BAB LIMA


HUKUM TA'ZIR

بسم الله الرحمن الرحيم

 

Takrif Ta'zir

Dalam al-Quran Allah swt. menyebut yang maksudnya: "Dan kamu membantu mereka dan memberi pinjaman kepada Allah dengan pinjaman yang baik. Sesungguhnya Aku (Allah) akan menutupi dosa-dosa kamu dan akan Aku masukkan kamu ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai". (al-Maidah:12)

Perkataan Ta'zir dalam kamus Arab bererti:

1. memberi pertolongan yang kuat.

2. menegah dan mencegah.

3. memukul dengan suatu pukulan.

4. benteng yang kuat.

Difahami dari ayat al-Quran di atas dengan makna yang jelas serta makna dari segi bahasanya, maka ta'zir dalam hubungan ini seperti menjadikan undang-undang Islam sebaik-baik pertolongan kepada pemerintah dan masyarakat seluruh nya untuk mencegah penjenayah daripada melakukan kesalahan setelah hukum ta'zir ini dilaksanakan dengan sempurna.

Takzir dari segi istilah pula ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan, yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya dalam al-Quran dan as-Sunah atau hukum yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan ke seksannya tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan ke seksaan itu, maka pada waktu itu pihak mahkamah boleh mengenakan hukuman takzir menurut apa yang sesuai sebagai memberi pengajaran dan menakutkan mereka daripada mengulangi perbuatan yang haram atau meninggalkan perkara yang diwajibkan ke atasnya.

Perbezaan antara Hukum Ta'zir dengan Hukum Hudud

Tidak ada perbezaan antara keduanya dari segi matlamat dan tujuannya iaitu bagi menakutkan penjenayah dan membasmi jenayah. Tetapi ada perbezaan dari tiga segi iaitu:

1. Hukum had tidak boleh diminta syafaat dan maaf dari pemerintah apabila kes yang sabit kesalahan itu sampai kepada pemerintah. Hukum ta'zir boleh diminta syafaat dan maaf dari pemerintah.

Sabda Rasulllah saw. "Mintalah syafaat kepada aku, dan Allah akan menghukumkan ke atas lidah Nabi-Nya apa yang Ia kehendaki." (al-Hadis)

2. Hukuman had tidak dibezakan antara manusia tetapi dalam hukuman ta'zir pertimbangan khas boleh dibuat kepada orang yang `berkeadaan' seperti orang yang melakukan maksiat itu baru pertama kali atau ia tidak mengetahui hukum tetapi bukan kerana kedudukan dan pangkat dalam masyarakat dan bukan jenayah yang termasuk dalam hukum hudud.

Sabda Rasulullah saw. "Hendaklah kamu tinggalkan atau ringankan ke seksaan kepada orang-orang yang mempunyai keadaan daripada kegeliciran mereka."(al-Hadis)

3. Kerosakan yang timbul akibat melaksanakan hukum hudud tidak dikenakan ganti rugi, sedangkan kerosakan yang timbul akibat dari menjalankan hukum ta'zir dikenakan ganti rugi.

Contoh-Contoh Kesalahan yang boleh dikenakan Ta'zir Kesalahan-kesalahan yang boleh dilaksanakan hukuman ta'zir antaranya ialah berdua-duaan lelaki perempuan tanpa nikah, saksi palsu, menipu, menimbang dan menyukat dengan tidak betul dan meninggalkan kewajipan terhadap Allah.

Cara-Cara Ta'zir dan Kadarnya

Melaksanakan hukuman ta'zir berbeza antara satu kesalahan dengan kesalahan yang lain bergantung kepada besar dan kecil jenayah yang dilakukannya. di antaranya ta'zir dengan cara ditempelak, ditengking, dicaci, di buang negeri, dikurung dan dipukul.

Ta'zir dengan dikenakan denda dengan membayar wang pada keseluruhan pendapat ulama Islam adalah tidak harus dilakukan kerana mengambil harta orang lain dengan cara yang tidak dibenarkan oleh syarak adalah tidak dibenarkan.

Berhubung hukuman ta'zir dengan membunuh adalah tidak digalakkan sama sekali kerana nyawa manusia adalah terlalu dahsyat dan merbahaya, oleh itu harus dilekakan membunuh manusia dalam kes-kes yang tidak dinaskan di dalam al-Quran dan as-Sunah.

Kadar Minima Hukuman Ta'zir

Tidak ada hukuman minima bagi ta'zir kecuali sebat dalam mazhab Hanafi. Tetapi hukuman ta'zir boleh dilakukan dengan apa juga cara, apa yang penting ialah mencegah penjenayah itu dari berterusan melakukan jenayah dan supaya penjenayah itu kembali sedar dan bertaubat ke jalan Allah swt.

Kadar Maksima Hukuman Ta'zir

Ulama berbeza pendapat dalam perkara ini.

1. Pandangan Mazhab Syafi'e

1.1. Boleh di kurung hingga mati orang yang selalu menyakiti manusia dan tidak diendahkan hukuman ta'zir yang dikenakan kepadanya, tetapi tidak harus ditahan dari makan dan minum.

1.2. Dikenakan hukuman buang negeri, tidak lebih dari daripada setahun lamanya.

1.3. Jika dikenakan hukuman sebat hendaklah dikurangkan kepada 40 kali dan 20 kali bagi hamba.

Ada juga yang berpendapat 20 kali bagi orang yang merdeka.

2. Pandangan Mazhab Hanafi. Jika di sebat hendaklah tidak lebih dari 39 kali. Pendapat Abu Yusof pula hendaklah disebat 75 kali dan 39 kali bagi hamba.

3. Pandangan Mazhab Maliki. Ta'zir boleh lebih dari hukuman had dengan sebat 100 kali jika tidak membahayakan dirinya dan tidak dikenakan apa jika ia mati.

4. Pandangan Mazhab Hanbali. Ada dua riwayat pertama tidak boleh lebih dari 20 kali sebat ini juga pendapat Ishak. Kedua tidak boleh sampai ke tahap hukuman had.

Kesimpulan

Hukaman ta'zir merupakan suatu hukuman yang sangat luas bidangnya. Pihak pemerintah adalah diberi kuasa dengan budi bicaranya melaksanakan hukuman ini dengan tujuan suci iaitu untuk menjaga dan muslihat kebaikan kepada semua manusia sama ada untuk membaiki penjenayah atau menjaga ketenteraman negara pada umumnya.
 
 


-oOo-


 

Monday, 24 March, 2003