BAB TIGA



بسم الله الرحمن الرحيم

HUKUM HUDUD

Takrif Hudud

Istilah hudud terdapat di dalam al-Quran antaranya ialah: Firman Allah swt. maksudnya: "Demkian itulah hudud Allah maka janganlah kamu melanggarnya. Barang siapa yang melanggar hudud ini maka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah:14)

Perkataan hudud berasal dari (had) ia bererti antara lain:

1. dijadikan sesuatu itu sekatan

2. yang memisahkan antara dua perkara

3. menghabiskan sesuatu

4. mencegah seseorang daripada melakukan kesalahan dan sebagainya.

Menurut syarak pula ialah hukuman tertentu yang diwajibkan oleh syarak melaksanakannya kerana melanggar hak Allah swt.

Pengertian di atas memberikan kefahaman kepada kita makna hudud iaitu kesalahan seperti mencuri, zina, minum arak dan sebagainya. Pengertian ini boleh memberi kesedaran kepada manusia bahawa dengan pelaksanaan Undang-Undang Hudud dalam negara akan dapat mencegah jenayah-jenayah berat yang sangat sukar untuk dikawal dan sukar untuk dicegah dan dihapuskan. Hukum-Hukum Hudud ini juga akan menjadi suatu pengajaran yang sebaik-baiknya dalam mendidik masyarakat supaya berkelakuan baik, sopan dan penuh disiplin.

Dengan terlaksananya hukum hudud ini juga akan dapat menyelamatkan generasi umat manusia dari kerosakan dan kemusnahan di dunia dengan penanggungan perasaan takut dan bimbang kehilangan harta benda dan nyawa dan ke seksaan azab Allah swt. di akhirat. dan akan mendapat kemurkaan-Nya.

Fuqahak telah memberi takrif hudud sebagai berikut: Hukuman ke seksaan yang telah ditetapkan, wajib dilaksanakan menurut hak Allah. Pelaksanaan hudud dalam masyarakat Islam walaupun pada zahirnya kelihatan seperti bencana yang agak keras dan kasar ke atas pesalah, namun pada hakikatnya ia adalah suatu rahmat kepada pesalah itu sendiri dan juga menjadi rahmat yang besar kepada masyarakat seluruhnya.

Menjadi rahmat kepada pesalah kerana dengan hukuman tersebut akan dapat menyedarkannya dan dengan itu akan kembali kepada jalan yang benar. Dan hudud juga akan menjadi rahmat kepada masyarakat umum kerana dengan terlaksana hukum hudud itu akan dapat menghindarkan masyarakat tersebut dari melakukan jenayah yang merosakkan manusia dan masyarakat, maka dengan itu akan menjadi harmoni dan baiklah masyarakat seluruhnya.

Pada masa yang akhir-akhir ini masyarakat tidak didedahkan dengan keunggulan dan kesempurnaan undang-undang Islam khususnya hukum hudud ini, apa yang tergambar dan terlintas dalam hati mereka tentang negatifnya undang- undang hudud Islam ini sahaja dan tidak ada pihak-pihak yang cuba mengembalikan ketinggian dan kebaikannya, kalau adapun tidak memadah kerana yang menentang lebih ramai dari yang menyokong. Apa yang sangat menyayat hati ialah dari kalangan yang menentang itu terdiri dari orang yang bernama dan mengaku Islam juga tetapi peribadi dan fikrahnya sudah tidak serasi dengan Islam.

Beberapa orang sarjana menulis akan keunggulan dan kepentingan hukum Hudud ini di mana jelas sekali Undang-Undang Hudud Islam ini dapat dengan jitunya mendisiplinkan masyarakat manusia di antaranya ialah:

1. Ab. Hamid al-Mutawalli: "Bahawa sesungguhnya segala hukuman hudud itu adalah sebenarnya suatu ancaman kepada penjenayah yang tujuan asasnya adalah untuk menghapuskan jenayah. Sekiranya dilaksanakan dengan baik nescaya tidak ada orang yang sanggup melakukan jenayah itu, melainkan beberapa orang sahaja."

2. Ab. Kadir Audah pula menyatakan: "Di Hijaz sebelum perundangan Islam dilaksanakan, keadaan di negara tersebut adalah paling buruk dari segi keamanan. Orang yang berkunjung ke sana atau yang mendiami segara itu tidak merasai aman dirinya, harta bendanya dan keluarganya. Di merata pelosok negara itu terjadi berbagai jenayah pencurian, perompakan dan sebagainya. Apabila dilaksanakan undang-undang Islam, Hijaz berubah menjadi negara yang aman damai."

Dari kenyataan di atas jelas kepada kita betapa hukum Hudud ini merupakan suatu hukum yang pada dasarnya untuk kebaikan jenis manusia itu sendiri dan jika tidak dilaksanakan keburukan suasana persekitaran akan kembali kepada manusia itu sendiri.

Hudud ialah hukuman yang dikenakan atas kejahatan (jenayah) hudud, hukum hudud ini wajib dilaksanakan kerana ini adalah hak Allah swt. dan kepentingannya adalah bagi faedah masyarakat umum. Berdasarkan dengan ini mereka yang melakukan jenayah hudud ini tidak boleh dibebaskan dari hukuman tersebut dan wajib di bawa ke muka pengadilan. Kejahatan-kejahatan yang boleh dihukum dengan hukum hudud ini ialah:

1. Zina

2. Meminum arak (khamar)

3. Menuduh orang berzina

4. Mencuri

5. Merompak

6. Murtad

7. Bughah (Pemberontakan terhadap Kerajaan Islam yang adil)



 
 

BAB EMPAT


HURAIAN HUKUM-HUKUM HUDUD

1. Hukuman Zina

Zina ialah setiap persetubuhan tanpa melalui perkahwinan (nikah) yang sah, nikah subhat dan pemilikan. Hukuman bagi kejahatan zina ini ialah:

1. Dijilid (sebat) seratus kali

2. Direjam hingga mati

3. Dibuang daerah

Tidak ada perbezaan pendapat dalam mewajibkan dera dengan jilid seratus kali kepada penzina yang belum pernah kahwin dan wajibnya rejam kepada penzina yang sudah pernah kahwin. Jilid (sebat), rejam dan buang daerah ini ditetapkan oleh al-Quran, as-Sunah Rasulullah saw. Dan Ijmak para sahabat serta umat Islam seluruhnya kecuali golongan Khawarij.

Firman Allah dalam mewajibkan jilid (sebat) kepada penzina yang belum pernah kahwin tersebut dalam ayat ke 2 surah an-Nur.

Maksudnya: "Perempuan-perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera, dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman". (an-Nur:2)

Hukum rejam bagi penzina yang pernah berkahwin sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadis sahih Rasulullah saw. Maksudnya: Telah berkata Umar: Sesungguhnya Allah telah menurunkan Kitab kepada nabi saw. maka adalah di antara ayat-ayat yang diturunkan itu ayat yang berhubung dengan rejam, kami juga telah membaca dan menghafadznya dan Rasulullah saw. telah merejam orang berzina dan kami juga telah menjalankan hukum rejam, saya sesungguhnya takut di kemudian hari bahawa ada orang mengatakan, kami tidak dapati hukum rejam dalam Kitab Allah, maka dengan itu mereka akan sesat dengan meninggalkan kewajipan yang telah diturunkan oleh Allah, maka hukum rejam itu hak di atas orang yang berzina lelaki atau perempuan apabila ia seorang yang mukhson, apabila ada saksi di atas perbuatan itu atau ia hamil atau ia mengaku sendiri". (H.R. Bukhari, muslim, Abu Daud,Tirmizi dan an-Nasai)

Penzina yang bukan mukhson diwajibkan menjalani pembuangan daerah dahulu selama setahun kemudian baharulah ia dihukum sebat seratus kali sabda Rasulullah saw. Maksudnya: "Gadis dengan anak teruna (yang berzina) hendaklah disebat seratus kali dan dibuang daerah selama setahun." (H.R.Muslim)

Sabit Perlakuan Zina

1. Dengan cara disaksikan oleh empat orang saksi

2. Dengan pengakuan sendiri

3. Dengan ternyata hamil

Syarat-Syarat Wajib Had

1. Sudah baligh dan berakal

2. Nyata kelelakiannya bukan khuntha musykil

3. Masuk semua hasafahnya (masuk kepala zakar hingga ketakuk)

Makna Rejam

Rejam ertinya dilempari dengan batu atau yang seumpamya hingga mati penzina yang telah dibuktikan kesalahannya atau melalui pengakuannya sendiri, rejam tidak dikenakan kecuali kepada penzina yang muhkson.

Kejahatan Liwath

Liwath ialah persetubuhan yang dilakukan dengan memasukan zakar lelaki atau kadar hasafahnya ke dalam dubur lelaki atau perempuan yang bukan isterinya.

Perbuatan liwath ini sangat dikutuk oleh Allah swt. dan perbuatan seperti ini sangat terkenal dilakukan oleh kaum nabi Luth as. Firman Allah swt.

Maksudnya: "Adakah kamu mendatangi lelaki di antara penduduk alam ini dan kamu tinggalkan isteri-isteri kamu yang Allah jadikan untuk kamu bahkan kamu melampaui batas."(as-Su'ara': 165-166)

Hukum Liwath

1. Pendapat yang lebih sahih sama seperti hukum zina, oleh itu jika yang melakukannya orang yang mukhson, hukumnya direjam dengan batu sampai mati dan yang tidak mukhson, disebat seratus kali dan dibuang daerah selama setahun. Bagi yang kena liwath pula disebat seratus kali dan dibuang daerah selama setahun, sama ada mukhson atau tidak.

2. Pendapat lain pula, kedua-dua mereka dihukum bunuh sebagaimana sabda nabi saw. maksudnya: "Sesiapa yang kamu dapati melakukan perbuatan kaum luth (liwath) maka hendaklah kamu bunuh yang melakukannya (meliwath) dan yang diliwath." (al-Hadis)

Cara Pelaksanaan Hukuman

  1. Dipancung dengan pedang
  2. Direjam dengan batu hingga mati

3. Dicampakkan dari tempat tinggi hingga mati

2. Hukuman Menuduh Orang Melakukan Zina

Menuduh seseorang melakukan zina merupakan suatu tuduhan yang sangat berat, dan si penuduh jika tidak dapat membawakan bukti-bukti yang kukuh maka ia boleh di dera sebanyak 80 kali sebat, dengan syarat-syarat berikut:

1. Yang menuduh berakal dan sudah baligh

2. Yang dituduh orang yang baik, yang dimaksudkan dengan orang yang baik ialah orang yang berakal, baligh, merdeka dan terpelihara dari perbuatan zina.

Firman Allah swt. "Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik (berlaku zina) dan mereka tidak membawa empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh) lapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasiq." (an-Nur:4). Apabila suami menuduh isterinya melakukan zina dan suami tidak dapat mengemukakan bukti-bukti yang kuat dan boleh diterima, maka suami diwajibkan li'an dan apabila suami dapat membuktikannya wajib dijalankan hukum had zina ke atas isterinya.

3. Minum Arak (Khamar)

Hukuman bagi orang minum arak berdasarkan kepada as-Sunah dan Ijmak ialah 40 dera sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw. begitu juga ketika pemerintahan Khalifah Abu Bakar, dalam masa pemerintahan Umar pula 80 kali dera namun begitu ia lakukan 40 kali dera dalam waktu lain.

Berpandukan kepada ini Para fuqahak ada yang menetapkan hukuman dera kepada peminum arak 40 kali dera dan ada yang menetapkan 80 kali dera dan selain dari itu ada yang menetapkan hukuman ini mengikut budi bicara ketua negara, 80 kali kalau sekiranya terlalu ramainya pemabuk dan penagih sudah tidak boleh dikawal dan dididik, dan dikurangkan kepada 40 kali dera sekiranya pemabuk berkurang.

Apa yang dimaksudkan dengan arak dan seumpamanya ialah segala jenis minuman yang memabukkan termasuk dadah dan segala jenisnya seperti candu, ganja, morfin, dan bahan-bahan lain yang boleh memabukkan.

Firman Allah swt. maksudnya: "Sesungguhnya khamar, judi, berhala dan bertenung nasib adalah pekerjaan keji, daripada pekerjaan syaitan; sebab itu hendaklah kamu menjauhinya mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan." (al-Maidah: 90)

Sabda nabi saw. maksudnya: "Sesungguhnya telah turun hukum untuk mengharamkan minum arak (khamar), sedang khamar itu dibuat dari buah anggur, tamar, madu, gandum dan sya'ir. Dan yang dinamakan arak ialah barang yang menghilangkan akal fikiran." (H.R.Bukhari dan Muslim)

Dan sabdanya lagi: "Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap yang memabukkan adalah haram." (H.R.Muslim)

Sabdanya lagi: "Apa yang memabukkan sama ada banyak atau sedikit adalah haram." (H.R.Ahmad dan Tirmizi)

4. Hukuman Mencuri

Mencuri adalah suatu perbuatan jinayah terhadap hak milik orang lain dengan mengambil hak mereka secara sembunyi, dengan syarat-syarat tertentu mereka yang melakukannya boleh dihukum dengan hukuman potong tangan sebagaimana yang termaktub di dalam ayat suci al-Quran.

Maksudnya: "Orang yang mencuri lelaki dan perempuan, hendaklah dipotong tangan kedua tangan mereka, balasan kepada jenayah yang dilakukan oleh kedua mereka sebagai seksaan daripada Allah, Allah Maha perkasa lagi bijaksana." (al-Maidah: 38)

Syarat-Syarat Pencuri yang Dipotong Tangannya

1. Cukup nisabnya iaitu satu perempat dinar dalam Mazhab Syafie, sepuluh dinar dalam Mazahab Hanafi dan tiga dirham dalam Mazhab Maliki.

2. Bahawa harta yang dicuri itu harta milik tuannya yang sebenar bukan harta yang syubahat hak milik pencuri. Oleh itu tidak dikenakan had bagi pen- curian terhadap harta awam atau baitulmal.

3. Harta tersebut disimpan di tempat yang sesuai dan terjaga dengan sempurna.

5. Hukum Merompak (Mukharabah )

Makna perompakan menurut fuqahak ialah perampasan harta orang yang lalu di suatu tempat dengan kekerasan, dengan yang demikian manusia menjadi takut melalui tempat tersebut, sama ada yang melakukan perompakan itu kumpulan atau persendirian; dengan menggunakan senjata. Orang yang melakukan perbuatan tersebut dipanggil perompak (mukharabah).

Hukuman bagi orang yang melakukan perbuatan rompak ini adalah sebagai berikut:

1. Dihukum mati dan disalib sekiranya ia mengambil harta dan membunuh.

2. Dihukum bunuh tanpa disalib sekiranya ia membunuh dan tidak mengambil harta.

3. Dipotong tangan dan kaki cara bersilang sekiranya ia mengambil harta sahaja tanpa membunuh.

Dan dikenakan buang daerah keluar dari kampung halamanya.

4. Sekiranya ia hanya menakut-nakutkan orang sahaja hukumannya hendaklah di penjara, dibuang daerah

dan sebagainya mengikut budi bicara hakim.

6. Hukuman Orang Yang Murtad (Ar-Riddah)

Kalimat murtad (ar-riddah) ertinya kembali atau meninggalkan. Dan menurut istilah pula ialah orang yang meninggalkan agama Islam, atau berbalik menjadi kafir, dan orang yang telah menjadi murtad amal ibadahnya akan terhapus dunia dan akhirat. Murtad ini boleh terjadi di sebabkan oleh perkataan seperti mencerca atau menghina Allah dan Rasul-Nya, mempersenda hukum Allah dan Rasul-Nya, dan sebab perbuatan pula seperti sujud kepada selain Allah, mencampakkan kita al-Quran ke tempat najis dengan niat menghina dsb. Dan dengan sebab keyakinan (iktikad) pula seperti berkeyakinan tiadanya Allah sebagai Tuhan yang mencipta dan yang wajib disembah, tiadanya hari akhirat dsb.

Firman Allah swt. maksudnya: "Dan barang siapa yang murtad dari agamanya lalu ia mati, sedang ia kafir, maka habis (musnahlah) amalannya dunia dan akhirat. Dan orang yang seperti itulah yang jadi isi neraka dan mereka kekal di dalamnya." (al-Baqarah: 217)

Hukum orang yang mengaku dengan kerelaan dirinya atau hatinya tanpa ada apa-apa paksaan hendaklah imam atau ketua negara atau wakilnya memerintahkan orang yang telah murtad itu supaya bertaubat dan kembali kepada Islam sebanyak tiga kali, Jika ia tidak mahu bertaubat, hukumannya wajiblah dibunuh.

Sabda Nabi saw. maksudnya: "Barang siapa yang menukar agmanya, maka bunuhlah dia." (H.R.Bukhari dari Ibnu Abbas)

7. Bughah (Pemberontak)

Bughah ertinya aniaya, melawan atau menderhaka, menurut syarak ialah kaum yang melawan pemerintah yang adil (memerintah negara menurut hukum dan peraturan Islam) kerana adanya perbezaan pendapat dan faham sehingga mereka menentang, apabila mereka telah mempunyai kekuatan (syaukah) biasanya mereka akan menentang pemerintah dengan kekuatan senjata.

Dalam negara Islam ditetapkan peraturan bagi menghadapi mereka dengan ketentuan-ketentuan di mana pemerintah boleh memerangi mereka dengan syarat:

1. Apabila mereka telah mempunyai kekuatan, sehingga mereka berani melawan Imam yang adil (pemerintah yang menjalankan hukum Islam)

2. Mereka telah keluar dari kekuasaan Imam dan pemerintah, hingga dalam kalangan mereka, mereka membentuk suatu pemerintah dan negara dan mereka melantik seorang Imam sebagai ketua mereka.

3. Terdapat salah faham dan kekeliruan di kalangan mereka sehingga menyebabkan mereka keluar dan melawan pemerintah yang adil.

4. Setelah mereka diajak berunding dengan sebaik-baiknya.

5. Apabila mereka telah mengadakan kekacauan dalam negeri seperti membunuh, membakar dan sebagainya.

Dengan penjelasan di atas, dapatlah ditegaskan di sini bahawa kaum pemberontak yang hendak melawan pemerintah belum boleh diperangi selagi mereka masih mahu berunding dan belum melakukan kekacauan dan kerosakan.
 
 

 

Kuantan

Monday, 24 March, 2003