Make your own free website on Tripod.com


Hukum-Hukum Jenayah Islam



BAB PERTAMA



KONSEP DAN FALSAFAH HUKUM JENAYAH ISLAM

 

 

بسم الله الرحمن الرحيم

كتاب الجنايات

 

Mukadimah

Ramai manusia pada hari ini yang masih tidak dapat menyelami dan memahami dengan jelas hakikat kemuliaan dan keagungan serta keunggulan hukum-hukum jenayah Islam sehingga ada di kalangan orang Islam sendiri yang menolak serta menganggap sebagai hukum yang kejam, zalim dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman dan manusia moden.Ini adalah di sebabkan kejahilan mereka sendiri kerana mereka tidak mahu mengkaji dengan jujur dan lebih bertanggungjawab. Andainya mereka mahu berbuat demikian nescaya mereka akan dapat menyelami hakikat kemurniannya dan melaininya sebagai suatu hukum yang dapat menyelesaikan persoalan jenayah yang semakin canggih dan semakin sukar untuk di kesan dan dibasmi. Allah swt. yang mencipta manusia Ia Maha Mengetahui bagaimana cara dan hendak mengurus dan menyelesaikan semua masalah dan persoalan yang dihadapi oleh manusia, dari itulah Allah yang Maha Pengasih telah menciptakan undang-undang dan peraturan untuk kepentingan hidup manusia agar mereka semua sejahtera di dunia dan di akhirat kelak.

Dalam al-Quran dan as-Sunah banyak diterangkan tentang perbuatan-perbuatan yang boleh dilakukan begitu juga perbuatan-perbuatan yang tidak harus dilakukan, dan mereka akan dapat balasan yang sewajarnya dari Allah swt. Peraturan dan hukum untuk mengatur itu semua dipanggil dengan sistem kehakiman atau dinamakan juga sebagai Undang-Undang Jenayah dan Ke seksaan. Undang-Undang Jenayah dan Ke seksaan dalam Islam adalah hukum yang bersifat universal yang sesuai untuk semua manusia di semua tempat dan zaman, sebagaimana juga universalnya agama Islam itu sendiri.

Falsafah Perundangan Islam

Perundangan Islam adalah suatu perundangan Rabbani, yang bermaksud ia merupakan suatu perundangan yang bersifat ke Tuhanan, perundangan yang mempunyai ciri-ciri ke Tuhanan kerana ia pada hakikatnya adalah ciptaan Allah swt. Tuhan yang Maha Hakim (Bijaksana). Oleh kerana ia berciri Rabbani makan tidak semua apa yang terkandung di dalam hukum Islam ini dapat dicapai oleh akal manusia rahsia dan hikmatnya yang tersembunyi.

Kemampuan akal manusia untuk menyelami dan menyelidikinya adalah begitu terhad,ini kerana nafsu yang ada pada diri manusia itu sendiri yang menghalangi dan menghijab dirinya dari memahami dan mengetahui rahsia-rahsia di sebalik hukum dan peraturan yang telah ciptaan oleh Allah swt. kecuali mereka yang Allah swt. beri ilmu,hidayah dan taufik kepadanya.

Tentang perundangan Islam yang sedang kita perkatakan sekarang ini adalah suatu perkara yang telah teguh dan kuat dalam keyakinan umat Islam sejak dari penguatkuasaan 15 abad yang silam di mana ketika negara Islam ditegakkan di Madinah dahulu undang-undang Islam merupakan sebagai undang-undang rasmi negara tersebut.

Harus juga diingat bahawa penubuhan negara Islam Madinah pada tahun 622M dahulu di mana rakyat negara Madinah tersebut merupa-kan rakyat berbilang kaum dan agama tetapi dengan konsep keadilan yang di bawa oleh Islam dan orang Islam sejati yang melaksanakannya, Islam dan undang-undangnya dapat diterima dengan baik oleh rakyat Madinah seluruhnya.

Undang-undang Islam ini didaulatkan oleh pendukungnya dari semasa ke semasa sejak dari Baginda Rasulullah saw. zaman Khulafak Ar-Rasyidin, zaman pemerintahan Bani Umaiyah, Abbasiyah sehinggalah sampai ke zaman kejatuhan kerajaan Khalifah Uthmaniah di Turki ke tangan Mustaffa Kamal Ataturk yang berfahaman Nasionalis Turki dalam tahun 1924M.

Dengan jatuhnya kerajaan Uthmaniyah itu makan berakhirlah kedaulatan undang-undang Islam dalam dunia ini dan negara-negara Umat Islam seluruhnya telah mengambil undang-undang yang lain dari Islam kecuali beberapa kerajaan yang masih mengekalkan undang-undang Islam dalam negaranya sekalipun tidak menyeluruh.

Pada akhir-akhir ini setelah berlalu masa kemunduran dan kelembapannya kini ada suara-suara desakan dari sebahagian besar umat Islam yang telah sedar dan ingin kembali kepada penghayatan Islam dan hukum-hukumnya setelah melihat kegagalan demi kegagalan undang-undang ciptaan manusia dalam menyelesaikan berbagai masalah manusia sejagat. Perkembangan positif ini menampakkan kepada kita harapan yang cerah dan baik untuk Islam di masa hadapan.

Umat Islam juga telah mulai sedar akibat buruk yang akan menimpa masyarakat manusia di dunia dan di akhirat sekiranya mereka gagal dan mengabaikan pelaksanaan sistem hidup Islam yang menyeluruh ini terutama para penguasa negara.

Penguasa-penguasa dalam negara-negara umat Islam hari ini sudah mula sedar dan merasa sensitif terhadap kebangkitan semula Islam dan tuntutan-tuntutan masyarakat ramai terhadap pelaksanaan Syariat Islam. Ada banyak sebab kenapa umat Islam sendiri memandang rendah dan negatif terhadap undang-undangnya sendiri, selain dari kejahilan tentang agamanya kerana tidak didedahkan secara sempurna dan lengkap,ia juga disebabkan oleh usaha musuh-musuh Islam dari luar dan dalam Islam itu sendiri yang sentiasa mencari kesempatan dalam memomok-momokkan serta memandang rendah, hina dan kolot terhadap orang yang berpegang kuat dengan Syariat Islam.

Apa yang paling ketara ialah umat Islam rata-rata telah terpengaruh dengan pendidikan Barat yang Sekular dan di anggap sebagai maju dan moden, bukan sahaja terpengaruh dari segi fikrahnya bahkan mereka juga terpengaruh dengan cara hidup dan kebudayaan mereka. Inilah kelemahan yang paling nyata sekali di mana umat Islam tidak mempunyai prinsip dalam hidup mereka sendiri dan banyak dari kalangan mereka bersikap apologetik (merasa bersalah, malu dan rendah diri) terhadap amalan beragama dan pelaksanaan undang-undangnya.

Tujuan-Tujuan Syariat (Maqasidus-Syariah)

Tujuan undang-undang dikuatkuasakan di dalam sesebuah negara itu untuk mengatur kehidupan manusia di dalam masyarakat supaya hidup sempurna aman dan damai, tetapi kebanyakan pemerintah yang ada di dunia sekarang ini mengatur hidup rakyatnya untuk kehidupan dunia semata-mata; sedangkan kita akan menjalani hidup yang sebenar-benarnya, iaitu kehidupan akhirat yang jauh lebih lama dan kekal, bukan seperti kehidupan dunia yang sementara dan tidak kekal.

Undang-undang Islam tidak mengabaikan aspek duniawi tetapi ia lebih mementingkan harga diri insan dengan sebenar dan kesempurnaannya dalam mengharungi kehidupan ini, oleh itu Islam diturunkan sebenarnya untuk menjaga maslahat (kepentingan) makhluk manusia itu khususnya, dan Islam pada dasarnya ia menjaga lima perkara penting dan utama iaitu:

1. Menjaga agama dengan cara mengenakan hukum bunuh ke atas orang yang murtad.

2. Menjaga nyawa dengan menghukum qisas ke atas pembunuh.

3. Menjaga akal dengan menghukum sebat orang yang minum arak.

4. Menjaga keturunan dengan menghukum sebat orang yang melakukan zina

5. Menjaga harta dengan menghukum potong tangan bagi yang mencuri.

Iman al-Ghazali menyatakan: Sesungguhnya menjaga kemaslahatan (kepentingan) dan mencegah kerosakan adalah impian dan cita-cita murni seluruh makhluk. Kebaikan dan kebahagiaan sepenuhnya terletak atas tercapainya cita-cita tersebut. Apa yang dimaksudkan dengan maslahat ialah memelihara tujuan syarak ia itu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Apa sahaja yang membawa kepada terpeliharanya lima perkara itu maka itulah dia maslahat. Setiap perkara yang boleh membawa kepada kerosakan salah satu daripada lima perkara itu atau keseluruhannya, maka ini adalah keburukan dan kerosakan yang mesti di tentang

Syariat Islam mengutamakan maslahat manusia, sama ada maslahat duniawi ataupun ukhrawi. Segala peraturan dan perundangan yang dilaksanakan dalam masyarakat manusia adalah untuk menjamin kelima-lima perkara tersebut di atas supaya terpelihara dengan sebaik-baiknya.

Takrif Jenayah (kejahatan)

Para fukaha memberi takrif jenayah (kejahatan) ialah perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh syarak dan diancam oleh Allah swt. dengan hukuman had dan takzir.

Perkara-perkara yang dilarang oleh syarak ialah semua yang dilarang oleh Islam, larangan yang diharamkan ini bukan sahaja dicela dan dibenci tetapi ia juga dikenakan hukuman bagi mereka yang melakukannya. Begitu juga kepada mereka yang meninggalkan perkara-perkara yang diwajibkannya dan membuat perkara yang diharamkannya.

Hukuman ini dikenakan kepada setiap orang memperbuat perkara yang di lang menurut syariat Islam; sama ada hukuman itu apa yang telah ditentukan oleh Allah swt. iaitu apa yang disebut sebagai hukum hudud ataupun hukum yang mengikut budi bicara hakim; apa yang dipanggil hukum Ta'zir, dan manakala se suatu perbuatan itu tidak ada hukumannya maka ia dianggap bukan suatu kejahatan jenayah.

Jenis-Jenis Jenayah

Para fuqahak membahagi jenayah (Jarimah) ini kepada tiga jenis sesuai dengan hukuman-hukuman yang diterima oleh penjenayah tersebut.

1. Qisas dan Diyat

2. Hudud

3. Ta'zir

1. Qisas dan Diyat

Jenayah yang dilakukan seperti pembunuhan, melukai orang, mencederakan anggota tubuh orang. Qisas ertinya diperlakukan kepada sipelaku (penjenayah) seperti apa yang telah dilakukannya terhadap orang lain, membunuh dibalas dengan bunuh dan luka atau mencederakan dibalas sekadar kecederaan yang dilakukannya.

Diyat ialah sejumlah bayaran (pampasan) yang wajib di bayar dan diserahkan kepada keluarga atau orang yang menderita dari jenayah itu, kerana melanggar kehormatan jiwa atau tubuh badan selari dengan ketetapan dengan apa yang telah ditetapkan dalam hukum fikah Islam.

Bagi kaum keluarga yang terbunuh boleh memaafkan orang yang membunuh dan melepaskan dari membayar diat kerana ini adalah haknya.

Kafarah pula ialah hukuman yang mengandungi erti ibadah dengan memerdekakan seorang hamba sahaya yang beragama Islam.

2. Hudud

Perkara yang termasuk dalam jarimah (kejahatan) hudud ini ialah zina, menuduh berbuat zina, minum khamar (arak) mencuri, merompak, murtad dan Bughah. Pengertian hudud menurut bahasa ialah larangan dan menurut syarak pula ialah hukuman tertentu yang diwajibkan oleh syarak melaksanakannya kerana melanggar hak Allah swt.

Fukaha lain pula memberi pengertian sebagai hukuman yang tertentu menurut hukuman yang ditetapkan oleh syarak, tidak disyaratkan bahawa hukuman itu berhubung dengan hak Allah swt.

3. Takzir

Takzir erti dari segi bahasa adalah pengajaran dan menurut syarak pula ialah peringatan kepada orang-orang yang melakukan maksiat yang tidak ditetapkan jenis hukumannya.

Kejahatan atau jarimah takzir ialah perbuatan-perbuatan yang melanggar larangan syarak yang belum ada ketentuan atau ketetapan hukumnya mengikut fikah Islam, seperti pergaulan bebas yang bukan muhrim, amalan riba, mungkir janji, dan sebagainya.

Dalam perkara takzir ini Ketua Negara atau hakim-hakim atau kadhi-kadhi boleh menetapkan jenis hukuman mengikut budi bicara mereka tetapi mereka tidak boleh menetapkan hukuman lebih dari hukum hudud. Apa yang menjadi garis panduan ialah mengikut keadaan dan suasana yang sesuai. Begitu juga sikap sipelaku itu sendiri di lihat sudah berapa kali dikenakan tindakan dan sebagainya. Hukuman takzir boleh dikenakan kepada mereka yang baligh, dan berakal kepada orang Islam atau bukan orang Islam.

Matlamat Dan Tujuan Hukuman Dalam Islam

Tujuan Islam melaksanakan hukuman yang sedemikian rupa kepada penjenayah-penjenayah ini adalah bagi memberi pendidikan dan pengajaran supaya manusia merasa benci kepada kejahatan dan sentiasa menghindarkan diri darinya.di samping itu Islam sentiasa menjaga kebajikan dan kebaikan masyarakat dari kerosakan, dan Islam sentiasa menanamkan rasa kasih dan cinta kepada kebaikan serta sentiasa menutupi pintu kejahatan dan kemaksiatan yang menjadi kegemaran bagi orang-orang yang lemah agamanya.

Tetapi terkadang manusia itu terdorong melakukan kejahatan kerana lemah jiwa dan runtunan hawa nafsunya, oleh kerana itu sangat diperlukan suatu hukuman yang adil dan setimpal kepada pelaku kejahatan dan penjenayah supaya mereka rasa takut dan gerun kepada hukuman tersebut, ini menjadi sebesar-besar pertolongan kepada pemerintah dalam mengawal berleluasa kejahatan dan jenayah, dengan itu juga masyarakat akan terpelihara dari kebimbangan hilangnya nyawa dan harta benda mereka, dengan itu juga kehidupan manusia akan menjadi aman dan sejahtera dunia dan akhirat.

Hukuman dalam Islam merupakan suatu rahmat Allah swt. kepada umat manusia, ini disebabkan hukuman itu akan menjadi suatu peringatan dan ancaman kepada penjenayah dengan hukuman yang setimpal itu akan mendorong mereka rasa gerun dan takut untuk melakukan jenayah dan kejahatan, dan kalau ia masih juga terjerumus dengan jenayah tersebut hukuman dalam Islam adalah sebagai ubat bagi mengubati dirinya sendiri dan untuk kepentingan orang lain dalam masyarakat tersebut.

Kesimpulannya matlamat dan tujuan pelaksanaan perundangan Islam ini ialah:

1. Menegakkan keadilan, dengan tujuan setiap kesalahan dibalas dengan balasan yang setimpal tidak lebih dan tidak kurang ini untuk memberi kepuasan kepada mereka yang terkena kejahatan.

2. Mendidik masyarakat seluruhnya. Ini bertujuan supaya penjenayah akan terdidik dengan hukuman yang di terimanya serta bertaubat, begitu juga masyarakat umum akan dapat pendidikan dari pelaksanaan hukuman tersebut serta mereka merasa takut dan gerun untuk melakukan jenayah.

Persamaan Dalam Pelaksanaan Hukuman

Melaksanakan hukuman dalam Islam adalah secara adil dan kepada semua tidak ada orang yang terkecuali, tidak ada perbezaan antara orang yang berpangkat dan yang tidak, antara yang kaya dengan miskin, antara orang kuat dengan orang lemah. Maka dengan ini keunggulan dan keadilan sistem perundangan Islam akan menjadi suatu faktor yang sangat penting dalam menimbulkan keharmonian dan kebahagiaan masyarakat yang menjadi cita-cita semua ahli-ahli falsafah perundangan dalam dunia ini, tetapi semua sistem perundangan ciptaan manusia itu telah menghadapi kebuntuan serta gagal dalam memenuhi keinginan mereka kecuali sistem Perundangan Islam yang telah terbukti kesanggupannya dapat menangani serta menghadapi segala persoalan dan kemungkinan yang akan timbul pada hari ini dan waktu yang akan datang kelak kerana ia merupakan suatu undang-undang ciptaan Allah yang Maha Bijaksana.

Pelaksanaan Hukum Harus Berterusan

Hukum hendaklah dilaksanakan dengan berterusan tanpa mengabaikan atau sengaja tidak mahu melaksanakannya, kerana manusia sebagai khalifah Allah swt. yang tugasnya berkewajipan melaksanakan Syariat Allah swt.dengan patuh dan sempurna, kerana mengabaikan hukum dan perintah Allah swt. bererti memanggil kemurkaan-Nya dan akan mendatangkan bencana kepada hidup manusia itu sendiri, dan dengan pengabaian itu juga akan jadi meratalah kejahatan dan kemaksiatan dan timbul pula perasaan takut dan bimbang terhadap kehilangan harta dan nyawa dalam kehidupan mereka, ini kerana tidak ada sesiapa yang akan membela dan menjaga keselamatan hidup mereka dari kezaliman dan kekejaman penjenayah-penjenayah dan orang-orang jahat.

Sebaliknya apabila hukum hudud ini dilaksanakan dengan sempurna akan menjadi aman tenteramlah kehidupan manusia dan hilanglah segala kebimbangan dan ketakutan yang mengancam ketenteraman hidup masyarakat dan apa yang lebih baik lagi ialah mendapat keampunan dan keredaan dari Allah swt.

Tujuan Hudud

Tujuan hukum hudud diwajibkan oleh Allah dan dikuatkuasakan kepada semua manusia adalah untuk menjaga dan membela semua manusia supaya hidup mereka terjamin kesejahteraannya dunia dan akhirat sama ada bagi penjenayah atau bagi mangsa jenayah itu sendiri. Manfaat dan tujuan dunia adalah sebagai berikut:

1. Diwajibkan balas bunuh kepada orang yang membunuh manusia adalah bertujuan memelihara nyawa manusia supaya tidak dipandang rendah dan murah.

2. Diwajibkan hukum bunuh kepada orang murtad adalah untuk menjaga agama Islam benar dan suci yang telah mereka anuti supaya agama Islam yang tinggi itu tidak di permain-mainkan dengan sewenang-wenang.

3. Diwajibkan sebat bagi orang yang menuduh zina adalah untuk menjaga maruah dan kehormatan manusia.

4. Diwajibkan sebat bagi orang meminum arak adalah untuk memelihara akal yang menjadi teras kemuliaan manusia.

5. Diwajibkan rejam dan sebat orang yang berzina adalah untuk menjaga kesucian zuriat manusia.

Manfaat dan tujuan akhirat adalah sebagai berikut:

Seseorang yang telah dihukum dengan hukum hudud maka ia telah bersih daripada dosanya kerana seksaan dari hukum hudud itu menjadi kafarah (penghapusan) dosa bagi mereka ini kerana:

1. Kesakitan hukum hudud di dunia tidak lama masanya kesakitan seksa di akhirat adalah lebih lama masanya.

2. Hudud itu dapat menghapuskan dosa jenayah yang dilakukan, sekiranya hudud tidak dijalankan penjenayah itu akan membawa dosa dan kekotoran dosa jenayah itu sampai ke akhirat.
 

والله اعلم

Beserah Kuantan


Isnin, 24 Mac, 2003