INSTITUSI KEKELUARGAAN ISLAM

 



 

(BAHAGIAN PERTAMA)


 

MUKADIMAH

 
 

Al-Hamdulillah kita bersyukur ke hadhrat Allah swt. yang mencipta manusia dari Nabi Adam as. dan Adam as. dari tanah kemudian Ia telah menyempurnakannya dengan sebaik-baik kejadian. Selawat dan salam kepada Junjungan Nabi Muhammad saw. keluarganya, para sahabatnya, para syuhadak, ulamak, solihiin dan muja-hidiin hingga ke yaumid-deen.

Buku ini di tulis bertujuan bagi memudahkan kepada mereka yang ingin menambahkan pengetahuan terutama para belia yang bercita-cita mendirikan rumahtangga semoga dengan buku kecil ini akan dapat memberi sedikit sebanyak panduan dan pertolongan kepada mereka.

Rumahtangga merupakan suatu institusi yang sangat penting dalam masyarakat terutama fungsinya dalam menjaga serta mendidik anggota-anggota keluarganya supaya menjadi manusia yang baik beriman dan bertaqwa.

Untuk melahirkan generasi yang baik ini hendaklah bermula dengan pembentukan keluarga yang baik di mana rumahtangga tersebut hendaklah mempunyai ciri-ciri rumahtangga muslim. Rumahtangga muslim terbentuk dari suami isteri yang muslim dan soleh kemudian mereka mendidik dan membentuk anak-anak yang soleh dan bertaqwa.

Pembentukan keluarga dalam Islam merupakan antara faktor yang terpenting dalam pembentukan sebuah masyarakat yang unggul, harmoni, dan bahagia. Oleh yang demikian untuk membentuk sebuah keluarga, Islam memberi garis panduan yang sesuai serasi dengan kejadian semula jadi manusia itu sendiri (fithrah).

Sebelum kita bercakap lebih jauh lagi tentang pembentukan keluarga ini, adalah lebih baik kita bercakap perkara yang bersangkutan dengan unsur-unsur pokok dalam pembentukan peribadi muslim yang akan menjadi tunjang dan kemudi dalam rangka melayari bahtera kehidupan berumahtangga nanti.

Sifat-sifat yang harus wujud dalam diri setiap muslim yang ingin mendirikan rumahtangga ialah sifat taqwa yang mengandungi ciri-ciri berikut:

1. Mempunyai keimanan yang sah serta ibadah yang benar.

2. Beramal dengan amalan yang betul dan benar menurut syari'at Islam yang sah dan diakui.

3. Berakhlak dengan akhlak Islam yang didasarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah saw.

4. Memahami dengan sebaik-baiknya hukum-hukum Munakahaat, termasuk peraturan dan adab-adab

berumahtangga menurut Islam.

Perkara pokok yang disebutkan di atas merupakan suatu asas dalam melihat peribadi seseorang yang baik untuk tapak dalam mengurus dan mengendalikan sebuah rumahtangga yang bahagia. Oleh itu tapak pertama yang hendak diselesaikan ialah peribadi suami isteri itu sendiri kerana darinyalah nanti akan lahir generasi muslim yang baik (soleh) atau sebaliknya.

Oleh itu pembentukan rumahtangga bahagia hendaklah diasaskan dengan asas iman dan taqwa serta perasaan yang penuh tanggungjawab kepada Allah swt. bukan dengan asas nafsu dan kebendaan melulu. Perkahwinan yang didasarkan di atas kebendaan semata-mata adalah suatu ikatan perkahwinan yang sangat rapuh dan mudah bila-bila masa sahaja untuk roboh dan runtuh.

Untuk menjamin terlaksananya matlamat perkahwinan dalam Islam itu dengan sempurna, Islam telah memberi garis panduan yang lengkap dan teratur untuk emua manusia kerana panduan tersebut merupakan panduan Allah yang dicipta untuk kepentingan makhluk-Nya semata-mata untuk kepentingan dan kebahagian umat manusia itu sendiri.

Dalam Hukum-Hukum Munakahaat ini dibentangkan garis panduan yang bermula dari bagaimana proses mencari jodoh dan bagaimana cara pergaulan terbaik suami isteri menurut Islam sehinggalah kepada peraturan dan hukum bagaimana untuk menyelesaikan krisis yang timbul. Begitu juga bagaimana peraturan jika berlaku perceraian dan rujuk, seterusnya perkara yang berhubung dengan pemeliharaan dan nafkah anak-anak dan penjelasan secara tepat tanggungjawab suami/isteri dan hukum berpoligami.

Begitulah lengkapnya peraturan Islam dalam hubungan kekeluargaan ini, jika difahami dengan betul dan keinsafan yang mendalam oleh setiap manusia nescaya mereka akan dapat mengecapi kehidupan berkeluarga dengan sempurna dan bahagia.

Oleh kerana masyarakat pada hari kebanyakanya sudah membelakangi peraturan kekeluargaan Islam ini, maka banyaklah berlaku keretakan dan kemusnahan dalam ikatan rumahtangga orang Islam khususnya orang Melayu. Kemusnahan keluarga yang tenat akan mengakibatkan tidak stabilnya kehidupan manusia itu seluruhnya. Kemusnahan institusi kekeluargaan ini akan menambahkan lagi ketenatan masyarakat yang sudah begitu musnah dengan berbagai maksiat dan kemungkaran.

Untuk membaiki keadaan buruk ini dari berleluasa dan berterusan sehingga kesuatu tahap yang serius dan tidak dapat dibaiki lagi, tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada sistem hidup Islam yang satu-satunya boleh membaiki dan menyelesaikan segala persoalan hidup manusia. Percayalah dengan janji Allah, berimanlah dengan al-Quran dan yakinlah dengan pengajaran Nabi Muhammad saw.

Kita berdoa kehadrat Allah swt. supaya menyelamatkan kita semua dari kebinasaan ini dengan sebab kelalaian kita sendiri terhadap tanggungjawab kita sebagai seorang mukmin yang beriman terhadap hukum dan peraturan Allah.

Sekian, terima kasih. Semoga amal yang sedikit dan tidak sepertinya ini dapat menjadi bekalan di akhirat kelak. Amin !
 
 



---oOo---


 






Abu Ahmad Syakir, Mohd Sobari ibn Abdussalam
 
 

1-132, Jalan Pelindong 1

26100 Beserah,

Kuantan.

10/1/1998



 
 
 
 

BAB PERTAMA



 

 

PANDANGAN ISLAM TERHADAP KEKELUARGAAN
 

Mukadimah

Keluarga adalah asas dan sumber kekuatan masyarakat. Ini adalah kerana masyarakat itu terdiri dari unit-unit keluarga,dan keluarga adalah laksana unsur yang membentuk tubuh. Jika keluarga baik, nescaya masyarakat pun akan menjadi baik,dan sebaliknya jika keluarga itu rosak maka masyarakat seluruhnya akan menjadi rosak.

Sesebuah masyarakat itu pula akan menjadi baik dan dipandang baik hanya apabila ia berlandaskan kepada sistem hidup yang hak, iaitu Islam, yang mana pengabdian seseorang itu hanya kepada Allah semata-mata dan tidak mengabdikan diri kepada sesama makhluk (manusia) atau mengabdikan diri kepada selain dari Allah swt. Inilah pengabdian atau ketundukan serta kepatuhan yang sebenar-benarnya bagi seseorang manusia dan seluruh makhluk lainnya kepada al-Khaliqnya.

Fungsi utama institusi keluarga dalam Islam adalah untuk menjamin wujudnya suasana di mana penghayatan Islam dapat tumbuh dan berkembang di dalamjiwa, diri dan peribadi ahli keluarga dengan itu akan membawa kepada suatu suasana yang baik kepada kesejahteraan negara seluruhnya. Melalui institusi ini generasi muda dapat diasuh dan dididik untuk mencintai Islam dan mengamalkannya, melalui insti tusi ini jugalah generasi muda ditarbiah untuk mendukung aspirasi-aspirasi yang diredai dan yang dikehendaki oleh Allah swt.

Suasana yang indah dan harmoni seperti ini akan wujud di dalam sebuah keluarga yang hidupnya berlandaskan peraturan dan cara hidup Islam kerana pertalian antara ahli keluarga dan segala perlakuan mereka itu berdasarkan Iman dan Taqwa kepada Allah semata-mata. Disamping terdapat hak-hak dan tanggungjawab dalam setiap ahli keluarga yang diatur dengan saksama dan adil menurut Islam.

Firman Allah swt. maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda-Nya kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-bena terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir ". (Ar-Rum: 21)

Keadaan tidak sihat seperti adanya perasaan dengki dan dendam, tidak puas hati, merasa tertindas atau mementingkan diri sendiri, tidak mendapat tempat di dalam keluarga Islam. Malah apa yang timbul adalah perasaan kasih sayang, kerjasama dan perpaduan antara ahli-ahli keluarga.

Fungsi dan peranan keluarga ini amat penting difahami oleh setiap muslim dam muslimah khususnya para ibu dan bapa Islam. Kehidupan berkeluarga tidak boleh dianggap hanya sekadar ingin memenuhi runtunan nafsu jantina semata-mata tetapi ia adalah suatu amanah Allah swt. dan ia juga merupakan anasir yang utama dan penting dalam rangka usaha ke arah pembentukan generasi Islam, masyarakat Islam dan seterusnya Negara Islam yang baik, aman makmur dan di redhai oleh Allah swt.

Matlamat dan Tujuan Institusi Kekeluargaan Islam

1. Penerusan dan Pengekalan Zuriat Bani Adam

Penerusan zuriat manusia di alam ini merupakan tabie dan sunnatullah, kepentingannya kembali kepada umat manusia itu sendiri yang sifatnya sebagai khalifah Allah swt. di muka bumi ini, yang ditugaskan untuk memakmurkannya mengikut hukum dan peraturan-Nya, untuk itu tidak ada jalan melainkan dengan cara pengekalan zuriat bani Adam itu sendiri melalui perkahwinan yang menjadi asas dalam pembinaan institusi kekeluargaan yang teguh dan mantap.

Firman Allah maksudnya: "Hai sekalian manusia betakwalah kepada Tuhanmu yang telah mencipta kamu dari seorang diri dan daripadanya Allah memperkembang biakan lelaki dan perempuan yang banyak."(an-Nisak: 1)

2. Menjaga Akhlak dan Kemurnian Peribadi

Dengan adanya perkahwinan ini juga akan terjaminlah kemuliaan akhlak manusia dan akan menjadi murni dan bersih keturunan jenis manusia dari noda dan kekotoran zina. Islam menjaga diri manusia supaya sentiasa suci dan baik dengan membentuk suatu keluarga yang dapat mengawal setiap dari anggota keluarga itu dari menyeleweng dan terjerumus ke lembah kehinaan. Institusi keluarga merupakan suatu jalan terbaik dalam memelihara kemurnian peribadi manusia umumnya dan peribadi anggota keluarga itu khususnya.

Firman Allah maksudnya: "Kerana itu kahwinilah mereka dengan seizin tuannya, dan berilah maskahwin menurut yang patut, sedang mereka pun wanita-wanita yang memelihara diri bukan penzina dan pula wanita yang mengambil lelaki lain sebagai piaraan". ( )

Rasulullah saw bersabda: "Hai para pemuda ! Baragsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, maka kahwinlah sebab ia dapat menundukan pandangan dan memelihara kemaluan; tetapi barangsiapa yang tidak mampu, maka hendaknya ia berpuasa, sebab puasa itu baginya merupakan pelindung." (H.R.Ahmad, Bukhari dan Muslimdari Samurah)

3. Menguatkan Hubungan Kasih Sayang

Dengan ikatan perkahwinan ini kasih sayang akan dapat dijalin dengan lebih erat, suci, teratur dan penuh rasa tanggungjawab dalam lingkungan rumahtangga khususnya dan di kalangan ahli keluarga pada umumnya. Perkahwinan juga akan dapat mewujudkan satu suasana yang seimbang, pergaulan yang murni, teratur dan kebahagiaan yang sejati dan berkekalan.

Firman Allah maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir". (ar-Rum: 21)

4. Jaminan Keutuhan Sosial dan Ekonomi

Institusi Kekeluargan merupakan suatu jaminan yang ampuh terhadap kesejahteraan seseorang terutama anak-anak, keluarga dan maysarakat seluruhnya. Hidup mereka terjamin dengan adanya suatu keluarga yang mantap dan dikendalikan secara dasar-dasar Islam yang teguh.

Di dalam Islam jaminan kebahagian dan ekonomi sama ada dari keselamatan anggota keluarga dan kecukupan sara hidupnya dari makan, minum, pakaian dan rumah tempat kediaman adalah tertanggung di atas diri suami atau ketua keluarga iaitu bapa.

Dengan ini jelaslah betapa insitusi keluarga Islam adala suatu insitusi yang di bentuk dengan tujuan memberi jaminan sosial dan ekonomi yang penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang yang lahir dari hati yang ikhlas kerana yang demikian itu selain dari kewajipan ia juga merupakan suatu ibadah yang diberi ganjaran bagi mereka yang menyempurnakannya. Institusi Kekeluargaan Islam yang dibina di atas dasar dan peraturan Islam yang dapat melahirkan suatu generasi yang bertanggungjawab yang dapat meneruskan lagi jihad membawa risalah Islam untuk generasi yang akan datang, sekiranya institusi kekeluargaan ini gagal mendidik mereka maka kesan terhadap generasi Islam akan datang mungkin akan timbul.

5. Pembentukan dan Pembinaan Nilai

Institusi keluarga merupakan suatu tapak dan asas dalam membina dan membentuk watak serta peribadi anak-anak yang akan mewarisi bentuk rupa masyarakat generasi yang akan datang, jika pembentukan di waktu ini berjalan dengan sempurna dan baik maka rupa bentuk masyarakat akan datang akan menjadi baik dan semmpurna.

Oleh itu ketua keluarga merupakan besar dan berat tanggungjawabnya dalam mengendalikan dalam membina watak serta sikap dan keperibadian anak-anak mereka supaya akan lahirlah suatu generasi yang boleh diharapkan dalam menyambung risalah ini.

6. Memperluaskan Lagi Lengkongan Kerabat dan Kekeluargaan

Institusi Kekeluargaan Islam merupakan suatu cara bagi memperluas lengkongan kekeluargaan yang terdiri dari berbagai kelompok kaum dan bangsa dan ini adalah suatu cara yang paling baik bagi menghubung dan mempereratkan lagi tali hubungan sesama Islam yang sangat dituntut.

Perpaduan yang di jalin melalui hubungan perkahwinan seperti ini adalah suatu ikatan sesama muslim yang lebih tabie dan lebih bermakana bagi mewujudkan suatu perpaduan Islam yang lebih besar sebagai keluarga Islam seluruh dunia.

7. Memperkuatkan Usaha dalam Mencapai Hidup yang lebih Sempurna

Institusi kekluargaan Islam akan dapat mendorong setiap anggota keluarga yang di ketuai oleh ketua keluarga iaitu ibu dan bapa bagi memperteguh dan memperluaskan lagi kegiatan ekonomi bagi kepentingan keluargany di samping akan membantu negara dalam mengembangkan dan memperluaskan aktiviti ekonomi.

Dengan yang demikian dorongan mencari rizeki disebabkan rasa tanggunjawab ini adlah lahir dari kesedaran bahawa setiap ketua keluarga wajib memberi nafkah dan memberi segala keperluaan keluarganya seperti pendidikan dan kasih sanyag sehingga mereka mencapai hidup yang lebih bahagia, sempurna dan lebih bermakna.

Islam adalah sangat menggalakan supaya setiap anak gadis yang sudah remaja dan bersedia untuk berumahtangga supaya tidak menangguh-nagguhkan lagi kerana sekiranya bakal suaminya kurang berkemampuan Allah akan memberi lempahan rizeki-Nya kepada keluarga yang bertakwa.

Kesimpulannya bahawa institusi kekeluargaan yang menjadi asas pembinaannya adalah ikatan perkahwinan merupaka suatu institusi dalam sistem hidup Islam yang mempunyai matlamat dan tujuan yang begitu murni bagi membina suatu kehidupan manusia yang sejahtera, bahagia, harmoni dan setrusnya aman sentosa dunia dan akhirat
 
 





---oOo---


 







BAB KE DUA



 
 

HUKUM-HUKUM PERKAHWINAN
 
 

1. Konsep Perkahwinan

Perkahwinan merupakan suatu proses pebentukan suatu institusi kekuargaan yang dapat membina suatu bentuk keluarga yang mantap dan teguh kerana di dalamnya mempunyai segala peraturan-peraturan yang perlu dalam membina suatu suasana yang bahagia dan sejahtera. Perkahwinan juga merupakan suatu sistem bagi meneguhkan ikatan dan perpaduan masyarakat dan seterusnya membina sebuah negara yang kuat dan sejahtera.

Rumahtangga merupakan suatu unit yang paling kecil dalam mayarakat dan dalam negara, sekiranya unit-unit keluarga ini baik dan sejahtera maka akan terbentuklah masyarakat yang baik dan seterusnya negara yang bahagia.

Islam memandang berat unsur-unsur pembentukan keluarga atau perkahwinan ini dengan menetapkan beberapa peraturan dan hukum untuk memlihara dan menjaga sesuatu perkahwinan itu akan berada di dalam keadaan baik dan sempurna.

Dengan perkahwinan banyak kebaikan yang akan dapat diperolehi oleh kedua belah pihak terutama dapat menjadikan dan mewujudkan suatu kebajikan di mana kasih sayang, tanggungjawab dan perkahwinan juga merupakan suatu fithrah semula jadi manusia yang ingin berpasangan dan ingin membentuk keluarga. Islam yang merupakan suatu agama fithrah yang meyempurnakan keinginan naluri manusia begitu menggalakan supaya setiap pemuda yang sudah mempunyai kemampuan supaya segera mendirikan rumahtangga.

1.2 Takrif Nikah‚

1.2.1. Pengertian nikah dari segi bahasa ialah bercampur. Nikah dari segi syarak pula ialah aqad yang mengandungi keharusan sentuh menyentuh (jimak) dengan lafaz nikah atau kahwin atau yang seerti dengannya.

1.2.2. Nikah dari segi bahasa ialah kumpul, himpun dan cantum. Nikah dari segi istilah pula ialah satu aqad yang dilakukan untuk mengharuskan lelaki dan perempuan melakukan persetubuhan, dengan lafaz nikah, tazwij atau terjemahannya.

1.3. Dalil-dalil disyariatkannya nikah:

1.3.1. Firam Allah swt. bermaksud: "Maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi: dua, tiga dan empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinilah seorang sahaja". (An-Niasa':3)

1.3.2. Firman Allah swt. maksudnya: "Dan kahwinkanlah orang yang sendirian di antara kamu dan orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui". (An-Nur:32)

1.3.3. Dari Anas ra. berkata ia: Rasulullah saw. bersabda: "Maka barang siapa yang membenci akan sunahku, maka ia tidak masuk ummatku". (H.R.Bukhari & Muslim)

1.3.4. Sabdanya lagi maksudnya: "Hai para pemuda,barangsiapa yang mampu di antara kamu berkeinginan hendak kahwin, maka berkahwinlah. Kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan menjaga penglihatan dan lebih memelihara kehormatan. Dan barangsiapa yang belum sanggup, maka berpuasalah, kerana sesungguhnya puasa itu boleh mengekang syahwat". (H.R.Bukhari & Muslim dari Ibnu Mas'ud)

1.4. Hukum Berkahwin (Nikah)

1.4.1. Sunat bagi mereka yang mampu dan sanggup memikul tanggungjawab perkahwinan.

1.4.2. Wajib bagi mereka yang sanggup memikul tanggongjawab perkahwinan dan ia takut terjerumus

ke dalam dosa (zina).

1.4.3. Makruh bagi lelaki yang sekiranya berkawhwin akan membawa kemudharatan dan ia tidak

berkeinginan untuk berkahwin dan makruh juga bagi lelaki yang jika sekiranya ia berkahwin

membawa kepada rosaknya suatu ketaatan kepada Allah swt. atau menjadikan terbantutnya

usaha-usaha mencari ilmu (agama).

1.4.4. Haram bagi mereka yang dengan perkahwuinan itu boleh merosakan hak-hak suami isteri.

1.4.5. Harus, ini adalah hukum asal bagi perkahwinan.

Pada dasarnya undang-undang kekeluargaan Islam ini bertujuan memberi perlindungan kepada sesebuah rumahtangga yang dibina di atas dasar Islam sepenuhnya, lebih-lebih lagi memberi jaminan kepada wanita-wanita Islam yang penuh beriman kepada Allah swt.

Hukum-hukum perkahwinan Islam ini merupakan undang-undang ciptaan Allah yang Maha Bijaksana. Oleh itu segala krisis yang timbul dalam lingkungan rumahtangga Islam dapat diselesaikan dengan adil dan sebaik-baiknya oleh hukum Allah swt ini.

Timbulnya berbagai keadaan yang buruk terhadap keluarga Islam pada hari ini kerana tidak terlaksana dengan sepenuhnya peraturan Allah swt. dan apa yang lebih dahsat lagi ada setengah dari kalangan orang Islam sendiri yang menolak, menghina dan memperolok-olokkannya.

Tujuan besar peraturan Ilahi bukanlah untuk menyusahkan manusia, tetapi tidak lain melainkan untuk memimpin manusia ke jalan lurus, jalan yang benar dan jalan keredhaan Allah swt. dan kebahagian yang abadi di dunia dan di akhirat.

Amat malanglah kepada sesiapa yang tidak yakin dan tidak bersedia menerima jalan lurus ini dalam hidupnya. Mereka yang sesat ini akan rugi dan menyesal di akhirat kelak untuk selama-lamanya.

Sebagai langkah untuk menuju kepada penerimaan sepenuhnya sistem hidup Allah swt. ini, marilah kita pelajari dan seterusnya menerima dan mengamalkan sistem dan hukum-hukum kekeluargaan Islam ini supaya kita mendapat berkat dan rahmat Allah swt. di dalam menjalani kehidupan rumahtangga kita dan seterusnya di dalam mengharungi kehidupan seluruhnya. Amin !
 
 





---oOo---


 











BAB KE TIGA



 

 

TATACARA PERKAHWINAN
 
 

1. Memilih Jodoh

Islam merupakan agama yang mengatur manusia supaya hidupnya sempurna, selamat, aman dan damai di dunia dan akhirat, maka oleh kerana itu, Islam mempunyai caranya yang tersendiri dalam proses mencari jodoh ini.

Peraturan Islam ini sangat sesuai dengan kehendak semulajadi manusia yang mementingkan kebaikan jauh dari penindasan dan penipuan di dalam urusan apapun juga termasuk bagaimana cara memilih pasangan hidup di dunia ini.

Islam mengajar kita dalam hal ini dengan proses yang dipanggil al-Hitbah, iaitu bolehlah disamakan ertinya dengan melamar atau meminang di dalam kalangan orang Melayu.

Islam sebagai agama yang mementingkan kebahagian, keamanan dan keselamatan manusia di dunia dan akhirat, menganjurkan supaya ummatnya sentiasa mengikut perintah dan arahan Allah swt. termasuk juga bagaimana memilih pasangan hidup yang baik, dengan tujuan supaya perkahwinan itu nanti akan mencapai matlamat dan tujuannya.

Antara ciri-ciri keutamaan yang dianjurkan oleh Islam ialah:

1.1. Beragama

Apa yang dimaksudkan dengan agama ialah bakal isteri atau suami itu hendaklah dari kalangan mereka yang teguh pegangan Islamnya dan iltizam dengan pengajarannya serta berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Sabda Rasulullah saw.maksudnya: "Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan kerana agamanya. Kahwinilah perempuan yang beragama, kamu akan beroleh keuntungan". (H.R.Bukhari dan Muslim)

1.2. Gadis

Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Hendaklah engkau berkahwin dengan seorang gadis yang engkau boleh bergurau senda dengannya dan ia akan bergurau senda dengan engkau". (H.R.Muslim)

1.3. Keturunan Yang Banyak Anak

Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Kahwinilah perempuan yang berketurunan banyak anak yang bersifat kasih sayang kerana aku akan mempunyai umat yang ramai di hari kiamat".(H.R.Ahmad dan Ibn Hibban, dengan sanad yg. sahih)

1.4. Keturunan yang baik

Keturunan yang dimaksudkan di sini ialah yang berakhlak mulia. Bukan dari keturunan ahli bid'ah, penzina dan sebagainya dari keturunan orang yang buruk perangai dan tidak bepegang teguh dengan agama.

1.5. Tidak dari keluarga yang dekat

Perempuan yang tidak ada hubungan keluarga dengan lelaki itu, jika ada hendaklah dari keluarga yang jauh. Garis panduan ini bertujuan untuk memilih bakal isteri yang terbaik tetapi dari keterangan hadis di atas keutamaan memelihih isteri ialah perempuan yang kuat agamanya, kerana agama dan akhlak mulialah yang akan kekal sedangkan kecantikan, harta dan sebagainya akan akan musnah dan hilang ditelan zaman. Orang memilih jodohnya dari wanita yang solehah, mereka akan beroleh keberkatan dalam perkahwinannya dan mereka akan mendapat rahmat serta mendapat kebahgaiaan dunia dan di akhirat.

2. Kafaah (Sekufu)

Kafaah ertinya ialah sebanding atau sepadan, dari segi syarak pula ialah: Perkara yang dengan ketiadaannya menyebabkan 'aib. Sekupu atau sepadan yang diiktibar oleh syarak dalam nikah ini adalah sebagai menolak keaiban, bukan syarat sahnya nikah tersebut.

Tujuannya adalah untuk menjaga keselamatan dan kerukunan dalam perkahwinan (bukan untuk kesahan nikah). Menetapkan kafaah ini hak bagi wali dan perempuan (bakal pengantin) untuk mencari jodoh yang sepadan, ini bermakna wali dan perempuan bakal pengantin boleh membatalkan perkahwinan sekiranya tidak sepadan (sekupu).

Tujuannya juga agar suami itu seharusnya mempunyai kewibawaan serta kehebatan. Dan dipandang tinggi, hormat dan mulia dari pandangan isteri yang mana dengan itu suami dapat mendidik dan mengawal isterinya dari terkeluar dalam lingkungan genggaman dan kekuasaannya, jika suami dipandang rendah oleh isteri, ini akan menjadikan keadaan tidak tenteram dan tidak seimbang yang memberikan luang dan suasana isteri tidak dapat dikawal. Oleh yang demikian kafaah ini adalah penting dalam melahirkan satu suasana rumah tangga yang harmoni dan unggul.

Kafaah yang diakui (iktibar) oleh Islam ialah bakal suami isteri itu setaraf dari segi beragama, kemerdekaan (huriyah), iffah, keturunan, akhlak, ilmu, 'aib (kecacatan), umur dan pekerjaan.

2.1. Agama

Tidak sekupu bila orang Islam berkahwin dengan orang yang bukan Islam. Firman Allah swt. maksudnya: "Dan janganlah kamu nikahi perempuan-perempuan yang musyrik itu hingga mereka beriman terlebih dahulu. Sesungguhnya hamba yang beriman itu lebih baik dari perempuan musyrik, walaupun kamu mengkagumi rupanya". (Al-Baqarah: 221)

2.2. Merdeka (bukan hamba)

Tidaklah sepadan orang yang merdeka kahwin dengan hamba iaitu hadis dari Rasulullah saw. menyatakan: Dari 'Aisyah ra. dalam kisah Burairah ketika ia telah dimerdekakanberkata ia:"Adalah suami Burairah seorang hamba, lalu diberi kepadanya oleh Rasulullah saw. kesempatan memilih, maka dengan sendirinya dipilihnya pernikahan itu, andai kata suaminya itu seorang merdeka, tentu ia tidak melakukan pemilihan". (H.R.Bukhari dan Muslim)

2.3. 'Iffah

Ertinya orang yang jiwanya terpelihara dari segala perkara yang tidak dihalalkan oleh Allah. sama ada makanan ataupun amalan. Maka tidaklah sepadan orang yang jahat (penzina) kahwin dengan orang yang tidak jahat ataupun sebaliknya. Firman Allah swt. maksudnya: "Lelaki yang berzina itu tidak mengahwini melainkan dengan perempuan yang berzina, atau dengan perempuan yang musyrik. Dan perempuan yang berzina tidak dikahwini melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki yang musyrik, dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang mukmin". (An-Nur: 3)

2.4. Keturunan

Tidak sepadan orang yang berasal dari keturunan zina atau dari keturunan orang-orang yang jahat fasik serta tidak mempunyai maruah kahwin dengan orang yang berasal dari keturunan yang baik-baik dan berakhlak mulia.

2.5. Akhlak dan perangai yang baik

Tidak sepadan orang yang berakhlak baik dengan orang yang buruk akhlaknya. Firman Allah swt. maksudnya: "Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan lelaki yang keji adalah untuk wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik". (An-Nur: 26)

2.6. Berilmu

Maka tidaklah sepadan orang taat dan alim dalam soal agama kahwin dengan orang yang jahil. Firman Allah swt.maksudnya: "Katakanlah (Hai Muhammad) tidaklah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu". (Az-Zumar:9)

2.7. 'Aib

Tidaklah sepadan orang yang berpenyakit kahwin dengan orang yang sihat.

2.8. Umur

Suami isteri hendaklah berpadanan dari segi usia, lelaki lebih tua sedikit dari perempuan, tidaklah suami terlalu tua dari isteri atau sebaliknya.

2.9. Pekerjaan

Tidak sepadan orang yang mempunyai kemahiran tinggi dengan orang yang tidak ada kemahiran.

Sekufu ini tidaklah menjadi syarat bagi perkahwinan, tetapi sekiranya tidak dengan kerelaan masing-masing boleh memfasakhkan perkahwinan itu dengan alasan tidak sekufu.

Sekufu ini adalah hak bagi perempuan dan walinya, keduanya boleh tidak terikat dengannya sekiranya mereka redha.

Pendapat yang lebih kuat dalam perkara sekufu ini ialah sekufu dalam kuat pegangannya kepada Islam dan mempunyai akhlak yang tinggi dan mulia. Berhubung sekufu dalam perkara-perkara yang lainnya tidaklah dipandang begitu penting dan mustahak.
 
 

---oOo---


 







BAB KE EMPAT



 
 

AL-HITBAH (PEMINANGAN)
 
 

1. Takrif Meminang (Al-Hitbah)

Pengertian meminang (al-Hitbah) ialah melahirkan keinginan hendak berkahwin dari seorang lelaki terhadap seorang perempuan denga n melalui saluran yang syar'ie. Cara meminang hendaklah melalui saluran yang betul iaitu mengikut kehendak Islam.

Ia boleh menghantar wakil untuk bertanya dan melihat perempuan yang ingin dipinangnya, atau ia boleh datang sendiri meminta persetujuan dari walinya sama ada diterima atau tidak, jika tidak diterima jangan putus asa dan hendaklah ia berusaha lagi sehingga ia bertemu dengan jodohnya.

Hukum memandang perempuan yang ingin dipinang adalah harus dan disunatkan, agar perkahwinan itu nanti akan lebih bahagia, penuh kasih sayang dan berkekalan.

Sabda Rasulullah saw. yang diriwayatkan dari Abu Hurairah katanya: "Saya berada ditempat kediaman nabi saw. tiba-tiba ada seorang lelaki datang memberi tahu bahawa dia akan kahwin dengan seorang perempuan Ansaar, maka nabi saw. bertanya: "Sudahkah engkau lihat dia ? Ia mengatakan belum, kemudian Nabi saw. mengatakan: "Pergi dan lihatlah dia, kerana dalam mata orang-orang Ansaar itu ada sesuatu". (H.R.Muslim & An-Nasaie)

Dibenarkan meminang perempuan-perempuan yang halal dinikahi dan tidak di dalam eddah raj'iyah atau di dalam pinangan orang lain. Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Tidak boleh meminang seseorang atas pinangan saudaranya hingga yang meminang sebelumnya itu meninggalkan pinangannya atau diizinkan baginya". (al-Hadis)

2. Perempuan Yang Boleh Dipinang

2.1. Perempuan yang bukan di dalam eddah raj'iyah, iaitu perempuan yang bekas suaminya boleh rujuk semula. Bagi perempuan yang talaq bain, mereka boleh dipinang secara sindiran sahaja.

2.2. Perempuan yang bukan dalam pinangan orang lain.
 
 


----oOo----


 









BAB KE LIMA



 
 

PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG HARAM DINIKAHI
 
 

1. Perempuan Yang Haram Dinikahi Untuk Selama-lamanya

1.1. Haram Dengan Sebab Keturunan

1.1.1. Ibu dan ibu kepada ibu (nenek) hingga ke atas. 1.1.2. Anak, cucu dan seterusnya ke bawah. 1.1.3. Saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu sahaja. 1.1.4. Saudara perempuan bagi bapa (emak saudara)hingga ke atas. 1.1.5. Saudara perempuan bagi ibu (emak saudara) hingga ke atas. 1.1.6. Anak saudara dari saudara lelaki hingga ke bawah. 1.1.7. Anak saudara dari saudara perempuan hingga ke bawah.Pengharaman tersebut dari firman Allah swt. maksudnya: "Diharamkan ke atas kamu mengahwini ibu kamu, anak saudara, emak saudara sebelah bapa, emak saudara sebelah ibu, anak saudara dari saudara lelaki, dan anak saudara dari saudara perempuan kamu". (An-Nasa'ie)1.2. Haram dengan sebab Penyusuan 1.2.1. Ibu susuan (ibu yang menyusukan). 1.2.2. Saudara-saudara perempuan yang sepersusuan. 1.2.3. Anak perempuan sepersusuan. 1.2.4. Emak saudara sepersusuan sebelah bapa. 1.2.5. Emak saudara sepersusuan sebelah ibu. 1.2.6. Anak perempuan saudara lelaki sepersusuan. 1.2.7. Anak perempuan saudara perempuan sepersusuan.1.3. Syarat-Syarat Haram Dengan Sebab Susuan

1.3.1. Ibu yang menyusukan itu telah baligh.

1.3.2. Anak yang disusukan itu belum sampai dua tahun.

1.3.3. Bilangan susuan sampai lima kali yang berasingan dan tiap kali menyusu sampai kenyang.

1.3.4. Susu yang diberi kepada bayi itu mestilah ditelan dan sampai ke perut kanak itu pada ke

lima-lima kalinya.

1.4. Haram Dengan Sebab Persemendaan

1.4.1. Ibu mertua samada dari keturunan atau penyusuan.

1.4.2. Ibu tiri, datuk tiri hingga ke atas.

1.4.3. Menantu perempuan (isteri anak), isteri cucu hingga ke bawah.

1.5.4. Anak tiri dengan syarat sudah disetubuhi ibunya, jika belum kemudian diceraikan, maka

tidaklah haram mengahwini anak tiri itu samada dari keturunan atau penyusuan.
 
 

2. Perempuan Yang Haram Dinikahi Untuk Sementara Waktu (Dengan Sebab Menghimpunkannya).

2.1. Saudara-saudara perempuan bagi isteri. Firman Allah swt. maksudnya: "(Dan diharamkan

bagimu) menghimpunkan (dalam perkahwinan) dua perempuan yang bersaudara kecuali

apa yang telah terjadi pada masa lampau". (An-Nisa': 23)

2.2. Emak saudara isteri sebelah bapa

2.3. Emak saudara isteri sebelah ibu

2.4. Anak saudara isteri dari saudara lelaki

2.5. Anak saudara isteri dari saudara perempuan

Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Tidak boleh dikahawini seseorang perempuan yang dihimpunkan dengan emak saudara sebelah bapa, dan tidak di antara emak saudara sebelah bapa dengan anak perempuan saudara lelakinya, dan tidak boleh dikahwini seseorang perempuan dihimpunkan dengan emak saudaranya sebelah ibu begitu juga di antara emak saudara sebelah ibu dengan anak perempuan dari saudara perempuan, tidak yang besar dengan yang kecil dan tidak yang kecil dengan yang besar". (H.R.Tirmizi)
 
 







----oOo----


 











BAB KE ENAM



 
 

MASKAHWIN (MAHAR)
 
 

Takrif Maskahwin

Maskahwin atau Mahar ialah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan.

Firman Allah swt. maksudnya: "Berikanlah maskahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya". (An-Nisa': 4)

Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Carilah untuk dijadikan maskahwin walaupun sebentuk cincin dari besi". (H.R.Bukhari & Muslim)
 
 

Sesuatu Yang Boleh Dijadikan Maskahwin

1. Mata wang 2. Harta benda

3. Pekerjaan (mengajarkan ilmu agama)

4. Makanan

5. Dengan memerdekakan hamba
 
 

Perkara-Perkara Yang Mewajibkan Maskahwin

1. Sebab nikah yang sah, sekalipun mati salah seorang daripadanya, dan belum bercampur.

2. Kerana percampuran (persetubuhan) sebab nikah yang tidak sah.
 
 

Bahagian-Bahagian Mahar
 
 

1. Mahar mithil

Mahar yang dinilai mengikut mas kahwin saudara-saudara perempuan yang telah berkahwin lebih dahulu dan hendaklah dinilai sama dengan maskahwin keluarga yang paling dekat sekali, seperti kakak, emak saudara dan seterusnya, di samping menilai keadaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan, kekayaan, pelajaran, pekerjaan, kemahiran dan sebagainya.

2. Mahar Musamma

Ialah mas kahwin yang telah ditetapkan dan telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan tidak memandang kepada nilai maskahwin saudara-saudara perempuannya yang telah berkahwin.

Hukum Menyebut Mas kahwin Di waktu Aqad

1. Sunat

Rasulullah saw. tidak pernah meninggalkan dari menyebutnya ketika beliau mengaqadkan orang lain. Sekirannya tidak disebut hukum pernikahnya tetap sah tetapi makruh.

2. Wajib

2.1. Jika bakal isteri itu masih budak lagi (belum baligh), gila, atau bodoh sedang bakal suami ingin membayar mahar yang lebih tinggi dari mahar mithil.

2.2. Jika bakal isteri yang sudah baligh, bijak dan boleh menguruskan dirinya dan telah membenarkan wali untuk mengahwinkannya, tetapi ia tidak menyerahkan kepada wali untuk menetapkan mas kahwinnya.

2.3. Jika bakal suami itu seorang yang tidak boleh mengurus dirinya seperti masih budak, bodoh atau gila dan sebelum akad telah mendapat persetujuan dari bakal isteri tentang bayaran mas kahwin kurang dari mahar yang sepatutnya, oleh yang demikian mas kahwin wajib disebutkan sebagaimana yang dipersetujui.

Wajib Membayar Maskahwin

1. Maskahwin wajib dibayar mengikut sebagaimana yang disebut di dalam aqad jika dinyatakan di dalam aqad tersebut.

Mas kahwin wajib dibayar dalam keadaan berikut:

1.1. Bila suami menetapkan yang ia akan membayarnya sebelum dukhul (bersetubuh) dan dipersetujui oleh pihak isteri, oleh yang demikian, isteri berhak menghalang suami dari menyetubuhinya sehingga suami tersebut menentukan kadar mas kahwin yang akan diberinya, sama ada dengan secara tunai atau berhutang. Jika secara tunai isteri berhak menghalang suami tersebut dari menyetubuhinya sehingga dijelaskannya.

1.2. Bila penetapan mas kahwin itu dibuat oleh kadi dengan sebab keengkaran pihak suami dari membuat ketetapan atau dengan sebab perbalahan atau perselisihan kedua belah pihak tentang kadar maskahwin tersebut dan bila kadhi menentukannya mas kahwin tersebut hendaklah dibayar dengan tunai.

1.3. Bila suami menyetubuhi isterinya wajib dibayar mas kahwin menurut kadar yang sesuai dengan taraf isterinya.

Gugur Separuh Maskahwin

Apabila berlaku talaq sebelum persetubuhan maka gugurlah separuh maskahwin.

Firman Allah sat. yang bermaksud: "Dan jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum bercampur dengan mereka (menyetubuhi mereka), padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan maskahwinnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu itu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah, dan pemaafan kamu itu lebih dekat kepada taqwa". (Al-Baqarah: 237)

Hal ini berlaku sekiranya penceraian itu berpunca dari pihak suami seperti suami menjadi, murtad, atau suami menganut Islam sedangkan isterinya tidak dan sebagainya. Tetapi jika penceraian itu berpunca dari pihak isteri, seperti suami memfasakhkan perkahwinan tersebut dengan sebab kecacatan yang ada pada isteri, maka maskahwin itu akan gugur semuanya.

Mati Suami/Isteri Sebelum Persetubuhan

Jika seorang suami meninggal dunia sebelum melakukan persetubuhan, pihak warithnya wajib membayar maskahwin sepenuhnya kepada janda tersebut dan jika maskahwin itu belum ditentukan kadarnya, maka wajib dibayar dengan nilai maharmithil,sebaliknya pula jika seorang isteri meninggal dunia sebelum berlaku persetubuhan, pihak suami wajib membayar mas kahwin sepenuhnya kepada warith jandanya. Jika maskahwin belum dijelaskan lagi sebelum itu.

Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Dari 'Alqomah katanya: Seorang perempuan telah berkahwin dengan seorang lelaki kemudian lelaki itu mati sebelum sempat menyetubuhi isterinya itu dan mas kahwin pun belum ditentukankadarnya, kata 'Alqomah: mereka mengadukan hal tersebut kepada Abdullah maka Abdullah berpendapat, perempuan itu berhak mendapat mahar mithil sepenuhnya, dan perempuan itu juga berhak mendapat pusaka dan wajib pula ia bereddah, maka ketika ini Ma'qal bin Sinan Asja'ie menjelaskan bahawa sesungguhnya Nabi saw. telah memutuskan terhadap Burwa'ie bte. Wathiq seperti yang dibuat oleh Abdullah tadi." (H.R.Khamsah dan disahihkan oleh Tirmizi)

Al-Mut'ah

Erti Al-mut'ah ialah satu pemberian dari suami kepada isteri sewaktu ia menceraikannya, pemberian ini wajib diberikan sekiranya perceraian itu disebabkan kehendak dari suami bukan dari kemahuan isteri sekiranya perceraian itu dengan kehendak isteri pemberian mut'ah tidak wajib.

Kadar pemberian itu berdasarkan kepada persetujuan atau kerelaan kedua belah pihak juga hendaklah diambil kira kemampuan suami dari kewangannya tetapi tidak kurang dari separuh mahar mithil.

Firman Allah swt. maksudnya: "Maka berilah mereka mut'ah (pemberian untuk isteri yang diceraikan) dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yangsebaik-baiknya". (Al-Ahzab: 49)

Ramai di kalangan masyarakat kita yang tidak memahami adanya mut'ah yang wajib diberikan kepada isteri yang diceraikan oleh suaminya iaitu cerai yang dipaksakan ke atasnya. Mungkin kerana jahilnya kebanyakan wanita-wanita itu sendiri terhadap peraturan dan hukum-hukum munakahaat atau kurangnya pendedahan perkara ini kepada masyarakat seluruhnya.Apa yang jelas ialah ramai wanita yang di ceraikan ini telah menjadi kerana kejahilannya dan akikabtnya tidak mendapat hak dan habuan yang sewajarnya.

Majlis Walimah

Hukum mengadakan kenduri ini adalah sunnat muakkad dan hendaklah dilakukan secara sederhana sahaja dan ditahap kemampuan kewangannya dan janganlah berlebih-lebihan sehingga membazir kerana ini boleh membawa kemudharatan di kemudian hari dengan menanaggung berbagai hutang dan kesusahan. Islam menganjurkan supaya bersederhana di dalam semua perkara.

Sabda Rasulullah saw. kepada Abdul Rahman bin 'Auf sewaktu beliau kahwin. "Hendaklah kamu mengadakan kenduri kahwin (walimaulurus) sekalipun menyembelih seekor kambing". (H.R. Bukhari dan Muslim)

Hukum Menghadiri Jemputan Majlis Perkahwinan

Menghadiri jemputan kenduri majlis perkahwinan adalah wajib kepada setiap orang yang dijemput kecuali ada keuzuran dan terdapat perkara-perkara maksiat di majlis tersebut.

Syarat-Syarat Wajib Menerima Jemputan

1. Para jemputan bukan khusus untuk orang kaya-kaya belaka.

2. Orang yang menjemput Islam.

3. Orang yang dijemput orang Islam.

4. Kenduri itu tidak dari wang yang haram.

5. Orang yang dijemput itu tidak menerima jemputan yang lain, yang manadahulu menjemput

hendaklah didahulukan. Dan yang terdekat juga diutamakan.

6. Tidak terdapat perkara yang mungkar (maksiat) di dalam majlis kenduri tersebut.

Sebaik-baik waktu untuk mengadakan kenduri kahwin ini ialah ketika akad nikah dilakukan di rumah pengantin perempuan dan perbelanjaannya itanggung oleh walinya.Kemudian selepas selesai percampuran (dukhul) suami isteri itu maka pengantin lelaki hendaklah mengadakan walimah sekali lagi dirumahnya pula.

Peringatan: Terdapat beberapa upacara dan adat dalam majlis perkahwinan masyarakat kita yang tidak sesuai dengan syariat Islam seperti upacara persandingan yang mana upacara tersebut berlaku percampuran lelaki perempuan yang bukan muhrim tanpa batas yang boleh membawa kepada haram.

Begitu juga terdapat dalam majlis tersebut berlaku pendedahan aurat, kadangkala terdapat juga majlis tari menari percampuran yang tidak terkawal lelaki perempuan yang mana itu semua tidak sesuai dengan kehendak Islam.

Perkahwinan dalam Islam merupakan suatu ibadah yang suci dan murni yang diperintahkan oleh Allah swt. oleh itu majlis walimah ini hendaklah disempurnakan dengan cara dan adab yang sebaik-baiknya dengan cara yang tidak bercanggah dengan syariat Islam yang mulia itu.