بسم الله الرحمن الرحيم


BAHAGIAN PERTAMA

BAB KE TIGA

 

KONSEP IMAN DALAM ISLAM

 

 

Pengertian Iman

Iman dari kalimat bermakna keyakinan digunakan hanya untuk memberi makna keyakinan yang benar terhadap Tuhan Allah yang Maha Haq (al-Haq) yang mempunyai segala sifat kesempurnaan dan mustahil bersifat dengan sifat kekurangan. Kalimat iman tidak digunakan bagi memberi makna keyakinan atau keimanan yang batil palsu dan sesat.

Sekalipun ada terdapat sepotong ayat al-Quran yang memberi pengertian iman yang batil dalam ayat 72 surah an-Nahl; dalam ayat ini sebenarnya suatu ayat yang mencemuh dan mengejek bagi manusia yang ingkar bukan memberi maksud pengertian iman yang sebenar.

Hakikat dan Pengertian Iman

Pengertian Iman dari segi bahasa ialah: Aman, kepercayaan, keyakinan, membenarkan dan ketundukan. Pengertian dari segi istilah pula ialah: Membenarkan dengan hati dengan jazm (secara putus) akan segala yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw. yang thabit secara qat'ie dan yang diketahui secara dharuri.

Ulamak Tauhid seterusnya memberi pendapat terhadap seseorang yang hanya mengakui dengan hati ini apakah sudah memada dan sempurna atau belum dan apakah ia sudah di anggap sebagai mukmin yang hakiki yang akan terlepas dari segala kesengsaraan azab di akhirat atau masihkah ia belum sempurna lagi imannya ?

Jumhurul-Ulamak berpendapat orang yang berpegang dengan keyakinan di bawah ini sahajalah orang yang memiliki iman yang hakiki dan sempurna serta sejahtera hidup mereka di dunia dan mereka terlepas dari ancaman azab Allah di akhirat iaitu mereka yang:

1. Membenarkan dengan hati terhadap apa yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw. dari agama yang dharurah (perkara-perkara agama yang mudah diketahui seperti solat, puasa dll.).

2. Melafazkan dengan lidah, pengakuan Islam melalui lafaz Dua Kalimah Syahadah.

3. Melaksanakan semua rukun-rukun iaitu melakukan segala perintah dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang dengan anggota badan yang lahir.

Mereka yang tidak melengkapi ketiga-tiga perkara di atas dianggap masih belum menjadi mukmin hakiki dan mereka masih lagi tidak terlepas dari ancaman siksaan Allah di akhirat kelak. Oleh itu sayugia kita menjadikan diri kita melengkapkan diri kita dengan tiga perkara di atas supaya kita terselamat dari ancaman azab Allah yang sangat dahsyat itu.

Huraian Lanjut Tiga Perkara Di atas

1. Membenarkan dengan hati secara jazam (pasti) terhadap apa yang didatangkan (dibawa) oleh nabi Muhammad saw. seluruhnya tanpa ada kecuali kepada setiap perkara yang mesti dan diketahui secara mudah, iaitu segala perkara yang didatangkan oleh Nabi saw. yang mempunyai dalil yang qat'ie atau dalil al-Quran atau as-Sunah yang jelas tanpa ada keraguan seperti wajibnya solat atau haramnya riba.

Setengah ulamak berpendapat bagi mereka yang sudah meyakini demikian dalam hatinya mereka telah di anggap sebagai golongan orang yang beriman, manakala melafazkan syahadah dengan lidah sebagai tuntutan duniawi di mana ia boleh berurusan dan bermuamalah sesama Islam seperti nikah kahwin, memakan sembelihan mereka juga boleh menjadi imam dalam sembahyang, apabila ia mati nanti boleh masyarakat Islam menguruskan jinazahnya secara Islam disembahyangkan dan dikuburkan menurut peraturan Islam.

Berhubung dengan melaksanakan segala perintah pula, ia hanya sebagai penyempurnaan kepada iman sahaja dan sekiranya ia tidak beramal ia hanya termasuk ke dalam golongan fasikin atau orang mukmin 'asi (mukmin yang durhaka) dan ia di anggap masih lagi termasuk dalam golongan orang Islam.

Jumhurul-Ulamak dari kalangan fuqahak dan muhaddisiin mereka menyatakan kesempurnaan Iman atau iman yang hakiki adalah golongan yang memiliki tiga perkara di atas, sekiranya tidak ada salah satu darinya akan mencacatkan keimanan seseorang. Ini kerana membenarkan dengan hati merupakan suatu perkara yang tidak boleh tidak mesti ada kerana keyakinan itu sendiri merangkumi makna iman, kalau sekiranya keyakinan atau membenarkan di dalam hati tidak ada, maka tidak ada makna dua perkara yang berikutnya, iaitu mengucap Dua Kalimah Syahadah dan melaksanakan segala perintah.

2. Melafazkan Dua Kalimah Syahadah dengan lidah (lisan). Iaitu suatu pengakuan serta pengistiharan untuk menjadi seorang Islam; dengan pengucapan Dua Kalimah Syahadah itu maka ia telah diterima dan di anggap sebagai seorang Islam.

Apa yang dimaksudkan dengan melafazkan dengan lidah pula adalah suatu perkara yang tidak kurang pentingnya, kerana pernyataan atau pengistiharan keimanan dengan mengucapkan Syahadah merupakan suatu pengakuan yang mana dengan ucapan tersebut maka ia telah menjadi anggota keluarga Islam yang besar (Golongan Umat Islam) yang susah dan senang, hidup dan matinya tetap bersama, tidak ada batas sempadan geografi, bangsa, warna kulit dan sebagainya, kerana mereka telah di satu dan dipadukan menjadi saudara seagama dengan kalimah Tauhid yang diucapkannya itu. Oleh itu pengucapan Syahadah dengan lidah ini sangat penting kerana tujuan penggabungan seseorang itu dengan saudara-saudara mereka sesama Islam.

Begitu juga, pengucapan Syahadah dengan lidah ini ia berhak pula mendapat layanan sebagai anggota keluarga dalam Islam. Jika mereka tidak mengistiharkan Keislaman mereka dengan pengucapan Syahadah, mungkin mereka tidak mendapat hak-hak sebagai seorang warga Islam (muslim) lainnya seperti kalau mati tidak disembahyang dan didoakan, atau tidak dikuburkan di dalam perkuburan Islam, atau tidak dimakan sembelihan mereka, atau tidak boleh diwarisi dan mewariskan hartanya, atau tidak boleh menjadi wali nikah dan sebagainya.

3. Melaksanakan segala rukun-rukun (segala perintah). Melaksanakan segala perintah pula penting sebagai bukti keimanan yang sebenar yang tersemat dilubuk hatinya. Ini kerana apabila seseorang itu percaya dan yakin sesuatu itu baik dan memberi faedah kepada hidupnya, mereka akan berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mendapatkannya, sekalipun susah dan sukar. Inilah kebiasaan dan lazimnya manusia di dalam dunia ini.

Begitu juga apabila mereka sudah yakin terhadap Islam yang boleh menyelamatkan mereka dari kesusahan dunia dan azab keseksaan neraka di akhirat kelak pasti mereka mencari jalan bagi menghindarkannya, dan jalannya tidak ada lain melainkan apa yang telah diyakini yang datang dari Allah swt. melalui Rasul-Nya Nabi Muhammad saw.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menyebutkan iman kemudian diikuti dengan amal soleh antaranya ialah:

Firman Allah swt. maksudnya: "Dan allah telah berjanji kepada orang- orang yang beriman di antara kamu dan (orang-orang) yang beramal saleh bahawa Allah sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjanjikan orang-orang yang sebelum mereka dan Dia sungguh-sungguh akan meneguhkan bagi mereka, dan Dia sungguh-sungguh akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman damai, selama mereka menyembah Aku, tanpa menyengutukan Aku dengan sesuatupun, dan barang siapa yang kafir selepas itu maka mereka itulah orang-orang fasik". (al-Baqarah: 126)

Kesimpulannya ketiga-tiga perkara di atas ini akan dapat menjelaskan serta dapat membezakan kepada kita empat golongan manusia yang Allah sebutkan di dalam Al-Quran iaitu mukmin, kafir, fasik dan munafik.

Orang mukmin yang hakiki mereka yang ada pada dirinya ketiga-tiga ciri dan aspek di atas, dan merekalah yang akan mendapat kemenangan, kesejahteraan dan terlepas dari ancaman azab dari Allah swt.

Orang kafir pula adalah mereka yang tidak membenarkan apa-apa yang di bawa oleh Nabi sebagaimana yang tersebut dalam ciri pertama.

Dan orang fasik adalah mereka yang masih meyakini dan mebenarkan dengan apa yang dibawa oleh Nabi saw. tetapi mereka tidak taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.

Munafik adalah mereka yang melafazkan Islam dengan lidahnya sahaja tidak dengan hatinya, atau menlahirkan keislamannya tetapi menyembunyikan kekafirannya, mereka tidak membenarkan apa yang dibawa oleh Nabi saw. dengan hati mereka. Pengakuan keimanan mereka hanya sebagai mencari kepentingan dunyawi semata-mata, ia itu untuk menyelamatkan diri mereka dari tindakan dan tekanan orang Islam ke atas mereka.

Tanda-Tanda Kesempurnaan Iman

Selain dari perkara di atas, kesempurnaan iman seseorang itu di lihat dari kesempurnaannya dalam amalan yang sempurna dari segi zahir dan batin, amalan mereka hendaklah ikhlas dan jauh dari sifat riak dan perkara-perkara lain yang merosakkan keikhlasan.

Kesempurnaan iman seseorang itu terpancar dari hati mukmin dan dapat di lihat pengaruhnya dalam kehidupan seseorang, seperti sifat-sifat mulia menjauhi sifat keji dan tercela, rasa takut dan gementar terhadap pencabulan larangan Allah, bahkan ia merasa malu terhadap dirinya yang masih belum bersedia mengakui kesalahan dan jenayah yang dilakukan dalam hidupnya.

Kesempurnaan iman juga menjadikan seseorang itu tawadhu' tunduk menyerah diri, menyerah dan tawakkal kepada Allah yang Maha Berkuasa, yang mempunyai segala sifat keagungan dan sifat-sifat kesempurnaan.

Kesempurnaan Iman juga dapat di lihat dari pengorbanan seseorang itu kepada Islam sama ada tenaga, harta, masa dan nyawa mereka, segala sesuatu disembahkan untuk Allah dalam rangka pengabdian diri kepada-Nya semata-mata.

Firman Allah maksudnya: "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah (Tuhan) Rabbul-'Alamiin". (al-An-An'aam: 162)
 
 

Ahad, 16 Oktober 2005