cyber kefahaman islam

Bahagian kedua

 

BAB KE TUJUH

 

KONSEP JAHILIAH
 

Mukaddimah

Jahiliah merupakan suatu fenomina kepada masyarakat yang membelakangi syariat Allah swt. ia akan menjadi tumbuh dan subur bila mana seseorang atau masyarakat itu sudah kehilangan matlamat hidup dan hawa nafsu yang menjadi panduan hidupnya.

Keadaan seperti ini akan wujud di sepanjang sejarah manusia sama ada dalam masyarakat purba ataupun masyarakat moden kini. Apa yang jelas kepada kita adalah jahiliah ini merupakan suatu penyakit masyarakat yang menjadikan nafsu di hadapan dan agama di belakang mereka.

Islam diturunkan oleh Allah swt. bagi membasmi keadaan jahiliah yang menyelubungi suasana hidup manusia supaya kerahmatan Allah swt. itu dapat merata dan meliputi makhluk seluruh alam ini.

Dalam suasana dan keadaan sekarang ini, amat perlu kita mengenali dan mamahami konsep jahiliah supaya kita dapat menjauhkan diri kita darinya kerana cara hidup jahiliah merupakan suatu cara hidup yang hina serta bertentangan dengan cara hidup Islam yang suci dan mulia.

Pengertian Jahiliah

Perkataan Jahiliah berasal dari perkataan al-Jahl yang mengandungi beberapa erti:

1. Al-jahl bererti "tidak tahu" lawan kepada perkataan al-ilm.

2. Al-jahl bererti "sesat" (dhalalah) lawan kepada perkataan "petunjuk" (al-Huda)

3. Al-jahl bererti bodoh, tolol, kasar, tongong dan permusuhan.

Pengertian jahiliah mengikut istilah Islam adalah tidak mempunyai akidah yang benar, berhakimkan kepada hawa nafsu bertuhankan kepada Taghut, degil setelah diberi tahu kebenaran dan bongkak setelah diberi tahu kesalahannya.

Terdapat suatu tanggapan yang salah terhadap makna jahiliah yang tersebar di kalangan masyarakat kini antaranya:

1. Jahiliah itu hanya membawa makna bodoh tidak berpelajaran, kolot dan tidak moden. Tanggapan seperti ini nyata meleset kerana zaman jahiliah masyarakat Arab dahulu iaitu sebelum kedatangan Islam bukan suatu masyarakat bodoh dan jahil tetapi ia merupakan sebuah masyarakat yang sudah mempunyai peraturan dan undang-undang, sudah ada dewan mesyuarat, sudah ada kegiatan kebudayaan seperti pesta dan pertandingan dan sebagainya.

2. Tanggapan dari mereka yang keliru juga mengatakan jahiliah adalah golongan manusia yang suka bermegah-megah dan berbangga-bangga dengan asal keturunan mereka, berperangai kasar dan tidak mempunyai adab dan sopan santun.

3. Ada juga tanggapan, yang dikatakan jahiliah itu sebuah masyarakat yang melakukan penyembahan terhadap patung berhala di bumi Arab sebelum kedatangan Islam.

Tanggapan-tanggapan seperti di atas semuanya telah di tolak oleh para ulamak Islam yang muktabar. As-Syahid syed Qutb dalam bukunya "Petunjuk Sepanjang Jalan" menjelaskan bahawa jahiliah itu ditegakkan di atas dasar mencabul kekuasaan Allah, serta menolak hukum dan undang-undang Allah swt. di atas muka bumi ini. Inilah suatu kenyataan yang tepat dan jitu terhadap makna dan pengertian jahiliah yang sebenarnya.

Kesimpulannya jahiliah itu bukanlah tertentu pada sesuatu masa dan zaman dan tertentu kepada bangsa arab sebelum kedatangan Islam sahaja tetapi jahiliah boleh berada kepada sesiapapun juga dan di zaman manapun juga yang mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat jahiliah iaitu antara lain: Setiap apa yang salah dan menyeleweng dari agama Allah, berlawanan dengan syariat dari segi akidah, amal ibadah, sistem pemerintahan, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya.

Oleh itu jahiliah itu bukanlah lawan kepada ilmu pengetahuan, tamadun kebendaan, kemajuan peridustrian, kemajuan sosial kemajuan sains, teknologi dan sebagainya tetapi jahiliah itu lawan kepada makrifat kepada Allah, mengikut hidayah-Nya dan menjalankan hukum-hukum-Nya.

Ciri-Ciri Masyarakat Jahiliah

Masyarakat jahiliah mempunyai ciri-ciri mereka yang jelas dan nyata bercanggah dengan akhlak dan kemurnian hidup yang dianjurkan oleh Islam. Antara ciri-ciri jahiliah adalah sebagai berikut:

1. Manusia/masyarakat jahiliah tidak mempunyai akidah yang benar (aqidah al-haq) akidah yang diwahyukan oleh Allah swt. menerusi para rasul-Nya. Orang Arab jahiliah kebanyakannya percaya kepada adanya Allah sebagai Tuhan pencipta alam ini tetapi mereka menyembah yang lain dari Allah seperti berhala, bulan, bintang atau lain-lainnya.

2. Masyarakat jahiliah berhukum dengan hukum dan undang-undang ciptaan manusia yang berdasarkan kepintaran dan hawa nafsunya, mereka menolak hukum Allah dan rasul-Nya. Jahiliah tidak ada undang-undang yang tetap, sentiasa berubah dari semasa ke semasa mengikut kemahuan masyarakat ramai dalam bidang kekeluargaan, sosial, ekonomi, politik, undang-undang jenayah dan sebagainya.

3. Masyarakat jahiliah terikat kuat dan berpegang teguh dengan adat tradisi suku kaumnya dan mereka mempertahankan kaumnya sekalipun di dalam kesalahan dan kezaliman.

4. Masyarakat jahiliah menolak ajaran agama samawi (agama wahyu dari Allah). Sekalipun telah ada agama-agama seperti Yahudi dan Nasrani, mereka tetap menolaknya dan terus membesarkan dan mengagungkan berhala dan melakukan kesyirikan serta membenarkan Taghut (selain dari Allah).

5. Masyarakat/orang jahiliah bersifat degil, kejam dan bongkak serta melakukan penindasan terhadap orang yang lemah. Orang yang kuat sahaja yang hidup mewah. Orang lemah dan miskin menjadi mangsa kepada kezaliman orang yang kuat. Mereka tidak ada perasaan belas kasihan dan mereka juga membunuh anak-anak perempuan mereka dengan menanam hidup-hidup selepas dilahirkan.

6. Jahiliah menganggap tinggi dan mulia terhadap nilai-nilai hidup kebinatangan seperti pergaulan bebas, perzinaan, merampas, merompak dan sebagainya.

Islam Menentang Jahiliah

Ciri dan sifat-sifat jahiliah Arab sebelum kedatangan Islam, selain dari menolak dan menentang syariat Islam yang benar, ia juga mempunyai sifat-sifat yang menjadi budaya dan cara hidup mereka seperti minum arak, berjudi, pelacuran, amalan riba, kezaliman, penganiayaan, merompak, mencuri, pendedahan aurat, pergaulan bebas, bermusuhan, suka bergaduh, berbangga dengan keturunan dan sebagainya.

Islam sebagai ad-deen suatu sistem hidup yang lengkap dan sempurna, agama yang di wahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw. menentang segala sifat-sifat yang keji dan mungkar yang menjadi budaya jahiliah dan Islam mengajarkannya kepada manusia suatu pengajaran yang tinggi dan mulia untuk membentuk sebuah masyarakat manusia yang mulia, adil dan penuh keharmonian.

Islam menentang segala sifat dan ciri jahiliah yang berkembang pada zaman itu dengan suatu usaha dan jihad yang agung. Baginda Rasulullah saw. telah dapat menegakkan sebuah negara Islam dan melaksanakan semua yang disyariatkan oleh Allah swt. bagi kepentingan dan kebahagiaan umat manusia itu sendiri.

Rasulullah saw. dengan usaha yang berterusan, membimbing para sahabatnya supaya dapat menghayati pengajaran Islam dengan sebaik-baiknya. Iamembimbng dengan sabar dan tekun mengembalikan manusia dari zaman kegelapan jahiliah kepada nur iman dan tauhid. Dari kezaliman undang-undang ciptaan manusia yang berdasarkan hawa nafsu kepada hukum dan undang-undang Allah swt. yang penuh dengan keadilan.

Rasulullah mengajar bagaimana cara menegakkan hukum-hukum Allah dan melaksanakannya dalam negara dan pemerintahan. Ia juga mengajarkan bagaimana hendak melaksanakan ibadah yang betul, cara-cara begaul dan bersosial, cara berjual beli, dan sebagainya.

Rasulullah saw. juga menjelaskan tegahan-tegahan Allah seperti riba, mencuri, kezaliman, berjudi, berzina dan minum arak. Ia juga melarang pendedahan aurat dan sebagainya. Pada kesimpulannya, Islam melarang umatnya dari segala perkara yang berunsurkan jahiliyah yang tidak sesuai dengan fithrah kejadian manusia dan memerintahkan umatnya supaya sentiasa menegakkan Islam pada dirinya dan menentang jahiliah dan segala bentuknya dalam kehidupan kita sebagai manusia mukmin supaya kita dapat terhindar dari terjerumus ke dalam lembah jahiliah yang keji itu.

Beberapa Kenyataan Mengenai Masyarakat Kini

Kalau kita teliti dan perhatikan masyarakat yang di katakan moden kini, terutama masyarakat barat yang dikagumi oleh sebahagian dari manusia yang sudah kehilangan pedoman hidup mereka, mereka mengaggap barat adalah segala-galanya. Mereka tidak sedar bahawa tamadun barat yang dipuja dan di sanjung tinggi itu kini sudah mengalami kemerosotan dan kebangkrapan kerana ia di bina di atas unsur-unsur kebendaan melulu.

Apa yang jelas ialah setiap yang meyeleweng dan bertentangan dengan Islam lambat laun akan mengalamai kehancuran dan kemusnahan. Contoh yang paling jelas adalah ideologi dan sistem hidup komunis yang jahiliah dan becanggah dengan Islam itu telah mengalami keruntuhan dalam masa dan ketika negara yang mendukung sistem itu menjadi kuasa besar dunia. Ini kerana sistem hidup komunis itu bertentangan dengan fithrah semula jadi manusia itu sendiri. Islam yang datang dari Allah adalah agama yang paling sesuai dengan hidup manusia itu dan akan kekal berterusan dari dunia hingga ke akhirat.

Apa yang berlaku dalam masyarakat kini adalah kehidupan manusia yang tidak stabil. Manusia hidup dalam keadaan yang tidak aman, sentiasa dalam ketakutan, jenayah berleluasa, pembunuhan berlaku sewenang-wenangnya, orang yang kuat menguasai dan menindas yang lemah, negara yang kuat menzalimi dan menjajah negara yang lemah, keruntuhan akhlak berleluasa, kebaikan dan keadilan hanya menjadi sesuatu yang di impikan, kebaikan tidak di hargai, kejahatan dan penipuan menjadi amalan, kemungkaran dan maksiat mendapat sanjungan dan penghargaan.

Begitulah dunia hari ini. Berlakunya ini semua kerana manusia sudah membelakangi Islam, mengutama dan mendewakan sistem ciptaan manusia yang lemah dan mengutamakan nafsu kebinatangan mereka.

Inilah di antara sebab paling utama timbulnya berbagai kesengsaraan hidup manusia hari ini kerana manusia membelakangi dan menolak sistem hidup ciptaan Allah yang menjadikan kita dan alam ini seluruhnya. Keengkaran kepada ajaran Allah inilah yang membawa kepada kebinasaan manusia itu sendiri sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran.

Firman Allah maksudnya: "Telah lahir kefasadan (kemusnahan) di laut dan juga di darat dengan kerana kerja-kerja dari tangan manusia (yang durjana)". (ar-Rum: 41)
 
 

---oOo---