CYBER KEFAHAMAN ISLAM
BAHAGIAN KEDUA
BAB KE SEMBILAN
KONSEP IBADAH DALAM ISLAM
Mukaddimah
Hidup manusia dibumi ini bukanlah suatu kehidupan yang
tidak mempunyai tujuan dan matlamat dan bukalah mereka boleh melakukan sesuatu
mengikut kehendak perasaan dan keinginan tanpa ada batas dan tanggungjawab.
Tetapi penciptaan makhluk manusia di bumi ini adalah
mempunyai suatu tujuan dan tugas risalah yang telah ditentu dan ditetapkan oleh
Allah Tuhan yang menciptanya.
Tugas dan tanggungjawab manusia sebenarnya telah nyata
dan begitu jelas sebagaimana terkandung di dalam al-Quran iaitu tugas
melaksanakan ibadah mengabdikan diri kepada Allah dan tugas sebagai
khalifah-Nya dalam makna mentadbir dan mengurus bumi ini mengikut undang-undang
Allah dan peraturan- Nya.
Firman Allah swt. maksudnya: "Dan Aku Tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah (menyembah)
kepada Ku". (Az-Zaariyaat: 56)
Firman Allah swt. bermaksud: "Dan Dialah yang
menjadikan kamu khalifah (penguasa-penguasa) di bumi dan Dia meninggikan
sebahagian kamu atas sebaha-gian (yang lain) beberapa darjat untuk mengujimu
tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu". (al-An'aam: 165)
Tugas sebagai khalifah Allah ialah memakmurkan bumi ini
dengan mentadbir serta mengurusnya dengan peraturan dan undang-undang Allah.
Tugas beribadah dan mengabdi diri kepada Allah dalam rangka melaksanakan segala
aktiviti pengurusan bumi ini yang tidak terkeluar dari garis panduan yang
datang dari Allah swt. dan dikerjakan segala kegiatan pengurusan itu dengan
perasaan ikhlas kerana mencari kebahagian dunia dan akhirat serta keredaan
Allah.
Allah swt. telah menyediakan garis panduan yang lurus dan
tepat kepada manusia dalam rangka pengurusan ini. Allah dengan rasa kasih
sayang yang bersangatan kepada manusia diturunkannya para rasul dan bersamanya
garis panduan yang diwhyukan dengan tujuan supaya manusia itu boleh mengurus
diri mereka dengan pengurusan yang lebih sempurna dan bertujuan supaya manusia
itu dapat hidup sejahtera dunia dan akhirat.
Pengertian Ibadah
Kalimat ibadah berasal daripada kalimat `abdun'.
Ibadah dari segi bahasa bererti patuh, taat, setia, tunduk, menyembah dan
memperhambakan diri kepada sesuatu.
Dari segi istilah agama Islam pula ialah tindakan,
menurut, mengikut dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara
yang disyariatkan oleh Allah dan diserukan oleh para Rasul-Nya, sama ada ia
berbentuk suruhan atau larangan.
Ibnu Taimiah pula memberi takrif Ibadah, iaitu nama bagi
sesuatu yang disukai dan kasihi oleh Allah swt.
Perintah Allah dan Rasul-Nya ini hendaklah ditunaikan
dengan perasaan penuh sedar, kasih dan cinta kepada Allah, bukan kerana
terpaksa atau kerana yang lain dari cintakan kepada-Nya.
Para Nabi dan Rasul merupakan hamba Allah yang terbaik
dan sentiasa melaksanakan ibadah dengan penuh kesempurnaan di mana setiap
arahan Tuhannya, mereka patuhi dengan penuh perasaan cinta dan kasih serta
mengharap keredaan dari Tuhannya. Mereka menjadi contoh teladan yang paling
baik kepada kita semua dalam setiap pekerjaan dan amalan sebagaimana yang
dianjurkan oleh al-Quran itu sendiri.
Firman Allah swt. maksudnya: "Sesungghnya bagi
mu, apa yang ada pada diri Rasulullah itu contoh yang paling baik".
(al-Ahzab: 21)
Setengah ulamak mengatakan bahawa perhambaan (ibadah)
kepada Allah hendaklah disertai dengan perasaan cinta serta takut kepada Allah
swt. dan hati yang sihat dan sejahtera tidak merasa sesuatu yang lebih manis,
lebih lazat, lebih seronok dari kemanisan iman yang lahir dari pengabdian
(ibadah) kepada Allah swt. Dengan ini maka akan bertautlah hatinya kepada Allah
dalam keadaan gemar dan reda terhadap setiap perintah serta mengharapkan supaya
Allah menerima amalan yang dikerjakan dan merasa bimbang serta takut
kalau-kalau amalan tidak sempurna dan tidak diterima oleh Allah seperti yang
ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "(Ia itu) Oran yang takut
kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia
datang dengan hati yang bertaubat". (Qaf: 33)
Orang yang memperhambakan dirinya (beribadah) kepada
Allah mereka akan sentiasa patuh dan tunduk kepada kehendak dan arahan
Tuhannya, sama ada dalam perkara yang ia suka atau yang ia tidak suka dan
mereka mencintai dan mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih dari yang
lain-lainnya. Mereka mengasihi makhluk yang lain hanyalah kerana Allah
semata-mata, tidak kerana yang lain Kasihkan kepada Rasulullah saw. pula kerana
ia membawa Risalah Islam, cintakan kepada Rasulullah saw. hendaklah mengikuti sunahnya
sebagaimana firman Allah swt. maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad)
sekiranya kamu kasihkan Allah maka ikutilah aku (pengajaranku) nescaya Allah
akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa- dosa kamu". (Al-Imran: 31)
Dan andainya kecintaan kamu kepada selain Allah dan
Rasul-Nya itu mengatasi dan melebihi dari kencintaan dan kasih kepada yang
lain; Allah akan turunkan keseksaan-Nya kepada manusia yang telah meyimpang
dari ketentuan-Nya. Firman Allah swt. maksudnya: "Katakanlah (Muhammad)
jika ibu bapa kamu, anak-anak kamu, saudara mara kamu, suami isteri kamu, kaum
keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangkan
kerugiannya, dan rumahtangga yang kamu sukai itu lebih kamu kasihi daripada
Allah dan Rasul-Nya serta berjihad untuk agama Allah, maka tunggulah (kesiksaan
yang akan didatangkan) oleh Allah. Dan Allah tidak memberi hidayah kepada
orang-orang fasik". (At-Taubah: 24)
Ruanglingkup Ibadah dan Hubunganya dengan kehidupan
Sebgaimana yang dijelaskan di atas nyatalah ibadah itu
itu bukanlah sesempit apa yang difahami oleh sebahagian dari kalangan manusia
yang tidak dapat memahami kesempurnaan Islam itu sendiri di mana pada anggapan
mereka Islam itu hanya suatu perbicaraan pasal akhirat (mati) dan melakukan
beberapa jenis ibadah persendirian tidak lebih dari itu. Begitu juga bila
disebut ibadah apa yang tergambar hanyalah masjid, tikar sembahyang, puasa,
surau, tahlil, membaca al-Quran, doa, zikir dan sebagainya iaitu kefahaman
sempit disekitar ibadah-ibadah khusus dan ritual sahaja tidak lebih dari itu.
Kefahaman seperti ini adalah akibat dari serangan fahaman Sekular yang telah
berakar umbi ke dalam jiwa sebahagian dari kalangan orang-orang Islam.
Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna,
yang merangkumi semua bidang kehidupan dunia dan akhirat, di mana dunia
merupakan tanaman atau ladang yang hasil serta keuntungannya akan dituai dan
dinikmati pada hari akhirat kelak.
Ibadah dalam Islam meliputi semua urusan kehidupan yang
mempunyai paduan yang erat dalam semua lapangan hidup dunia dan akhirat, tidak
ada pemisahan antara kerja-kerja mencari kehidupan di muka bumi ini dan
hubungannya dengan balasan akhirat. Islam mengajarkan kepada kita setiap apa
juga amalan yang dilakukan oleh manusia ada nilai dan balasan sama ada pahala
atau siksa. Inilah keindahan Islam yang disebut sebagai ad-Deen yang lengkap
sebagai suatu sistem hidup yang boleh memberi kesejahteraan hidup penganutnya
di dunia dan di akhirat.
Dengan kata lain setiap amalan atau pekerjaan yang membawa
manfaat kepada individu dan masyarakat selama ia tidak bercanggah dengan syarak
jika sekiranya ia memenuhi syarat-syaratnya, seperti dikerjakan dengan ikhlas
kerana Allah semata-mata bukan kerana mencari kepentingan dan mencari nama
serta ada niat mengharapkan balasan dari manusia atau ingin mendapat pujian dan
sanjungan dari manusia; maka amalan-amalan yang demikian akan mejadi ibadah
yang diberi pahala di sisi Allah swt di akhirat kelak, insya'-Allah.
Berdasarkan kepada konsep ibadah tersebut maka setiap
perbuatan pertolongan baik kepada orang lain seperti membantu orang sakit,
tolong merengankan beban dan kesukaran hidup orang lain, memenuhi keperluannya,
menolong orang yang teraniaya, mengajar dan membimbing orang yang jahil adalah
ibadah.
Termasuk juga dalam makna ibadah ialah setiap perbuatan,
perkataan manusia zahir dan batin yang disukai dan diredai oleh Allah swt.
Bercakap benar, taat kepada ibu bapa, amanah, menepati janji, berakata benar,
memenuhi hajat keperluan orang lain adalah iabadah.
Menuntut ilmu, menyuruh perkara kebaikan dan mencegah
segala kejahatan, berjihad, memberi pertolongan kepada sesama manusia, dan
kepada binatang, berdoa, puasa, sembahyang, membaca al-Quran semuanya itu juga
adalah sebahagian dari ibadah.
Begitu juga termasuk dalam pengertian ibadah cinta kepada
Allah dan Rasul-Nya, melaksanakan hukum-hukum Allah, sabar menerima ujian,
bersyukur menerima nikmat, reda terhadap qadha' dan qadar-Nya dan banyak lagi
kegiatan dan tindakan manusia yang termasuk dalam bidang ibadah.
Kesimpulannya ruanglingkup ibadah dalam Islam adalah
terlalu terlalu luas yang merangkumi semua jenis amalan dan syiar Islam dari
perkara yang sekecil-kecilnya seperti cara makan, minum dan masuk ketandas
hinggalah kerja-kerja menguruskan kewangan dan pentadbiran negara semuanya
adalah dalam makna dan pengertian ibadah dalam ertikata yang luas apabila
semuanya itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya dengan menurut adab dan peraturan
serta memenuhi syarat-syaratnya.
Hubungan Iman dan Amal
Iman bukanlah sekadar suatu keyakinan dan pembenaran
dalam hati terhadap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. tetapi iman yang
hakiki dan sebenar ialah merangkumi pembenaran dan keyakinan di dalam hati,
pengucapan di lidah serta melaksanakan amalan dengan anggota badan iaitu
melakukan amalan soleh, maka dengan ini dapatlah difahami iman itu bukanlah
sekadar ucapan lidah dan keyakinan dalam hati sahaja tetapi amalan merupakan
sebagai bukti kesempurnaan, keteguhan dan kemantapan iman seseorang.
Imam al-Ghazali menjelaskan dalam hubungan ini dengan
katanya: "Iman itu ialah akidah, perkataan dan perbuatan".
Dengan makna akidah itu sebagai membenarkan dan mepercayai dengan hati kepada
segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. (perkara yang mudah (dharuri)
dari agama). Perkataan adalah sebagai ikrar dan pengakuan dengan lisan dan
perbuatan adalah sebagai beramal melaksanakan segala perintah Allah dengan
anggota (badan yang lahir).
Hadis Rasulullah saw. menguatkan adanya hubungan yang
sangat erat di antara iman dan amal. dengan sabdanya sebagai berikut: Sabda
Rasulullah saw. maksudnya: "Iman itu lebih dari enam puluh cabang; yang
paling tingginya La-Ilaaha-Illallaah dan dan yang paling rendahnya membuang
sampah dari tengah jalan". (H.R.Bukhari)
Hadis ini menyatakan dengan jelas perbuatan membuang
sampah sebagai sebahagian dari iman. Ini bermkna iman itu jelas bukan sekadar
keyakinan dan kepercayaan dalam hati tetapi ia juga merangkumi amal atau
perbuatan manusia.
Pembahagian Ibadah
Untuk memudahkan bahasan dan perbincangan kita berhubung
dengan ibadah ini, ulamak-ulamak Islam membahagikan ibadah kepada dua bahagian
sebagai berikut:
1. Ibadah khusus
2. Ibadah Umum
Ibadah khusus ialah semua amalan yang tercantum dalam bab
al-Ibadaat yang utamanya ialah sembahyang, puasa, zakat dan haji.
Ibadah Umum pula ialah segala amalan dan segala perbuatan
manusia serta gerak-geri dalam kegiatan hidup mereka yang memenuhi
syarat-syarat berikut:
1) Amalan yang dikerjakan itu di akui oleh syarak dan
sesuai dengan Islam.
2) Amalan tersebut tidak bercanggah dengan syariat, tidak
zalim, khianat dan sebagainya
3) Amalan tersebut dikerjakan dengan niat ikhlas
semata-mata keranaAllah swt. tidak riak, ujub dan
sum'ah.
4) Amalan itu hendaklah dikerjakan dengan sebaik-baiknya
5) Ketika mengerjakan amalan tersebut tidak lalai atau
mengabaikan kewajipan ibadah khusus seperti
sembahyang dan sebagainya.
Firman Allah swt. maksudnya: "Lelaki yang tidak dilalaikan
mereka oleh perniagaan atau jual beli dari mengingati Allah, mendirikan
sembahyang dan mengeluarkan zakat mereka takut kepada suatu hari yang (di hari
itu) hati dan penglihatan menjadi goncang". (An-Nur: 37)
Amalan-Amalan yang Tidak Menjadi Ibadah
Dilihat dari syarat-syarat di atas, nampaklah kepada kita
bahawa sesuatu amalan yang dikerjakan oleh seseorang begitu sukar sekali untuk
mencapai kesempurnaan dalam makna ibadah dengan ertikata yang sebenar-benarnya
mengikut syarat-syarat dan ketentuan tersebut di atas, oleh itu kita hendaklah
bersungguh-sungguh dalam mengusahakan amalan kita supaya dapat mencapai
matlamat ibadah yang sempurna dengan menyempurnakan segala syarat-syaratnya.
Dan kita hendaklah sentiasa meneliti dan memperhatikan
dengan sungguh-sungguh agar kita tidak tertipu dengan amalan kita sendiri;
dengan menyangka kita telah banyak melaksanakan amal ibadah dengan sempurna
tetapi pada hakikatnya tidak demikian, kita takut akan tergolong ke dalam
golongan manusia yang tertipu dan sia-sia amalan kita dan apa yang kita dapat
hanyalah penat dan lelah. Ini kerana kita melakukan amalan dan kerja-kerja
kebajikan itu tidak menepati dan tidak selari dengan ketentuan dan
syarat-syarat ibadah dan amal soleh yang dikehandkki itu.
Dari itu disamping kita melaksanakan segala amalan zahir
dengan sempurna mengikut petunjuk dari Rasulullah saw. apa yang lebih penting
lagi ialah kita membetulkan amalan batin iaitu amalan hati supaya betul iaitu
niat dengan ikhlas, amalan itu semata-mata kerana Allah tidak kerana yang lain
dari-Nya. Dan kita juga hendaklah sentiasa menjaga keikhlasan hati kita ini
dari penyakit-penyakit yang boleh merusakannya seperti riak, ujub, sum'ah,
takabur dan sebagainya.
Kesimpulan secara mudah ialah seorang lelaki yang memakai
pakaian untuk menutup aurat dari kain sutra, dan perempuan yang berpakaian
meliputi badannya tetapi masih menampakan susuk badannya masih lagi tidak
dinamakan ibadah, atau seorang menderma dengan tujuan supaya dipuji dan digelar
sebagai dermawan atau seorang yang rajin bersembahyang dengan niat tujuan
supaya digelar sebagai ahli ibadah oleh manusia; itu semua tidak termasuk dalam
makna ibadah yang diterima oleh Allah swt.
Dengan demikian jelaslah kepada kita segala amalan yang
tidak memenuhi syarat-syarat di atas itu tidak dikira sebagai ibadah. Niat dan
tujuan serta matlamat adalah sangat penting dalam sesuatu amalan di samping
amalan tersebut tidak bercanggah serta diakui sah oleh syariat Islam.
Matalamat dan Tujuan Ibadah
Sebagaimana kita ketahui dan maklum bahawa pengutusan
manusia ke dunia ini tidak lain melainkan untuk beribadah (memperhambakan diri)
kepada al-Khaliq, Allah Yang Maha Pencipta dan juga kita telah mengetahui
bahawa pengertian ibadah dalam Islam merangkumi semua bidang amalan dalam kehidupan
manusia.
Dan di sini timbul pertanyaan kenapa kita mengabdi
menyembah Allah dan apakah matlamat ibadah itu ? Apakah ada faedah untuk-Nya
atau apa faedah yang boleh didapati oleh seseorang hamba yang menyembah-Nya ?
Jawapannya ialah bahawa Allah swt. Yang Maha Suci dan
Maha Tinggi tidak mendapat sebarang faedah dari ketaatan orang yang
menyembah-Nya dan tidak memberi mudarat sedikitpun dari keengganan orang yang
menentang dan engkar kepada perintah-Nya.
Begitu juga tidak menambahkan kuasa keagungan pemerintahan-Nya
oleh puji-pujian orang yang memuji-Nya dan tidak mengurangi keagungan
kekuasaan-Nya oleh keengkaran orang-orang yang mengengkari perintah-Nya.
Ini kerana Allah Maha Kaya dan mempunyai segala-galanya
kerana semua yang ada di alam ini menjadi milik-Nya belaka sedangkan kita
manusia adalah satu dari makhluk Allah yang banyak itu, makhluk manusia ini
terlalu kecil, hina dan miskin, serba kekurangan dan sentiasa berhajat dan
memerlukan kepada-Nya.
Allah, Dialah Tuhan Maha Pemurah, Maha Mulia, Maha
Penyayang serta bersifat Maha Memberi kepada semua makhuk-Nya dan Dia tidak
menyuruh kita mengerjakan sesuatu melainkan perkara itu mendatangkan kebaikan
bagi makhluk itu sendiri.
Firman Allah swt. maksudnya: "Sesungguhnya Kami
telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman supaya dia bersyukur
kepada Allah dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia bersyukur dagi faedah
dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar, sesungghnya Allah Maha Kaya lagi
Terpuji". (Luqman: 12)
Dari itu kita wajiblah mensyukuri segala nikmat dan
kurniaan Allah swt. kepada kita semua yang mana sekiranya kita hendak
menghitugnya sudah tentu kita tidak mampu untuk berbuat demikian, begitulah
besar dan banyaknya pemberian Allah kepada kita semua sebagai makhluk-Nya.
Kelazatan Bermunajat dan Mentaati Allah
Kelazatan beribadah ini dapat digambarkan dari beberapa
peristiwa yang berlaku kepada baginda Rasulullah saw. para sahabat, tabi'in dan
para solihin, kelazatan ini akan timbul apabila adanya hubungan hamba dengan
Tuhannya yang begitu erat dan di mana seorang hamba begitu gembira dan begitu
senang memuji-muji kebesaran Allah swt. ini semua berlaku dari sebab
makrifat-nya (kenalnya) seseorang hamba itu kepada
Tuhannya sehingga hamba itu merasa rindu apabila ia tidak
dapat menghadap Tuhannya, dan merasa gelisah kerana tidak dapat bertemu dengan
yang dicintai dan dikasihinya. B begitu juga apabila seorang hamba mengalami
sedikit kesusahan tentulah ia akan mengadu ketempat yang dapat menerima
pengaduan dan boleh menyelesaikan masalah dan kesusahannya. Tiada tempat yang
layak untuk berbuat demikian melainkan kepada Yang Maha Agung dan Maha
Berkuasa.
Firman Allah swt. maksudnya:"Demi sesungguhnya
Kami mengetahui bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan apa yang mereka
katakan maka hendaklah engkau bertasbih memuji Tuhanmu serta jadilah dari
golongan orang-orang yang sujud beribadah dan sembahlah Tuhanmu sehingga tiba
kepadmu perkara yang tetap (iaitu mati)". (al-Hijr: 97-99)
Begitu juga di waktu orang-orang mukmin mendapat kurnia
ia bersyukur seterusnya memuji kepada Allah swt. Firman Allah swt. maksudnya: "Bila
datang pertolongan Allah dan kemenangan (pembukaan Makkah) dan engkau lihat
manusia berduyun-duyun masuk agama Allah swt. maka ucapkanlah tasbih dengan
memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia suka menerima
taubat". (an-Nasr: 1-4)
Ibadah Hanya Untuk Allah
Pada hakikatnya pengabdian terhadap Allah swt. merupakan
suatu kebebasan yang hakiki, jalan bagi mencapai kepada ketuannan yang sejati,
kerana Allahlah yang boleh membebaskan hati nurani manusia dari perhambaan
kepada sebarang makhluk dan memerdekakannya dari perhambaan dan kehinaan serta
tunduk kepada yang lain dari Allah seperti tunduk kepada Tuhan-Tuhan palsu,
berhala, manusia yang selalunya memperhamba dan mengongkong keyakinan manusia
dengan sekuat-kuatnya miskipun pada lahirnya mereka bertindak seperti tuan yang
bebas dan merdeka.
Perhambaan diri kepada Allah itu membebaskan manusia
daripada perhambaan sesama makhluk kerana dalam hati manusia ada keperluan
sejati kepada Allah, kepada Tuhan yang disembah yang mana dia bergantung
kepadanya dan berusaha serta bekerja untuk mencapai keredaan-Nya. Jika yang
disembah itu bukan Allah Yang Maha Esa tentulah manusia akan meraba-raba
meyembah bermacam-macam Tuhan dari setiap objek benda dan khayalan yang ada
dalam pemikiran dan yang berada di sekeliling mereka.
Tidak ada sesuatu pekerjaan yang paling mulia bagi
manusia yang berakal selain dari beribadah menyembah Allah yang menciptanya dan
menjadikan dirinya dengan sebaik-baiknya dan perkerjaan yang seburuk-buruknya
kepada seorang manusia itu pula ialah menafi dan mendustakan Allah dan
Rasul-Nya kemudian mereka menyembah dan mengabdikan diri mereka kepada Tuhan
yang lain dari Allah swt.
Seorang hamba abdi yang taat kepada tuannya tentulah akan
merasa senang dan gembira kerana ia tahu apa yang disukai oleh tuannya lalu
disempurnakannya suruhan itu dengan segala senang hati dan disempurnakan dengan
sebaik-baiknya. Manakala seorang hamba yang dimiliki oleh beberapa orang tuan
selalu bertelingkah antara sesama mereka; yang satu menyuruh hamba itu
melakukan sesuatu yang ditegah oleh yang lain, maka alangkah susah dan
deritanya hamba tersebu itu untuk melakukan perintah-perintah Tuhan yang saling
bertentangan perintahnya antara satu Tuhan dengan Tuhan yang lain.
Kalau orang yang menyembah selain dari Allah menjadi
musyrik (kafir di- sebabkan ia melakukan perbuatan syirik), maka begitulah juga
orang yang takabur menjadi musyrik (orang syirik), sebagaimana Firaun kerana
kesombongan dan takaburnya, sebagaimana firman Allah swt. bermaksudnya:
"Nabi Musa as. berkata: "Sesungguhnya aku berlindung kepada
Tuhanku dan Tuhan kamu daripada perbuatan orang yang takabur yang tidak percaya
hari Perhitungan", demikianlah Allah meterikan setiap hati orang yang
takabur lagi bermaharajalela". (al-A'raf: 27)
Kajian menunjukan bahawa semakin besar keangkuhan
seseorang yang enggan tunduk dan patuh beribadah (mengabdi diri) kepada Allah, semakin
besar kesyirikannya dengan Allah, Kerana menurut kebiasaannya semakin banyak
takabur tidak mahu menyembah Allah semakin bertambahlah pergantungan manusia
itu terhadap makhluk yang dicintainya yang menjadi pujaan utama bagi hatinya;
yang demikian mereka akan menjadi musyrik dengan sebab menjadikan dirinya hamba
(menyembah) kepada selain dari Allah swt.
Hati atau keyakinan manusia tidak akan terlepas dari
perhambaan kepada makhluk kecuali mereka menjadikan Allah sebagai Tuhannya yang
sebenar dan sejati, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, tiada tempat
bergantung dan meminta pertolongan melainkan dari-Nya, Tidak merasa gembira
melainkan dengan apa yang disukai dan diredai-Nya, Tidak ia benci melainkan apa
yang dibenci oleh Allah, tidak ia memusuhi kecuali orang yang Allah
memusuhinya, tidak ia kasih melainkan kepada orang yang di kasihi oleh Allah,
tidak ia memberi kecuali kerana Allah dan tidak ia melarang kecuali kerana
Allah.
Semakin tulus keikhlasa seseorang itu kepada Allah maka
semakin sempurnalah ubudiyahnya (perhambaanya) kepada Allah dan terlepas dari
pergantungannya kepada sesama makhluk, dengan sempurna ubudiyahnya kepada Allah
maka sempurnalah kesuciannya dari sifat syirik.
Tidak Harus Kepentingan Dunia Dijadikan Tujuan Ibadah
Samasekali tidak sesuai dengan tujuan Islam yang suci di
mana tujuan atau kepentingan dunia menjadi matlamat dalam amalan atau ibadah
seseorang, ataupun kepentingan dunia atau faedah-faedah dunia menjadi pendorong
seseorang untuk melakukan printah ibadah kepada Allah swt.
Begitu juga kalau tujuan beramal dan beribadah kepada
Allah swt. untuk mendapatkan kesucian jiwa dan dengan itu dapat mengembara ke
alam arwah dan dapat melihat malaikat serta dapat melakukan sesuatu yang luar
biasa, mendapat keramat (kemuliaan) dan ilmu ladunni.
Semuanya ini disangkal oleh para ulamak dengan katanya:
"Yang demikian adalah terkeluar daripada jalan ibadah, Ia merupakan
ramalan kepada ilmu atau perkara ghaib, malah akan menjadi ibadah kepada Allah
itu sebagai jalan menuju ke arah demikian yang mana pada akhirnya lebih hampir
kepada meninggal ibadah."Orang-orang yang beribadah dengan maksud yang
demikian termasuk di bawah pengertian ayat al-Quran yang maksudnya:
"Sebahagian daripada manusia yang menyembah Allah secara tidak tetap, bila
mendapat kebaikan dia teruskan dan bila terkena kesusahan dia berpaling tadah.
Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Itulah kerugian yang amat nyata".
(al-Hajj: 11)
Begitulah keadaan orang yang beribadah dengan tujuan
mendapatkan faedah-faedah dunyawi jika sampai dan berhasil tujuan dan
kehendaknya bergembiralah dia dan kuatlah tujuannya tetapi lemahlah ibadahnya
jika tujuannya tidak berhasil dia meninggalkan ibadah itu.
Kesimpulan
Sebagaimana yang telah kita faham sebelum ini runglingkup
ibadah itu adalah terlalu luas sebagaimana yang telah dijelaskan iaitu ibadah
merupakan semua kegiatan hidup manusia itu sendiri yang sesuai dengan syariat
Islam yang suci dan murni itu, oleh itu bolehlah difaham ibadah dalam Islam
bermula sejak dari adab-adab masuk ketandas mengerjakan qadha' hajat hinggalah
sampai kepada bagaimana cara mengurus kewangan dan mentadbir negara.
Kegiatan hidup manusia ini akan termasuk ke dalam makna
ibadah yang diberi ganjaran dan pembalasan pahala baik di akhirat apabila ia
menepati dengan kehendak syarak, tidak menyeleweng dari kehendak dan ketentuan
Allah swt. dikerjakan mengikut peraturan dan syarat-syaratnya, disertai pula
dengan niat yang betul dan ikhlas semata-mata dilakukan kerana mencari keredaan
Allah swt. tidak kerana yang lain dari-Nya, menghindarkan diri dari perasaan
riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji dan terkenal sebagai orang yang rajin,
tekun, orang baik dan ingin disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai
dan juga suka berbangga dengan memberi tahu kepada orang lain akan amal
kebajikannya. Ia juga hendaklah menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia
telah banyak berbuat kebajikan dan berbuat amal ibadah.
Oleh itu ibadah dalam
Islam bukanlah terhad kepada amalan-amalan ibadah yang ritual semata-mata seperti
sembahyang, zikir, puasa, haji dan sebagainya yang disebut sebagai ibadah
khusus, tetapi ibadah merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial,
mencari rezki, sahinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara; semuanya itu
akan menjadi ibadah sekiranya ia dilakukan menurut cara dan kehendak Islam
serta niat dari hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah swt.
---oOo---