutama sekali dalam bentuk tauhid Uluhiyah ini, sedangakan tauhid Rububiyah selalunya masih diakui lagi oleh sebilangan manusia termasuk kafir musyrikin Makkah.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan jika kamu tanya kepada mereka, siapakah yang mencipta langit dan bumi ? Niscaya mereka menjawab: Semuanya dicipta oleh yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui". (az-Zukhruf: 9)

Kesimpulannya, Tauhid Uluhiyah bermkasud Allahlah yang berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintah-Nya ditumpui dan dipohonkan segala doa bagi mendapatkan sesuatu kebaikan dan menolak segala bencana dan mala petaka. Difahamkan dari kesimpulan ini; tidak boleh sekali-kali seseorang itu menyeleweng dari ketentuan ini di mana semua yang tersebut di atas itu dituju, diminta atau disembahkan kepada yang lain dari Allah swt.

Tauhid Rububiyah

Perkataan ar-Rabb (Tuhan Maha Pencipta) mempunyai beberapa pengertian, mendidik, mengurus, mentadbir, memimpin, pemilik, pencipta, penguasa, pemelihara, dan penjamin kepentingan umat manusia. Ciri dan sifat yang tersebut semuanya ini tidak terdapat pada yang selain dari Tuhan Ar-Rabb yang sifatnya Maha Sempuna, kerana yang selain dari Allah Rabbul-'Alamiin sama sekali tidak sempurna, tidak dapat mengatasi kesempurnaan sifat Allah, kerana apa yang selain dari Allah adalah makhluk belaka yang mana setiap makhluk itu sentiasa tidak sempurna dan sentiasa memerlukan kepada yang menciptanya iaitu Allah Al-Khaliq (Yang Maha Pencipta).

Oleh yang demikian kita wajib meyakini bahawa Allah Tuhan sekalian alam ini dan tiada Tuhan selain-Nya. Dia yang mencipta, Dia yang menghidup dan Dialah yang mematikan, Dialah juga Tuhan yang segala perintah dan ketetapan-Nya berlaku bagi seluruh yang dicipta-Nya.

Dan segenap kekuasaan hanya ditangannya dan Dia Maha Kuasa dan Perkasa. Dialah juga yang mengatur dan mengurus alam ini sesuai dengan kehendak-Nya. tiada sesuatu kekuatan dan kekuasaan lain yang dapat menghalangi kehendak-Nya dan ketentuan-Nya.

Bukan sahaja Allah Tuhan yang mencipta alam ini seluruhnya tetapi ia juga yang mendidik dengan makna Allah juga yang menyediakan segala keperluan kepada semua yang diciptanya, umpamaya Allah yang mencipta manusia dan Allahlah juga yang menyediakan rizeki dan segala keperluan manusia untuk hidup. begitulah seterusnya kepada setiap makhluk yang diptan-Nya.

Inilah Tauhid Rububiyah yang sewajarnya setiap mukmin mempercayai dan meyakini, kepercayaan kepada tauhid Rububiyah ini sebenarnya telah diyakini atau diimani oleh golongan kafir musyrikin Makah, mereka menjadi kafir kerana mereka telah melakukan amalan syirik dengan menyembah patung berhala sebagai perantaraan sembahannya kepada Allah dan tidak mahu menerima hukum-hukum dan peraturaan Allah.

Dan kalau sebahagian dari musyrikin Makkah mengakui tauhid Rububiyah bagaimana pula dengan orang yang mengaku mukmin dan telah mengucapkan Dua Kaliman Syahadah tidak meyakininya, kalau demikianlah keadaannya, alangkah buruknya hal mereka !

Kesimpulannya Tauhid Rububiyah ini ialah Allahlah yang mentadbir, mengurus menjaga, mengasuh, mendidik seluruh alam yang diciptanya itu; dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati oleh setiap sesuatu atau setiap makhluk yang dicipta-Nya,dan di atas kebijaksanaan-Nyalah Ia mengatur dan menyusun peraturan dan undang-undang untuk kesempurnaan,kepentingan dan untuk kesejahteraan makhluk itu sendiri.

Kesimpulan Syahadah

Oleh yang demikian kalimah Syahadah atau Kalimah Tauhid ini membawa pengertian secara mudahnya seperti berikut:

"Tiada yang sebenar dan layak disembah melainkan Allah, tidak tempat bergantung dan bertawakkal melainkan Allah, tidak ada tempat berlindung malainkan Allah, tidak ada yang dicintai melainkan Allah, tidak ada yang ditaati perintahnya melainkan Allah, tidak ada hukum (undang-undang dan peraturan) melainkan hukum Allah, tidak ada pemilik yang sebenar melainkan Allah, tidak ada tuan dan tidak ada pemerintah (kerajaan) melainkan Allah Yang Maha Agung Berkuasa dan Maha Perkasa.

Kesimpulannya kalimah tauhid ini boleh di fahamkan demikian, Allah Yang Maha Esa, Maha Berkuasa, Maha Pencipta Maha Pengatur Alam Seluruhnya, Allahlah yang Menjaganya. Oleh yang demikian hanya Dialah yang berhak untuk disembah, disujud dan dipatuhi segala perintah-Nya, dan Dialah Allah Tuhan yang layak untuk dipuji dan dipuja, dicintai dan disanjungi, diharap dan ditakuti dan segala-galanya milik-Nya dan untuk-Nya"..

Kalimah "Muhammad Itu Rasulullah"

Syahadah kedua pula ialah pengakuan kepada Rasul. Syahadah kepada Rasul pula ialah bererti mengethui, membenarkan serta meyakini dengan keyakinan yang penuh bahawa Muhammad saw. itu Rasul Allah. Pengakuan ini diakui dengan keyakinan hati dan dinyatakan dalam bentuk perkataan dan perbuatan.

Pengakuan dengan hati dengan meyakini dan mengimani kerasulan Nabi Muhammad saw. dan dalam bentuk perkataan ialah dengan menuturkannya dengan lidah, sementara pengakuan dalam bentuk perbuatan pula ialah dengan menyesuaikan tingkah laku dan tindak tanduk dengan apa perintah yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw. seluruhnya.

Apabila kita mengakui Nabi Muhammad saw. itu sebagai Utusan Allah (Rasulullah) wajib kita membenarkan segala apa yang dibawanya serta tunduk dan patuh kepada segala apa yang diperintahkan kepada kita dan menjauhi segala apa yang dilarangnya, dengan tidak merasa berat dan tidak membantah ataupun merasa benci terhadap diri baginda atau apa yang dibawanya. Jika ada perasaan yang demikian, ini menjadikan keimanan seseorang itu kepada Rasulullah akan cedera dan dengan itu boleh menjadi rusak sama sekali keseluruhan iman seseorang itu.

Begitu juga apabila ada perasaan membantah atau hanya melaksanakan sebahagian sahaja dari perintahnya dan meninggalkan sebahagaian yang lainnya, maka bertentanganlah dengan pengakuannya kepada kenabian dan kerasulan Muhammad saw. Banyak terdapat ayat-ayat al-Quran yang menekankan kepada orang yang beriman supaya mentaati serta mematuhinya sebagai akibat atau konsekwensi dari pengakuannya.

Firmaan Allah swt. maksudnya: "Sesungguhnya kata-kata orang mukmin, bila mereka diseru kepada allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, kata-kata mereka, kami mendengar dan patuh, mereka itulah orang yang beruntung". (An-Nur: 51)

Dan firman-Nya lagi bermaksud: "Dan tiadalah bagi laki-laki mukmin dan tiada bagi perempuan mukim, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan (hukum) akan ada bagi mereka ada pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa yang medurhakai Allah dan Rasul-Nya sesungguhnya ia telah sesat dengan sesat yang nyata". (Al-Ahzab: 36)

Ayat di atas menjelaskan dengan nyata agar para mukmin mentaati dan mematuhi perintah Rasulullah saw. kerana kepatuhan kepada Rasul bererti mereka mematuhi Allah swt. itu sendiri.

Ayat di atas juga merupakan kosekwensi pengakuan Syahadah kepada Nabi Muhammad itu Rasulullah, oleh itu sangat tidak munasabah seorang yang mengaku Muhammad itu sebagai Rasulullah (Utusan Allah), mereka tidak patuh dan mentaati arahan dan perintahnya.

Begitu juga seorang yang telah mengakui kerasulan Nabi Muhammad saw. janganlah ada lagi perasaan menolak walau sedikit terhadap perintahnya dan tidak mahu taat kepada hukumnya, sama ada sebahagian perintahnya apatah lagi keseluruhan hukum dan peraturannya. Kesimpulannya apa yang menjadi kewajipan seorang mukmin kepada terhadap Rasulullah saw. ialah:

1. Mencintainya lebih dari mencintai diri, anak, keluaraga, harta benda, dan manusia seluruhnya.

2. Menghormatinya.

3. Menjauhi segala yang di anggap menyinggung kehormatannya dalam bentuk apa juga sama ada

perkataan atau perbuatan, kerana orang yang berbuat demikian boleh menjadikan dirinya terkeluar

dari Islam.

4. Mengucapkan salawat dan salam kepadanya.

5. Mematuhi segala arahan dan perintahnya.
 
 

 

 

16 October 2005

 

-----oOo-----