CYBER KEFAHAMAN ISLAM

bahagian kedua


BAB KE SEPULUH

 

بسم الله الرحمن الرحيم

MANUSIA SEBAGAI KHALIFAH ALLAH DI MUKA BUMI INI

Mukadimah

Naluri manusia yang ingin kebenaran itu sentiasa mencari-cari di mana ada kebenaran dan keadilan yang sebenar-benarnya (hak) serta dapat memberi kepuasan kepada semua manusia. Apabila mereka bersua dan bertemu dengan pengajaran agama yang berbagai itu; yang kesemuanya mendakwa sebagai benar, hak dan sempurna keadilannya maka manusia pun cuba mendekati dan mempercayai pengajarannya, tetapi kerapkali manusia tidak puas hati dengan keadilan dan kebenaran yang menjadi prinsip pengajaran sesuatu agama yang dianuti itu di mana agama itu tidak dapat memenuhi keinginan fitrah semula jadinya yang mahukan kebenaran dan keadilan yang hakiki. Maka mereka pun terus mencari agama, sehingga mereka bertemu dengan agama yang sebenar dan merasa puas dengannya.

Manusia juga sentiasa merasa bimbang terhadap keselamatan keluarga, harta dan nyawa mereka dari dilanda kesusahan dan kemusnahan; dari itu mereka berusaha mencari tempat perlindungan untuk bernaung dari segala bencana yang mungkin menimpa mereka. Tidak putus-putus mala petaka yang menimpa mereka seperti kematian, kemalangan, hujan ribut, taufan, banjir, gempa bumi, letupan gunung berapi dan sebagainya.

Akal mereka sentiasa berfikir bagaimana jalan dan cara untuk mengatasinya dari segala petaka tersebut. Apabila mereka merasa lemah dalam mencari jawapannya, mereka hanya cuba dan menduga-duga sesuatu, sehingga lahirlah kepercayaan animisma, percaya serta mempertuhankan kepada sesuatu yang menggerun dan menakutkan mereka, mereka yakin dan percaya kepada penunggu itu dan penunggu ini yang boleh memberi kesan mudarat dan manfaat kepada kehidupan mereka.

Setiap kali berlaku sesuatu bencana, mereka mengadakan upacara pemujaan dan memohon serta meminta belas kasihan dari penunggu yang di anggap Tuhan yang mempunyai kuasa dan boleh memberi sesuatu serta dapat menghilangkan segala kebimbangan dan ketakutan diri mereka dari segala keburukan dan bencana.

Tetapi apakah manusia akan berpuas hati dengan penemuannya itu, apakah pengajaran agama yang ditemuinya itu memenuhi keinginan suci semula jadi (fitrah) yang tersemat di hati sanubari mereka ? Mereka tidak akan merasa puas dengan keyakinan dan pengajaran agama kecuali ia bertemu dengan agama yang hak dan sebenar.

Sebagaimana yang telah dijelaskan sebentar tadi, manusia pada fithrahnya tidak dapat melarikan diri dari keyakinan kepada sesuatu agama kerana naluri semula jadinya mendorong mereka ke arah itu. Kecenderungan jiwa manusia terhadap agama ini adalah memang telah semula jadi (fitrah) yang difitrahkan (diberi) oleh Allah Yang Maha Pencipta (al-Khaliq) sejak dari alam Zuriat dahulu lagi.

Oleh kerana keyakinan beragama itu memang menjadi keinginan semula jadi manusia yang hidup ini, maka mereka ini tidak dapat dan tidak boleh memandang sepi dan remeh terhadap keinginan suci dan semula jadi itu. Jiwa yang kosong itu mesti dipenuhi dengan keyakinan dan kepercayaan yang benar dan betul yang berpandukan dengan dasar dan dalil yang mantap dan meyakinkan.

Kita dapat melihat sejarah manusia di sepanjang zaman dari dahulu hingga sekarang, fithrahnya manusia terus mencari kebenaran dan meyakininya serta ia mengabdikan diri kepada apa yang mereka yakini betul dan boleh memberi dan melindungi hidupnya dari segala bencana dan mala petaka kebinasaan yang boleh membawa kepada ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan diri keluarga dan harta benda mereka.

Pada hakikatnya manusia tidak boleh menentang dan melawan fithrahnya dengan membunuh kepercayaan beragama seperti orang-orang komunis dan manusia atheis (mulhid). Pada zahirnya mereka menolak agama dan tidak mahu meyakini agama tetapi pada hakikatnya mereka juga tidak dapat melarikan diri dari suatu kepercayaan, mereka menolak dan tidak mahu menerima kepercayaan beragama tetapi mereka menerima dan patuh dengan kehendak dan arahan nafsunya sendiri yang diyakininya betul dan benar. Mereka tidak mahu menerima sistem Ilahi (agama) tetapi mereka beriman, menerima dan patuh kepada arahan dan perintah dari sistem sesat ciptaan manusia itu sendiri.

Pegangan, keyakinan dan kepercayaan kepada sistem hidup komunis itu tidak lari dari makna dan pengertian dalam konsep pengabdian sebagaimana kepercayaan kepada sesuatu agama juga. Kepercayaan agama pengabdiannya kepada Tuhan sementara Komunis atau sistem hidup ciptaan manusia pengabdiannya kepada sesama makhluk itu sendiri. Mengabdi kepada sesuatu sistem ciptaan manusia (makhluk), taat dan patuh kepada sesuatu lembaga, manusia, kekuasaan atau apapun juga ketaatan kepada selain dari Allah swt. (yang tidak diizinkannya) ini bererti mereka telah mengabdi, menyembah dan mempertuhankannya.

Dalam keadaan seperti inilah kadangkala manusia berlagak sombong dan angkuh terhadap hak dan kebenaran yang mana sebaik-baik pengabdian dan ketaatan hanyalah kepada Allah swt, bukan kepada yang lain-Nya. Tetapi apabila manusia tidak mahu tunduk kepada perintah Allah maka dengan sendirinya mereka telah patuh dan tunduk serta menyembah kepada selain Allah.

Siapakah sebenarnya yang betul dan benar tindakannya dalam perkara ini ? Mengabdi, taat, patuh dan menyembah Allah swt. atau mengabdi dan menyembah kepada selainnya ?

Dalam perkara ini; beriman dan mengabdi diri kepada Allah Tuhan yang betul, Tuhan yang hak, itulah keyakinan dan kepercayaan yang sebenar. Dengan mengabdikan diri menyembah Allah Tuhan yang sebenar, manusia telah mencapai kebebasan hakiki dan kemerdekaan yang sejati !

Oleh itu konsep menolak serta menafikan keyakinan dan kepercayaan kepada agama adalah suatu keyakinan dan kepercayaan yang bertentangan dengan fitrah naluri, akal dan jiwa suci manusia itu sendiri dan mereka yang menolaknya hanyalah mengikut hawa nafsu dan perasaan hati yang kotor dan tidak mahu patuh dan tunduk kepada pengajaran agama dan peraturan-peraturannya yang adil untuk kepentingan manusia itu sendiri dan alam seluruhnya.

Bagi manusia yang masih suci fitrah semula jadinya mereka akan berpegang teguh dengan kepercayaan dan keyakinan agama; sekalipun sebahagian besar manusia menolak dan menafikan agama, tetapi walau bagaimanapun kuatnya seseorang itu mahu menolak dan menafikan kepercayaan agama; semakin mereka menolak semakin kuat mereka diburu oleh keinginan mahu beragama atau mahu menerima kepercayaan kepada sesuatu yang agung dan maha berkuasa atau mereka menerima suatu sistem hidup lain yang mereka yakini benar sekalipun pada hakikatnya ia adalah suatu keyakinan dan kepercayaan yang batil.

Tetapi Allah swt. Tuhan yang sebenar dengan penuh rahmat dan kasih sayang terhadap hamba-Nya. Ia memberi pengajaran agama yang betul; dengan mengakui Tuhan yang hak dan benar dan mengajarkan jalan yang benar bagaimana hendak mengenal Tuhannya dan siapa dia Tuhannya yang sebenar, dan selepas itu diajarkan bagaimana cara dan jalan bagaimana hendak beribadah mengabdikan diri kepada Tuhannya, semua perkara-perkara ini tidak boleh dipelajari dan didapati kecuali dari Rasu-Rasul (Utusan Allah) iaitu manusia yang telah dipilih oleh Allah swt. untuk tugas yang besar dan penting ini iaitu tugas mendidik dan membimbing manusia ke jalan yang hak dan jalan yang benar untuk menyelamatkan mereka dari tersesat dan menderita azab yang dahsyat dan berkekalan di akhirat kelak.

Maka dengan beriman dan menerimanya mereka terhadap seruan para Rasul itu dapatlah mereka panduan ke jalan yang lurus dan benar iaitu agama Islam dan terhindarlah mereka dari kesesatan hidup dan dapatlah mereka menikmati dan menerima pengajaran yang benar dan hakiki iaitu agama Islam dan mereka semua akan mencapai kepuasan dan ketenangan dalam hidup mereka, disebabkan keinginan yang lahir dari fitrah kebenaran semula jadinya itu dapat dipenuhi dan akan hidup bahagialah mereka di dunia dan di akhirat.

Manusia Sebagai Hamba Allah

Manusia atau insan yang disebut oleh al-Quran itu adalah sebaik-baik kejadian atau sebaik-baik makhluk yang dicipta oleh Allah swt. sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami jadikan insan itu dengan sebaik-baik kejadian".(at-Tiin: 4)

Kelebihan dan keindahan insan dari makhluk jenis lainnya ialah kerana mereka dicipta dari dua anasir yang berupa roh dan jasad dan mereka juga dikurniakan kepadanya akal dan nafsu dengan akal ia boleh berfikir untuk mencari kebenaran dan dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk dan nafsu pula mengajak kepada melakukan keinginan dan keseronokan dan melupakan hakikat dirinya, Tuhannya dan hari akhirat.

Sejak dari manusia yang awal dahulu lagi mereka yang mempunyai kesedaran yang mendalam akan hakikat dirinya dan sentiasa bertanyakan diri mereka dari mana ia berasal ? Ke mana ia selepas ini ? Apa tujuan ia dicipta dan apa tugasnya ?

Soalan-soalan seperti ini tidak dapat dijawab oleh akal semata-mata tanpa mendapatkan bantuan dari wahyu, oleh itu manusia yang tidak mahu mengambil wahyu sebagai sumber ilmu yang hakiki mereka akan menyeleweng dan sesat dalam mencari-cari jawapan sebenar kepada persoalan-persoalan tersebut.

Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Mengetahui segala-galanya; Ia mengutuskan para Rasul dari kalangan manusia itu sendiri untuk memberi bimbingan dan tunjuk ajar ilmu yang benar yang datang dari Tuhannya agar mereka tidak tersesat dalam mencari dan mengenali Tuhan mereka yang sebenar iaitu Allah Tuhan Yang Mencipta (Al-Khaliq) dan Tuhan yang dapat melindungi dirinya dari segala kebimbangan dan kemudaratan hidupnya dunia dan akhirat.

Allah swt. yang Maha Mengetahui dan yang mempunyai segala sifat kesempurnaan; Dialah yang selayaknya dan Dialah juga yang berhak memberi tahu kepada hambanya dari mana ia berasal dan ke mana ia selepas ini dan apakah tujuan dan tugas ia dicipta dan diletakannya di atas muka bumi ini.

Allah yang Maha Pengasih (ar-Rahman dan ar-Rahim) tidak membiarkan manusia teraba-raba dan terumbang ambing tanpa ada panduan untuk mereka menjalani hidupnya, kerana akal yang dibekalkan kepada mereka tidak akan mampu untuk meneroka ke alam ghaib yang mana itu semuanya hak kepunyaan Allah yang menjadi rahsia-Nya.

Untuk itu Allah yang Maha Mengetahui itu (al-'Aliim) mengutuskan Rasul-Rasul kepada setiap kaum, tempat dan di setiap zaman untuk menjadi perantaraan-Nya bagi membimbing dan menunjuk ajar mereka jalan yang benar dan hak supaya umat manusia seluruhnya dapat kembali kepada Allah swt. dan dengan itu mereka akan selamat sejahtera dan mendapat keampunan dan kemenangan serta mendapat keredaan di sisi Allah swt.

Kembali kepada persoalan siapa manusia itu ? Mereka ialah sejenis makhluk ciptaan Allah sebagaimana juga jin, malaikat dan juga haiwan lainnya, tetapi apa yang membezakannya ialah unsur-unsur kejadian, tugas-tugas dan sifat-sifat asasi dan semula jadi (tabi'ei) mereka, ini kerana setiap makhluk yang ada ini diciptanya mengikut kehendak Allah (iradah-Nya) dan kekuasaan-Nya (qudrah-Nya) di mana hanya Dialah yang mengetahui hikmat-hikmat (rahsia) setiap ciptaan-Nya. Apa yang menjadi kewajipan kepada makhluk semua hanyalah beriman, patuh, reda terhadap perintah dan kehendak-Nya.

Manusia dicipta dari unsur-unsur tanah/bumi dan kemudian Allah yang Maha Perkasa dan Maha Pencipta, mencipta manusia dari unsur tanah yang sifatnya kebendaan; mencampurkannya dengan roh yang unsur dan sifatnya kerohanian, dan dengan terciptanya jenis makhluk manusia yang mempunyai dua unsur yang berlainan dan bertentangan antara satu dengan lain; kedua unsur ini sentiasa mempengaruhi diri manusia itu dan menarik kepada unsur kejadian asalnya, unsur kebendaan menarik manusia sehingga diri manusia itu tertarik dan kadangkala terlupa kepada unsur yang satu lagi dan begitu pula sebaliknya.

Oleh yang demikian kita dapat melihat jenis makhluk manusia ini mempunyai berbagai ragam dan berbagai tabiat serta berbagai kelakuan, dan keadaannya serta minat dan kecenderungannya berbeza-beza dan bertukar mengikut pengaruh dan suasana serta persekitaran mereka. Ada yang cenderung kepada kebendaan ada yang cenderung kepada kerohanian dan sebagainya.

Tetapi apa yang penting dalam perkara ini ialah semua kejadian yang telah disebutkan tadi ada disebaliknya hikmat dan rahsia yang Allah swt.sahaja yang mengetahuinya kerana bagi-Nyalah segala rahsia dan kunci ilmu dan segala-galanya. Dan bagi kita wajib beriman dengan segala takdir yang telah ditentukan kepada kita semua serta reda dengannya kerana setiap apa yang telah ditentukan kepada kita itulah yang terbaik bagi kita. Dan apa yang ada pada kita sebagai makhluknya ialah memohon, berikhtiar dan berusaha mencari sesuatu yang baik sebagaimana suruhan Allah yang terkandung di dalam kitab-Nya.

Pada keseluruhannya semua perkara dan apa-apa juga yang berlaku kepada setiap makhluk Allah yang wujud di alam ini adalah sebagai ujian dari Allah swt. kepada manusia dengan tujuan untuk mengetahui sejauh mana seseorang manusia itu beriman dan kufurnya, sejauh mana ketaatan dan keingkarannya.

Pada peringkat awal permulaan kejadian manusia itu lagi; ketika mana manusia itu masih di alam Zuriat; Allah swt. telah menguji dan menanyakan kepada semua zuriat manusia ini, siapa Tuhan mereka ? Maka jawab mereka semua mengaku akan Tuhan mereka dengan syahadah atau pengakuan, Tuhannya ialah ALLAH swt. Firman Allah swt. maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengambil (mengeluarkan) zuriat keturunan dari anak-anak Adam dari (tulang sulbi) mereka, dan Allah mengambil kesaksian di atas diri mereka. Tidakkah Aku ini Tuhan kamu ? Mereka menjawab: Bahkan (Benar), kami menjadi saksi (atas kebenaran ini) agar nanti di hari Kiamat kamu tidak mengatakan; "Sesungguhnya kami orang yang melupakan (hakikat kebenaran) ini. Atau agar kamu tidak mengatakan, sesungguhnya orang-orang tua kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu, sedang kami ini anak-anak keturunannya (datang) sesudah mereka. apakah Engkau akan membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang telah sesat dahulu". (al-A'raaf: 172-173)

Setelah manusia mengakui Allah swt. Tuhan yang menciptanya dan berjanji di alam zuriat dahulu dengan pengakuan Syahadah sebagaimana yang termaktub di dalam ayat di atas, untuk membuktikan pengakuannya itu benar ataupun dusta; Allah swt, pasti akan mengujinya untuk membuktikan kebenaran dan keikhlasan pengakuan mereka dahulu.

Firman Allah swt. maksudnya: "Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan sahaja berkata: Kami telah beriman, tanpa mereka mendapat cubaan. Sesungguhnya Kami telah cuba orang-orang yang sebelum mereka supaya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan mengetahui orang-orang yang dusta". Allah akan memberi pembalasan dengan yang setimpal terhadap semuanya itu berdasarkan kerja dan amalan mereka". (al-Ankabut: 2-3)

Dan firman Allah swt. maksudnya: "Dia jadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". (al-Mulk: 2)

Apabila kita faham benar-benar ayat di atas, dapatlah kita mengetahui tabiat dan naluri semula jadi manusia (fitrah) ini memang cenderung, suka dan ingin kepada kebenaran dan mengakui dalam hatinya serta mengiktiraf kekuasaan dan keagungan Tuhan Pencipta (Al-Khaliq) dan menolak serta benci kepada keingkaran, kemungkaran, sesuatu yang keji, buruk, kebatilan dan penindasan, dengan kata lain; jenis makhluk manusia ini semula jadinya inginkan segala kebaikan dan keindahan benci kepada kekejian dan keburukan.

Oleh yang demikian amat sesuailah jiwa manusia yang bersih yang sememangnya difitrahkan suka dan gemar kepada sifat keindahan dan ketinggian yang menjadi roh agama itu sendiri; maka apa yang ada pada diri manusia yang inginkan kebenaran itu akan terdorong mencari kebenaran dan kebenaran itu hanya akan terdapat pada agama, oleh yang demikian manusia itu memang semula jadinya sebagai makhluk yang beragama, persekitaranlah yang mempengaruhinya sehingga ia lupa dengan hakikat keagamaan. Di tambah pula dengan musuh-musuh utama manusia itu yang terdiri dari nafsu dan iblis, maka akan menjadi bertambah lupa dan alpalah manusia itu akan dirinya.

Tugas-Tugas Manusia Di Dunia

Menurut Islam tugas-tugas besar manusia di dunia ini ada dua perkara iaitu:

1. Manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kalimat khalifah ini bernakna pengganti yang bermaksud manusia harus berperanan melaksanakan arahan-arahan Allah swt. dalam mengurus dan mentadbir bumi Allah ini dengan hukum hakam-Nya agar kesejahteraan merata ke seluruh muka bumi ini disebabkan oleh keadilan hukum peraturan Ilahi.

Firman Allah swt. maksudnya: "Ingatlah ketika tuhanmu berfirman kepada malaikat, bahawa Aku akan jadikan khalifah di muka bumi". (al-Baqarah: 30)

2. Tugas manusia sebagai hamba, yang sifatnya sebagai hamba sentiasa patuh dan mengabdi (beribadah) kepada tuannya yang Maha Agung tanpa membantah walau sedikit sekalipun. Semua urusan dan semua tindak tanduknya adalah sentiasa dalam pengawasan tuannya iaitu Allah swt.

Firman Allah swt. maksudnya: "Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadah kepadaKu". (az-Zariaat: 56)

Difahami dari kedua-dua ayat di atas, tugas manusia di atas muka bumi ini hendaklah tidak terkeluar dari dua perkara iaitu sebagai khalifah Allah dan sebagai hamba Allah yang beribadah kepada-Nya.

Menjadi khalifah Allah bermakna melaksanakan semua tugas kehidupan dari urusan peribadi sehinggalah mengurus harta dan negara dalam makna apabila ia dilakukan dengan berlandaskan syarat yang tercantum dalam pengertian ibadah; bererti ia telah sempurna sebagai hamba Allah yang menjalankan tugas sebagai khalifah dan sekali gus ia telah melaksanakan tugas ibadah kepada Tuhannya.

Dan orang yang telah menyempurnakan tugas sebagai khalifah Allah swt. dengan sempurna mengikut apa yang diarahkan oleh Tuhannya mereka juga telah sempurna melaksanakan ibadahnya dan orang yang seperti inilah yang layak untuk masuk dan menjadi hamba Allah yang sebenar dan merekalah yang telah berjaya menjalankan tugas dan ujiannya; sebagaimana Nabi Muhammad saw. sebagai contoh manusia yang telah menjalankan kedua-dua tugas dengan sempurna di dunia ini maka Allah swt. gelarkan diri baginda saw. sebagai hamba-Nya yang sebenar-benarnya dan layak menerima gelaran sebagai hamba Allah.

Firman-Nya yang bermaksud: "Maha suci (Allah) yang telah mempernjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjidil-Haram ke al-Masjidil-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (al-Israa': 1)
 
 


----oOo----

Beserah, Kuantan, Pahang, Malaysia
 

Sunday, 16 October, 2005