BAB ENAM



بسم الله الرحمن الرحيم

 

KEDUDUKAN NON MUSLIM DALAM NEGARA ISLAM

 

Islam adalah agama untuk seluruh umat manusia dan setiap manusia berkewajipan melaksanakan dan menyebarkannya kerana itu telah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang muslim terhadap agamanya. Namun demikian undang-undang Islam berlaku dan wajib dilaksanakan di dalam daerah kekuasaannya, tidak melampaui batas negara Islam kerana itu bukan di bawah daerah kedaulatannya.

Berdasarkan kepada kenyataan tersebut ini bermakna Hukum Pidana Islam wajib dilaksanakan di daerah kekuasaan Islam kepada semua warganegaranya tanpa seorang pun terkecuali. Namun dalam beberapa keadaan terdapat perbezaan antara orang Islam dengan kafir zimmi, muahad dan musta’min. Jumhurul-fuqahak mengecualikan orang-orang zimmi, muahad dan musta'min dalam hukum minum minuman khamar (arak), berdasarkan kepada anggapan bahawa arak itu harus bagi mereka. Menurut mazhab Zahiri pula tidak ada apa-apa perbezaan dari segi pelaksanaan hukum kepada semua warganegara.

Dr. Yusuf al-Qardhawy pula menyebut dalam kitabnya Kedudukan Non Muslim dalam Negara Islam. Kewajipan ahli zimmah hendaklah mematuhi hukum-hukum Islam yang berjalan ke atas orang-orang Islam, kerana dengan adanya perjanjian zimmah mereka sudah memiliki Kerakyatan Negara Islam yang semestinya mereka terikat dengan undang-undang (Islam) yang tidak menyentuhi akidah dan kebebasan mereka beragama.

Mereka tidak akan dikenakan sebarang bebanan tugas keagamaan orang-orang Islam atau yang mempunyai imbasan keagamaan, umpamanya zakat yang merupakan sebagai cukai, di samping ianya sebagai ibadat, atau umpama jihad yang ianya sebagai khidmat ketenteraan dan tugas yang difardukan oleh Islam. Dengan sebab itulah Islam mewajibkan bayaran Jizyah ke atas mereka sebagai ganti kepada jihad dan bayaran zakat, seperti yang diketahui bahawa mereka tidak diwajibkan sebarang rupa bentuk peribadatan Islam, kerana ingin memelihara perasaan agama mereka.

Dalam hal-hal yang berhubung dengan Ahwal al-Syakhsiah (undang-undang Kekeluargaan) dan kemasyarakatan, mereka tidaklah dilarang untuk mengamalkan apa juga perkara yang telah diharuskan oleh agama mereka, sekalipun ada di anta-ranya yang diharamkan oleh Islam, seperti mana hal-hal yang berhubung dengan pernikahan perceraian, makan daging babi dan minum arak. Islam mengakui tentang apa yang dirasakan halal apa yang pada kepercayaan mereka tanpa menyentuhinya langsung, sama ada tujuan untuk membatalkannya atau hanya dengan tujuan memberi teguran. Dalam perkara yang seperti ini diminta supaya membiarkan mereka dengan kepercayaannya. Tetapi apabila mereka dalam hal tersebut, rela untuk menerima hukum-hukum Syariat Islam maka hendaklah kita menghukumnya mengikut hukum Islam.

Setengah fukaha pula berpendapat bahawa kita mempunyai pilihan apabila mereka meminta kita memutuskan suatu hukuman sama ada menjatuhkan hukuman mengikut syariat kita atau kita tidak memutuskan apa-apa hukuman.

Selain dari apa yang disebut itu mereka adalah terikat dengan hukum-hukum Syariat Islam seperti dalam kes pembunuhan, harta benda dan juga berhubung dengan kehormatan diri, iaitu bidang-bidang civil, jenayah dan sebagainya. Keadaan mereka dalam bidang-bidang tersebut samalah dengan orang-orang Islam.
 


Lampiran 1
 
 

RAHSIA DI SEBALIK ISTILAH

Terdapat beberapa istilah yang terdapat dalam perundangan Islam yang mana setiap istilah tersebut mengandungi falsafah dan rahsia yang tersembunyi dan apabila ia dapat di faham dan di mengertikan dapatlah manusia tersebut melihat secara objektif betapa indah dan adilnya hukum perundangan Islam ini. Istilah-istilah tersebut ialah Syariat, Hukum, Hudud, Qisas, Takzir dan sebagainya.

Takrif Syariat

Kalimat syariat disebut beberapa kali di dalam al-Quran antaranya disebut di dalam surah al-Jathiyah ayat ayat 18. Maksudnya: "Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (per-aturan dan undang-undang) daripada urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui". (al-Jathiah:18)

Dan disebut di dalam surah al-Maidah ayat 48. Maksudnya: "Bagi tiap-tiap umat daripada kamu, Kami (Allah) berikan kepadanya peraturan dan undang-undang serta cara hidup yang lengkap." (al-Maidah:48)

Perkataan syariat mempunyai banyak makna antaranya ialah:

1. Telah masuk ke dalam air atau telah meminum air dengan kedua-dua tangannya.

2. Jalan ke arah air

3. Tempat keluarnya mata air

Hubungan makna di atas dengan syariat memberi kefahaman kepada kita betapa setiap manusia ini memerlukan sangat-sangat kepada syariat itu sendiri, sebagaimana manusia itu memerlukan kepada air untuk hidup. Ini bermakna seolah-olah manusia itu tidak boleh hidup tanpa syariat sebagaimana ia tidak boleh hidup tanpa air. Allah menerangakan dengan jelas di mana ia menjadikan semua kejadian hidup ini dari unsur air sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan Kami jadikan daripada air itu tiap-tiap sesuatu yang hidup". (al-Anbiyak:30)

Begitu juga Allah swt. menjelaskan kepada orang yang menyahut seruan dan menerima Islam adalah dari kalangan mereka yang sebenarnya hidup dan memahami hidup dengan erti kata yang sebenar kerana kehidupan ini akan bererti jika hidup berpandukan kepada Islam dan menjalani kehidupan secara Islam.

Syariat Islam adalah hidup dalam pengertian hidup yang sebenar dan ke- hidupan yang sebenar dan bererti apabila manusia itu dapat hidup aman damai, sentosa, harmoni dan bahagia dunia dan akhirat. Ini semua tidak dapat dicapai dalam kehidupan ini kecuali dengan pelaksanaan peraturan Islam sepenuhnya.

2. Hukum

Kalimat hukum selalu di sebut di dalam perundangan Islam al-Quran menyebutnya dalam berbagai bentuk antaranya ialah: Maksudnya "Bahawa sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Kitab dengan benar supaya kamu menghukum di antara manusia dengan apa yang diwahyukan oleh Allah kepadmu dan janganlah kamu menjadi penentang orang yang tidak bersalah kerana (membela) orang-orang yang berkhianat".(an-Nisak:105)

Dan Allah menyebutkannya dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menghukum antara mereka apa yang Allah turunkan (kepadamu) dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka". (al-Maidah:49)

Di lihat dari sudut bahasa hukum bermakna antara lain:

1. menjatuhkan sesuatu hukuman.

2. memisahkan atau menceraikan

3. mengembalikan sesuatu

4. mengembalikan dan mencegahkannya, menghalusi sesuatu ikatan untuk memperbaikinya. Difahamkan dari pengertian di atas hukum Islam membawa tujuan untuk memperbaiki manusia dari keadaan yang tidak baik. Kerana hanya hukum Islam sahajalah yang dapat mengmbalikan manusia kepada kebaikan disebabkan hukum Islam juga bersifat mendidik manusia dari kejahatan kepada kebaikan.
 

Selesai

والله اعلم

Kuantan, Pahang Malaysia

Monday, 24 March, 2003