CYBER KEFAHAMAN ISLAM

bahagian kedua



BAB KE SEBELAS

 

IBADAH-IBADAH KHUSUS

1. Sembahyang (solat)

Sembahyang dari segi bahasa ialah doa dan dari segi istilah syarak pula ialah ibadah yang tersusun beberapa perkataan dan perbuatan yang dimulai dengan takbir dan disudahi dengan salam mengikut syarat-syarat yang tertentu.

Mendirikan sembahyang merupakan suatu perintah Allah yang diwajibkan ke atas orang Islam, kerana ia merupakan rukun Islam selepas mengucapkan Dua Kalimah Syahadah dan sembahyang itu merupakan tuntutan iman dan iman itu sifat jiwa dan nur batinya.

Orang yang mendirikan sembahyang adalah tanda orang yang beriman sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah, kepada hamba Ku yang beriman hendaklah mereka mengerjakan sembahyang". (Ibrahim: 31)

Al-Quran juga menegaskan bahawa mendirikan sembahyang dengan menyempurnakan segala syarat-syarat, rukun dan peraturan zahir dan sempurna pula batinya akan dapat mendidik jiwa, hati dan fikiran ke arah kesucian, ketinggian dan kemuliaan jiwa manusia, serta dapat menghindarkan diri mereka dari sifat- sifat keji, hina dan mungkar.

Firman Allah swt. maksudnya: "Dan dirikanlah sembahyang, kerana sesungguhnya sembahyang itu (dapat) mencegah segala kejahatan dan kemungkaran". (al-'Angkabuut: 45)

Segala kejahatan dan kemungkaran yang merosakan masyarakat akan dapat dicegah oleh tenaga rohani yang terdidik dengan ibadah sembahyang yang ikhlas dan sempurna lahir dan batin.

Seorang yang taat mengerjakan sembahyang dan ia mengerti rahsia serta bacaan yang dibaca ketika mengerjakan sembahyang merupakan suatu pendidikan terhadap jiwa bukan sahaja dapat mendidik supaya menjadi orang yang soleh tetapi juga dapat menguatkan jiwanya serta tabah dan sabar menghadapi segala pancaroba hidup di dunia ini.

Firman Allah swt. maksudnya:"Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) haloba dan mengeluh apabila kesusahan menimpanya, dan menjadi kedekut apabila ia mendapat keuntungan, kecuali orang-orang yang sembahyang, yang sembahyangnya berterusan". (al-Mama'arij: 19-23)

Begitu juga sembahyang sembahyang ini boleh menjadi pembersih kepada segala jenis dosa dan kesalahan setiap hari, apabila manusia dapat menyucikan jiwa dan hatinya ini merupakan suatu tenaga dan sumber segala kebaikan yang akan terpancari dalam akhlak dan budipekerti mulia dari seseorang.

Hukum Meninggalkan (Solat) Sembahyang

Rasulullah saw.menerangkan dengan jelas kewajipan dan kepentingan sembahyang kepada diri manusia itu sendiri dan ia mengancam dengan sekeras-kerasnya kepada orang yang mencuai, melalai dan meninggalkan sembahyang lima waktu yang difardukan keatas setiap mukmin dan muslim. Rasulullah saw. menjelaskan bahawa sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja atau di atas kesedaran ini bererti ia telah menyediakan satu pintu dari pintu-pintu kekufuran dan akan dimasukinya bila-bila masa sahaja.

Sabdanya bermaksu: "Sesungguhnya antara orang lelaki (beriman) syirik dan kufur ialah meninggalkan sembahyang". (H.R.5 kecuali Bukhari)

Sabdanya lagi: "Perjanjian yang ada diantara kami dan mereka ialah sembahyang, maka barangsiapa meninggalkannya maka kafirlah ia". (H.R.Tirmizi)

Ibnu Mas'ud berkata: "Barangsiapa meninggalkan sembahyang maka tidak ada baginya agama". Abu Darda'berkata: "Tidak ada iman bagi mereka yang tidak ada sembahyang baginya".

Saidina Umar bin al-Khatab pernah mengirim surat kepada segenap wali (Gabnor) negeri yang di bawah kekuasaannya,katanya: "Sesunggunya sepenting-penting urusan kamu di sisiku ialah sembahyang, maka barangsiapa yang memeliharanya maka ia memelihara agamanya, dan barangsiapa yang mensia-siakannya maka ia kepada apa-apa yang selainnya lebih lagi akan mensia-siakannya. Dan tidak ada bahagian dalam Islam bagi mereka yang meninggalkan sembahyang."

2. Ibadah Puasa (Shiyam)

Puasa dari segi makna bahasa ialah menahan diri dan dari segi istilah pula ialah menahan diri dari makan, minum, dari perkara-perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga tenggelamnya matahari dengan niat ikhlas kerana Allah.

Setiap orang Islam adalah wajib melaksanakannya berdalilkan kepada firman Allah swt. maksudnya: "Wahai orang yang beriman diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu dari kamu, supaya kamu bertakwa". (al-Baqarah: 183)

Di dalam ayat tersebut menjelaskan kewajipan setiap muslim mengerjakannya puasa Ramadan dan juga dijelaskan faedah atau kepentingan puasa itu kepada diri manusia, dengan menjelaskan puasa itu boleh menjadikan seseorang itu mencapai darjat kedudukan orang-orang yang bertakwa.

Takwa yang menjadi tujuan paling utama di sini adalah kerana takwa merupakan suatu kedudukan yang tinggi di sisi Allah swt. dan hidupnya akan mendapat keredaan-Nya dunia akhirat. Takwa bermakna memelihara atau mencegah seseorang dari terjerumus kedalam jurang kejahatan dan kemaksiatan ia juga bermakna memelihara diri dari seksa api neraka. Oleh itu amat sesuai sekali takwa ini merupakan sebagai tujuan dari ibadah puasa itu kerana puasa yang betul dan diterima oleh Allah swt. akan menjaga diri orang yang berpuasa itu dari segala rupa kejahatan dan kemaksiatan zahir dan batin dan ini akan menjadi penyebab kepada terhindarnya seseorang itu dari api neraka.

Puasa yang sempurna bukanlah semata-mata menahan diri dari lapar dan da- haga tetapi ia dapat menahan diri dari perkara-perkara yang dilarang oleh syarak zahir batin seperti menahan diri dari mencuri, berjudi, mengumpat, melakukan kebohongan dan sebagainya. Perbuatan-perbuatan yang seperti ini akan menjadikan puasa seseorang itu menjadi sia-sia dan tidak bermakna sebagaimana sabda Rasulullah saw.maksudnya:"Brangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan melakukannya maka tidak ada hajat bagi Allah pada makanan dan minumannya yang ia tinggalkanny". (H.R.Bukhari)

Untuk mencapai tujuan puasa ini apa yang perlu ialah menyempurnakan puasa itu dengan segala syarat dan rukunnya serta menjaga amal perbuatan zahir dan batin dilakun puasa itu semata-mata untuk mencari keredaan Allah swt.

Kalau di pandang dari segi kepentingan dunia dan tujuan zahir puasa ini kita dapat melihat dengan jelas kepentingan itu akan kembali kepada diri manusia yang melakukan puasa itu di mana ia akan dapat menikmati kesihatan tubuh badan dan terhindar dari banyak penyakit disebabkan oleh makan yang berle- bihan.

3. Zakat

Zakat dari segi bahasa ialah subur dan suci,dari segi istilah syarak pula ialah nama dari sesuatu yang dikeluarkan dari harta benda dengan syarat-syarat tertentu.

Zakat merupakan ibadah harta kepada seseorang Islam. Orang Islam yang mempunyai harta dan sumber kehidupan yang tertentu dan memenuhi syarat-syarat yang tertentu adalah diwajibkan zakat, Sebagaimana yang diterangkan di atas zakat merupakan penyucian kepada harta seseorang dengan dilaksanakannya zakat kepada harta seseorang itu, akan menjadi bertambah berkat dan subur harta tersebut, dan begitu juga orang yang memiliki harta tersebut akan menjadi suci dari sifat-sifat kedekut dan bakhil dan dari sifat-sifat keji yang lainya, maka dengan itu akan lahirlah sifat pemurah dan ingin menolong kepada orang lain yang mengalami penderitaan dan kesusahan.

Agama Islam mahukan pemeloknya menjadi manusia yang patuh menunaikan perintah Allah swt. dan menunaikan hak sesama manusia seperti bantu membantu dan tolong menolong, hormat menghormati dalam kehidupan bermasyarakat.

Maka di antara bantuan yang wajib dari seseorang kepada orang lain sesama Islam ialah memberi zakat dari orang yang berharta kepada yang tidak berharta dan mengalami kesulitan dan kesempitan dalam kehidupan mereka, maka denga itu akan berlakulah suasana hidup yang harmoni dan aman jauh dari rasa hasad dengki antara anggota masyarakat.

Harta menurut Islam adalah kepunyai dan milik mutlak Allah swt.manusia hanya bersifat diberi milik yang sementara untuk mentadbir dan mengurus supaya setiap manusia dapat merasa dan menikmati bersama, Allah swt. menjadikan manusia berbeza kemampuan dari segi fizikal dan mental, apa yang menjadi kewajipan kepada setiap manusia ialah membantu mereka yang kurang kemampuan dari setiap aspek sama ada dari segi kebendaan ataupun ilmu pengetahuan supaya kehidupan manusia akan menjadi lebih bererti dan mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat.

Kepentingan zakat dalam Islam jelas dengan mana Allah menyebutkan zakat itu sepas diwajibkannya sembahyang. Firman Allh swt. maksudnya: "Dan dirikanlah sembahyang dan keluarkanlah zakat". (al-Baqarah: 110)

Dengan sembahyang manusia sentiasa menghubungi Allah swt. dalam zakat pula manusia dapat menhubungi sesama manusia, kerana dengan mengeluarkan zakat, diri manusia yang mengeluarkan zakat tadi akan merasa tenteram tidak bimbang dan takut kerana ia telah menyempurnakan haknya dan hak harta, begitu juga masyarakat akan menjadi tenteram kerana mereka yang hidup dalam kesusahan telah mendapat bantuan dan perhatian dari orang-orang yang berada, apabila kedua-dua golongan kaya dan miskin tidak ada peselisihan dan pertelingkahan maka masyarakat akan menjadi aman dan sejahtera.

Betapa besarnya kepentingan zakat dalam keharmonian masyarakat dapat dilihat bagaimana Allah swt. menerangkan di dalam harta mereka (orang kaya) ada hak yang termaklum bagi orang yang meminta-minta dan yang tidak mampu.

Firman Allah maksudnya: "Dan yang pada harta mereka ada hak yang termaklum untuk orang yang meminta-minta dan yang tidak mampu". (al-Ma'arij: 24-25)

Dengan penjelasan ayat diatas tadi nyatalah bahawa harta itu bukanlah kepunyaan seseorang secara mutlak, ini bermaksud harta tidaklah boleh dibelanjakan mengikut sesuka hati manusia, ia hanya bersifat mengurus dan mentadbir supaya harta-harta itu dibelanjakan mengikut ketentuan syarak, tidak dibelanjakan mengikut sesuka hati dan sewenang-wenang, kerana harta itu hak kepunyaan Allah yang mutlak.

Kewajipan zakat ini jelas wajibnya dan sesiapa yang tiadak mahu dan enggan mengeluarkannya pehak yang bekuasa berhak memaksa mereka supaya mengeluarkannya. Ini dapat dilihat dari lembaran sejarah bagaimana tindakan Khalifah Abu Bakar terhadap golongan yang tidak mahu mengeluarkan zakat ini sebagaiman yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari katanya: "Demi Allah sesungguhnya aku akan memerangi mereka yang membeza-bezakan antara sembahyang dan zakat, kerana sesungguhnya zakat itu hak harta, Demi Allah kalau mereka menegah aku daripada memberi zakat kambing betina yang mereka pernah tunaikannya kepada Rasulullah saw necaya aku akan perangi mereka kerana tegahannya itu". (Bukhari)

Orang yang mengeluarkan zakan sebenarnya ia telah melaksanakan kepentingan jiwa dengan menyucikannya dan juga ia telah melaksanakan kewajipan sesama manusia dengan membantu mereka yang dalam kesusahan, dia dipuji dan didoakan kesejahteraan serta ditambahkan lagi kebajikan dan keberkatan hidup mereka ke- rana kabaikan dan kemurahannya.

Sabda Nabi saw. Maksudnya: "Tidaklah ada suatu pagi seseorang hamba itu melaikan ada du malaikat yang turun kepadanya salah seorang dari keduanya berdoa "Ya Allah berilah kepada orang yang mengeluarkan harta untuk kebajikan akan gantinya". Malaikat yang lain pula berkata: "Berilah kepada orang yang bakhil kebinasaan". (H.R.Khamsah)

4. Ibadah Haji

Haji mengikut makna bahasa ialah menuju suatu tempat dan dari segi istilah syarak pula menuju Baitullah kerana menunaikah ibadah yang tertentu. Ibadah haji ini diwajibkan pada tahun yang ke enam Hijrah ia merupakan suatu ibadah yang memrlukan kepada persediaan yang merangkumi zahir batin, dari segi zahir ia hendaklah menyediakan perbelanjaan yang banyak dari harta yang halal termasuklah persediaan badan yang sihat kerana ibadah haji merupakan ibadah yang banyak menggunakan tenaga.

Persediaan batin pula hendaklah tujuan dan matlamat haji itu bukanlah didorong kerana keduniaan, hatinya hendaklah ikhlas suci kerana tujuan keredaan Allah semata-mata.

Dalil kewajipan haji ini terkandung dalam firman Allah swt. maksudnya: "Dan kerana Allah wajib keatas manusia pergi ke Baitullah siapa yang berkuasa (mampu) mengadakan perjalanan sampai kesana". (ali-Imran: 97)

Sebagaimana yang dijelaskan sebentar tadi ibadah haji memerlukan kepada persediaan rohani dan jasmani yang cukup kerana ia merupan suatu ibadah yang merangkumi harta dan kejiwaan sekali gus, disamping ia memerlukan kepada suatu kesabaran dan ketabahan hati dengan mengorbankan sedikit harta dan masa semata mata kerana Allah, ibadah haji merupakan suatu ibadah yang memrlukan akepada kedua-duanya sekali kerana ia akan mengharungi segala kepayahan dalam melak- sanakannya, ia terpaksa melalui jalan yang sukar dan jauh, meninggalkan kampung halaman, rumah, anak isteri dan keluarga dan sebagainya, ini semua memerlukan kepada kekuatan jiwa dan pengorbanan harta. Oleh itu ia dinamakan sebagai suatu jihad juga yang bermakna suatu kerja yang sukar dan suatu kerja yang dilakukan dengan cara yang bersungguh-sungguh.

Sabda Rasulullah saw.maksudnya: "Jihad orang tua dan kanak-kanak dan jihad orang yang lemah dan orang perempuan ialah haji dan umrah". (H.R.Nasaie)

'Aisyah ra. pernah berkata kepada Rasulullah, Ya Rasulullah ! kami berpendapat jihad adalah seafdal-afdal amalan, maka apakah tidak kami berjihad ? Baginda bersabda: "Tidak, tetapi jihad yang afdal itu ialah haji yang mabrur". (H.R.Bukhari)

Ibadah haji merupakan suatu ibadah yang menghimpunkan umat Islam seluruh pelusuk dunia di mana mereka berhimpun kerana menyahut seruan Allah swt. bagi menunjukkan syiar Islam, juga untuk memperlihatkan perpaduan dan kesatuan umat manusia dengan kalimah yang satu amalan yang satu dan ucapan yang satu, dengan ini akan terjalinlah perasaan hormat dan kasih sayang serta persaudaraan secara amali dan di sini akan lahirlah suatu ikatan yang sebenar dan perpaduan yang hakiki hubungan dengan kalimah tauhid merupakan suatu pertalian yang akan kekal dunia dan akhirat.

Inilah keistimewaan Islam suatu pengajaran yang benar dan sejati yang boleh menautkan setiap insan yang mengaku dan menerima Allah sebagai Tuhan dan Muhammad saw. sebgai Nabi, Rasul dan pembimbingnya. Perpaduan dan ikatan yang selain dari landasan akidah Islam merupakan suatu yang pura-pura dan ikatan yang rapuh serta boleh musnah pada bila-bila masa sahaja.

Semoga dengan rasa keinsafan yang mendalam dari kerja-kerja haji yang dilakukan seperti memakai pakaian ihram yang melambangkan kesatuan zahir dan iman kepada Allah dalam kesatuan batin akan dapat mendidik jiwa manusia dari bersifat sombong dan ego serta mementingkan diri sendiri, juga dengan wukuf di Arafah yang hanya memakai pakaian putih, pakaian seperti itu jugalah yang akan dibawa ke dalam kubur akan dapat melahirkan rasa keinsafan dalam jiwa manusia, maka dengan itu akan timbullah dalam dirinya keagungan Allah swt. dan betapa hina dan rendah dirinya sebagai manusia yang tidak mahu bersyukur apatah lagi jika mereka engkar dam kufur terhadap Allah Tuhan yang mencipta kita.

Kesimpulannya ibadah haji merupakan suatu ibadah yang mempunyai hikmat dan kepentingan dunia dan yang paling penting ialah kepentingan akhirat yang mana dalam ibadah haji melambangkan atau menimbulkan syiar perpaduan dan persamaan di antara berbagai bangsa dan warna kulit dengan lafaz dan kalimah yang sama dan niat dan tujuan yang satu mencari keredaan Allah swt. ini semua disimpulkan dalam niat dan tujuan haji dan Kalimah Talbiyah yang dilaungkan bersama menyatakan kebesaran Allah Tuhan yang satu Tuhan bagi seluruh alam.

Oleh itu bagi mereka yang telah mempunyai kemampuan yang membolehkan untuknya menunaikan haji supaya bersegera melaksanakannya kerana mereka yang melengah-lengahkannya sehingga maut mendatanginya amat besarlah akibat buruk yang menimpa ke atas dirinya.

Sabda Nabi saw. maksudnya: "Barangsiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang menyampaikannya ke Baitullah dan ia tidak mengerjakan haji, maka tidak ada atasnya bahawa ia mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani". (al-Hadis)

Sekian, semoga kita semua dapat manfaat dari nota kecil yang sedikit ini, dalam usaha kita memahami Islam. Kita pohonkan keampunan dari Allah yang Maha Pengampun di atas segala kesalahan dan kesilapan yang terdapat di dalam buku ini dan seterusnya semoga Allah sentiasa melimpahkan hidayah dan rahmat-Nya kepada kita semua. Amin !