BAHAGIAN KEDUA

 

BAB KE TUJUH



 

RUKUN-RUKUN NIKAH
 
 

Rukun Nikah

1. Calon suami (az-zauj)

2. Calon isteri (az-zaujah)

3. Wali

Sabda Nabi saw. "Barangsiapa di antara perempuan yang nikah dengan tidak diizinkan oleh walinya, maka perkahwinannya batal". (Riwayat Empat Kecuali an-Nasaie)

4. Dua orang saksi. Sabda Nabi saw. "Tidak sah nikah melainkan dengan wali, dan dua orang saksi yang adil". (R.Ahmad)

5. Akad (ijab dan kabul)

Syarat-Syarat Calon Suami

1. Bukan muhrim dengan bakal isteri

2. Dengan pilihan hati sendiri (tidak dipaksa)

3. Lelaki yang tertentu, tidak sah perkahwinan kalau wali berkata kepada dua orang lelaki seperti:

"Saya nikahkan anak perempuan saya Aminah dengan salah seorang dari kamu berdua".

4. Bakal suami mestilah tahu yang bakal isteri itu sah berkahwin dengannya.

5. Bakal suami itu bukan sedang dalam ihram haji atau umrah.

6. Bakal suami tidak dalam keadaan beristeri empat.

Syarat-Syarat Calon Isteri

1. Bukan muhrim dengan bakal suami

2. Bakal isteri itu tertentu orangnya

3. Bukan isteri orang dan bukan pula masih dalam eddah

4. Benar-benar ia seorang perempuan (bukan khuntha)

5.Dengan kerelaannya sendiri, kecuali bakal itu masih gadis maka bapa atau datuk boleh memaksanya berkahwin.

Syarat-Syarat Wali

1. Islam orang

Orang yang bukan Islam tidak sah menjadi wali atau saksi. Firman Allah swt. maksudnya: "Wahai orang yang beriman janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani untuk menjadi wali". (Al-Maaidah: 51)

2. Baligh

3. Berakal

4. Merdeka

5. Lelaki

6. Adil (tidak fasik) Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Tidak sah pernikahan itu kecuali dengan wali yang adil". (H.R.Ahmad)

7. Tidak di dalam ihram. Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Orang yang sedang berihram tidak boleh berkahwin dan mengahwinkan orang lain". (H.R.Muslim)

8. Tidak cacat akal sama ada kerana terlalu tua atau sebagainya.

9. Tidak dari orang yang ditahan kuasanya dari mebelanjakan harta bendanya kerana bodoh atau

terlalu boros.

Syarat-Syarat Ijab dan Qabul

1. Syarat-syarat Ijab

Hendaklah dengan perkataan nikah atau tazwij yang terang dan tepat.

Lafaz nikah itu tidak mengandungi perkataan yang menunjukan perkahwinan yang terbatas. Perkataan ijab itu dari wali seperti: "Aku nikahkan engkau dengan anak saya Fatimah dengan mas kahwinya lima ratus ringgit tunai".Atau dari wakil wali:"Aku nikahkan dikau dengan Fatimah bte. Yusof yang telah berwakil wali ayahnya kepada saya dengan mas kahwinnya sebanyak lima ratus ringgit tunai".

Tidak dengan lafaz ta'liq seperti: "Aku nikahkan dikau dengan anak saya Fatimah sekiranya anak saya itu diceraikan dan selesai eddahnya".

2. Syarat-Syarat Qabul

2.1. Tidak berselang lama atau tidak diselangi dengan perkataan lain di antara ijab dan kabul.

2.2. Diterima oleh calon suami seperti katanya: "Aku terima nikahnya dengan maskahwinnya

sebanyak yang tersebut". Atau wakilnya: "Aku terima nikahnya untuk ............. (nama pengantin

lelaki) dengan maskahwinya yang tersebut".

2.3. Lafaz qabul itu tidak terta'liq (tergantung).

2.4. Lafaz qabul itu tidak mengandungi perkataan yang menunjukan nikah itu terbatas waktunya.

2.5. Hendaklah disebut nama bakal isteri itu atau ganti namanya seperti kata calon suami: "Saya

terima nikah Fatimah atau nikahnya".

2.6. Hendaklah lafaz qabul lafaz yang terang dan bukan sindiran.

Syarat-Syarat Saksi

1. Kedua saksi hendaklah yang beragama Islam

2. Lelaki

3. Berakal

4. Baligh

5. Merdeka (bukan hamba)

6. Adil (tidak fasiq)

7. Melihat, orang buta tidak sah menjadi saksi

8. Mendengar, orang pekak tidak sah menjadi saksi

9. Kuat ingatan, tidak pelupa

10.Faham dengan bahasa yang digunakan

11.Bukan tertentu menjadi wali

Susunan Wali

1. Bapa

2. Datuk sebelah bapa hingga keatas

3. Saudara lelaki seibu sebapa

4. Saudara lelaki sebapa

5. Anak saudara lelaki seibu sebapa

6. Anak saudara lelaki sebapa

7. Bapa saudara (sebelah bapa) seibu sebapa

8. Bapa saudara (sebelah bapa) sebapa

9. Anak bapa saudara (sebelah bapa) seibu sebapa

10.Anak bapa saudara (sebelah bapa) sebapa

11.Hakim (sultan) termasuk orang yang dilantik oleh sultan

seperti kadhi dan naib kadhi

Wali Hakim

Wali Hakim atau wali sultan mempunyai kuasa untuk menjadi wali dalam sesauatu keadaan yang tertentu seperti berikut:

  1. Ketika tidak ada wali yang tersebut di atas. Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Sultan menjadi wali bagi mereka yang tidak ada wali". (H.R.Darul-Qutni)
  2. Wali enggan mengahwinkan walaupun wali mujbir (bapa/datuk) sekiranya keengganan itu kurang dari tiga kali, jika lebih dari tiga kali maka wali yang jauh (ab'ad) berhak menjadi wali mengikut susunan wali di atas.
  3. Wali berada ditempat jauh sekadar yang mengharuskan qasar sembahyang, dan tidak ada pula wali yang sedarjat dengan wali yang jauh itu ditempat perempuan yang akan dikahwinkan itu.
  4. Wali sedang dalam ihram dan tidak ada wali yang sedarjat yang tidak di dalam ihram.
  5. Wali itu sendiri berkahwin dengan perempuan itu.
  6. Wali hakim menjadi wali untuk mengahwinkan perempuan yang sudah baligh tetapi gila dan tidak ada wali mujbir.
  7. Wali di dalam tahanan atau tertahan atau hilang, tidak dapat dihubungi.
  8. Wali bersembunyiJenis-Jenis Wali 1. Wali Mujbir ialah: Bapa dan Datuk (bapa kepada bapa). Bapa dan datuk boleh mengahwinkan anak atau cucunya yang masih gadis tanpa keizinannya terlebih dahulu dengan syarat:1.1. Tidak ada permusuhan antara keduanya.1.2. Tidak ada permusuhan atara calon isteri dan bakal suami.

1.3. Sekupu atau setarap.

1.4. Bakal suami sanggup membayar mas kahwin dengan tunai.

Peringatan: Kempat-empat syarat di atas akan menjadi syarat sahnya nikah, jika tidak cukup, ini akan menjadikan tidak sahnya nikah tersebut. Selain dari syarat di atas, ditambahi lagi dengan syarat-syarat berikut: 1.5. Hendaklah mas kahwin yang setanding (mahar mithil)

1.6. Mas kahwin hendaklah dari mata wang yang digunakan dalam negeri.

1.7. Bakal suami itu bukan dari orang yang menyusahkan bakal isteri untuk hidup seperti buta

dll. Sekiranya syarat ini tidak ditepati perkahwinan, itu sah tetapi wali berdosa.

2. Wali Ab'ad (Wali Jauh atau Bukan Mujbir)

Wali Ab'ad (wali yang jauh) atau wali bukan mujbir tidak boleh bertindak sebagaimana wali mujbir, ia boleh menjadi wali sekirannya wali mujbir itu sudah mati.
 
 



----oOo----


 









BAB KE LAPAN


KEWAJIPAN DAN TANGGUNGJAWAB SUAMI ISTERI

Mukaddimah

Apabila sebuah rumahtangga telah didirikan dengan sah maka mereka yang menjadi suami isteri tersebut hendaklah menunaikan kewajipan dan tanggungjawab mereka yang telah digariskan oleh syarak supaya rumahtangga yang mereka dirikan itu mencapai matlamat dan tujuannya perkahwinan yang sebenarnya.

Kewajipan secara umumnya adalah sebagai berikut:

1. Kedua belah pihak hendaklah berlaku sopan dalam perkataan dan perbuatan dan janganlah sekali-

kali menyinggung perasaan pihak lain.

2. Masing-masing pihak hendaklah mementingkan rasa kesabaran dalam segala tindakan.

3. Mereka hendaklah saling mencari supaya pihak yang lain akan sentiasa merasa senang dan

gembira.

4. Jangan terlalu cemburu sehingga melampaui batas yang tertentu.

5. Berikan segala keperluan kepada isteri mengikut kemampuan dan isteri hendaklah taat dan setia

kepada suaminya.

Kewajipan Suami Kepada Isteri (Hak Isteri Atas Suami)

1. Hendaklah menggauli isterinya dengan sebaik-baiknya. Firman Allh swt. maksudnya: "Dan gaulilah mereka (isteri) dengan cara yang sebaik-baiknya". (An-Nisa' :19)

2. Jangan berlaku kasar dan keras kerana mereka mudah patah hati. Dari Abu Hurairah ra. berkata ia, bersabda Rasulullah saw. "Gaulilah kaum wanita itu dengan pergaulan yang baik (lembah lembut) kerana sesungguhnya wanita itu dijadikan dari tulang rusuk, dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-bengkok tulang,`ialah yang paling atas'. Maka apabila engkau hendak eluruskannya , kamu akan menghancurkannya, dan apabila kamu membiarkannya ia akan terus menjadi bengkok. Oleh itu aku menasihatkan kamu semua supaya gaulilah mereka dengan baik". (H.R.Bukhari & Muslim)

3. Memberi nafkah makan minum pakaian yang selayaknya (sesuai). Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Dan wajib atasmu (suami) memberi nafkan (makan dan minum) dan pakaian yang sepatutnya". (H.R.Muslim)

Difaham dari hadis ini kewajipan bagi suami menyediakan makanan dan minuman dari makanan yang biasa dimakan dan mengenyangkan. Termasuk juga per-kara-perkara yang ada hubungannya dengan makanan seperti bahan-bahan bagi menyediakan makanan yang lazim dan biasa di dalam sesuatu tempat seperti lauk pauk, garam, minyak, gula, tepung dan alat perkakas dapur dan sebagainya.

Begitu juga pakaian yang sesuai serta alat-alat membersihkan badan dan alat-alat bersuci bagi wanita juga hendaklah si suami menyediakannya seperti alat-alat bersolek untuk kepentingan isteri supaya ia sentiasa di pandang kemas, bersih dan cantik.

4. Wajib menyediakan tempat tinggal yang sesuai. Firman Allah swt. maksudnya: "Tempatkan mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu". (At-Talaq: 6)

Di fahamkan dari ayat ini menjadi tanggungjawab kepada suami memberi kelengkapan dan kemudahan-kemudahan yang sesuai dalam sebuah rumah tempat tinggal mengikut kemampuan, kesesuaian dan taraf kedudukannya dalam masyarakat termasuk keperluan sebuah rumah dan perabotnya sekali.

5. Jangan menjatuhkan maruahnya, terutama di hadapan oang lain. Begitu juga jauhkan dari suka mencaci dan memaki kepadanya.

Dari Muawiyah bin Haidah ra. berkata ia: Pernah aku bertanya kepada Rasulullah saw. Apakah hak isteri ke atas suami ? Baginda bersabda: "Hendaklah kamu beri makan kepadanya apabila kamu makan, kamu beri pakaian apabila kamu berpakaian, dan janganlah kamu pukul dia pada mukanya, janganlah cerca dia dan janganlah pulaukan dia kecuali di dalam rumah". (H.R.Abu Daud)

6. Jangan gunakan kekerasan seperti memukul, menampar atau menerajangnya sebagaimana di jelaskan dalam hadis di atas.

7. Hendaklah sentiasa menunjuk ajar dan memberi nasihat kepadanya supaya ia menjadi isteri yang baik, soleh dan unggul.

8. Dan tumpahkanlah kasih sayang kepada mereka dengan sepenuhnya, dengan pergaulan yang sebaik-baiknya. Firman Allah swt. maksudnya: "Dan gaulilah mereka dengan baik". (An-Nisak:19)

Dan sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah paling baik dari kamu kepada isteriku". (Al-Hadis )

9. Menyediakan Pembantu Rumah (khodimah). Pembantu rumah ini bertujuan untuk membantu isteri dapat menjalankan tugas sebagai isteri dengan sebaik-baiknya iaitu melayan kehendak suami dengan baik dan sempurna. Dengan adanya pembantu rumah itu isteri dapat meringankan beban berat yang ditanggungnya itu. Ini bersesuaian dengan kehendak Islam yang dijelaskan oleh Allah dalam ayat ke 6 surah at-Talaq.

Difaham dari ayat ini, suami juga berkewajipan menyediakan segala alat-alat kemudahan bagi mengurus dan mengendalikan dapur dan rumahtangga dengan sempurna dan berpadanan, sesuai dengan kedudukannya dalam masyarakat, seperti dapur untuk masak, bahan api, mesin basuh dan sebagainya.

Peringatan. Pembantu rumah ini menjadi hak bagi isteri sekiranya ia telah menjadi adat dan kebiasan yang berjalan dan berlaku di sesuatu tempat dan negeri atau isteri tersebut telah biasa mendapat pembantu rumah sejak dari kecilnya lagi. Tetapi walau bagaimana sekalipun suami haruslah lebih bertanggungjawab dan bertimbang rasa terhadap isterinya supaya ia dapat hidup dalam keadaan selesa dan mendapat kerehatan yang sepatutnya.

Janganlah isteri itu dijadikan sebagai hamba tebusan atau dianggap sebagai orang gaji dan kemudian ia di jadikan hanya sebagai tempat pemuas nafsu jantina suami semata-mata tidak lebih dari itu. Perkara seperti inilah yang menjadikan rumahtangga itu diibaratkan sebagai suatu kehidupan yang tidak selesa, menjemukan dan menyeksakan. Suasana seperti inilah yang akan menimbulkan kekecohan dan pergaduhan suami isteri.

Begitu juga ramai isteri yang lari dan keluar rumah tanpa izin dan tanpa pengetahuan suami dari kerana sikap suami yang tidak bertanggungjawabdan jahil terhadap kemuliaan sebuah rumahtangga yang didirikan di atas kalimah Allah swt.

Kewajipan Isteri Kepada Suami (Hak Suami Atas Isteri)

1. Kewajipan isteri terhadap suaminya adalah patuh dan tunduk kepada perintah suami di dalam perkara yang benar menurut syarak.

Dari Abu Hurairah ra. dari Nabi saw. bersabda: "Andaikata boleh aku perintahkan supaya seseorang itu sujud kepada seseorang, nescaya akan aku suruh perempuan sujud kepada suaminya". (H.R.Tirmizi)

2. Isteri hendaklah sentiasa menjaga kehormatannya dari gangguan lelaki lain atau mendedahkan diri kepada perkara maksiat. Firman Allah swt. maksudnya: "Wanita-wanita yang baik (soleh), ialah wanita yang yang taat kepada Allah bagi memelihara diri di balik pembelakangan suaminya oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)". (An-Nisa': 34)

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash ra. sesugguhnya Rasulullah saw. berkata: "Dunia ini adalah matabenda, dan sebaik-baik mata benda ialah wanita yang soleh". (H.R.Muslim)

3. Tidak membenarkan sesiapapun juga masuk ke rumahnya tanpa keizinan dari suaminya. Dari Umar bin Ahwas ra. dari Nabi saw. bersabda: "Adapun hak kamu atas isteri-isterimu ialah tidak diizinkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu, dan juga tidak diizinkan masuk ke rumahmu orang kamu benci". (H.R.Tirmizi)

4. Bila suami mengajak tidur bersama (berjima') janganlah ia menolak, kecuali dalam keadaan uzur syar'ei. Dari Abu Hurairah dari Nabi saw. bersabda: "Bila suami mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isterinya enggan datang (memenuhi hajat), ia dikutuk oleh malaikat hingga subuh". (H.R.Bukhari & Muslim)

5. Jangan berpuasa sunat tanpa izin suaminya. Ini kerana mungkin suami ada hajat di siang hari untuk melakukan persetubuhan.

Dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Tidak halal bagi perempuan berpuasa di siang hari sedangkan suaminya hadir di rumah, kecuali dengan izinnya, dan tidak diizinkan seseorang masuk ke rumahnya kecuali dengan izin suaminya". (H.R.Bukhari dan Muslim)

6. Jangan menyakiti suaminya sama ada dengan perkataan, perbuatan dan pembawaan atau tabiat buruknya. Dari Mu'az bin Jabal ra. dari Nabi saw. bersabda: "Tidaklah menyakiti seorang perempuan akan suaminya di dunia ini melainkan berkata isterinya dari bidadari: "Jangan kamu sakiti dia nanti kamu dikutuki oleh Allah swt. Sesungguhnya dia di samping kamu sebagai tamu sahaja, yang tidak berapa lama lagi ia akan menceraikan dan ia kembali kepada kami". (H.R.Tirmizi)

7. Jangan keluar meninggalkan rumah dengan tidak mendapat izin dari suaminya kecuali ada keperluan yang mendesak dan syar'ie. Dari Abdullah ra. dari Nabi saw. bersabda: "Perempuan itu adalah aurat,maka bila ia keluar sentiasa ia dihiasi oleh syaitan". (H.R.Tirmizi)
 
 



---oOo---


 









BAB KE SEMBILAN


NUSUZ (ISTERI DURHAKA)

Takrif Nusuz

Pengertian nusuz ialah suatu tindakan yang dilakukan oleh isteri yang di anggap menentang kehendak suami dengan tidak ada alasan yang munasabah menurut syarak.

Tanda-Tanda Isteri Nusuz

1. Apabila isteri bermuka masam atau memalingkan muka, bercakap kasar dan sebagainya sedangkan sumainya berlembut.

2. Apabila kedua suami isteri tinggal di rumah kepunyaan isteri dengan izin isteri, kemudian suatu masa isteri mengusir atau melarang suami memasuki rumah tersebut.

3. Apabila isteri musafir tidak bersama suami atau pun bukan bersama muhramnya (orang yang haram berkahwin dengannya) walaupun perjalanan yang wajib seperti pergi menunaikan ibadat haji, kerana perempuan yang musafir tanpa diiringi suami atau muhrimnya dianggap sudah melakukan satu perkara yang salah (maksiat).

4. Suami telah menyediakan rumah kediaman yang sesuai dengan keadaan suami, tiba-tiba isteri tidak mahu berpindah ke rumah itu, atau isteri meninggalkan rumah tanpa izin si suami.

Penyelesaian Terhadap Isteri Nusuz

Apabila suami melihat tanda-tanda awal yang menunjukkan isteri itu akan berlaku nusuz, suami hendaklah segera bertindak sebagai berikut:

1. Memberi Nasihat

Menasihatinya dengan cara yang baik dan menerangkan kepadanya bahawa nusuz itu adalah salah dan dikutuk oleh Allah serta memberitahunya bahawa isteri yang nusuz boleh dipotong atau tidak diberi nafkah (sara hidupnya).

Firman Allah yang bermaksud: "Isteri yang kamu takuti kederhakaan mereka, maka berilah nasihat kepada mereka". (an-Nisa': 34)

Nasihatkanlah para isteri yang menunjukkan tanda-tanda kedurhakaan itu dengan nasihat yang baik supaya ia sentiasa mencari keredaan suaminya dengan taat dan patuh kepadanya kerana dengan yang demikian ia akan mendapat keredaan Allah dan syurganya.

Sabda Nabi saw.: "Mana-mana perempuan yang telah mati sedang suaminya redha daripadanya niscaya masuk syurga". (R.Tirmizi)

Sabdanya lagi: "Tiga jenis orang yang tidak diterima sembahyang mereka, dan tidak dinaikkan kebajikannya ke langit: Hamba yang lari sehingga kembali, orang yang mabuk sehingga siuman dan perempuan yang suaminya marah terhadapnya sehingga ia redha". (R.Ibn Hibban)

2. Tinggalkan dari Berseketiduran

Apabila nasihat itu tidak sedikit pun memberi kesan, maka suami hendaklah mengambil tindakan dengan meninggalkan isteri yang nusuz dari berseketiduran. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan tinggalkanlah dari seketiduran dengan mereka". (An-Nisa': 34)

3. Memukul Isteri yang Nusuz

Sekiranya usaha kedua itu tidak juga memberi apa-apa kesan, malah isteri tersebut terus nusuz, maka diharuskan bagi pihak suami memukul isteri tersebut dengan syarat pukulan itu tidak sampai mencederakan atau melukakannya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan pukullah mereka". (An-Nisa': 34)

Dalam peringkat ini, suami harus memukul isteri sekiranya dengan cara ini difikirkan akan dapat memberi kesan yang positif. Sebaliknya kalau tidak boleh memberi kesan yang baik, maka tidak memukulnya adalah lebih baik.

Sekiranya suami terpaksa menggunakan pukulan, mestilah ia berhati-hati, supaya tidak terpukul di tempat-tempat yang mendatangkan bahaya seperti muka, perut dan sebagainya.

Sabda Nabi saw. "Dan janganlah kamu pukul pada muka, dan janganlah kamu hodohkan, dan janganlah kamu tinggalkan kecuali di dalam rumah". (H.R.Abu Daud)

Nusuz terbahagi kepada dua bahagian:

1. Nusuz yang menggugurkan nafkah dan pembahagian giliran bagi yang berbilang isteri. Iaitu keluar rumah dengan tidak meminta keizinan dari suami tanpa dharurat (keperluan yang mendesak) dan keperluan syara'. Tidaklah gugur nafkah dan pembahagian dengan sebab keluarnya isteri untuk menemui kadhi kerana menuntut hak. Atau meminta fatwa yang suaminya tidak dapat memberinya. Atau mencari rizeki yang suaminya tidak dapat memberi nafkah dengan secukupnya.

2. Nusuz yang tidak menggugurkan nafkah dan pembahagian. Iaitu seperti isteri memaki dan menyakiti hati suami dengan lidah dan lainnya. Perbuatan seperti ini tidaklah menggugurkan nafkah dan pembahagian tetapi berdosa. Suami berkewajipan memberi nasihat kepadanya.

Apabila berlaku pertikaian yang berlarutan dan menghadapi kebuntuan dalam penyelesaiannya umpama suami berlaku aniaya terhadap isteri dan isteri pula berkelakuan buruk terhadap suami, dalam keadaan seperti ini eloklah perkara ini di bawa ke pengetahuan mahkamah kadhi untuk diselesaikan melalui cara-cara yang dibenarkan oleh syarak iaitu dengan bertahkim iaitu melantik dua orang hakim seorang dari pihak isteri dan seorang dari pihak suami.

4. Bertahkim

Bertahkim ertinya mencari dan meminta pengadilan dari pihak ketiga untuk menyelesaikan perselisihan suami isteri yang sukar untuk didamaikan dan sudah mengalami kebuntuan.

Firman Allah swt. Maksudnya: "Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, maka kirimlah seorang hakam (pengadil) dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan. Jika kedua orang hakam itu bermaksud mengadakan perbaikan niscayaa Allah akan memberi taufiq kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengenal". (An-Nisa': 35)

Islam mengajarkan kepada kita dalam masalah ini supaya mencari seorang hakim (pengadil) yang adil dan dapat dipercayai serta mempunyai kewibawaan dari segi keperibadian dan ilmunya seorang hakim dari pihak suami dan seorang hakim dari pihak isteri yang bertindak sebagai badan pendamai.

Kedua orang hakim yang dilantik itu hendaklah berusaha mencari penyelesaian dalam masalah yang rumit ini. Keputusan dua orang hakim yang telah dipilih dari kedua belah pihak itu haruslah dihormati.

Hakim bertindak sebagai pengadil yang mana keputusannya adalah diambil kira oleh suami isteri yang berbalah, keluarga mereka dan mahkamah. Kedua orang hakim ini boleh mengambil keputusan dalam penyelidikannya itu sama ada suami isteri itu boleh terus kekal sebagai suami isteri atau mereka harus bercerai.

Dalam perkara seperti ini keputusan dua orang hakim ini hendaklah dipatuhi dengan sebaik-baiknya. Jika sekiranya keputusan bercerai telah diambil maka kedua suami isteri tersebut wajib bercerai. Inilah jalan yang sebaik-baiknya bagi kedua belah pihak suami dan isteri yang berbalah dan mencari penyelesaian yang munasabah dan adil. Seringkali apa yang berlaku dalam masyarakat kita ketentuan Allah dalam perkara pertikaian suami isteri ini tidak mengikut garis panduan yang sewjarnya yang bermula dari nasihat yang baik dari suami seterusnya hinggalah kepada perlantikan dua orang hakim dalam menyelesaikan perbalahan dan pertikaian mereka.

Apa yang selalu berlaku ialah bergaduh, bertubuk dan akhirnya bercerai berai. Apa yang lebih parah dalam perkara ini ialah ah apabila perceraian itu mengakibatkan penderitaan anak-anak yang tidak mengenal lagi erti hidup yang sangat mencabar ini akhirnya mereka menjadi terbiar dan menjadi sampah masyarakat dan terjadilah berbagai perkara yang tidak diingini. Darinya akan menambahkan penganggur, penjenayah, penagih dadah dan sebagainya.

Islam sangat memandang berat terhadap kesan yang sangat negatif ini yang berpunca dari suasana dan keadaan rumah tangga yang yang buruk dan lari dari suasana rumahtangga Islam yang diatur oleh Allah swt.

Tidak ada jalan lain yang lebih baik dan selamat malainkan hendaklah kita insaf dan kembali kepada jalan yang lurus dan benar iaitu kita semua kembali ke jalan Islam dalam semua perkara termasuk dalam membina dan mewujudkan rumahtangga bahagia dan sempurna yang berlandaskan kepada peraturan dan hukum-hukum Agama Islam yang maha suci.
 
 





---oOo---


 









BAB KE SEPULUH


TALAQ

Takrif TalaqPengertian talaq dari segi bahasa bererti: Melepaskan ikatan. Dari segi isti-lah syarak: Melepaskan ikatan perkahwinan (aqad nikah) dengan lafaz talaq atau perkataan yang seerti dengannya. Dalil Disyariatkan Talaq 1. Firman Allah: Maksudnya: "Talaq (yang boleh dirujuk) itu dua kali, sesudah itu suami diberi kelonggaran) untuk rujuk semula dengan baik atau (kalau tidak ingin rujuk semula) hendaklah dilepaskan dengan baik". (Al-Baqarah: 229) 2. Hadis Rasul Allah saw. ertinya: "Tidak ada sesuatu perkara yang halal yang paling dibenci oleh Allah selain dari talaq". (Riwayat Abu Daud)

Hikmat Disyariatkan Talaq

Perceraian adalah suatu yang paling dibenci oleh Allah swt. sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud di atas, tetapi kejadian manusia itu sendiri yang tidak sunyi dari kesilapan, pergaduhan dan perselisihan dalam lingkungan masyarakatnya dan tidak dinafikan keadaan demikian akan terjadi juga dalam sesebuah rumahtangga.

Apabila perselisihan berlaku kepada suami isteri semestinya ia diselesaikan dengan adil dan sempurna tetapi dalam sesuatu keadaan penyelesaian ini tidak dapat dilaksanakan, apa yang berlaku adalah kebuntuan dan kerumitan yang berterusan dan berpanjangan tanpa ada penyelesaian.

Dalam keadaan seperti ini Islam memberikan jalan keluar yang muktamad untuk menyelesaikannya iaitu perceraian, kerana dengan adanya jalan yang di atur oleh Islam ini, mereka boleh menyelesaikan masalah mereka masing-masing mengikut kemahuan dan keinginannya, dan dengan itu mereka boleh mencari pasangan lain yang lebih sesuai dengannya. Maka dengan ini akan menjadi tenteramlah suasana rumahtangga dan masyarakat pun akan menjadi lebih baik dan sempurna.

Hukum Menjatuhkan Talaq

Memandangkan kepada adanya kemaslahatan dan kemudharatan kepada suami isteri, maka hukum talaq itu dibahagi kepada empat.

1. Wajib iaitu apabila terjadi perselisihan di antara suami isteri, sedangkan kedua-dua hakim (dari pihak suami dan isteri) yang menghakimkan perkara itu berpendapat mereka perlu bercerai.

2. Sunat iaitu apabila suami tidak sanggup lagi menanggung nafkah isteri dengan cukup, atau pun isteri tidak menjaga kehormatan dirinya sebagaimana sabda Rasulullah saw. yang bermaksud: Seorang lelaki datang menemui Nabi saw. lalu berkata: "Bahawasanya isteri ku tidak menolak akan tangan orang yang menyentuhnya" Jawab Nabi saw. "Hendaklah engkau ceraikan isteri engkau itu". (Al-Hadis)

3. Haram (Bid'ah) dalam dua keadaan:

3.1. Menjatuhkan talaq waktu isteri sedang dalam haid.

3.2. Menjatuhkan talaq sewaktu isteri suci yang disentubuhinya di waktu suci itu. Sepatutnya

kalau hendak diceraikan jangan disentubuhi lagi selepas isteri suci daripada haid.

4. Makruh Iaitu jika suami menceraikan isteri yang baik dan tidak terdapat apa-apa kesalahan.

Rukun Talaq

Rukun talaq ada lima perkara:

1. Suami (yang menjatuhkan talaq)

2. Isteri (yang kena talaq)

3. Lafaz talaq (sighah)

4. Qasad (dengan niat sengaja)

5. Wilayah (isteri yang dalam milik dan di bawah kekuasaan suami)

Syarat-syarat Suami Yang Menjatuhkan Talak

1. Baligh - Tidak sah talaq dari suami yang gila atau yang hilang akal kecuali yang disengajakan,

maka jatuhlah talaqnya.

2. Dengan kehendak sendiri - Tidak sah talaq dengan paksaan sebagaiman sabda Rasul Allah

saw. yang bermaksud: "Tidak sah talaq dengan paksaan". (H.R.Abu Daud dan Ibnu Majah)

Peringatan: Menjadi sah talaq dengan paksaan ini dengan beberapa syarat.

Syarat-Syarat Sah Paksaan

i- Orang yang memaksa itu berkuasa untuk melaksanakan segala ugutan secara zalim.

ii- Yang kena paksa itu lemah atau tidak berdaya untuk mempertahankan diri sama ada dengan

lari atau sebagainya.

3. Dengan sengaja - Tidak sah talaq dengan tidak sengaja (tidak berniat) seperti terlanjur lidah bagi orang yang latah atau guru yang mengucapkan untuk mengajar murid-muridnya.

Lafaz Talaq

Cara melafazkan talaq terbahagi kepada dua:

1. Lafaz yang terang-terang menunjukkan talaq (shoreh) iaitu lafaz yang digunakan itu adalah talaq atau cerai, seperti kata suami: "Aku talaqkan kamu atau aku ceraikan kamu ".

2. Lafaz sindirian (kinayah) iaitu lafaz yang mengandungi makna talaq dan makna yang lain berdasarkan kepada niat orang yang melafazkannya seperti kata suami: "Berpisahlah kita". Atau "Baliklah awak ke rumah ibu bapa awak". Dan sebagainya.

Peringatan: Lafaz kinayah ini memerlukan niat untuk sahnya talaq itu, ertinya suami yang mengucapkan kata-kata seperti itu (kinayah) mestilah meniatkan yang ia bermaksud dengan kata-katanya itu sebagai talaq atau cerai.

Beberapa Masalah Talaq

Tidak sah talaq kecuali dengan lafaz shorih (terang) atau kinayah yang disertai dengan niat talaq. Lafaz talaq disyaratkan disebut dengan jelas sekadar terdengar kepada dirinya sendiri maka tidak sah talaq sekiranya dilafazkan dengan suara terlalu rendah sehingga tidak kedengaran kepada diri sendiri.

3. Talaq dikira gugur walaupun tidak dihadapan saksi.

4. Untuk menjatuhkan talaq disyaratkan suami itu orang yang berakal, bukan gila dan bukan kanak-kanak.

Talaq tidak boleh digurau sendakan. Adanya seorang suami memain-mainkan perkataan talaq terhadap isteri di dalam keadaan biasa atau dalam satu-satu lakunan drama, sandiwara dan sebagainya, maka gugur talaq isterinya.

Sebagaimana sabda Rasul Allah saw. yang bererti: "Tiga perkara yang disungguh-sungguhkan menjadi sungguh dan dipermain-mainkan pun menjadi sungguh iaitu nikah, talaq dan rujuk". (R.Tirmizi)

Talaq Sunni dan Bi'die

1. Talaq Sunni iaitu isteri yang pernah disentuhi kemudian dijatuhkan talaq ke atasnya ketika sedang suci dari haid dan tidak pula disentuhi dalam masa sucinya itu, kerana yang demikian itu akan mempercepatkan selesai eddahnya.

2. Talaq Bid'ie iaitu menggugurkan talaq ke atas isteri yang pernah disentuhi diwaktu ia sedang dalam haid atau di waktu suci tetapi di sentuhi di dalam suci itu. Talaq ini ditegah, kerana menggugurkan talaq di waktu haid menyebabkan panjangnya masa eddah dan menggugurkan di waktu suci setelah disetubuhi mengakibatkan penyesalan bila didapati isteri hamil selepas itu.

Talaq Yang Bukan Sunni dan Bi'die

1. Menggugurkan talaq ke atas isteri yang masih kecil dan belum haid.

2. Menggugurkan talaq ke atas isteri yang telah tua dan telah putus daripada haid.

3. Menggugurkan talaq ke atas isteri yang sedang hamil.

4. Isteri yang menebus talaq (khuluk) tetapi belum pernah disentuhi.

Peringatan: Ke empat-empat jenis isteri di atas itu harus dijatuhkan talaknya pada bila-bila masa sahaja.

Bilangan Talaq

Bagi suami yang merdeka (bukan hamba) berhak menggugurkan talaq terhadap sterinya dari talaq satu hingga talaq tiga. Pada talaq satu atau dua, suami boleh rujuk kembali sebelum habis eddahnya, jika telah habis eddahnya, suami masih boleh berkahwin semula dengan aqad yang baru.

Firman Allah yang bermaksud: "Talaq itu dua kali, sesudah itu suami dibenarkan rujuk kembali dengan baik atau melepaskannya dengan baik (jika tidak ingin kembali)". (Al-Baqarah: 229)

Perempuan yang telah ditalaq tiga ini tidak boleh dirujuk dan tidak boleh dikawhwini semula kecuali ia telah berkahwin dengan lelaki lain, kemudian diceraikan pula oleh suami yang kedua serta selesai eddahnya.

Firman Allah yang bermaksud: "Maka jika sisuami mentalaqnya (sesudah talaq yang kedua), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya hingga dia kahwin dengan suami yang lain. Kemudian jika suami yang lain itu menceraikannya, maka tidak ada dosa bagi keduanya (bekas suami pertama dan isteri) untuk kahwin kembali jika keduanya berpendapat akan dapat menjalankan hukum-hukum Allah. Itulah hukum-hukum Allah, diterangkan-Nya kepada kaum yang mahu mengetahui". (Al-Baqarah: 230)

Dari itu terbuktilah bahawa suami yang pertama boleh berkahwin semula dengan bekas isterinya yangh ditalak tiga itu setelah isterinya itu diceraikan oleh suami yang kedua (selepas selesai eddahnya) dengan syarat suami yang kedua itu mestilah bersetubuh dengan isterinya itu. Oleh itu tidaklah memadai berkahwin sahaja kemudian diceraikan tanpa disetubuhi.

Dari 'Aisyah ra. sabda Rasulullah saw. "Barangkali engakau hendak kembali kepada Rifa'ah, jangan, sebelum dirasainya lazat madu engkau (persetubuhan) dan engkau merasai pula madunya lebih dahulu". (H.R.Bukhari dan Muslim)

Perlu diingat perkahwinan yang kedua ini hendaklah benar-benar dengan kemahuan lelaki dan perempuan itu, bukan kerana hendak membolehkan semula suami pertama itu mengahwini bekas isterinya sebagaimana yang banyak berlaku di zaman sekarang. Perbuatan seperti ini adalah berlawanan dengan ajaran Islam, dan Allah memurkai perbuatan ini.

Sabda Rasulullah saw. bermaksud: "Rasulullah saw. telah mengutuk muhallal (cina buta) begitu juga orang yang menyuruh membuat cina buta (lelaki yang pertama)". (Riwayat Ahamd,Nasaie dan Tirmizi)

Cara Menjatuhkan Talaq Tiga

1. Menjatuhkan talaq itu tiga kali pada masa yang berlainan seperti: Suami menjatuhkan talaq satu terhadap isterinnya. Kemudian dalam masa eddah ditalaqnya satu lagi kemudian dalam masa eddah kedua ditalaqnya lagi dengan talaq satu.

2. Suami menjatuhkan talaq satu terhadap isterinya kemudian selepas selesai eddah dikahwininya semula kemudian ditalaqnya lagi, setelah selesai eddah dikahwininya lagi, kemudian ditalaqnya lagi bagi kali yang ketiga.

Peringtan: Kedua-dua cara tersebut, ulamak berpendapat bahawa talaq itu jatuh menjadi talaq tiga dan berlaku hukum-hukum talaq tiga sebagaimana yang disebut di atas tadi.

3. Cara yang ketiga suami menjatuhkan talaq seperti katanya: Saya talaq awak dengan tiga talaq, atau katanya: Saya talaq awak, saya talaq awak, saya talaq awak, dengan cara diulang-ulang perkataan tersebut berturut-turut tiga kali.

Beberapa Pendapat Ulamak Mengenai Cara Di Atas

a) Jatuh talaq tiga dan berlakulah hukum-hukum talaq tiga padanya.

b) Tidak jatuh talaq sama sekali.

Sebagaimana sabda Rasul Allah saw. yang bererti: "Sesiapa yang mengerjakan suatu perkerjaan yang tidak menurut perintah kami maka perkerjaan itu di tolak". (Riwayat Muslim)

Talaq bukan perintah Rasulullah malah dilarang oleh baginda. Talaq tiga cara diatas adalah ditolak sama sekali, maksudnya tidak sah.

c) Jatuh talaq satu, maka berlakulah hukum talaq satu padanya, ini bererti suami masih boleh rujuk semula selama isteri tersebut masih dalam eddah atau boleh berkahwin semula jika telah selesai eddahnya. Sebagaimana sabda Rasuylullah saw.

Dari Ibnu Abbas ra. Sesungguhnya Rukanah telah menjatuhkan talaq ke atas isterinya dengan talaq tiga di tempat yang satu, kemudian beliau merasa terlalu sedih terhadap perceraian itu, maka nabi saw. bertanya kepadanya, sabda bagainda:"Bagaimana engkau menggugurkan talaq itu ? Jawab Rukanah Talaq tiga pada satu masa "Kemudian Rasulullah saw. bersabda "Sesungguhnya talaq yang demikian itu talaq satu, maka rujuklah". (H.R.Ahmad, Abu Ya'la dan disahihkannya)

Orang Yang Tidak Sah Menggugurkan Talaq

1. Budak

2. Orang gila

3. Orang yang tidur. Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Diangkat qalam (tidak diambil kira)

tiga orang ini, budak sehingga baligh, orang gila sehingga siuman dan orang yang tidur

sehingga terjaga". (H.R.Abu Daud & Tirmizi)

4. Orang yang dipaksa menceraikan isterinya. Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Tidak (sah)

talaq dan memerdekakan kepada orang yang dipaksa". (H.R.Daud dan Ibnu Majah)
 
 





-----oOo-----