بسم الله الرحمن الرحيم

 

CYBER KEFAHAMAN ISLAM

BAHAGIAN PERTAMA

BAB PERTAMA

 

KEPENTINGAN ILMU

 

 

الحمد لله رب العالمين والصلاة  والسلام على اشرف المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين

 

Takrif Ilmu

Perkataan ilmu berasal dari kalimat bahasa Arab 'alima maknanya ia telah mengetahui. Kalimat `ilm atau ilmu bermakna pengetahuan dan kepandaian.(Kamus Dewan, kalimat ilmu)

Dari segi istilah pula ialah pengetahuan manusia yang diperolehi dengan method fikiran bebas dan penelitian dalam usahanya menggali dan menyatakan kebenaran. (Drs.Sidi Gazalba, Islam Integrasi Ilmu dan Kebudayaan, hal, 11)

Takrif di atas merupakan takrif ilmu yang berdasarkan indera, pengalaman dan kemampuan akal manusia melalui eksperiman lahiriah semata-mata dan ia tidak sampai kepada hakikat sesuatu perkara. Ini berbeza dengan pengertian ilmu yang dimaksudkan oleh Islam.

Imam al-Ghazali memberi maksud ilmu adalah sebagai berikut: Ilmu itu untuk mengetahui cara-cara dan jalan kepada keredaan Allah dan yang dapat mendekatkan orang kepada-Nya, dan apa-apa yang menjuhkan dia dari Allah swt. dan mengetahui akibat-akibat buruk, pendakian-pendakian, dan bahaya-bahaya dalam perjalanan (mencari keredhaan Allah).( Minhajul 'Abidin, hal. 34)

Pengertian ilmu seperti inilah yang menjadi wajib kepada setiap orang Islam menuntut dan mencarinya dan inilah hakikat ilmu yang sebenar-benarnya di mana bagi mereka yang mempunyainya akan di tempatkan oleh Allah swt. di martabat yang tinggi dan mulia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Allah akan mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan juga orang yang dikurniani ilmu, dengan beberapa darjat.(al-Mujadalah: 1)

Telah diriwayatkan bahawa Allah swt. memberi wahyu kepada nabi Daud as. Firman-Nya bermaksud: "Wahai Daud ! pelajarilah olehmu ilmu yang bermanfaat ! Sabda Nabi Daud: Ya Tuhanku, apakah ilmu yang bermanfaat itu ? Firman Allah: Ialah untuk mengetahui keluhuran, keagungan dan kebesaran-Ku, dan kesempurnaan kekuasaan-Ku atas segala sesuatu. Inilah yang mendekatkan engaku kepada-Ku". (Imam al-Ghazali, Minhajul Abidin, hal. 45)

Berdasarkan kepada perkara-perkara yang tersebut di atas, Ilmu yang dimaksudkan oleh Islam ialah makrifat atau mengenali hakikat sesuatu dengan tepat sebagaimana kenyataan yang sebenar-benarnya, mengetahui sesuatu yang diturunkan oleh Allah swt. mengetahui tujuan manusia diwujudkan serta tugas- tugas hidupnya dan mengetahui kehidupan akhirat yang mengakhiri kehidupan makhluk manusia ini. Dengan ini jelaslah kepada kita bahawa ilmu yang sebenar itu ialah ilmu yang dapat mengenal (makrifat) Allah sebagai Tuhan seluruh alam, yang boleh mencapai keredhaan Allah swt.

Makrifat di sisni bermakna mengenal dirinya, mengenal Tuhannya, mengenal dunia dan mengenal akhirat. (Minhajul-'Abidin, hal, 34).

Hukum Menuntut Ilmu

Menuntut ilmu itu adalah suatu kewajipan bagi setiap muslimin dan muslimat sebagaimana yang tersebut dalam hadis Nabi saw. dan disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin, Bab ilmu. Rasulullah saw. bersabda: "Menuntut ilmu itu adalah fardhu kepada setiap muslim." (H.R.Ibnu Majah)

Ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw. dari Allah swt. yang memerintahkan kepada kita Iqra' (membaca) adalah suatu isyarat betapa pentinnya ilmu ini yang boleh didapati melalui pembacaan-pembacaan kerana dengan membaca manusia dapat menguasai ilmu dan seterusnya membina peribadi mulia dalam kehidupan umat Islam bagi mencapai kesempurnaan akhirat.

Orang Islam juga diperintahkan supaya berusaha dengan gigih menambahkan ilmu mereka lagi seberapa banyak yang boleh dan termampu sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran. Firman Allah swt. maksudnya: "Katakanlah, Wahai Tuhanku tambahkanlah ilmu kepadaku." (al-Anbia': 114)

Menuntut ilmu itu hendaklah di dasarkan kepada keihlasan kerana ingin mencari kebenaran dan beramal dengannya bagi mendapatkan makrifat terhadap Allah dan keradhaan-Nya.

Tingkat-Tingkat Ilmu

Ilmu yang dapat mengenal Islam sebagai agama Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammammad saw. Islam sebagai ad-deen suatu-satunya sistem hidup yang lengkap dan sempurna serta sesuai dengan semua manusia, di semua tempat dan zaman adalah ilmu yang tinggi martabatnya di sisi Allah swt.

Dengan mengenali Allah dan mengenali Islam dalam ertikata yang sebenar, mereka akan mengenali Tuhan, Rasul, Islam dan ajaran-Nya yang tekandung di dalam al-Kitab dan as-Sunnah sebagai sumber ilmu benar dan asli. Kemudian diikuti pula dengan mempelajari berbagai cabang ilmu untuk urusan kehidupan yang berbagai macam itu seperti ilmu sains dan teknologi dengan tujuan untuk memandu dan membimbing mereka ke jalan yang lurusdan benar bagi mencapai kebahagian di dunia dan di akhirat. Islam memandang tinggi kedudukan ilmu dan ulamak, sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran.

Firman Allah swt. maksudnya: "Allah mempersaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Dia, yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berlimu." (ali-Imran: 18)

Dan firman-Nya lagi maksudnya: "Adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu." (az-Zumar: 9)

Ilmu yang paling tinggi dan mulia kedudukannya di sisi Allah swt. ialah ilmu yang dapat mengenal dan makrifat kepada Allah Tuhan yang sebenar (al-Haq), Tuhan seluruh alam dan Tuhan yang berhak disembah, Tuhan yang Maha Mencipta dan Tuhan yang mengatur serta mendidik kita makhluk-Nya dengan undang-undang dan peraturan-Nya yang paling sesuai dan dapat memandu manusia ke jalan yang lurus, benar dan sejahtera, jalan yang boleh membawa manusia kepada Allah dan keredhaan-Nya.

Kelebihan Menuntut Ilmu

Penuntut-penuntut ilmu diberi kemuliaan dan kerahmatan oleh Allah awt. dengan mendapat keampunan dan keredhaan Allah semua makhluk termasuk malaikat, ikan dan semut sentiasa mendoakan keampunan kepada mereka kerana menuntu ilmu itu dapat disamakan dengan kerja-kerja jihad fi-sabilillah.

Saidina Muaz ra. meriwayatkan dari Baginda Rasulullah saw. baginda bersabda: "Pelajarilah ilmu, mempelajarinya itu saja merupakan suatu tanda takwa, mencarinya adalah sebagai ibadah, menuntutnya sama dengan jihad sebab ilmu itulah yang memberi pengetahuan mana yang halal dan mana yang haram, ilmulah sebagai pelita jalan ahli syurga, Ilmu adalah kawan dalam kerisauan, sahabat dalam tempat yang asing, teman bercakap di kala sendirian, penunjuk jalan di kala suka dan duka, senjata untuk melawan musuh, merupakan perhiasan di samping kekasih.Dengan ilmulah Allah mengangkat darjat beberapa umat, maka mereka itulah yang dijadikan sebgai pembimbing, dipuji kesan tindakannya, diikuti kelakuannya, digunakan sebagai pedoman pendapatnya. Malaikat mencintai perbuatan mereka itu dan dengan sayap-sayapnya mereka itu dilindungi. Setiap sesuatu memintakan ampun pada mereka, baik benda basah (hidupan) dan kering (mati), juga ikan-ikan yu dilautan dan binatang-binatang melata di bumi, ikan-ikan buas di lautan, dan binatang-binatang ternak, sebab ilmu adalah kehidupan hati dari kebodohan, pelita mata dari kegelapan. Seseorang hamba dapat mencapai tingkatan (taraf) yang terpilih dan darjat yang luhur dengan mempergunakan ilmu itu. Berfikir tentang ilmu sama pahalanya dengan puasa, mempelajari ilmu sama dengan mendirikan solat. Dengan ilmulah dapat dipertemukan kekeluargaan, dengannya pula dapat diketahui sesuatu yang halal dari yang haram. Ilmu adalah pemimpin amal-amal adalah pengikutnya. Ilmu diilhamkan kepada orang-orang yang mendapatkan kebahagiaan dan dijauhkandari orang-orang yang mendapat celaka". (H.R.Ibnu Abdul Bar dalam kitab Ilmu, Hadis Mauquf)

Sesungguhnya harta dunia itu tidak ada bandingannya dengan nilai kemuliaan ilmu kerana tanpa ilmu manusia itu akan menderita kerana kejahilan dan meraba-raba dalam hindupnya. Terdapat dalam al-Quran tentang perintah mencari dan menuntut ilmu ini sehingga Allah menyebutkan supaya sebahagian dari kalangan orang yang beriman berusaha mencari ilmu jangan kesemuanya pergi berperang, ini menjelaskan betapa pentingnya ilmu dan menuntutnya sebagaimana firman Allah swt.

Maksudnya: "Tidak sepatutnya bagi orang-orang mukmin itu pergi semuannya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka; beberapa orang untuk memperdalam pengetahun (bertafaqquh) mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga diri". (at-Taubah: 122)

Orang yang berilmu itu berbeza dengan orang yang tidak berilmu di dalam pandangan Tuhan dan manusia, mereka yang berilmu dipandang tinggi dan mulia serta di hormati oleh masyarakat.

Sebaliknya orang yang tidak berilmu tertutup mata hatinya dan dipandang rendah kerana ia tidak dapat membezakan yang benar dan yang salah dan tidak dapat membezakan yang baik dengan yang buruk.

Firman Allah maksudnya: "Adakah orang yang berilmu (mengerti) perihal apa yang diturunkan dari Tuhan mu, agama yang hak itu, dapat disamakan denganorang yang buta dan ini dapat dijadikan peringatan untuk orang-orang yang berakal".(ar-Ra'ad: 19)

Apa juga ibadah yang tidak didasarkan kepada ilmu dan makrifat, pasti ibadah tersebut tidak di terima oleh Allah swt. Allah swt. menganggap tidak ada suatu kemaksiatan yang lebih besar dari kejahilan terhadap-Nya dan agama-Nya.

Imam Ali ra. berkata: "Punggungku dapat dipatahkan oleh dua orang yakni orang bodoh yang melakukan ibadah dan orang alim melakukan kecurangan". Maksud punggung dipatahkan ialah tersangat hairannya sambil menyesal.

Ilmu yang paling tinggi martabatnya ialah ilmu yang berdasarkan wahyu di mana ia merangkumi ilmu al-Kitab dan as-Sunnah yang sohih, kerana kebenaran yang terkandung di dalamnya tidak boleh diragui sedangakan sumber-sember yang lain tidak dapat mencapai sepenuhnya ilmul-yakin. Kedua-dua sumber ilmu inilah yang boleh membawa manusia sampai kepada hakikat kebenaran sesuatu (Haqqul-yakin).

Para ulama' mengambil dari kedua-dua sumber ini berbagai ilmu dan pengajaran, kemudiannya mereka menyusun pula kitab-kitab dan risalah-risalah bagi kemudahan kita orang awam memahami dinul-Islam, agama Allah swt. yang benar dan suci itu.

Kajian yang teliti, usaha yang gigih dan ikhlas oleh para ulamak leluhur kita yang bersumberkan kepada sumber-sumber autantik dan muktabar, disertai pula dengan amanah dan ketakwaan mereka, ilmu Islam dapat disebar dan dapat difahami dengan lebih mudah pada hari ini berkat kejujuran mereka seperti Ilmu-ilmu Tauhid, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasawuf dan berbagai ilmu agama lainnya.

Pada keseluruhannya, ilmu dilihat dari kepentingan dan martabatnya dapatlah dibahagikan kepada dua bahagian besar iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Fardhu ain ilmu yang berhubung dengan perkara asas dan pokok yang mesti diketahui oleh setiap individu muslim seperti Ilmu Tauhid, Ilmu Fiqh dan Tasawuf. Ilmu fardhu kifayah pula ialah ilmu yang berhubung dengan keperluan dan kepentingan bersama dalam masyarakat secara umum seperti ilmu kedoktoran, ilmu sains dan teknologi, ketenteraan, teknik, ekonomi, perdagangan, politik, sains dsb. maka akan berdosalah seluruh umat Islam sekiranya tidak ada seorangpun dari kalangan mereka yang ahli dan pakar.

Para Ulamak sependapat mengatakan bahawa mempelajarai ilmu-ilmu yang berhubung dengan ilmu-ilmu umum tersebut di atas adalah fardhu kifayah.

Rasulullah saw. bersabda: "Ilmu itu tiga, ayat yang ditetapkan, sunnah yang dilakukan dan kewajipan yang disamaratakan". (Kitab Unsur-Unsur Kekuatan Dalam Islam)

Berhubung dengan ilmu-ilmu bagi kemajuan dan kemakmuran dunia seluruhnya dijelaskan oleh Allah dalam beberapa ayat berikut di bawah ini: (1) Surah Qaf: 6-11 (2) Surah ar-Rum: 22 dan 50 (3) Surah an-Nur: 43-44 (4) Surah at-Tariq: 5-7 (5) Surah az-Zaariaat: 20-21 (6) Surah Fussilat: 53-54.

Ibadah merupakan kemuncak segala kepatuhan dan ketaatan seorang hamba kepada al-Khaliq Tuhannya dan ibadah juga merupakan hubungan antara makhluq dan al-Khaliqnya. Pehubungan ini sangat penting kerana dengan ini mereka akan dapat mengetahui hakikat dirinya sebagai makhluk dan mengenal dirinya sebagai hamba kepada Allah Tuhannya dan mereka mempunyai tugas dan kewajipan yang mesti dipikul dan dilaksanakan sebagai makhluk dan hamba, mereka juga berkewajipan mengenali Tuhannya iaitu Allah kerana Allah sahajalah yang berhak disembah,disujud,dipatuhi perintahnya, dicintai, dipohon sesuatu, ditakuti dan di harapkan dan segala-galanya untuk-Nya, segala-gala dari-Nya dan segala-gala kembali kepada-Nya.

Untuk melaksanakan amal ibadah dengan betul dan sempurna manusia hendaklah mempelajari kaedah-kaedah dan ilmu bagaiamana seharusnya mereka diperintahkan untuk beramal dan melaksanakan ibadah dengan betul kepada Allah swt. Tuhannya. Oleh itu ilmu sangat berkait rapat dengan amal ibadah, tanpa ilmu yang betul maka segala amal ibadah seseorang itu tidak sempurna dan mungkin ditolak oleh Allah swt.

Oleh yang demikian menuntut ilmu merupakan suatu perkara yang sangat penting dan utama bagai kesempurnaan hidup manusia dari segi kesempurnaan ibadah dan bagi mencapai kemuliaan dunia dan keredhaan Allah di akhirat.

Sikap Umat Islam Terhadap Ilmu

Sikap Islam terhadap ilmu adalah sangat jelas sekali kerana dengan ilmu yang benar sahajalah hakikat sesuatu itu dapat dikenal atau dimakrifati, begitu juga dengan ilmu, dapat dibezakan antara yang hak dengan yang batil antara yang baik dengan yang buruk dan antara yang benar dengan yang salah.

Sikap muslim sebenar terhadap ilmu ini hendaklah ia sentiasa mencari dan menambah ilmu, ia tidak merasa puas dengan ilmu yang telah ada dan dimilikinya, sebagaimana hadis dari Abu Said al-Khudri ra. bahawa nabi saw. bersabda: "Seseorang mukmin itu sama sekali tidak puas dengan kebaikan yang didengarnya,sehingga penghabisannya nanti ialah masuk syorga". (H.R.Tirmizi. Hasan)

Oranga yang berimu itu dipandang mulia oleh Allah dan dihormati semua makhluk yang baik, seperti malaikat, para solihin. Ilmu di ibaratkan sebagai nur atau cahaya yang dapat menerangi kegelapan syirik dan jahiliah dan dapat menghindarkan dari kesesatan.

Manusia yang dikurniai ilmu oleh Allah hendaklah berusaha menyebar, mengajar dan mendidik orang lain supaya mereka sama-sama berada di alam cahaya ilmu dan Nur Iman yang dapat memandu mereka ke jalan tauhid, iman yang sempurna ibadat yang benar dan kehidupan yang diredai oleh Allah swt.

Kepentingan ilmu dalam kehidupan dunia dan akhirat adalah jelas sekali kerana kemajuan sesuatu bangsa dan negara di dunia ini adalah berdasarkan kepada ketinggian ilmu sains dan teknologi yang dimilikinya, begitu juga tamdun sesuatu bangsa itu bergantung kepada pencapaian ilmu mereka.

Ilmu adalah pusaka kenabian, tersebut dalam sebuah hadis dari Abu Darda' bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan jalannya untuk menuju syurga. Bahawasanya malaikat itu meletakkan naungan sayapnya pada orang yang menuntut ilmu kerana sangat rela terhadap apa yang dilakukannya. Bahawasanya alim ulamak adalah pewaris para nabi. Bahawasanya para nabi itu tidak mewariskan wang (ringgit), tetapi yang diwariskannya adalah ilmu. Oleh itu barangsiapa yang mengambilnya ia telah memperoleh bahagian (pusaka) yang banyak sekali". (H.R.Abu Daud dan Tirmizi)

Sikap umat Islam terhadap ilmu khususnya ilmu-ilmu Islam yang memungkinkannya mereka dapat makrifat kepada Allah dan mengenali hakikat kebenaran yang sebenar kian luntur, sepi dan dipandang rengan sahaja. Berbeza dengan sikap mereka terhadap ilmu kemahiran yang lebih bersifat duniawi dan ilmu-ilmu sekular, mereka memandang besar dan penting dan mereka sanggup untuk membelanjakan harta yang banyak semata-mata untuk mendapatkannya.

Sikap Umat Islam Terhadap Kegiatan Menuntut Ilmu

Islam tidak melarang seseorang muslim menambah dan meluaskan ilmu penge-tahuan mereka tentang sains dan teknologi, kejadian alam, ilmu perusahaan dan ilmu kemahiran yang termasuk dalam erti ilmu sains dan teknologi yang dapat memberi kemahiran untuk manusia bagi memaju dan memakmurkan bumi Allah ini, begitu juga ilmu pengetahuan yang dapat membongkar rahsia-rahsia alam yang tersembunyi untuk kepentingan hidup manusia di dunia dan akhirat.

Tetapi sayugia diingatkan segala ilmu dan kemahiran yang ada itu hendaklah mereka gunakan dengan sebaik-baiknya dalam rangka memenuhi tuntutan ibadah di mana hendaklah mereka sentiasa mensyukuri Allah swt. yang telah memberi akal, ilmu dan kemahiran kepada mereka.

Allah menjadikan alam ini untuk kepentingan dan kemudahan semua makhluknya dalam keadaan mudah digunaka oleh manusia. Ilmu pengengetahuan dan kemahiran yang didapati dan diperolehinya itu haruslah digunakan bagi tujuan mencari kebaikan, kebajikan dan seterusnya keredhaan Allah swt. semata-mata.

Islam menetapkan bahawa tujuan pokok Risalah Islamiah ialah menyampaikan seruan Allah, mengajak mereka mengabdikan diri kepada Allah dengan mengikhlaskannya, mengajak mereka berbudi luhur dan berakhlak mulia, menghapuskan semua sifat-sifat yang keji, hina dan rendah.

Firman Allah yang bermaksud: "Allahlah yang menguutus kepada kaum yang ummi seorang rasul dari kalangan mereka sendiri, membacakannya ayat-ayat Allah kepada kaumnya itu, mensucikan mereka, juga mengajarkan al-Kitab dan hikmat, sedang keadaan kaum itu sebelumnya adalah dalam kesesatan yang nyata". (al-Jumu'ah: 2)

Orang yang melangkahkan kakinya untuk menuntut ilmu adalah sama dengan halnya orang yang berjihad fi-sabilillah.

Diraiwayatkan dari Anas ra. bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Barangsiapa yang keluar untuk menuntut satu bab dari ilmu, maka ia adalah fisabilillah sampai ia kembali ke rumah". H.R.Tirmizi.Hadis Hasan)

Rata-rata umat Islam kini tidak begitu mengambil perhatian yang bersungguh-sungguh tehadap ilmu yang sebenar iaitu Ilmu yang berdasarkan wahyu Ilahi di mana pengertian yang hakiki terhadap ilmu itu adalah makrifat dan mengenal Allah sebagai Tuhan yang Maha Esa dan Tuhan yang sebenar. Mereka mula terpedaya dengan ilmu-ilmu Sekular yang memisahkan ilmu itu dengan matlamat dan tujuan kebahagaiaan akhirat.

Kebayakan umat Islam kini terpesona dengan ilmu yang dapat membangun keperluan material tetapi memandang sepi terhadap ilmu yang dapat membangun syakhsiah muslim yang bertersakan akidah dan syariah Islamiah. Gejala-gejala seperti ini lambat laun akan merungkaikan ikatan-ikatan yang harmoni di dalam kehidupan insan dan akibatnya akan berlakulah penyakit-penyakit sosial yang sukar untuk diubati seperti hilangnya rasa persaudaraan Islam, longgarnya ikatan kekeluargaan, berlakunya penyelewengan, tidak amanah, penderaan kanak- kanak, arak, dadah, pembuangan anak yang baru dilahirkan dsb.
 

Kelebihan Orang Yang Berilmu (Ulama')

Orang yang berilmu atau para ulama' mendapat tempat yang tinggi dan mulia di sisi Allah swt. dan masyarakat dan ia mulia di dunia dan akhirat, kerana dengan ilmunya ia dapat megetahui halal dan haram yang baik dan buruk tauhid dan syirik dan dengan itu ia boleh menjaga dirinya dan menasihati orang lain kerana mereka memahami ilmu Allah di dalam al-Quran dan meahami sunnah nabi-Nya, dengan itu para ulamak dan mereka yang seumpamanya di ibaratkan sebagai pelita dan cahaya yang memerangi mereka dan begitulah besar dan pentingnya golongan ulamak dalam masyarakat.

Allah swt. berfiman maksudnya: "Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat".(al-Mujadilah: 11)

Begitu juga Allah menjelaskan dari kalangan ulamaklah yang terdapat,mereka yang merasa gerun dan takut melanggar perperintah-Nya sama ada meningglkan perintah-Nya atau menceroboh had dan larangan-Nya.

Firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya yang takut kepada Allah di atara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulamak". (Faathir: 28)

Rasulullah saw. juga menjelaskan tentang kelebihan dan kemuliaan para ulamak ini dalam hadis berikut di bawah ini: Rasulullah saw. bersabda: "Kelebihan seorang alim di atas seorang 'abid (orang yang beribadah tanpa ilmu) seperti keutamaanku di atas serendah-rendah orang dari kalangan sahabat-sahabatku". (H.R.Tirmizi)

Ilmu Untuk Kepentingan Islam

Orang-orang yang berilmu hendaklah menggunakan ilmunya hanya semata-mata untuk mencari keredaan Allah swt. dengan memanfaatkan ilmu yang dipelajarinya untuk faedah dan kepentingan masyarakat manusia dan alam seluruhnya. Secara sedar dan insaf mereka hendaklah memahami dan meyakini bahawa apa yang diketahuinya dari ilmu yang ada pada dirinya adalah hidayah yang datang dari kurniaan Allah, oleh itu apa yng menjadi kewajipannya ialah menggunakan ilmu permberian Allah itu untuk kepentingan Islam dan kemanusiaan seluruhnya.

Mereka yang telah dikurniakan ilmu itu janganlah sombong dan membesarkan diri dan berbangga kerana ilmu yang dipunyainya. Sikap yang seperti ini adalah suatu sikap yang salah dan dibenci oleh Allah kerana ia telah khianat terhadap amanah ilmu yang diberikan oleh Allah swt. Allah berfirman maksudnya: "Dan tidaklah kamu di beri ilmu melainkan sedikit". (al-Isra': 85)

Ahli ilmu merupakan orang yang menggantikan tugas-tugas para Nabi dan Rasul menyampaikan ilmu kebenaran, oleh itu mereka sentiasa dirahmati oleh Allah swt. dan wajahnya sentiasa berseri-seri. Rasulullah saw. Bersabda: "Semoga Allah merahmati pengganti-penggantiku. Para sahabat bertanya: Bukankah kita ini pengganti-pengganti tuan, wahai Rasulullah ? Beliau saw. bersabda: Engkau adalah sahabat-sahabatku, yang disebut Pengganti-penggantiku ialah orang-orang yang datang selepasku nanti yang mempelajari sunnahku lalu diajarkannya kepada seluruh manusia". (H.R.Tirmizi.H.Hasan)

Sabdanya lagi: "Allah akan memberikan wajah yang berseri-seri kepada seseorang yang mendengar ucapanku lalu disimpannya kemudian disampaikannya, sebagaimana yang didenganrnya. Banyak juga orang yang menyampaikan itu lebih pandai menghafal daripada yang mendengarnya".(H.Sahih Riwayat Tirmizi)

Ahli ilmu yang membimbing seluruh umat manusia kepada kebaikan berhak mendapat penghormatan dan kemuliaan. Mereka juga akan memperolehi pertolongan Allah serta keberkatan hidupnya dari Allah swt. Inilah satu darjat dan kedudukan serta pangkat yang tidak pernah terlintas dalam hati setiap orang akan kemuliaan para ulama' yang ikhlas dan bekerja untuk Islam kerana mencari keredhaan Allah swt. Tersebut dalam sebuah hadis dari Abu Umamah bahawa Rasulullah saw. bersabda: "Bahawasanya Allah, seluruh para malaikat, penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang berada di dalam lubangnya, juga ikan, semuanya memohon kerahmatan kepada orang yang mengajarkan (kebaikan) kepada manusia. (H.R.Tirmizi.Hadis Hasan)

Dengan ini jelas dan nyatalah kepada kita betapa tingginya ilmu dan orang-orang yang berilmu itu kerana dengan ilmu ia dapat mengenal Allah Tuhannya, dan ia dapat mengetahui bagaimana cara ia hendak beribadah dan mengabdi diri kepada-Nya, dan dengan ilmu juga ia bapat mengetahui bagaimana amalan yang betul dan dan ia dapat menghindarkan diri dari berbuat kesalahan dan kesilapan serta ia mengetahui bagaimana hendak mengerjakan sesuatu amalan itu supaya ikhlas, jauh dan terhindar dari sifat-sifat riak, ujub dan sum'ah, kerana perkara-perkara itu semua boleh merosakan ibadah.

Sikap seperti inilah yang harus ada kepada setiap orang yang berilmu, iaitu melaksanakan tanggungjawabnya bagi kepentingan Islam dan kesejahteraan umatnya, tetapi pada hari ini sikap mulia dan ikhlas seperti ini telah luntur dan terhakis dari jiwa orang-orang yang berilmu. Rata-rata orang yang berilmu sekarang mempunyai sikap berbangga dan bermegah dengan ilmu yang dimilikinya untuk mencari keuntungan dunia seperti mencari kedudukan mulia di dalam masyarakat, ilmu juga digunakan untuk merebut pangkat dan juga yang menjadikan ilmu itu sebagai suatu barangan yang diperniagakan.

Gejala-gejala seperti inilah yang meruntuhkan Islam dan umat Islam itu sendiri, lebih-lebih lagi jika sikap seperti ini berlaku kepada mereka yang diberi ilmu agama atau orang yang beranama ulamak.

Hubungan Antara Ilmu dan Amal

Ibadah merupakan kemuncak segala kepatuhan dan ketaatan seorang hamba kepada al-Khaliq Tuhannya dan ibadah juga merupakan hubungan antara makhluk dan al-Khaliqnya. Pehubungan ini sangat penting kerana dengan ini mereka akan dapat mengetahui hakikat dirinya sebagai makhluk dan mengenal dirinya sebagai hamba kepada Allah Tuhannya dan mereka mempunyai tugas dan kewajipan yang mesti dipikul dan dilaksanakan sebagai makhluk dan hamba, mereka juga berke-wajipan mengenali Tuhannya iaitu Allah kerana Allah sahajalah yang berhak disembah, disujud, dipatuhi perintahnya, dicintai, dipohon sesuatu, ditakuti dan segala-galanya untuk-Nya, segala-gala dari-Nya dan segala-gala kembali kepada-Nya.

Untuk melaksanakan amal ibadah dengan betul dan sempurna manusia hendaklah mempelajari kaedah-kaedah dan ilmu bagaiamana seharusnya mereka diperintahkan untuk beramal dan melaksanakan ibadah dengan betul kepada Allah swt. Tuhannya. Oleh itu ilmu sangat berkait rapat dengan amal ibadah, tanpa ilmu yang betul maka segala amal ibadah seseorang itu tidak sempurna dan mungkin ditolak oleh Allah swt.

Oleh yang demikian menuntut ilmu merupakan suatu perkara yang sangat penting dan utama bagai kesempurnaan hidup manusia untuk kesempurnaan ibadah dan bagi mencapai kemuliaan dunia dan keredaan Allah di akhirat.
 
 

Updated: Sunday, 16 October, 2005

 

 

 

 

والحمد لله رب العالمين