INSTITUSI KEKELUARGAAN ISLAM



 
 
(BAHAGIAN KE TIGA)


 

BAB KE SEBELAS

 

EDDAH
 

Takrif Eddah

Eddah ertinya satu masa dan di dalam masa itu perempuan-perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya, sama ada dicerai hidup atau mati, ia wajib menunggu untuk mengetahui sama ada ia mengandung atau sebalikinya, atau untuk menunaikan perintah Allah swt.

Jenis-Jenis Eddah

1. Eddah Talaq

Eddah talaq ini ialah eddah disebabkan perceraian, dalam keadaan ini eddah ada empat jenis.

1.1. Perempuan yang sudah disetubuhi dan ia belum putus dari haid, eddahnya ialah tiga quru' iaitu tiga kali suci dari haid.

Firman Allah swt. maksudnya: "Wanita-wanita yang ditalaq hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru'. Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, Jika mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat." (Al-Baqarah: 228)

1.2. Perempuan-perempuan yang disetubuhi (dicampuri), dan dia telah putus haid kerana telah tua.

1.3. Perempuan-perempuan yang dicampuri, sedang ia belum pernah haidh, kerana belum baligh (kecil) maka eddah mereka tiga bulan.

Firman Allah swt. yang bermaksud: "Dan perempuan-perempuan yang telah putus haid dari perempuan-perempuan kamu, jika kamu ragu-ragu (tentang masa eddahnya) maka eddah mereka ialah tiga bulan, dan begitu juga perempuan-perempuan yang belum pernah haid". (At-Talaq: 4)

1.4. Perempuan-perempuan yang bernikah belum disetubuhi lagi tidak ada eddah bagi mereka. Firman Allah swt. maksudnya: "Apabila kamu menikahi wanita-wanitamukmin kemudian kamuceraikan mereka, sebelum kamu menyentuh (menyetubuhi) mereka,maka tidaklah wajib bagi kamu menunggu eddah mereka yang akan kamu hitung". (Al-Azhab: 49)

2. Eddah Hamil

Apabila perempuan-perempuan yang diceraikan itu sedang hamil, eddah mereka adalah sampai melahirkan anak. Firman Allah swt. yang bermaksud : "Dan perempuan-perempuan hamil itu, eddah mereka sampai mereka melahirkan kandungan mereka. Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya". (At-Talaq: 4)

Sama ada penceraian itu penceraian hidup, atau pun penceraian mati. Sabda Rasullullah saw. yang bermaksud: "Dari Masuri Mukhzamah ra. bahawa Subai'ah Al Aslamiah, pernah melahirkan anak sesudah suaminya meninggal dunia dalam beberapa malam berselang. Lantas ia datang kepada Nabi saw. minta izin untuk berkahwin, lalu diizinkan oleh Rasulullah saw. maka ia pun kahwinlah". (H.Riwayat Bukhari)

3. Eddah wafat

Eddah perempuan yang kematian suami. Eddahnya ialah empat bulan sepuluh hari. Firman Allah swt. yang bermaksud: "Dan orang-orang yang diwafatkan di antaramu,dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) bereddah selama empat bulan sepuluh hari". (Al-Baqarah: 234)

Ayat di atas adalah hukum bagi isteri-isteri yang tidak hamil, sekiranya mereka hamil, maka eddahnya akan habis apabila mereka melahirkan anak dalam kandungannya.

4. Eddah kehilangan suami

Apabila kehilangan suami tidak dapat dikesan dan tidak diketahui di mana sama ada hidup atau mati, maka wajiblah ia menunggu selama empat tahun lamanya. Sesudah itu hendaklah ia bereddah pula selama empat bulan sepuluh hari. Dari Umar ra. berkata: "Mana-mana perempuan yang kehilangan suaminya dan ia tidak mengetahui di mana dia,sesungguhnya perempuan itu wajib menunggu empat tahun, kemudian hendaklah ia bereddah empat bulan sepuluh hari, barulah ia boleh kahwin". (Riwayat: Malik)

Sehubungan dengan ini kitab Subulussalam mengisahkan peristiwa seorang isteri yang kehilangan suami. Dalam kisah ini dinyatakan, suaminya hilang disembunyikan jin selama empat tahun. Setalah si isteri mengetahui suaminya itu hilang, ia pergi mengadap Umar bin al-Khattab. Sejak mengadukan halnya itu, Umar menyuruh dia menunggu selama empat tahun.

Setelah berlalu masanya menunggu, Umar memanggil wali si suami dan di suruhnya menceraikan isteri itu, sebagai ganti (wakil) dari suaminya. Kepada perempuan itu Umar memerintahkan agar bereddah empat bulan sepuluh hari lamanya.

Berdasarkan kisah ini dapat diambil kesimpulan, bahawa menurut fatwa Umar bin al-Khattab, perempuan-perempuan yang kehilangan suami wajib menunggu selama empat tahun dan bereddah selama empat bulan sepuluh hari, bermula dari ia mengadukan perkara tesebut kepada hakim.

Tetapi menurut pendapat Imam Yahya, persoalan menunggu ini sebenarnya tidak ada alasan. Kecuali jika suami yang hilang itu ada meningglkan apa-apa yang menjadi kewajipannya untuk isteri. Hal ini bererti bahawa suami itu di anggap seperti masih wujud di samping isterinya.

Firman Allah yang bermaksud: "Janganlah kamu rujuki mereka untuk memberi kemudharatan, kerana dengan demikian menganiaya mereka". (Al-Baqarah: 231)

Hadis ada menyatakan: "Tidak ada kemudharataan dan tidak boleh membuat kemudharatan".(H.R. Ibn Majah dan ad-Darul-Qutni)

Sebab hakim dilantik untuk menolak kemudaratan seperti dalam perkara dzihar dan lain-lain. Dengan sendirinya dalam hal seperti ini tentu hakim dapat membatalkan (memfasakhkan) sebab inilah yang lebih utama untuk menghilangkan kemudaratan. Fasakh disyariatkan untuk menyelesaikan perkara-perkara seperti 'aib dan sebagainya.

Kalau suami itu hilang dalam pertempuran dan belum diketahui, apakah ia masih hidup atau pun sudah tewas, wajiblah atas isteri menunggu setahun. Dari Sa'id bin Musaiyab ra. berkata ia: "Apabila seseorang hilang dalam barisan pertempuran hendaklah isterinya menunggu setahun lamanya". (Riwayat Bukahri)

Kalau suami itu hilang dalam tawanan dan tidak diketahui tempatnya, dihukumlah ia sebagai suami yang hilang tidak tentu tempatnya. Berkata Zuhri: "Dalam perkara tawanan yang diketahui tempatnya, isterinya itu tidak boleh kahwin, dan hartanya itu belum boleh dibahagi-bahagi, bila telah putus khabar beritanya, maka peraturannya ialah peraturan suami yang hilang". (Riwayat Bukhari)

Kahwin Sebelum Eddah Selesai

Sebelum eddah selesai, haram hukumnya bagi perempuan kahwin. Firman Allah swt. yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berazam (bercita-cita) untuk beraqad nikah, sebelum habis eddahnya. Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui segala yang ada dalam hatimu; maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun". (Al-Baqarah: 235)

Hukum Berkabung (AL-Ahdad)

Al-Ahdad ertinya membatasi diri, yang dimaksudkan disini ialah larangan memakai pakaian yang indah dan wangi-wangian kepada perempuan-perempuan yang sedang di dalam eddah. Hukumnya adalah wajib bagi perempuan yang kematian suami, dari hari kematian hingga habisnya eddah.

Dari Ummu 'Atiyah ra. berkata: "Adalah kami dilarang memakai perhiasan di waktu kematian lebih dari tiga hari, melainkan di waktu kematian suami iaitu empat bulan sepuluh hari, serta kami tak boleh bercelak, berwangian dan memakai kain yang dicelup". (Bukhari dan Muslim)

Hikmat Disyariatkan Ahdad

Kewajipan berkabung atau berahdad kepada perempuan ialah untuk menyatakan rasa sedih kerana kehilangan suami yang menjadi tempat bernaung serta suami juga tempat ia mendapatkan sara hidup dan sebagainya. Oleh itu wajiblah kepada isteri menyatakan rasa sedihnya itu di atas kehilangan suaminya.
 
 


----oOo----


 







BAB KE DUA BELAS


RUJUK

Takrif Rujuk

Rujuk ertinya ialah kembali, menurut istilah syarak pula ialah seorang suami kembali kepada isterinya dengan ikatan perkahwinan, dalam masa eddah sesudah ditalaq yang bukan talaq bain.

Firman Allah swt. maksudnya: "Dan suami-suaminyalebih berhak merujukinya dalam waktu bereddah itu, jika mereka (para suami) menghendaki Ishlah (berdamai kembali)". (Al-Baqarah: 228)

Bila seseorang telah menceraikan isterinya maka dibolehkan, malah digalakkan supaya ia rujuk kembali dengan syarat mereka betul-betul untuk berbaik-baik semula (ishlah). Dengan erti bahawa mereka benar-benar sama-sama saling mengerti dan penuh rasa tanggungjawab antara satu dengan lainnya.

Tetapi jika si suami mempergunakan kesempatan rujuk itu bukan untuk berbuat ishlah, malah sebaliknya untuk menganiaya dengan tidak memberi nafkah, atau semata-mata untuk menahan isteri agar jangan berkahwin dengan orang lain dan sebagainya, maka tidaklah berhak ia merujuki isterinya itu, malah haram hukumnya. Inilah yang dimaksudkan oleh ayat di atas.

Disamping itu dapat pula difahami bahawa ayat itu terutama sekali ditujukan kepada suami, bukan kepada isteri. Jadi rujuk ini adalah merupakan hak suami. Bila ia benar bermaksud baik, boleh ia mempergunakan haknya itu dan sah hukumnya. Suka atau tak suka isteri tidak menjadi halangan untuk sahnya rujuk. Apa yang wajib bagi isteri ialah taat dan patuh terhadap suami. Bila ia tidak dapat berlaku demikian, bolehlah suami mengambil tindakan menurut peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh agama. Dan harus diingat bahawa rujuk ini boleh dilakukan dalam talaq raj'ei sahaja tidak boleh talaq jenis lain.

Dari Ibnu Umar ra. waktu itu ditanya oleh seseorang berkata ia: "Adapun engkau yang telah menceraikan (isteri) baru sekali atau dua kali, maka sesungguhnya Rasullullah saw. telah menyuruh merujuk kembali". (Riwayat Muslim)

Oleh kerana besarnya hikmat yang terkandung di dalam ikatan perkahwinan, maka apabila berlaku perceraian Allah swt. menyuruh mereka (suami) supaya rujuk kembali.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila kamu menceraikan isteri-isterimu, sebelum selesai eddahnya, maka rujukilah mereka dengan cara makruf (yang sebaik-baiknya) atau ceraikanlah mereka dengan cara makruf. Janganlah kamu rujuki mereka untuk memberi kemudharatan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka". (Al-Baqarah: 231)

Rukun Rujuk

1. Suami atau wakilnya

2. Isteri itu pernah disetubuhi

3. Melafazkan kata rujuk iaitu: "Aku rujuki engkau pada hari ini", atau "Telahku rujuki isteriku yang

bernama ........ pada hari ini".

4. Rujuk itu dilakukan dalam talaq raj'ei

Sebagai keterangan di atas, bahawa tidak disyaratkan kerelaan perempuan, kerana rujuk itu adalah hak si suami, sama keadaannya dengan talaq adalah hak suami juga.

Berkata pengarang Subulussalam: "Sesungguhnya telah ijmak ulamak, bahawa suami mempunyai hak rujuk terhadap isterinya selama dalam talaq raj'ie dan selama masa eddah, dengan tidak memandang suka atau tidak sukanya si isteri. Begitu juga tidak di pandang rela atau tidak rela walinya. Tetapi harus pula diingat bahawa talaq yang telah dijatuhkan oleh suami itu ialah talaq sesudah si isteri dicampuri disetubuhi). Hukum sahnya rujuk seperti ini adalah disepakati oleh seluruh ulamak".

Bila talaq tidak boleh dimain-mainkan tentu rujuk tidak boleh juga di main-mainkan, sebagaimana penjelasan yang lalu dalam perkara talaq.

Sunat Mengadakan Saksi

Untuk menghindarkan supaya jangan terjadi pertengkaran, disunatkan mengandakan saksi sekurang-kurangnya dua orang laki-laki yang adil atau laki-laki yang amanah.

Firman Allah swt. yang bermaksud: "Maka apabila mereka telah mendekati eddahnya, rujukilah mereka dengan baik, atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu, dan adakan saksi itu kerana Allah semata-mata". (At-Talaq: 2)

Telah ijmak ulamak-ulamak, bahawa suami memiliki rujuk terhadap isterinya dalam talaq raj'ie selama masih dalam eddah sama ada rela atau tidak rela isteri atau walinya.

Bila si suami telah merujuki isterinya secara sembunyi, wajib ke atas suami memberitahunya, supaya isterinnya itu jangan dikahwini oleh orang lain.

Bila terjadi pertengkaran tentang habis atau belumnya masa eddah bagi perempuan, maka yang dibenarkan ialah pengakuan perempuan itu sendiri.

Sabda Rasullullah saw. yang bermaksud: Dari Ibnu Mas'ud ra. berkata ia: "Bersabad Rasullulah saw.: "Talaq itu adalah hak laki-laki, dan eddah itu di pihak perempuan". (Riwayat Darul Qutni & Baihaqi)

Jelasnya, sebab perempuan yang dibenarkan dalam soaleddah ini, kerana dialah yang lebih mengetahui. Sebaliknya, laki-laki yang dibenarkan dalam soal talaq, kerana talaq adalah haknya.

Perempuan Yang Dicerai Tiga Talaq

Apabila perempuan (isteri) itu telah tiga kali diceraikan, dia tidak boleh (tidak halal) lagi dirujuk oleh bekas suaminya. Tetapi boleh dikahwini kembali dengan syarat-syarat tertentu:

1. Isterinya itu hendaklah berkahwin terlebih dahulu dengan orang lain.

2. Hendaklah ditunggu penceraiannya terlebih dahulu.

3. Dan telah berlalu eddahnya sesudah diceraikan oleh suaminya yang kedua itu.

Firman Allah swt. yang bermaksud: "Kemudian jika si suami mentalaqkannya (sesudah talaq yang kedua), maka perempuan itu tidaklah halal lagi baginya hingga dia kahwin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan isteri) untuk kahwin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkan-Nya kepada kaum yang (mahu) mengetahui". (Al-Baqarah: 230)

4. Suami yang kedua itu telah bersetubuh dengan dia. Tidaklah sah kahwin dengan suami yang pertama, bila isteri belum bersetubuh dengan suami yang kedua itu.

Dari 'Aisyah ra. berkata ia: "Sesungguhnya Rifa'ah Al Qurazi, pernah datang kepada Nabi saw. lalu berkata: "Ya Rasullullah, sesungguhnya Rifa'ah telah menceraikan aku. Maka talaq itu telah terputus untuk kembali kepadanya (talaq tiga) dan sesungguhnya aku telah bernikah dengan Abdul Rahman bin Zubair Al Qurazi sesudah itu, dan percampuran aku dengan dia seumpama pergeseran hujung kain. Berkata Rasullulah saw.: "Barangkali eungkau hendak kembali kepada Rifa'ah,jangan, sebelum dirasakanya lazat madu engkau, dan engkau rasakan pula madunya terlebih dahulu". (Riwayat Bukhari Muslim)

Maksudnya, belum boleh perempuan itu kahwin dengan bekas suaminya yang pertama, sebelum ia merasakan lazat nikmat (persetubuhan) dengan suaminya yang kedua itu.

Hikmat Allah menghukum seperti itu ialah supaya kaum laki-laki jangan dengan sewenang-wenang dan dengan mudah saja menjatuhkan talaq sampai tiga kali. Sebab yang demikian adalah memalukan dan merendahkan harga diri kedua belah pihak. Tidak salah kalau dikatakan,bahawa hal ini seolah-olah meminjamkan isteri kepada orang lain, walaupun dengan jalan nikah juga. Apakah perasaan seseorang, bila terjadi yang seperti itu atas dirinya.

Nikah Mukhalil

Bila perkahwinan dengan suami yang kedua, hanya sekadar untuk menghalalkan bagi suami yang pertama, perkahwinan yang seperti itu dinamakan nikah mukhallil atau kahwin cina buta.

Biasanya perkahwinan seperti ini hanya dilakukan untuk semalam atau dua malam sahaja. Hukum perkahwinan ini adalah batal. Sebab tujuan perkahwinan itu ialah untuk mencari keturunan, dan suami isteri itu dapat pusaka-mempusakai, bila salah seorang dari keduanya meninggal dunia.

Kahwin cina buta ini merupakan suatu perkahwinan yang mempunyai niat dan tujuan lain dari tujuan perkahwinan yang sebenar. Tujuan perkahwinan ini hanyalah untuk membolehkan suami pertama berkahwin semula dengan bekas isterinya yang telah dicerai dengan talaq tiga.

Dari Uqbah bin Amir ra. berkata ia: "Mahukah kamu aku ceritakan tentang kehormatan yang dipinjamkan ? Mereka menjawab: Mahu ! dan itulah si mukhalil. Allah telah mengutuk si mukhalil dan si mukhalal". (H.R.Ibn Majah dan Al-Hakim)

Mukhalil ialah suami yang kedua yang meminjamkan kehornmatannya kepada perempuan yang dikahwininya semalam atau dua dan kemudian diceraikan. Perbuatan ini dilakukan untuk menghalalkan perempuan itu kahwin semula dengan suami pertama. Dan ini bukanlah bertujuan untuk berumahtangga dalam ertikata yang sebenar. Dengan yang demikian bermakna ia telah menjual kehormatannya dan kerana itulah perbuatan seperti ini dikutuk dan dilaknat oleh Allah swt. Sabda Nabi saw. "Allah telah melaknat kepada mukhalil dan mukhalal". (H.R.Ahmad)

Mukhallal pula ialah suami yang pertama yang telah meminjamkan kehormatan isterinya kepada orang lain supaya halal dinikahi semula. Ia juga dikutuk kerana menghilangkan rasa kemanusian dan menghina dirinya sendiri. Mukhalil ialah lelaki yang menjadi pak sanggup semata-mata untuk membolehkan bekas suaminya dahulu dapat berkahwin semula setelah berjanji menceraikannya setelah berkahwin beberapa ketika.

Perhatian: Perkahwinan cara ini dianggap sah oleh Syafi'ie dan Hanafi walaupun syarat itu disebut sebelum akad nikah dilakukan tetapi makruh hukumnya dan menjadi halallah perempuan tadi untuk bernikah dengan suaminya dahulu.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

BAB KE TIGA BELAS


KHULUK

Takrif Khuluk

Khuluk ertinya tanggal. Menurut istilah syarak, ertinya penceraian yang diminta oleh isteri kepada suaminya dengan memberikan wang tebusan atau lain-lain harta. Khuluk dinamakan juga talaq yang dibeli oleh isteri dari suami, kerana ada beberapa hal yang tidak menyenangkan isteri terhadap suaminya. Khuluk juga di sebut dengan Tebus Talaq.

Firman Allah swt. yang bermaksud: "Tidaklah halal bagimu mengambil kembali sesuatu dari (barang) yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri), kecuali kalau keduanya khuatir tidak akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Jika kamu khuatir bahawa keduanya (suami isteri) tidak dapat menjalankan hukum-hukum Allah, maka tidak ada dosa atas keduanya tentang bayaran yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum-hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka itulah orang-orang yang zalim". (Al-Baqarah: 229)

Maksud ayat, bahawa si suami tidak dihalalkan mengambil barang-barang yang telah diberikan kepada isterinya, sama ada yang berupa maskahwin ataupun barang-barang yang lain. Kecuali kalau keduanya sama-sama khuatir, keranakeadaan mereka mungkin tidak dapat melaksanakan hukum-hukum dan peraturan Allah. Isteri bimbang atau khuatir ia melakukan kedurhakaan disebabkan perbuatan suami, umpamanya suami tidak mahu disuruh mengerjakan sembahyang atau berhenti dari berjudi, minum arak dan sebagainya, atau suami suka menampar atau menyakiti secara fizikal hanya kerana sesuatu perkara yang kecil.

Dan begitu juga suami merasa bimbang dan khuatair kalau isterinya tidak bersedia menerima perintah suaminya dan takut tidak sabar dan melakukan kezaliman seperti memukul menampar dan sebagainya. Maka ketika itu diharuskan menebus talaq di mana si isteri membeli talaq dari suami dan kedua-duanya tidak berdosa dengan melakukan khuluk ini.

Dari Ibnu Abbas ra. bahawasanya perempuan Thabit bin Qais, pernah datang kepada Nabi saw. lalu ia berkata: Wahai Rasulullah aku tidak benci kepadanya kerana kelakuannya,dan tidak pula dalam soal agama, akan tetapi aku benci kekufuran di dalam Islam. Maka bertanya Rasulullah saw. bertanya: "Mahukah kamu taman bunganya (mas kahwin) kepadanya". Ia menjawab "Mahu ! "Berkata Rasulullah saw. "Terimalah (Hai Thabit ) taman bunga itu, dan ceraikanlah dia sekali". (Bukhari dan Muslim)

Rukun Khuluk

1. Suami

2. Isteri

3. Bayaran

4. Sighah (ijab qabul)

Hikmat Khuluk

Khuluk merupakan suatu penyelesaian yang sangat baik dalam mana seorang isteri yang menhadapi tekanan jiwa disebabkan oleh pembawaan dan tabiat suaminya yang tidak serasi dengan isteri atau isteri tidak suka kepada cara pergaulan suami yang kasar dan tidak bertimbang rasa, atau suami yang tidak bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri.

Islam agama yang mulia bagi menyelesaikan perkara ini diberi kebenaran kepada isteri untuk mengemukakan hasratnya supaya ia dapat berpisah dengan suaminya dengan jalan khuluk yang di atur oleh syariat Islam. Isteri boleh mengemukakan khuluknya ini melalui mahkamah kadhi, ibu bapanya sendiri, orang lain termasuk peguam syar'ie, atau ia mengemukakannya terus kepada suaminya.

Khuluk ini boleh dilakukan sekiranya ada sesuatu sebab sebagaimana disebut di atas dan haram jika tidak ada sesuatu sebab syar'ie.

Sabda Rasulullah saw. dari Thaubaan ra. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Mana-mana perempuan yang meminta cerai dari suaminya, (dengan) tidak ada apa-apa sebab, maka haram baginya bau syurga" (H.R.Abu Daud)

Sighah

Sahnya khuluk ini dengan syarat melakukan akad atau sighah (ijab qabul) dengan lafaz khuluk seperti katanya: "Aku khuluk engkau dengan RM1,000.00 "Kata suami. Atau "Aku ceraikan engkau dengan tebusan RM1,000.00". Lalu dijawab oleh isteri: "Aku terima perceraian ini dengan wang tersebut".

Seboleh-bolehnya khuluk ini dilakukan di hadapan kadhi atau saksi-saksi. Apabila suami menyebut kadar banyak wang penebus itu, wajiblah bagi isteri membayar dengan jumlah wang yang disebutkannya itu, sebelum suami menerima wang tersebut ia boleh membatalkan perkataannya itu.

Kalau sekiranya suami tidak menyebut kadar wang penebus, maka isteri hanya wajib membayar wang sebanyak mas kahwin yang ia terima dalam waktu aqad dahulu.

Dari Ibnu Abbas ra. bahawa isteri Thabit bin Qais telah mengkhuluknya, lalu Nabi saw. menjadikan eddahnya sekali haid. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Peringatan: Percerairan dengan jalan khuluk tidak boleh dirujuk semula, tetapi harus (boleh) dengan aqad perkahwinan yang baharu.

Menurut Khitabi khuluk itu adalah fasakh, bukan talaq, dengan alasan sebagai berikut:

1. Jika ia talaq, tentu berkehendakan syarat talaq, iaitu perceraian itu datangnya dari pihak suami dan

terjadinya di dalam waktu suci sebelum disetubuhi, sedangkan khuluk boleh dijatuhkan bila-bila

masa sahaja.

2. Eddahnya hanya satu kali haid, sedang eddah talaq tiga kali.

3. Bila khuluk ini disebut juga tentu ada talaq empat kali.

Pendapat ini sesuai dengan mazhab Shafi'ie yang mengatakan bahawa khuluk ini dalah fasakh, bukan talaq. Tetapi Jumhur Ulamak berpendapat bahawa eddah khuluk tetap tiga kali suci, sebab khuluk itu adalah bahagian talaq juga. Hanya bezanya, talaq biasa tidak ditebus, sedangkan talaq dengan cara khuluk ditebus dengan barang atau wang. Bila masuk bahagian talaq (talaq ba'in), maka ia mengurangkan bilangan talaq. Ertinya talaq dengan khuluk ini tidaklah termasuk seperti talaq biasa
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

BAB KE EMPAT BELAS


FASAKH

Takrif Fasakh

Membatalkan perkahwinan melalui kuasa kadhi, sekiranya didapati sesuatu sebab atau kecacatan sama ada pada isteri atau suami. Firman Allah swt. yang bermaksud: "Janganlah kamu rujuki mereka (isteri) untuk memberi kemudharatan, kerana dengan demikian kamu menganiaya mereka.Barangsiapa berbuat berbuat demikian, maka sungguh ia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri". (Al-Baqarah: 231)

Pada hakikatnya fasakh lebih keras daripada khuluk dan tidak ubah seperti melakukan khuluk juga. Ertinya dilakukan oleh pihak perempuan disebabkan oleh beberapa perkara. Bezanya hanya pada khuluk diucapkan oleh suami sendiri,sedangkan fasakh diucapkan oleh kadhi setelah si isteri mengadu kepadanya, dengan memulangkan maharnya kembali.

Sebab-Sebab Yang Mengharuskan Fasakh

Fasakh boleh dilakukan apabila ada sebab-sebab syar'ie yang merugikan pihak perempuan, di antaranya:

1. Perkahwinan yang dilakukan oleh wali dengan laki-laki yang unnah (mati pucuk) hingga tidak dapat mencapai apa yang dimaksudkan dengan nikah.

2. Perkahwinan yang dilakukan oleh wali dengan lelaki yang menderita penyakit berjangkit seperti AIDS, sipilis dan sebagainya.

3. Perkahwinan yang dilakukan oleh wali dengan lelaki yang bukan sekupu, umpama hamba atau perzina.

4. Si suami menghilangkan diri, tidak mahu membayar nafkah tidak pula dikirimnya sedang isterinya itu tidak rela.

Fasakh disebabkan soal nafkah ini disyaratkan pula:

4.1. Si suami miskin, setelah jelas kemiskinannya oleh beberapa orang saksi yang dapat dipercayai, sehingga ia tidak sanggup lagi memberi nafkah. Sama ada pakaian yang sederhana, tempat ataupun kerana mas kahwinnya belum dibayarkan sebelum dicampuri (disetubuhi).

4.2. Suami enggan atau tidak mahu memberi nafkah, bukan kerana miskinnya tetapi kerana keingkarannya semata-mata, sedangkan mahkamah akau hakim telah memaksa dan mengarahkan supaya membayar nafkan kepada isteri.

Dari Umar ra. bahawa ia pernah mengirim surat kepada pembesar-pembesar tentera, tentang lelaki yang jauh dari isteri-isteri mereka, supaya pemimpin-pemimpin itu menangkap mereka, agar mereka mengirim nafkah atau menceraikan isterinya. Maka apabila mereka telah menceraikannya, hendaklah mereka mengirimkan semua nafkah yang mereka tahan (tidak mengirimkannya). (Riwayat Syafi'ie dan Baihaqi)

Mengikut keterangan di atas, apabila berlaku sesuatu yang memungkin bolehnya fasakh sewajarnya dibawa perkara ini kepada pihak yang berkuasa seperti qadhi dan sebagainya supaya ia dapat menyelesaikan perkara yang sepatutnya, sebagaimana mengikut peristiwa di atas.

4.3. Setelah hakim memberi janji kepada isteri (yang mengadu) sekurang-kurangnya tiga hari mulai dari hari isteri itu mengadu.

Apabila tempoh yang ditetapkan itu habis tetapi suami tidak juga dapat menyelesaikan, maka bolehlah hakim memfasakhkan nikahnya itu atau dia sendiri (isteri) yang memfasakhkannya di hadapan hakim setelah di izinkan oleh hakim.

Dari Abu Hurairah ra. berkata: "Bersabda Rasulullah saw. tentang lelaki yang tidak memperolehi apa yang akan dinafkahkan kepada isterinya. Bolehlah keduanya bercerai". (H.R.Darul-Qutni dan Baihaqi)

Berkata Imam Syafie: "Wajib ditunggu sehingga tiga hari"

Berkata Imam Malik : "Wajib ditunggu selama satu bulan"

Ini bermakna dalam tempoh itu suami boleh mengambil keputusan atau memberi nakfah apabila isteri tidak rela. Kalau isteri suka dan rela menunggu dengan ada sara hidup (nafkah) dari suami maka tidaklah perlu difasakhkan. Sebab nafkah itu adalah haknya dan ia ingin meneruskan perkahwinannya itu.

Lafaz fasakh adalah seperti berikut: "Aku fasakhkan nikah engkau dari suami engkau yang bernama ………....... bin ......….... pada hari ini". Atau, kalau isteri itu sendiri yang memfasakhkan di hadapan mahkamah/hakim ia berkata: "Aku fasakhkan nikahku dari suamiku yang bernama .….......... bin .…......... pada hari ini.

Setelah fasakh itu dilakukan maka tercerailah isteri itu dengan talaq ba'in. Sekiranya suami ingin kembali menjadi suami isteri hendaklah ia melalui pernikahan yang baru setelah selesai eddahnya dan eddah bagi fasakh ini sama dengan eddah perceraian biasa.

Peringatan: Perceraian atau talaq ba’in itu ialah:

    1. Perceraian talaq tiga
    1. Perceraian dengan khuluk
    1. Fasakh yang disebabkan oleh ‘aib syar’ie
    1. Talaq yang dijatuhkan kepada isteri yang belum disetubuhi.


 
 
 

BAB KE LIMA BELAS


ILAK
 
 

Takrif Ilak

Ilak, ertinya bersumpah. Menurut istilah syarak ialah sumpah seorang suami yang ia tidak mahu melakukan persetubuhan dengan isterinya dalam tempoh empat bulan. Atau ia bersumpah tidak mahu bersetubuh dengan tidak menyatakan tempohnya. Pada zaman jahiliah, ilak itu dilakukan sampai satu atau dua tahun. Kemudian dibolehkan oleh Allah paling lama empat bulan sahaja.

Firman Allah swt. yang bermaksud: "Kepada orang-orang yang mengilak isterinya diberi tangguh empat bulan (lamanya). Kemudian jika mereka kembali (kepada isterinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (Al-Baqarah: 226)

Hukum Ilak

Ilak ini harus hukumnya, kalau ia tidak membawa kerosakan (kemudaratan) kepada isteri. Bunyi lafaz ilak itu ialah kata seseorang kepada isteri: "Aku bersumpah, tidak akan bersetubuh dengan engkau hingga mati ibu engkau atau si anu".

Bila telah sampai empat bulan, sedangkan suaminya tidak mahu juga bersetubuh, maka isteri boleh mengadu dan menuntutnya kepada mahkamah kadhi untuk bercampur (suami menyetubuhi) semula dengan isterinya dan suami dikenakan kaffarah sumpah (denda) atau bercerai supaya isterinya boleh bersuami lain.

Apabila suami tidak mahu juga bercampur, atau ia selalu mengasingkan diri di tempat lain, boleh hakim menceraikannya dengan talaq satu. Bila ia berniat hendak menceraikan dengan jalan ilak itu, maka hendaklah diteruskan penceraian itu. Haram hukumnya melakukan demikian kepada isteri.

Sebahagian ulamak berpendapat: Apabila tempoh ilak itu telah sampai empat bulan, sedangkan suami tidak juga kembali menyetubuhi isterinya, maka dengan sendirinya gugurlah talaq isteri itu sebagai talaq ba'in. Tidak perlu perkara ilak ini di bawa ke mahkamah kadhi.

Dari Anas ra. berkata: "Telah mengilak Rasulullah saw. akan salah seorang isteri beliau, dan adalah kaki isterinya patah sebelah, lalu ia bermalam di suatu tempat bernama Masyrubah selama dua puluh sembilan malam, kemudian baru didekati (isterinya) itu. Mereka berkata "Bukankah anda telah mengilak isteri anda selama sebulan ? " Maka berkata Rasulullah saw. "Bulan ini lamanya dua puluh sembilan hari". (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila suami telah mengilakisterinya ini bermakna ia telah mengharamkan dirinya untuk menyetubuhi isterinya, tetapi apabila ia melanggar ilaknya dengan menyetubuhi isterinya ia dikenakan denda. Dari 'Aisyah ra. berkata: "Telah meng'ilak Rasulullah saw. akan isterinya dan ia telah mengharamkan sesuatu lalu dijadikannya yang haram itu menjadi halal, maka di sisinyalah denda sumpah itu". (Riwayat Tirmizi)

Peringantan:‚ Apabila suami mengharamkan isterinya ini bermakna bukan suatu talaq tetapi ia hanyalah suatu sumpah yang mana apabila ia kembali menyetubuhi isterinya ia dikenakan (kaffaarah) denda sahaja.

Dari Ibnu Abbas ra. berkata: "Apabila seseorang lelaki mengharamkan isterinya, maka itulah sumpah, dan akan dikenakan denda (kaffaarah), dan ia berkata: "Demi sesungguhnya telah ada bagimu pada perbuatan Rasulullah saw. contoh yang paling baik". (H.R.Bukhari dan Muslim)

Kaffaarah Ilak

1. Memberi makan dengan makanan asasi kepada sepuluh orang miskin, bagi tiap-tiap seorang satu

cupak, atau

2. Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin, atau

3. Memerdekakan seorang hamba, atau

4. Puasa tiga hari, jika tidak sanggup dan tidak mampu perkara di atas.

Firman Allah swt. maksudnya: "Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpahmu yang tidak dimaksudkan (untuk bersumpah), tetapi Dia menghukum kamu disebabkan sumpah-sumpah yang kamu sengaja, maka kaffaarah (melanggar) sumpah itu ialah memberi makan sepuluh orang miskin, iaitu dari makanan yang biasa kamu berikan kepada keluargamu, atau memberi pakaian kepada mereka atau memerdekakan seorang hamba. Barangsiapa tidak sanggup melakukan yang demikian, maka kaffarahnya puasa selama tiga hari. Yang demikian itu adalah kaffarah sumpah-sumpahmu, bila kamu telah bersumpah (dan kamu langgar). Dan jagalah sumpahmu. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu hukum-hukum-Nya agar kamu bersyukur (kepada-Nya)". (Al-Maidah: 89)

Rukun Ilak

1. Suami yang mengilak

2. Isteri yang disumpah

3. Sesuatu yang dibuat sumpah dengannya iaitu nama Allah, sifat-Nya dan sebagainya.

4. Masa

5. Lafaz ilak (sighah)

Syarat-Syarat Suami

1. Hendaklah suami yang sah

2. Hendaklah suami yang sah talaqnya, bukan gila dan kanak-kanak dan bukan yang dipaksa.

3. Bukan suami yang terpotong zakarnya (alat kelaminnya)

Syarat Yang Dibuat Sumpah

Tidak dimestikan sumpah ilak itu dengan menggunakan nama Allah swt. dan sifat- sifat-Nya sahaja bahkan boleh menta'liqkan sumpah dengan talaq, ibadah dan sebagainya. Seperti kata suami kepada isteri: "Jika saya menyetuhuhi awak maka wajib saya bersedekah".

Syarat Tempoh Masa Ilak

Tempoh masa ilak ialah lebih dari empat bulan atau tempoh yang tidak ditentukan. Jika sekiranya suami mengilak dalam tempoh empat bulan sahaja, perkataan yang demikian tidak dikatakan sebagai ilak, tetapi suatu sumpah yang biasa sahaja.

Sekiranya suami berkata tidak akan menyutubuhinya selama empat bulan kemudian apabila telah sampai tempoh empat bulan ia masih tidak menyetubuhinya lagi, maka ia dianggap sebagai telah mengilak isterinya.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

BAB KE ENAM BELAS


DZIHAR
 
 

Takrif Dzihar

Dzihar dari segi bahasa arab ialah belakang. Dzihar dari isitilah syarak ialah Suami menyerupakan isterinya dengan ibunya atau dengan seorang yang haram berkahwin dengannya. Seperti perkataan seorang suami terhadap isterinya: "Engkau padaku adalah seperti belakang ibuku". Dengan ucapannya ini maka haramlah hukumnya suami itu menyetubuhi isterinya, sehingga ia membayar kaffaarahnya (denda).

Pada zaman jahiliah dzihar itu bererti cerai yang tak boleh rujuk dan menjadi haramlah buat selama-lamanya. Perkataan seperti ini merupakan suatu perbuatan mungkar dan dusta dan bertujuan menyeksa para isteri kerana orang yang mengucapkannya telah mengharamkan,sedangkan Allah swt.telah menghalalkannya.

Kemudian syariat Islam telah mengubahnya dengan diwajibkan suami membayar kaffaarahnya (denda dzihar), setelah ia membayar denda tersebut barulah isterinya itu menjadi halal semula.

Dalil al-Quran

Firman Allah swt. maksudnya:"Orang-orang yang mendzihar isterinya di antara kamu, (menganggap isterinya sebagai ibunya,) padahal tiadalah isteri mereka itu ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka sungguh-sungguh mengucapkan suatu perkataan yang mungkar dan dusta. Dan sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun". (al-Mujadalah: 2)

Kaffaarah Dzihar

1. Wajib memerdekakan seorang hamba mukmin lelaki atau perempuan jika tidak mampu atau tidak terdaya hendaklah berpindah kepada yang kedua.

2. Wajib puasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya ia tidak terdaya maka berpindah kepada yang ketiga.

3. Memberi makan 60 orang miskin, bagi setiap orang miskin satu cupak makanan yang mengenyangkan.

Firman Allah swt. yang bermaksud: "Dan orang-orang yang mendzihar isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib) atasnya memerdekakan seorang hamba, sebelum kedua suami isteri itu bercampur (bersetubuh) kembali. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Maka barangsiapa yang tidak medapatkan (hamba), maka (wajib atasnya) berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum keduanya bercampur (bersetubuh). Maka siapa yang tidak kuasa (wajiblah atasnya) memberi makan enam puluh orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman dan rasul-Nya, dan itulah hukum-hukum Allah dan bagi orang ada kafir ada azab siksaan yang sangat pedih". (Al-Mujadalah: 3-4)

Rukun Dzihar

1. Suami yang mendzihar

2. Isteri yang didzihar

3. Lafaz dzihar

4. Orang yang diserupakan (ibu)

Syarat-Syarat Suami (yang mendzihar)

1. Suami yang sah talaqnya

2. Berakal

3. Dengan kemahuannya sendiri

Syarat-Syarat Isteri (yang kena dzihar)

Hendaklah isteri itu isteri yang sah sekalipun masih kecil, gila,sakit, kafir kitabi, ataupun sedang dalam eddah raj'iyah.

Syarat Orang yang Diserupakan

1. Hendaklah yang diserupakan itu dari golongan perempuan yang haram nikah dengannya sama ada dengan sebab keturunan atau susuan atau dengan sebab persemendaan.

2. Perempuan itu tidak halal dikahwini sebelum itu seperti isteri yang berkahwin sebelum ia dilahirkan.

Syarat-Syarat Sighah

Lafaz dzihar terbahagi kepada dua:

1. Lafaz Shoreh (nyata dan jelas) ialah lafaz yang nyata dan terang iaitu lafaz dzahru (belakang) seperti kata suami: "Awak ini padaku seperti belakang ibuku".

2. Lafaz Kinayah ialah lafaz yang mengandungi makna dzihar dan yang lainya seperti kata suami kepada isterinya: "Awak ini padaku seperti tangan ibuku". Lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat untuk menentukan maksud dari kata-katanya sama ada niat dzihar atau bermaksud memujinya.

Sekiranya ia niat dzihar maka akan berlakulah dzihar. Sekiranya ia niat untuk memuji kecantikannya maka tidaklah berlaku hukum dzihar ke atasnya.

Syarat Penyerupaan

Tiap-tiap perempuan yang menjadi muhrim kepada suami sama ada dengan sebab nasab, susuan atau persemendaan. Sekiranya suami menyerupakan dengan perempuan yang selain dari mereka semua maka tidaklah jatuh hukum dzihar.

Begitu juga tidak berlaku hukum dzihar jika diserupakan dengan bahagian anggota badan yang batin seperti hati, limpa dan sebagainya.
 
 




---oOo---