BAHAGIAN KE EMPAT



BAB KE TUJUH BELAS


LI'AN

 

Takrif Li'an

Li'an dari segi bahasa arab ertinya menuduh dan melempar. Menurut istilah syarak, bererti sumpah suami di hadapan hakim yang menyatakan bahawa ia berkata benar tentang sesuatu yang dituduhkan kepada isterinya melakukan perbuatan zina. Tuduhan ini dapat ditangkis oleh si isteri dengan jalan bersumpah juga mengatakan tuduhan suaminya itu tidak benar.

Firman Allah swt. yang bermaksud: "Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), pada hal tidak mereka ada saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka persaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguh dia adalah termasuk orang-orang yang benar".

"Dan (sumpah) dikali yang kelima: Bahawa laknat Allah atasnya, jika ia termasuk orang-orang yang berdusta". (An-Nur: 6-7)

Li'an ini disebut juga tuduh-menuduh. Si suami menuduh isteridan isteri menuduh suami dusta. Li'an hukumnya harus (boleh) dengan mendatangkan saksi sebanyak empat lelaki. Kalau saksi tidak ada ia wajib bersumpah sebanyak lima kali sebagaimana penjelasan ayat di atas.

Empat kali berturut-turut ia bersumpah dengan Allah yang berbunyi: "Aku bersumpah dengan Allah, demi Allah, bahawa sesungguhnya aku adalah benar dalam tuduhanku kepada isteriku yang bernama .......... bahawa benar ia telah berzina". Pada kali yang ke lima diucapkan sumpah yang berbunyi: "Dilaknati Allah aku jika aku berdusta".

Itulah bunyi sumpah yang akan diucapkan suami yang meli'an isterinya di muka hakim. Sumpah itu hendaklah diajarkan oleh hakim kepadanya. Kemudian oleh hakim diperintahkannya pula perempuan itu bersumpah dengan ucapan: "Aku bersumpah dengan Allah, demi Allah, bahawasanya suamiku si.......... yang menuduhku berzina, adalah dusta semata-mata". Empat kali berturut-turut sumpah itu harus dibaca. Dan pada kali yang kelima hendaklah dibacanya sumpah di bawah ini: Ataskulah kemurkaan Allah jika suamiku berkata benar".

Firman Allah swt. Yang bermaksud: "Dan isteri itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta . Dan (sumpah) yang kelima: Bahawa kemarahan Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar". (An-Nur: 8-9)

Bila suami telah menuduh isterinya berzina dengan orang lain maka wajiblah atas isterinya dilakukan had zina (dera), sebagai keterangannya yang akan datang kalau cukup saksi-saksi yang dihadapkan oleh suami. Akan tetapi had (hukum) zina itu kepada isteri boleh digugurkan, bila ia bersedia bersumpah lima kali pula sebagaiman sumpah yang tersebut di atas. Bila isteri tidak mahu bersumpah, maka ketika itu wajiblah dilakukkan ke atasnya had zina.

Cara Bersumpah

Sesudah hakim mengajarkan kalimat-kalimat sumpah terhadap suami isteri, empat kali berturut-turut, maka ketika sumpah yang kelima kali diucapkan, hendaklah hakim menyuruh meletakkan tangan yang disumpah di mulutnya (mulut yang disumpah).

Dari Ibnu Abbas ra. bahawa Rasullullah saw. pernah menyuruh seorang lelaki meletakkan tangannya takkala mengucapkan sumpah yang ke lima di atas mulutnya, dan ia berkata ia: "Sesungguhnya sumpah yang kelima ini memastikan siksaan Tuhan". (Riwayat Abu Daud Dan Nisai)

Dalam hal ini hendaklah hakim memberitahu terlebih dahulu selaku nasihat kepada keduanya, supaya mengakui kesalahannya, sebab sumpah yang kelima ini pasti akan memakannya. Kerana antara dua orang yang sedang tuduh menuduh, pasti ada yang salah di antaranya. Kalau bukan suaminya yang dusta, tentu isteri yang dusta.

Dalam keterangan ini dijelaskan, bahawa sumpah yang dilakukan oleh Rasulullah terhadap suami yang meli'an isterinya, ia di waktu asar, setelah selesai mengerjakan sembahyang asar, waktu Asar adalah waktu yang masuk dalam persumpahan Allah dalam al-Quran. Sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Wal-Asri: "Demi waktu asar (masa)". Dan sumpah itu diucapkan secara berdiri, bukan duduk dan disaksikan oleh orang ramai.

Akibat Li'an Kepada Suami Isteri

Akibat dari Li'an ini sungguh terasa berat dirasakan penanggungannya kepada kedua pihak ini kerana beberapa sebab:

1. Kerana bilangan lafaz sumpah Li'an

2. Kerana ia dilakukan ditempat yang paling mulia iaitu di antara Hajar Aswad dan Rukun Yamani,

jika di Makkah dan Dekat Mimbar Rasulullah saw., jika di Madinah dan kalau di tempat lain

dilaksanakan di dekat mimbar masjid jamik sesebuah daerah.

3. Kerana ia dilakukan di waktu yang paling penting iaitu selepas Sembahyang Asar.

4. Kerana Li'an ini dilakukan dihadapan khalayak ramai, sekurang-kurang-kurangnya empat orang.

Juga akibat Li'an itu menyebabkan suami isteri itu tercerai, dan suami tidak boleh rujuk atau kahwin semula. Dan jika melahirkan anak pula anak tersebut tidak termasuk keturunan suaminya. Dari Umar ra. bahawa Rasulullah saw. berkata kepada suami isteri yang telah tuduh menuduh: "Perhitungan kamu berdua terserah kepada Allah; salah seorang di antara kamu tentu ada yang berdusta. Tidak adalah keluar bagi kamuberdua untuk kembali semula". (H.R.Bukhari dan Muslim)

Akibat Li'an Kepada Hukum

Apabila telah berlaku Li'an maka berlakulah hukum sebagai berikut:

1. Gugur had (dera) menuduh zina kepada suami

2. Wajib had (dera) kepada isteri (Hukum zina)

3. Suami isteri bercerai selama-lamanya

4. Ketetapan (hukum) berdasarkan pengakuan suami yang ia tidak mencampuri (menyetubuhi) isteri

nya. Sebaliknya isteri boleh menolak tuduhan zina dan terhindar dan terlepas dari had zina

sekiranya ia membalas li'an suaminya.

5. Apabila isterinya beranak, nak tersebut tidak di anggap sebagai anak dari suaminya
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

BAB KE LAPAN BELAS



 

Al-HADHANAH (PENGASUHAN)
 
 

Takrif Pengasuhan

Mengasuh ertinya ialah mendidik dan menjaga dengan baik. Menurut syarak pula ialah mendidik dan memelihara anak yang belum mumaiyiz iaitu anak yang belum pandai makan sendiri, memakai pakaian sendiri, dan sebagainya.

Apabila seseorang anak yang belum mumaiyiz (belum pandai), dan ibu bapanya telah bercerai, maka keutamaan mendidik dan memelihara kanak-kanak tersebut ialah kepada ibunya. Keutamaan ibu ini selama ibu itu belum berkahwin dengan orang lain.

Dari Abdullah bin Umar ra. bahawa seorang perempuan pernah berkata: "Ya Rasullullah, sesungguhnya anakku ini adalah perutku yang mengandungnya, dan susuku yang jadi minumannya, ribaanku yang memeluknya, sedang bapanya telah menceraikan aku, dan bapanya itu mahu mengambilnya dari padaku". Lalu Rasullullah saw. berkata kepadanya: "Engkau yang lebih berhak dengan anak itu, selama engkau belum berkahwin". (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Kalau ibunya itu belum kahwin dengan orang lain, sedang anak itu belum mumaiyiz, maka bapanya yang lebih berhak mendidik, kalau bapanya meminta atau bersedia mendidiknya. Bila ibunya tidak ada yang lebih berhak mendidiknya ialah saudara perempuan ibunya.

Dari Abu Hurairah ra. berkata ia: "Pernah aku bersama-sama dengan Nabi saw. lalu datang seorang perempuan dan ia berkata: "Ya Rasulullah ! Sesungguhnya suamiku hendak pergi membawa anakku, dan sesungguhnya ia telah memberi minum dari sumur Abu 'Inabah. Dan sungguh ia telah berjasa kepadaku" Maka berkata Rasullullah saw.: "Berundinglah kamu perkara anak itu". Maka berkata suaminya itu: "Siapakah yang berani menghalangi aku dengan anakku ini?". Dan berkata Nabi saw. (kepada anak itu). "Ini bapamu, dan ini ibumu. Maka ambillah, tangan yang mana antara keduanya yang kamu kehendaki". Lalu di ambilnya tangan ibunya, maka berjalanlah perempuan itu dengan anaknya". (Riwayat Ash-Habussunan)

Hadis ini menunjukkan bahawa anak kecil yang sudah mumaiyiz dan mengerti dengan diri sendiri, ia boleh memilih siapakah yang akan mengasuhnya. Apakah ibunya atau bapanya.

Dari Al-Bara' bin 'Azib ra. bahawasanya Nabi saw. telah memutuskan dalam perkara anak perempuan Hamzah (dalam perkara mengasuh) bagi emak saudaranya, dan ia berkata: "Emak saudara itu adalah menempati ibu". (Riwayat Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa makcik lebih utama dari bapa, dan ibu kepada ibu, dalam perkara mengasuh dan mendidik anak yang masih kecil

Anak Mengikut Kepada Siapa Yang Islam

Kalau ada suami isteri kafir keduanya, kemudian salah seorang darinya masuk Islam, maka siapa di antara keduanya yang Islam, maka dialah yang berhak mengasuh anaknya. Sebab agama Islam lebih mulia, dan lebih tinggi dari agama-agama lain. Ini juga bertujuan supaya anak yang masih kecil itu tidak sampai dipengaruhi oleh agama kafir dan sesat.

Dari Rafi' bin Sanan ra. Bahawasanya ia telah masuk Islam sedangkan isterinya enggan masuk Islam, lalu isterinya berkata kepada Nabi saw. "Ini anakku" berkata pula Rafi' "Ini anakku wahai Rasulullah". Lalu Nabi saw berkata kepadanya: "Duduklah engkau disebelah sini". Dan berkata pula kepada isterinya "Duduklah engkau di sebelah sana" Sedangkan anaknya ia dudukkan antara keduanya. Kemudian Rasulullah saw. berkata "Panggillah anakmu ini ! Lalu anak itu menoleh kepada ibunya." Lantas Nabi saw. berdoa "Ya Allah ! Tunjukilah anak ini." Lalu anak itu menoleh kepada bapanya, maka diambillah anak itu. (Riwayat Abu Daud dan Nasai)

Hadis ini menunjukkan bahawa anak kecil mengikut kepada siapa yang Islam dari dua orang ibu bapa. Perkara ini berlandaskan kepada bahawa Rasullullah saw. berdoa supaya anak itu ditunjuki oleh Allah, agar mengikut bapanya Rafi' yang beragama Islam. Pengajaran al-Quran mengatakan bahawa orang kafir tidak diberi jalan oleh Allah untuk menguasai ke atas orang-orang Islam.

Lama Masa Mengasuh

1. Menurut Imam Syafi'ie dan Ishak, tempoh masa untuk mengasuh kanak-kanak yang masih kecil adalah tujuh hingga lapan tahun.

2. Menurut ulamak-ulamak pula Hanafiah dan Thauri, ibu adalah lebih berhak mengasuh anak lelaki sampai ia pandai makan dan berpakaian sendiri. Sedangkan mengasuh anak perempuan pula sampai ia haid. Sesudah itu barulah bapanya yang berhak untuk mengasuh mereka.

3. Menurut Imam Malik pula, ibu adalah lebih berhak mengasuh anak perempuan sampai ia berkahwin, sedangkan bapa pula berhak mengasuh anak lelaki sampai ia baligh.

Orang-Orang Yang Utama Untuk Mengasuh

1. Ibu yang belum kahwin dengan lelaki lain.

2. Ibu dari ibu (nenek sebelah ibu), dan seterusnya ke atas.

3. Bapa.

4. Ibu dari bapa (nenek sebelah bapa).

5. Saudara yang perempuan.

6. Emak saudara (emak saudara sebelah perempuan).

7. Anak perempuan dari saudara perempuan.

8. Anak perempuan dari saudara lelaki.

9. Saudara perempuan dari bapa (emak saudara sebelah bapa).

Syarat Orang Yang Mengasuh

1. Berakal.

2. Merdeka.

3. Beragama Islam.

4. Orang berjiwa bersih dan suci (orang soleh).

5. Dapat dipercayai (amanah).

6. Dapat melakukan kewajipan

7. Orang tidak kahwin.

Apabila salah satu keutamaan itu tidak dapat dipenuhi oleh seorang yang berhak dalam mengasuh kanak-kanak maka gugurlah hak mengasuh atasnya dan berpindahlah kepada orang lain yang berhak selepas itu.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

BAB KE SEMBILAN BELAS



 

NAFKAH

Takrif Nafkah

Nafkah ertinya mengeluarkan belanja. Menurut istilah syarak, ertinya sesuatu yang dikeluarkan oleh seseorang untuk keperluan dirinya atau keluarganya atau lainnya yang berupa makanan, minuman, pakaian dan sebagainya.

Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Wajib Nafkah

1. Sebab perkahwinan yang sah.

2. Sebab kerabat, iaitu ibu, bapa, saudara perempuan dan saudara lelaki yang benar-benar memer

lukan bantuan kamu.

3. Sebab milik, iaitu hamba sahaya dan binatang peliharaan yang suci dan halal.

Sebab Perkahwinan

Dengan adanya ikatan perkahwinan iaitu aqad nikah yang sah menurut Islam, maka timbullah kewajipan bagi seseorang itu untuk memberikan nafkah kepada isteri-isteri dan anak-anaknya mengikut kemampuan dan kesanggupannya dalam keadaan seperti berikut:

1. Isteri-isteri dan anak-anak yang sah, sebagaimana Rasullullah saw. telah menyatakan dalam hadis Muawiyah bin Haidah yang bermaksud:

Pernah aku bertanya kepada Rasulullah saw. "Apakah hak seorang isteri yang wajib kami berikan ke atasnya ? " Jawab baginda: "Beri makan kepadanya apabila kamu makan, beri pakaian apabila kamu berpakaian, janganlah kamu memukul mukanya, jangan kamu mencaci dan jangan kamu memulaukannya kecuali di dalam rumah itu juga". (H.R.Abu Daud)

Dari Jabir ra. dari Nabi saw. di dalam hadis haji dalam perkara yang berhubung dengan soal perempuan katanya: "Dan hak bagi mereka, kewajipan atasmu memberi makan kepada mereka dan pakaian menurut sepatutnya".(H.R.Muslim)

2. Isteri yang diceraikan selama ia masih di dalam eddah raj'ie. Perempuan yang ba'in (ditalaq tiga), khuluk atau fasakh, mereka hanya berhak mendapatkan tempat tinggal sahaja kecuali mereka yang sedang mengandung. Mereka yang mengandung berhak mendapat tempat tinggal dan nafkah sehingga mereka melahirkan anak.

Firman Allah swt. maksudnya: "Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (Isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin". (At-Talaq: 6)

Dari Fatimah binti Qais ra. berkata ia: "Aku telah ditalaq tiga oleh suamiku, lalu Rasulullah saw. tidak memberi tempat tinggal untukku dan tidak juga diberi nafkah". (H.R.Muslim dan Abu Daud)

Ulamak Malikiyah dan Syafi'iyah mengambil kesimpulan dengan dua dalil di atas berpendapat isteri-isteri yang telah di ceraikan dengan talaq tiga berhak mendapatkan tempat tinggal sahaja tidak berhak mendapatkan nafkah.

Menurut Kitab Bidayatul-Mujtahid dalam masalah perempuan yang ditalaq al-Battah (ba'in) yang tidak mengandung, para ulamak berbeda pendapat kepada:

1. Ulamak Kufah berpendapat wajib diberi nafkah dan tempat tinggal.

2. Menurut Ahmad, Daud, Abu Thaur, Ishaq dan Jama'ah, tidak wajib diberi nafkah dan tidak juga

tempat tinggal.

3. Imam Malik dan Syafi'ie dan satu golongan lain berpendapat wajib diberi tempat tinggal tetapi ti

dak wajib nafkah.
 
 

Nafkah Isteri

Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri telah pun dijelaskan di atas, apa yang hendak diterangkan di sini ialah maksud nafkah yang berhubung dengan hak isteri yang menjadi kewajipan kepada suami. Kewajipan suami memberi nafkah kepada isteri termasuk:

1. Makan dan minum (sara hidup) yang cukup, padan dan sesuai dengan kemampuan dan kedudukan suami dan isteri dalam masyarakat.

2. Tempat tinggal (rumah kediaman) yang sesuai dengan kemampuanan kedudukan suami dan isteri

dalam masyarakat.

3. Pakaian mengikut kemampuan dan kesesuaiannya.

4. Alat bersuci (alat-alat solekan)

5. Lauk pauk termasuk keperluan dapur, alat-alat dapur.

6. Alat perabot rumah untuk keperluan rumah supaya kemas dan selesa.

7. Khodimah (pembantu rumah), mesin basuh dsb.

Kesemua perkara nafkah yang tersebut di atas itu adalah mengikut kesesuaian, kemampuan dan budi bicara serta kedudukan suami isteri tersebut dalam masyarakat sama ada ia tergolong dalam kalangan orang yang senang atau sempit dalam hidupnya. Begitu juga bergantung dan budi bicara dalam pemberian nafkah kepada isteri ini dilihat dari latar belakang kehidupan seorang isteri itu sebelum ia berkahwin sama ada ia dari kalangan orang yang hidup senang dan dan mewah atau sebaliknya.

Oleh itu Islam menggariskan perkara nafkah ini hendaklah diberikan mengikut budi bicara, kemampuan dan kedudukan mereka dalam masyarakat. Nafkah Keturunan (Nasab)

Menurut Islam seseorang kanak-kanak yang lahir mengikut bapanya bukan mengikut ibunya, kecuali anak zina yang dibangsakan kepada ibunya.

Firman Allah swt. maksudnya: "Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan (memakai) nama bapa-bapa mereka; itulah yang lebih adil di sisi Allah dan jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu". (Al-Ahzaab: 5)

Menurut Islam bapa dan ibu dan hubungannya dengan anak ialah suami isteri yang diikat dengan nikah yang sah mengikut syarat dan rukunnya. Apabila lahir anak dari mereka maka anak itu dianggap sah mengikut hukum syarak.

Anak yang lahir dari hubungan lelaki dan perempuan yang tidak melalui pernikahan yang sah dihukumkan anak diluar nikah (anak zina). Menurut Jumhurul-Ulamak anak tersebut dinasabkan (dibangsakan) kepada ibunya.

Dari Abi Hurairah ra. bahawasaya Nabi saw. berkata: "Anak zina itu adalah untuk ibunya, dan lelaki yang berzina itu berhak dilimpar dengan batu". (H.R.Bukhari dan Muslim)
 
 
 
 
 
 
 

BAB KE DUA PULUH



 

BERBILANG ISTERI (POLIGAMI)

Pendahuluan

Berbilang isteri atau disebut juga poligami adalah suatu pekara yang diakui oleh syariat Islam dan ia merupakan suatu keharusan kepada lelaki dengan suatu syarat yang sangat ketat.

Allah yang Maha Bijaksana mengatur makhluk-Nya serta sangat mengetahui keperluan dan kebajikannya. Ia mengharuskan berbilang isteri dengan beberapa ketentuan. Berbilang isteri ini merupakan suatu jalan penyelesaian yang dianjurkan oleh Islam dalam menghadapi beberapa perkara dan masalah yang berhubung dengan kebajikan dan pembelaan hidup seluruh ummat manusia terutama terhadap kaum wanita yang lemah dan kehilangn tempat pergantungan hidup mereka.

Keharusan berpoligami ini bukanlah suatu keharusan yang boleh dibuat sewenang-wenang tanpa ada suatu peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh Allah swt. Maha Suci Allah dan Maha Bijaksana Ia menetapkan sesuatu perkara dengan sempurnanya. Dalil keharusan berbilang isteri terkandung di dalam firman Allah swt.maksudnya: "Maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat. Kemudaian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil (di antara isteri-isteri), maka (kahwinlah) seorang sahaja". (An-Nisa': 3)

Hikmat Keharusan Berbilang Isteri

Antara hikmat-hikmat yang terkandung di dalam keharusan poligami ini ialah:

1. Manusia lelaki sentiasa di dalam menghadapi berbagai keadaan yang sangat mencabar di dalam hidupnya dan ia sentiasa berhadapan dengan kematian seperti peperangan, kemalangan dan lain-lainnya, maka dengan itu bilangan mereka akan segera berkurangan jika dibandingkan dengan kaum wanita. Oleh yang demikian jika ini berlaku maka akibatnya kaum wanita banyak yang tidak bersuami dan masa depan mereka akan menghadapi berbagai masalah, dan jalan penyele-saiannya kembali kepada keharusan berbilangan isteri.

2. Jika sekiranya isteri tidak dapat melayani suaminya dengan sempurna dari segi keperluan nafsu jantinanya seperti isteri uzur, sakit dan sebagainya tidaklah suami akan melakukan perbuatan zina. Jika sekiranya ia hanya mempu-nyai seorang isteri sahaja, jalan ke arah kejahatan zina itu mudah terbuka.

Allah yang Maha Bijaksana mengatur kehidupan makhluk-Nya ini dan Ia mengetahui segala keperluannya, Ia dengan rahmat-Nya yang melempah telah memberi cara bagi mengatasi masalah itu iaitu diharukannya lelaki beristeri lebih dari seorang dan tidak lebih dari empat dengan syarat-syarat yang ditentukan-Nya.

Syarat-syarat yang dikehendaki supaya disempurnakan oleh lelaki yang berhajat kahwin lebih dari satu hendaklah ia berlaku adil. Berlaku adil itu ialah merangkumi beberapa perkara berikut:

1. Nafkah

2. Pakaian

3. Tempat tinggal (rumah)

4. Giliran

5. Kasih sayang

Keharusan berpoligami ini adalah dengan syarat dapat berlaku adil sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat di atas.

1. Adil dalam Memberi Nafkah. Keadilan dalam memberi nafkah itu hendaklah suami memberi nafkah makan, minum dan sebagainya dalam keperluan bagi hidup yang sesuai dan patut bagi keadaannya dan keadaan persekitarannya,dan nafkah ini hendaklah diberi sama rata kepada semua isteri-isteri di bawah tanggungannya dengan tidak mengurangi ataupun tidak sama rata pembahagaian nafkah ini, jika sekiranya berlaku tidak sama rata maka suami telah melanggar ketentuan dan kewajipan Allah maka ia telah melakukan dosa.

2. Adil dalam memberi pakaian. Adil dalam pemberian pakaian hendaklah isteri-isteri diberikan pakaian dengan sama rata dari segi banyak dan mutu kain dan harganya tetapi jangan sampai tidak berlaku saksama, kerana dengan yang demikian akan membawa kepada dosa.

3. Adil dalam Tempat Tinggal. Begitu juga hendaklah adil dalam memberi tempat tinggal iaitu dengan menempatkan mereka dalam rumah yang sama taraf dan nilainya tetapi jangan sampai berlaku tidak sama dan tidak serupa, ini termasuk juga alat-alat keperluan rumah, dapur dan perabot.

Peringatan: Haram hukumnya isteri-isteri diletakkan di dalam sebuah rumah kecuali dengan keredaan mereka masing-masing.

4. Adil dalam pembahagian Giliran.Berhubung dengan pembahagian giliran pula suami hendaklah mengatur giliran dengan betul dan sama banyak. Apabila suami berada pada giliran isterinya yang pertama haram ia pergi ke rumah isterinya yang lain kecuali dengan izin isteri yang dalam gilirannya, begitu juga ia tidak boleh pergi kecuali ia membayar ganti (qadha') kepada isteri yang ditinggalkan gilirannya itu.

Suami boleh pergi di siang hari sekadar menghantar keperluan hariannya. Begitu juga boleh ia pergi kalau sekirannya berlaku kecemasan seperti sakit kuat, kemalangan, kebakaran dan sebagainya tetapi tidak boleh (haram) sekiranya melakukan persetubuhan jimak.

Giliran itu sebaik-baiknya satu malam dan tidak lebih dari tiga malam, sebab lebih dari tiga malam adalah terlalu lama bagi seorang perempuan menunggu.

Berlaku adil ini sangat dititik beratkan oleh Islam dan menjadi suatu kecacatan dan berdosa dalam poligami sekiranya berlaku adil ini tidak dapat di lakukan dengan sempurna dan mengikut ketentuan syarak.

Bila Suami Bermusafir

Apabila suami belayar atau pergi bermusafir maka hendaklah diundi di antara isteri-isteri yang akan mengikut sama dalam musafir itu.

Dari 'Aisyah ra. berkata: "Adalah Rasulullah saw. bila ia hendak berjalan jauh diadakannya undian antara isteri-isterinya. Yang mana di antara mereka menang dalam undian itu, dengannyalah ia berjalan. Dan Ia membahagi waktu (giliran) bagi tiap-tiap orang isterinya, siangnya dan malamnya". (H.R.Bukhari dan Muslim)

Perkahwinan yang Baru

Suami yang baru berkahwin dengan seorang isteri yang baru, sekiranya ia seorang gadis hendaklah diberi selama tujuh malam dan jika sekiranya ia seorang janda ia diberi selama tiga malam sahaja.

Giliran ini dikira pada malamnya bukan pada siangnya kecuali suami bekerja pada waktu malam maka yang dikira giliran adalah siangnya.

Dari Anas ra. katanya: "Sebahgian sunnah Nabi saw. ialah apabila seorang lelaki mengahwini seorang perawan sesudah yang janda, bolehlah ia tinggal padanya selama tujuh malam, dan apabila ia mengahwini yang janda, bolehlah ia tinggal selama tiga malam, dan seterusnya diadakan giliran". (H.R.Bukhari dan Muslim)

Begitulah seterusnya dan kesemua ini adalah menjadi suatu kewajipan bagi suami yang berpoligami untuk menyelesaikannya dengan berlaku adil. Kalau sekiranya suami mengabaikan keadilan terhadap isteri-isterinya maka ia akan menanggung dosa selama kewajipannya tidak dipenuhi.

5. Adil dalam Kasih Sayang. Berhubung dengan perasaan kasih dan sayang yang tersemat di dalam hati seorang suami yang tidak dapat dibahagikan dengan sempurna adalah suatu kelemahan yang paling nyata untuk berlaku adil di kalangan isterinya.

Kewajipan berlaku adil ini adalah tuntutan yang amat sukar dipenuhi olehlelaki, oleh itu keharusan yang bersyaratkan adil ini merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipandang sepi dan ringan oleh lelaki yang hendak berpoligami ini, lebih-lebih lagi manusia pada akhir zaman ini yang segala keadaannya kurang sempurna terutama dari segi pendidikan Islam; sudah tentu syarat adil bagi mereka yang berhajat hendak berpoligami merupakan suatu perkara yang sangat berat untuk disempurnakannya.

Dari Abu Hurairah ra. dari Nabi saw. bersabda: "Barangsiapa yang beristeri dua, lalu ia cenderung kepda salah seorang antara keduanya (tidak adil), ia datang di hari kiamat badannya dalam keadaan senget". (H.R.Abu Daud dan Tirmizi)

Tetapi suatu yang tidak dapat untuk dibahagikan dengan seadil-adilnya ialah perasaan cinta dan kasih sayang di antara isteri-isteri, dalam hal ini suami adalah dimaafkan sekiranya ia tidak dapat mengagihkan kasih sayang ini dengan seadil-adilnya kerana berhubung dengan hati dan perasaan ini suatu yang sangat berat dan itu adalah urusan atau kepunyaan Allah swt. kerana itu ia tidak dapat diagihkan dengan adil sebagaimana perkara-perkara zahir yang mampu dilakukan oleh manusia. Dalam hal ini Rasulullah saw. sendiri menyatakan dalam hadisnya.

Dari 'Aisyah ra. adalah Rasulullah saw. membahagi-bahagikan sesuatu antara isteri-isterinya secara seadil-adilnya dan beliau berkata: "Ya Allah, inilah cara pembahagianku (yang dapat aku lakukan) ada barang aku miliki (pembahagian nafkah, pakaian dan lain-lain yang zahir), maka janganlah engkau cela aku pada barang yang Engkau miliki (kecintaan dalam hati), dan itu tidak dapat aku miliki". (H.R.Abu Daud dan Tirmizi)
 
 








-----oOo-----