BAB  DUA



بسم الله الرحمن الرحيم

  
 

HUKUM QISAS

Takrif Qisas

Al-Quran menyebutkan perkataan qisas ini dalam ayat 178 surah al-Baqarah Maksudnya: "Wahai mereka yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu qisas terhadap orang-orang yang membunuh". (al-Baqarah:178)

Perkataan qisas dari segi bahasa, antara lain bermaksud:

1. memotong dengan gunting.

2. memutuskan hujungnya dengan pemotong.

3. memisahkan sesuatu dengan sesuatu dan sebagainya.

4. persamaan (sama)

Apabila kalimat qisas berti demikian digunakan sebagai istilah dalam perundangan Islam perkara yang berkait dengan hukuman ke atas pesalah bagi membalas dengan adil seperti apa yang dilakukannya, maka ia memberikan kepada kita suatu tanggapan bahawa dalam pelaksanaan hukuman qisas, perlakuan jenayah itu dapat di potong atau dihentikan. Ini memberi pengertian kepada kita sekiranya undang-undang qisas ini dilaksanakan dengan betul, akan lenyaplah kejadian jenayah itu dan terhentilah perbuatan terkutuk itu dari berleluasa di dalam masyarakat.

Dalam undang-undang ciptaan (manusia) seorang yang didapati bersalah kerana melukakan orang lain ia hanya akan didenda atau dipenjarakan beberapa waktu dan orang yang teraniaya tadi tidak berpuas hati kerana ia tidak dapat-sebarang faedah dari undang-undang ciptaan tadi.

Ini berbeza dengan qisas dimana seorang pesalah jika didapati salah ia akan dikenakan hukuman keseksaan yang sama sebagaimana ia telah lakukan dahulu supaya ia merasa bagaimana sakit dan deritanya di atas perbuatan zalimnya dahulu. Disamping itu orang yang mendakwa tadi boleh memilih sama ada mahu memba-las sebagaiman apa yang telah dilakukan kepadanya, meminta ganti rugi atau ia memaafkan orang yang telah melakukan kezaliman terhadapnya.

Inilah keistimewaan undang-undang Allah swt. yang mana hak diberikan sepenuhnya kepada orang yang teraniaya dengan tiga pilihan tadi, yang mana ini tidak terdapat di dalam undang-undang ciptaan manusia.

Qisan dari segi istilah syarak pula ialah sebagai keseksaan yang sama dengan jarimah (kesalahan) terhadapa jenayah membunuh dan mencederakan anggota dengan sengaja.

Terdapat dua jenis keseksaan bagi jenayah membunuh dan mencederakan anggota iaitu dengan Qisas atau Diyat. Membunuh dengan sengaja akan di hukum bunuh sebagai melaksanakan hukum qisas yang wajib di laksanakan.

Qisas bagi kecederaan pula; orang yang mencederakan akan dihukum dengan qisas iaitu di balas dengan kecederaan yang sama sebagaimana yang telah dilakukan.

Membunuh manusia adalah dosa yang berat oleh itu Islam menetapkan hukum yang setimpal terhadap pelakunya. Orang membunuh tergantung ke atasnya tiga hak, hak Allah, hak ahli waris dan hak yang di bunuh.

Apabila ia taubat dan menyerah diri kepada ahli waris di terlepas dari hak Allah dan hak ahli waris, sama ada ia di ampunkan atau di lakukan hukum qisas ke atasnya. Tinggal lagi hak yang di bunuh nanti di akhirat akan di beri ganjaran kebaikan oleh Allah swt.

Jenis-Jenis Pembunuhan

1. Pembunuhan yang disengajakan, iaitu pembunuhan yang dilakukan oleh seseorang dengan sengaja melakukan pembunuhan itu ke atas orang lain dengan sesuatu alat yang biasanya dapat membunuh seperti pisau, parang, senapang, panah atau lain-lain senjata tajam atau sesuatu alat atau benda yang dapat mematikan seperti racun dan sebagainya. Pembunuhan ini di namakan dengan pembunuhan 'amad.

2. Pembunuhan yang tidak disengajakan, iaitu pembunuhan yang disengaja terhadap seseorang dengan alat yang biasanya tidak boleh membunuh seperti dengan lidi, batu kecil dan sebagainya. Pembunuhan seperti ini di namakan dengan pembunuhan syibhul-'amad.

3. Pembunuhan tersalah, ialah pembunuhan yang tersalah iaitu pembunhan yang tidak ditujukan kepada seseorang seperti seorang itu hendak menimbak harimau tetapi tertimbak manusia. Perbuatan ini dinamakan dengan pembunuhan al-khatha'.

Peringatan: Qisas tidak di wajib melainkan kepada pembunuhan yang di sengajakan atau pembunuhan dengan 'amad.

Syarat-Syarat Wajib Qisas

1. Baligh. Pembunuh itu sudah baligh dan berakal (mukallaf) Tidaklah wajib qisas anak kecil atau orang gila.

2. Pembunuh itu bukan bapa yang terbunuh. Tidak wajib qisas seorang bapa membunuh anaknya sendiri tetapi tidak sebaliknya.

3. Orang yang dibunuh itu sama darjatnya dengan orang yang membunuh atau kurang seperti Islam dengan Islam atau merdeka dengan merdeka.

4. Qisas itu hendaklah dilakukan dalam perkara yang bersamaan seperti nyawa dengan nya, anggota dengan anggota, mata dengan mata dan sebagainya.

5. Qisas itu di lakukan mengikut perbuatan yang telah dilakukan oleh orang membunuh atau yang mencederakannya, seperti melukai dengan pisau hendak-lah juga ia dibalas dengan dilukai dengan pisau.

6. Orang yang terbunuh itu hendaklah dari mereka yang dilindungi jiwanya oleh Islam seperti orang Islam atau orang kafir yang telah tunduk kepada Kerajaan Islam yang disebut zimmi atau mu'ahid.

Peringatan: Apabila sesuatu pembunuhan itu telah dapat dibuktikan dengan jelas oleh mahkamah maka hukum qisas itu bergantung kepada keptusan ahli waris orang terbunuh. Jika ia dimaafkan maka terlepaslah ia dari hukum bunuh itu tetapi ia masih dikenakan dengan membayar diat.

Hukum Diyat

Diyat ertinya ialah harta yang wajib diberikan sebagai ganti kerugian sebab membunuh atau melukai. Perkara-Perkara yang mewajibkan diyat ialah:

1. Apabila wali yang terbunuh itu memaafkan sipembunuh dari pembalasan dengan jiwa.

2. Pembunuhan yang tidak sengaja

3. Pembunuhan yang tersalah

Jenis Diyat

1. Diyat Mugalladzah ialah gantirugi yang berat. Diyat ini dikenakan kepada orang membunuh dengan sengaja tetapi telah dimaafkan oleh walinya atau ganti rugi bagi orang membunuh kerana tidak sengaja.

Diyat Mughalladzah ini ialah membayar ganti rugi sebanyak 100 ekor unta di bahagi kepada tiga tersiri dari:

1. 30 ekor unta yang berumur 3 tahun,

2. 30 ekor unta yang berumur 4 tahun,

3. 40 ekor unta yang sedang bunting.

2. Diyat Mukhaffafah ialah ganti rugi yang ringan. Diyat ini dikenakan kepada orang membunuh kerana tersalah. Diyat Mukhaffafah ialah membyar ganti rugi sebanyak 100 ekor unta di bahagi kepada lima bahagian:

1. 20 ekir ynta berumur 3 tahun

2. 20 ekor unta berumur 4 tahun

3. 20 ekor unta betina berumur 2 tahun

4. 20 ekor unta jantan berumur 2 tahun

5. 20 ekor unta betina berumur 1 tahun
 

 

والله اعلم

 

Kuantan Pahang

Monday, 24 March, 2003