Make your own free website on Tripod.com

CYBER MENGENAL ISLAM

 

BAB KE EMPAT BELAS
 

AKHLAK ISLAM

Pendahuluan

Akhlak merupakan suatu yang sangat penting dalam Islam dan kadangkala Islam itu sendiri merupakan sebagai sistem akhlak dan penyempurnaan akhlak manusia seluruhnya.

Dalam kajian akhlak di sini, bukanlah tujuannya hendak memisahkan akhlak dari sistem-sistem lain yang ada dalam Islam yang sempurna itu, tetapi hanyalah sekadar untuk menyenangkan perbahasan dan kajian serta memudahkan kita memahaminya dengan lebih menyeluruh dan dapat memberi kesan yang mendalam ke dalam jiwa.

Dalam peringkat permulaan Islam dahulu umat Islam tidak memisah-misahkan antara Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh dan Akhlak ini; malahan mereka memahami kesemuanya itu dalam bentuknya yang sepadu, terangkum dalam makna Islam itu sendiri.

Pada kurun-kurun yang terkemudian ini pula Ilmu Akhlak di kenali dengan nama baru dan ia merupakan sebagai suatu disipilin ilmu yang tersendiri dan cara pembelajarannya yang tersendiri pula. Ilmu Akhlak sekarang dikenali dengan ilmu Tasawuf.

Walau apapun nama dan bagaimanapun juga ia disampaikan dan diajarkan; apa yang penting ialah kita hendaklah mempunyai gambaran Islam yang betul dan sah termasuk ilmu Tasauf ini dengan mengambil ilmu Islam yang asli dan murni; Islam yang disampaikan kepada kita melalui Nabi Muhammad saw., Para Sahabat, Tabi'ien dan Imam Mujtahidin yang 'Amilin dan muttaqin hingga sampai kepada kita sekarang dengan sumbernya yang sahih dan muktabar iaitu dari sumber al-Quran, as-Sunnah, al-Ijmak Ulamak dan al-Qiyas.

Inilah Islam yang wajib kita ikuti dan yakini dan dengan ini sahajalah kita akan dapat menjaga dan memelihara keutuhan dan kemurnian Islam dan terhindar dan terselamat dari segala noda dan daki penyelewengan yang dirancang oleh musuh-musuh Islam.

Takrif Akhlak

Perkataan akhlak dari bahasa arab al-Khulq yang membawa makna sifat dan tabiat. Mengikut istilah pula sebagaimana yang ditakrifkan oleh al-Ghazali ialah bawaan sifat jiwa yang sebati dan terhunjam di dalam mendorong atau melahirkan perbuatan tanpa disengajakan.

Berdasarkan takrif di atas Dr. Abdul Karim Zaidan dalam bukunya `Usulud-Dakwah' memberi ulasannya sebagaimana berikut iaitu: "Dapatlah dikatakan akhlak itu ialah kumpulan sifat yang tersemat dan terhunjam didalam jiwa dan berdasarkan dorongan dan pertimbangn sifat itu sesuatu perbuatan itu dapat dikatakan baik atau buruk menurut pandangan manusia dan dengan sifat itu dia dapat melaksanakan atau meninggalkan perbuatannya".(Kitab Usulud-Dakwah)

Kepentingan Akhlak

Kepentingan akhlak dalam kehidupan sosial manusia adalah sangat penting kerana dari akhlaknya dapat seseorang manusia itu dikatakan beragama atau sebaliknya dan dapatlah diukur ia sebenarnya seorang yang baik atau sebaliknya. Kerana dari akhlak yang tersemat dalam hati dan menjadi darah daging kepada seseorang itu lahirlah segala perbuatan dan tingkah lakunya.

Tepatlah sekali kata Imam al-Ghazali dalam al-Ihya' katanya: "Sesungguhnya semua sifat yang ada dalam hati akan lahir tandanya pada anggota, sehingga tidak ada sesuatu perbuatan melainkan sesuai dan selari dengan sifat itu".

Segala perbuatan dan tindak tanduk manusia adalah mempunyai hubungan dan kaian yang sangat rapat dan erat dengan sifat dan pembawaan yang tersemat di dalam hati seseorang itu. Ini bermakna baiknya perangai dan budi pekerti seseorang yang lahir itu memberi erti baik dan sempurnanya akhlak yang ada di dalam hati seseorang itu dan begitulah sebaliknya. Harus juga di ingat perangai atau tingkah laku yang dapat menggambarkan akahlak seseorang itu ialah perbuatan yang berlaku secara sepontan atau tidak disengajakan bukan suatu tindak balas yang disengajakan atau tindakan yang dilakunkan.

Setiap tindak balas yang dilakukan manusia adakalanya secara sepontan dan akalanya melalui proses pemikiran yang panjang, dan hasil dari pemikirannya itu lantas ia bertindak, maka dari tindakannya itu dapat mengambarkan kepada kita sifat serta sikap diri seseorang; dan itulah akhlaknya yang sebenar. Sekiranya ia bertindak baik dan selari dengan akhlak Islam bermakna diri orang tersebut orang yang berakhlak Islam begitulah sebaliknya.

Dr. Abdul Karim Zaidan menyatakan: "Belumlah cukup hanya dengan lahirnya pengaruh akhlak itu pada perbuatan yang menunjukkan dia mempunyai akhlak yang baik atau buruk, atau menunjukan tingginya ilmu pengetahuannya, atau kelihatan sifatitu pada percakapannya pada setiap waktu, tetapi sifat itu harus ditanamkan betul-betul dalam hati dan jiwanya sehingga dapat menguasai seluruh tindakan tanduknya. Dan juga hendaklah sentiasa akhlak itu selalu dapat menguasai seluruh fikiran dan perbuatannya, sehingga dia selalu terdorong dan sampai kepada keyakinan bahawa kehidupan ini mestilah sesuai dengn akhlak Islam". (Kitab Usulud-Dakwah)

Islam merupakan suatu agama yang sempurna, baik dan benar untuk memperbaiki manusia sama ada zahir ataupun batinnya, ia itu akhlak mukmin lahir dan batin dengan tujuan untuk membimbing manusia itu mencapai kehidupan yang sempurna dunia dan akhirat. Oleh itu untuk membina jiwa mukmin, Islam mendidik dan memperbaiki jiwa-jiwa mereka terlebih dahulu dan dengan terbentuknya jiwa manusia dengan akhlak Islam yang tinggi dan unggul itu kelakuan dan tindakan manusia akan menjadi baik.

Untuk merubah akhlak manusia supaya menjadi baik dan sempurna, hendaklah ada usaha-usaha ke arah pembaikan tersebut dengan usaha yang bersungguh-sungguh dalam melatih dan mengawal diri supaya ia dapat memepertingkatkan lagi Iman dan keyakinannya kepada Allah dan hari Kebangkitan Semula di mana setiap manusia akan menghadapi pengadilan hari Mahsyar. Proses ini hanya akan bermula dari kesedaran dalam diri manusia itu sendiri, setelah ia menyedari hakikat kehidupan akhirat sebagai kehidupan yang lebih penting dan utama, kehidupan yang sebenar dan kekal abadi selama-lamanya; maka ia pun sedar hakikat sebebar kehidupan dunia ini hanyalah sebagai suatu kehidupan yang palsu, singkat, sementara dan tidak kekal. Dengan meyakini hakikat hidup ini, maka jiwa manusia itu akan dapat terdidik dan peribadinya akan berubah dari akhlak yang buruk kepada akhlak yang baik.

Kedudukan Akhlak

Kedudukan akhlak dalam kehidupan manusia ini sangat tinggi dan penting di mana dengan akhlaklah kita dapat menilai peribadi sesorang itu sebenarnya baik atau buruk. Oleh itu Islam memandang bahawa agama itu sendiri adalah akhlak dan orang yang beragama itu sebenarnya orang yang berakhlak dan difahamkan dari sini nyatalah bahawa orang yang tidak ada akhlak mereka tidak beragama, tidak ada agama di sini bermaksud tidak sempurna agamanya.

Ini jelas kalau kita lihat dari hadis nabi saw. yang mana diutusnya beliau itu tidak ada yang lain melainkan semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Ini memberi makna akhlak yang baik itu sebagai pokok agama yang mesti ada kepada diri seseorang yang beragama, kesempurnaan agama dengan sempurna akhlaknya dan akhlak yang sempurna menunjukkan kesempurnaan agamanya. Al-Hadis ada menyatakan: Wahai Rasulullah apakah agama itu ? "Baginda menjawab: "Akhlak yang mulia". (Kitab Usulud-Dakwah)

Dan sabdanya lagi: "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia" (H.R.Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Orang yang berakhlak dengan akhlak Islam yang tinggi adalah orang yang mulia di dunia dan di akhirat kerana mereka akan di senangi oleh semua manusia, dan begitu juga mereka akan diberi kemuliaan di akhirat kelak di mana mereka akan duduk berdekatan dengan Nabi Muhammad saw. Sebagaimana tersebut di dalam hadis maksudnya:

Dari Abu Hurairah ra. berkata ia: Bersabda Rasulullah saw.Orang mukmin yang paling sempurna Imannya ialah orang yang paling baik akhlaknya". (H.R.Abu Daud dan Tirmizi)

Ditanya, "Wahai Rasulullah orang mukmin yang mana yang paling utama ? Beliau menjawab: "Mereka yang paling baik akhlaknya". (Usulud-Dakwah)

Dan sabdanya: "Sesungguhnya orang yang paling aku kasihi dan yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang-orang yang paling baik akhlaknya". (al-Hadis dari kitab Usulud-Dakwah)

Dari hadis-hadis di atas dan ada banyak lagi hadis-hadis yang menunjukkan betapa pentingnya akhlak dalam diri orang yang mukmin itu sehingga orang yang melakukan perintah Allah dan Rasulnya tetapi ia mempunyai akhlak yang buruk ia tidak terlepas dari azab neraka.

Sebagaimana satu peristiwa yang diceritakan dalam sebuah hadis Nabi saw. Si pulan itu siang berpuasa dan malamnya beribadah sedangkan ia berakhlak buruk menyakiti jiran tetangganya dengan kata-katanya; Baginda bersabda (terhadap orang yang seperti ini): "Tidak ada kebaikan dalam ibadahnya itu, dia adalah ahli neraka". (Usulud-Dakawah)

Oleh itu dari sini jelaslah kepada kita betapa tinggi dan pentingnya kedudukan akhlak dalam Islam di mana segala amalan kebajikan kita tidak memberi makna dan erti sekiranya kita tidak menghiasi diri kita dengan tuntutan akhlak yang terpuji dan melaksanakannya serta menghayatinya di dalam kehidupan seharian kita.

Dari ayat-ayat al-Quran pula banyak terdapat arahan dan perintah supaya kita sentiasa berakhlak dengan akhlak yang mulia dan terpuji serta menghindarkan segala kelakuan dan tindak tanduk yang keji dan hina. Satu di antara ayat yang secara umumnya memerintahkan kita supaya mencontohi baginda Rasulullah saw. ialah ayat al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik". (al-Ahzab: 21)

Begitu juga bagaimana Allah swt. telah memuji kemuliaan dan ketinggian akhlak baginda Rasulullah saw. dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang paling mulia". (al-Qalam: 4)

Asas-Asas Akhlak Islam

Asas-asas akhlak Islam ini terkandung di dalam al-Quran, di mana akhlak yang disebut di sini sebagai contoh akhlak yang sepatutnya ada pada setiap manusia mukmin supaya mereka benar-benar dapat menghayati dengan sepenuh-penuh hatinya. Antara akhlak mulia yang disebut oleh Allah swt. di dalam al-Quran dan as-Sunah ialah:

1. Antara Akhlak-Akhlak Yang Tersebut Di Dalam Al-Quran.

1.1. Memenuhi Janji. Firman Allah swt. maksudnya: "Hendaklah kamu menyempurnakan janji, sesungguhnya janji itu akan di pertanggungjawabkan" (al-Isra': 34)

1.2. Larangan berlaku sombong dan takabbur.Firman Allah swt.maksudnya:"Janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana kamu tidak boleh menembusi bumi dengan tapak kakimu dan tidak akan sampai setinggi gunung". (al-Isra': 37)

1.3. Larangan berlaku boros dan mubazir. Firman Allah swt. maksudnya: "Berikanlah kepada kaum kerabat akan haknya masing-masing dan kepada orang-orang miskin dan musafir. Janganlah kamu pemboros. Sesungguhnya pemboros itu saudara syaitan". (al-Isra': 26-27)

Firman-Nya lagi maksudnya: "Janganlah kamu jadikan tangan kamu terbe-lenggu ke tengkukmu, dan janganlah pula kamu lepaskan dengan selepas-lepasnya, nanti kamu menjadi tercela". (al-Isra': 29)

1.4. Perintah supaya berlaku adil kepada semua. Firman Allah swt.maksudnya: "Apabila kamu berkata hendaklah adil, sekalipun kepada kaum kerabat kamu". (al-An'aam: 152)

Dan firman-Nya lagi: "Janganlah kamu terdorong menjadi zalim oleh kerana benci sesuatu kaum itu kepadamu, supaya kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kamu adil kerana adil itu lebih hampir kepada takwa". (al-Maidah: 8)

1.5. Tolong menolong dalam membuat kebajikan dan mencegah dari berbuat kejahatan. Firman Allah swt. maksudnya: "Bertolong-tolonglah kamu berbuat kebajikan dan takwa dan janganlah bertolong-tolong dalam berbuat dosa dan permusuhan". (al-Maidah: 2)

1.6. Dilarang berbuat aniaya dan kezaliman.Firman Allah swt.maksudnya:"Siapakah yang lebih aniaya dari orang yang mengada-adakan dusta atas Allah atau orang yang mendustakan ayat-Nya, Sesungguhnya tiadalah beroleh kemenangan orang-orang yang zalim". (al-An'am: 21)

Dan firman-Nya lagi:"Demikianlah peraturan Allah,janganlah kamu melampauinya. Barangsiapa yang melampaui paraturan Allah mereka itu orang- orang yang zalim". (al-Baqarah: 229)

1.7. Sabar adalah akhlak yang sangat mulia, sabar dalam mengerjakan ketaatan, sabar menghadapi takdir, sabar menghadapi kemaksiatan dan sebagainya. Firman Allah swt. maksudnnya: "Hendaklah kamu bersabar,kerana sesungguhnya Allah tidak mensiasiakan pahala orang yang berbakti". (Hud: 115)

1.8. Benar merupakan akhlak yang mulia, Islam memerintahkan orang mukmin supaya berlaku benar. Firman Allah swt. maksudnya: "Wahai orang yang beriman takutlah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berserta orang-orang yang benar". (at-Taubah: 19)

1.9. Dusta merupakan akhlak yang hina dan sebahagian dari sifat orang-orang munafik, oleh itu Allah melarang orang yang beriman dari berlaku dan berbuat dusta.

Firman Allah swt. maksudnya: "Allah menjadikan akibat mereka menjadi orang munafik sampai hari pertemuan mereka dengan Allah disebabkan mereka telah memungkiri janji yang mereka janjikan dan lagi kerana mereka berdusta". (at-Taubah: 77)

1.10. Sifat sombong,ujub,riak dan bakhil adalah akhlak yang keji dan seharusnya dihindari kerana penyakit hati ini boleh membawa terhapusnya cahaya hati dan akhirnya boleh menjauhkan dirinya dari Allah swt. Firman Allah swt. maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi bermegah-megah". (an-Nisa': 36)

1.11. Istiqomah dalam kebenaran dan berbuat ibadah menjalankan setiap perintah Allah swt. kerana yang demikian itu adalah sifat dan akhlak yang sangat terpuji.

Firman Allh swt. maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang berkata: "Tuhan kami ialah Allah. Kemudian mereka istiqamah (lurus dalam amalannya), maka turunlah malaikat kepada mereka seraya berkata "Janganlah kamu takut, janganlah kamu dukacita dan bergembiralah kamu dengan syurga yang telah dijanjikan untukmu". (Fushilat: 30)

2. Beberapa Contoh Akhlak Yang Terdapat Dari As-Sunah.

2.1. Suruhan supaya bersifat amanah dan menepati janji..Rasulullah saw. bersabda: "Tidak sempurna iman bagi yang tidak bersifat amanah". (al-Hadis, Kitab Usulud-Dakwah)

Sabdanya lagi "Tidak sempurna agama bagi orang yang tidak menepati janji". (al-Hadis, Kitab Usulud-Dakwah)

2.2. Bersifat Malu. Sabda Rasulullah saw.: "Sesungguhnya semua agama itu mempunyai akhlak dan akhlak Islam itu ialah pemalu". (al-Hadis) (Usulud-Dakwah)

Sabdanya lagi: "Tidak ada yang datang dari sifat malu itu kecuali kebaikan". (al-Hadis, Usulud-Dakwah)

2.3. Beberapa perkara yang dilarang dalam kehidupan Islam. Sabda Rasulullah saw.: "Jangan kamu hasad dengki suka mengintip, suka marah-memarahi, berkelahi, berlaku durhaka sebahagian kamu dengan sebahagian, jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah bersaudara dengan seorang muslim yang lain,janganlah dia menzalimi,merendahkan dan menghina saudaranya. Dan takwa itu di sini sambil menunjuk dadanya tiga kali terhitunglah kejahatan apabila dia menghina saudaranya yang muslim,seorang muslim mempunyai hak atas saudaranya yang muslim, seorang muslim mempunyai hak atas saudaranya seorang muslim yang lain ialah diharamkan darahnya, harta dan kehorma-tannya". (al-Hadis, Usulud-Dakwah)

2.4. Bersifat kasih sayang. Sabda Rasulullah saw.: "Sesungguhnya Allah bersifat kasih mengasihi sifat kasih sayang dalam semua perkara".(al-Hadis)

2.5. Memerintahkan manusia supaya bersifat ikhlas, dengan menjauhkan diri dari sifat riak,dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw. Maksudnya: "Barangsiapa berjuang (berperang) kerana meninggikan agama Allah sesungguhnya dia telah berjuang di jalan Allah". (al-Hadis) (Usulud-Dakwah)

2.6. Jangan jadi pak turut. Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Janganlah jadi pak turut, yang menga-takan aku selalu sama dengan orang banyak kalau manusia itu baik maka aku pun menjadi baik dan kalau manusia jahat aku pun jadi jahat. Tetapi tegaskan dirimu,jika manusia baik hendaklah baik dan jika manusia itu jahat hendaklah kamu menjahui kejahatan mereka" (al-Hadis) (Usulud-Dakwah)
 
 

Kesyumulan Sistem Akhlak Islam

Akhlak Islam merupakan suatu sistem yang lengkap dan sempurna, meliputi segala bidang perbuatan dan tingkah laku manusia sama ada individu,kumpulan, masyarakat,negara, dan antara negara, tidak ada satu pun perbuatan manusia yang terkeluar dan tidak diatur dengan peraturan akhlak Islam. Setiap orang Islam berkewajipan untuk menjaga dan memelihara dirinya supaya sentiasa istiqomah dengan akhlak Islam.

Berbeza dengan moral yang mana ia merupakan suatu sistem yang dibentuk hasil dari akal, adat, cara hidup sesuatu kaum atau bangsa. Ia juga merupakan hasil dari pengalaman dan pemikiran manusia semata-mata yang hanya sesuai dengan keadaan sesuatu bangsa, tempat dan masa. Sedangkan akhlak Islam merupakan suatu sistem yang yang diambil dari sumber wahyu Ilahi yang benar dan menyeluruh, sesuai untuk semua bangsa di setiap tempat dan zaman.

Perkataan moral dan ethika tidak boleh memberi makna dan erti yang lengkap bagi menggantikan kalimat akhlak kerana kalimat akhlak merupakan istilah al-Quran yang mana kalimat ini memberi pengertian yang sesuai dengan kesempurnaan agama Allah itu sendiri, berbeza dengan moral merupakan istilah ciptaan manusia yang berasal dari barat (Latin) yang mana ia merupakan gabungan amalan-amalan sosial sesuatu kelompok, kaum atau bangsa yang bergantung kepada evolusi sosial yang dilaluinya.

Oleh itu perkataan moral dan ethika tidak dapat memberi makna kalimat akhlak dengan makna dan pengertian yang tepat dan sepenuh-penuhnya kerana beberapa sebab berikut antaranya ialah:

1. Akhlak merupakan suatu sistem yang berdasar dan bersumberkan wahyu dari Allah swt. dan ia merupakan dari kesempurnaan Dinul-Islam itu sendiri. Sedangkan moral dan ethika merupakan hasil dari pengamatan akal, kebudayaan dan adat sesuatu kaum ataupun bangsa yang tertentu di sesuatu tempat sahaja.

2. Akhlak merupakan suatu sistem yang dapat menjadikan diri orang yang beramal dengannya dapat mencapai kebahagiaan hidup dunia dan akhirat kerana ia merupakan suatu sistem yang menggarap kedua-dua aspek penting dalam kehidupan manusia iaitu kerohanian dan kebendaan, dunia dan akhirat. Sedangkan moral dan ethika hanya sekadar menaggapi permasalahan dan pembaikan manusia dalam lingkungan negara, bangsa, kaum, kelompok, kebudayaan dan adat sesuatu tempat dan masa yang sifatnya sempit dan terhad, tidak menyeluruh sebagaimana kesyumulan dan kesempurnaan akhlak Islam.

Hubungan Akhlak dengan Keimanan dan Taqwa

Hubungan Akhlak dengan keimanan dan takwa adalah begitu erat dan rapat sekali di mana setiap orang yang beriman hendaklah berakhlak dengan akhlak Islam yang mulia dan tidaklah ada akhlak yang mulia melainkan terdapat kepada diri orang yang beriman dan bertakwa.

Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Tidak sempurna iman bagi mereka yang tidak bersifat amanah dan tidak sempurna agama bagi mereka yang tidak menepati janji". (al-Hadis)

Akhlak mulia merupakan buah dari keimanan dan puncak akhlak itu adalah amanah dan menepati janji. Sesiapa yang telah hilang sifat amanah dan tidak menepati janji ini merupakan suatu tanda merosotnya iman seseorang dan jauh dirinya dari Allah swt.

Rasululullah saw. bersabda: "Demi Allah tidak sempurna keimanan, tidak sempurna keimanan, tidak sempurna keimanan". Ditanya orang siapa wahai Rasulullah saw. ? Rasulullah saw. menjawab: "Mereka yang tidak mengamankan jiranya dari kejahatannya". (al-Hadis)

Dengan yang demikian jelaslah kepada kita dari dua hadis di atas,hubungan iman dengan akhlak dan hubungangnya dengan ketakwaan,di mana ia saling berkait dan berhubungan antara satu dengan yang lainnya. Oleh itu kesempurnaan iman seseorang berhubung rapat dengan kempurnaan akhlaknya. Begitu jugalah sebaliknya kesempurnaan akhlak seseorang berhubung rapat dengan kesempurnaan Imannya.

Akhlak Dapat Diperbaiki

Timbul suatu persoalan di sini,dapatkah perangai atau akhlak seseorang itu dirubah dan diperbaiki ? Sebagai seorang yang beriman dengan Allah swt. dan yakin bahawa akhlak Islam merupakan akhlak yang tertinggi dan mulia, kita merasa yakin keimanan seseorang yang kental dapat merubah perangai dan akhlak yang buruk dan keji kepada akhlak Islam yang baik dan terpuji. Seterusnya umat manusia seluruhnya dapat menerima akan ketinggian dan keunggulan akhlak Islam ini jika usahakan,dihayati dengan bersungguh-sungguh, di yakini dan dibajai insya'-Allah akan dibukakan hati mereka oleh Allah dengan hidayah dan nur-Nya dan akan menjadi mudah semuanya.

Setiap individu itu boleh menjadi seorang insan yang mulia dan berakhlak tinggi dengan kesungguhan hatinya berusaha merubah dan mempertingkat kehidupan mereka sebagai seorang muslim dengan melatih diri mereka serta mengusahakan amalan-amalan Islam dengan bersungguh-sungguh supaya jiwa seorang muslim itu dapat terdidik dan seterusnya menjadi sebati akhlak Islam di dalam dirinya.

Antara perkara-perkara yang harus diusahakan untuk mempertingkat akhlak mulia dan mendapat ketinggian di sisi Allah dan Rasul-Nya ialah:

1. Akhlak pada keseluruhannya dapat dirubah dan diganti, seperti juga sifat-sifat keji dapat diganti dengan sifat-sifat yang mulia dan baik. Oleh kerana itu Islam memerintahkan agar kita semua berakhlak yang terpuji dan melarang kita berakhlak dengan akhlak yang keji. Sekiranya akhlak itu tidak boleh dirubah sudah tentu Islam tidak memerintahkan umatnya merubah akahlak mereka yang keji kepada akhlak yang terpuji, tinggi dan mulia.

Firman Allah swt. maksudnya: "Dan jiwa serta penyempurnaannya, Maka Allah mengilhamkannya kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiawa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". (Asy-Syamsi: 7-10)

Tidaklah dinafikan, sekalipun demikian manusia ini berbeza antara seorang dengan seorang yang lain dalam usaha,kesungguhan dan kesanggupan mereka untuk memperbaiki serta menrubah akhlaknya. Sebagaimana juga mereka mempunyai beza keupayaan dalam menerima dan mengamalkan ilmu atau memperolehi hidayah kebenaran selaras dan sesesuai dengan perbezaan kekuatan,kesungguhan,kecerdasan akal dan hidayah dari Allah swt.

2. Rasulullah saw. bersabda menjelaskan adanya beberapa jenis akhlak yang telah Allah kurniakan kepada manusia yang selalu mempengaruhi hidupnya yang baik, ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud.

Sabda Baginda Saw.maksudnya: "Sesungguhnya pada dirimu ada dua sifat yang dikasihi Allah dan Rasul-Nya iaitu sifat pemalu dan hati-hati. Dia bertanya kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah apakah saya yang memperolihi kedua sifat itu atau Allah yang mengurniakannya kepada saya ? Rasulullah menjawab: "Bahkan yang memberikan kedua sifat itu kepadamu ialah Allah". Maka berkata ia: "Alhamdulillah yang telah memberikan dua sifat itu kepadaku, dua sifat yang dikasihi Allah dan Rasul-Nya". (H.R.Abu Daud)

Berdasarkan hadis di atas,maka barangsiapa yang telah dikurniakan kepada mereka sifat yang baik oleh Allah maka hendaklah ia bersyukur kepada-Nya dan dengan itu ia lebih mudah lagi untuk mengembangkan potensi dalam memperbaiki akhlak-akhlak mulia lainnya.

Cara-Cara Merubah Akhlak

Sebagaimana yang dijelaskan,akhlak seseorang itu boleh dan dapat dirubah dan dipertingkat sehingga seseorang itu sentiasa menghayati sifat-sifat mulia di dalam hidupnya, dalam hubungan ini beberapa perkara di bawah ini hendaklah diikuti dan diusahakan dengan saksama.

1. Berusaha mengurangi sifat buruk yang hendak dirubah itu serta membatasi pengaruhnya dalam jiwa kita. Ini boleh dilakukan kepada sifat-sifat yang sedia ada dalam diri manusia itu seperti pemarah,dengki, tamak dan sifat-sifat buruk lainya. Seperti sifat marah umpamanya, kita bukanlah dituntut menghapuskannya sama sekali tetapi apa yang dikehendaki ialah mengawal dan menjaganya supaya sifat pemarah ini tunduk di bawah arahan dan kekuasaannya yang berlandaskan syarak.

Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Bukanlah orang yang kuat itu dengan ketangkasannya, tetapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah". (al-Hadis)

2. Membersih dan menghilangkan sifat-sifat keji serta menukarkannya dengan sifat-sifat yang terpuji dan diredai oleh Allah saw.

3. Mengganti akhlak yang buruk dengan akhlak yang baik seperti dusta di ganti dengan berlaku benar, khianat diganti dengan amanah dan sebagainnya. Ini semua memerlukan kepada suatu usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan serta jika mungkin perlu kepada latihan-latihan, tunjuk ajar dan bimbingan dari guru-guru yang berwibawa jujur,amanah dan diakui ketakwaannya

Cara Memperbaiki Akhlak

1. Berusaha menambah ilmu pengetahuan. Apa yang dimaksukan dengan ilmu disini ialah ilmu yang berhubung dengan akhlak yang baik yang diperintahkan dan akhlak keji yang dicela dan diperintahkan untuk meninggalkannya. Ilmu dalam hal ini sangat penting kerana tanpa ilmu tidak dapat diketahui yang mana akhlak baik dan yang mana akhlak yang buruk.

2. Tidak memadai dengan hanya mengetahui akhlak yang baik dan yang buruk, tetapi hendaklah juga ia meyakini betapa pentinnya akhlak yang baik itu dan betapa kejinya akhlak yang buruk itu. Dan dengan kesedaran ini ia akan berusaha untuk merubah perangai atau akhlak yang buruk itu kerana meyakini akan ancaman dan amaran Allah swt. bagi mereka yang berakhlak keji dengan neraka dan perintah melaksanakan akhlak yang mulia dengan jaminan syurga.

3. Hendaklah ditanamkan keimanan dan keyakinan yang teguh dan mantap terhadap Allah, Hari Kiamat (Hari Pembalasan) begitu juga kerasulan Nabi Muhammad saw. semoga dengan itu ia akan sedar dan insaf bahawa hidup di dunia ini tidak kekal dan ia akan menghadapi Mahkamah Yaumil-Mahsyar,

ia akan diperiksa dan akan diberi pembalasan yang setimpal dengan segala kerja dan usaha yang ia telah lakukan ketika di dunia dahulu. Firman Allah swt. maksudnya: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati". (ali-Imran: 35)

4. Usahakan sentiasa berakhlak dengan akhlak yang baik dengan mendorong jiwa supaya menerimanya dan menolak akhlak yang keji dan hina. Islam memerintahkan kita supaya sentiasa membersihkan jiwa kita dengan menanamkan sifat-sifat yang baik dan terpuji dan menghindarkan sifat yang buruk keji.

Firman Allah swt.maksudnya: "Sesungguhnya beruntunglah orang yang membersihkan (menyucikan) jiwanya". (al-A'la: 14)

5. Sentiasalah tekun melakukan ibadah sama ada yang fardu ataupun yang sunat kerana setiap ibadah itu bertujuan untuk mebersihkan jiwa dan memudahkan jiwa untuk menerima akhlak yang baik serta menyingkirkan sifat-sifat yang keji.

Firman Allah swt.maksudnya: "Sesungguhnya sembah yang itu mencegah dari kejahatan (fakhsa') dan kemungkaran". (al-Ankabuut: 45)

Begitu juga zakat, sebagaimana solat boleh mencegah manausia dari pekerti dan perangai yang keji dan buruk kepada akhlak yang mulia dan baik.

Firman Allah swt. maksudnya: "Ambillah sedekah (zakat) daripada harta mereka itu, buat membersihkan mereka dan penghapus kesalahan". (at-Taubah: 109)

Begitu juga dengan ibadah-iabadah lain seperti puasa, haji, tilawah al-Quran, zikir, doa dan sebagainya, boleh membawa kepada akhlak yang mulia dan menghindarkan dari sifat-sifat keji.

6. Menghindarkan segala perangai yang jahat dari syaitan dengan menentang segala tipu dan bujukannya supaya ia dapat istiqomah dengan akhlak yang baik dan terpuji seperti yang dicerikatakan dalam hadis Rasulullah saw. "Apabila salah seorang kamu marah sedang dia berdiri maka hendaklah dia duduk dan demikian itu dapat menghilangkan marahnya. Apabila belum juga hilang hendaklah ia berbaring". (al-Hadis)

7. Hendaklah sentiasa ia melatih diri supaya berakhlak dengan akhlak yang terpuji dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan akhlak yang terpuji itu.

Sabda Rasulullah saw. maksudnya: "Sesungguhnya ilmu itu dengan belajar dan sifat malu itu dengan melatih diri bersifat malu". (al-Hadis)

8. Bergaul dengan orang-orang yang berakhlak mulia dan terpuji serta meminta nasihat yang baik dari mereka kerana manusia biasanya suka mengikut dan meniru orang yang digaulinya.

Rasulullah saw.bersabda: "Janganlah kamu berkawan melainkan orang yang beriman dan jangan memakan makananmu melainkan orang yang bertakwa". (al-Hadis)

Ia juga hendaklah berusaha menghindarkan diri dari orang-orang yang fasik, ahli bid'ah dan ahli maksiat kerana manusia suka terpengaruh dengan kelakuan dan akhlak orang lain yang berkawan dengannya.

9. Sentiasa mengambil contoh dari baginda Rasulullah saw. kerana tidak ada apa yang datang darinya melainkan yang baik sahaja.

Firman Allah swt. maksudnya: "Sesungguhnya adalah Rasulullah itu menjadi contoh yang baik bagi orang yang mengharap pahala Allah dan hari kemudian serta ia banyak mengingati Allah". (al-Ahzab: 21)

Begitu juga contoh teladan dari para sahabat baginda Rasulullah saw. para tabi'in, para ulamak dan para solihin. Ini semua kita boleh mengambil iktibar dan pelajaran dari Seerah Baginda Rasulullah saw.sebagai panduan,begitu juga dengan mempelajari perjalanan hidup Para Sahabat beliau seterusnya para ulamak dan solihin,jiwa mereka boleh terdidik dengan akhlak yang mulia.

10. Hendaklah berusaha menyingkirkan diri dari suasana dan persekitaran yang tidak sihat, gejala-gejala maksiat dan kemungkaran. Berusahalah supaya memperolehi persekitaran yang murni suasana harmoni dengan cara hidup Islam supaya dapat meresap ke lubuk hati seterusnya dapat menghayatinya. Janganlah mendedahkan diri kepada persekitaran yang maksiat dan bergaul dengan orang-orang yang jahat dan mereka yang telah rusak akhlaknya kerana manusia mudah terpengaruh dengan pembawaan nafsu dan kejahatan.

Rasulullah saw. bersabda: "Seorang lelaki yang telah membunuh tidak kurang dari sertus orang dan dia bertanya kepada ahli agama, apakah ada baginya taubat dan siapakah yang dapat memberi pertunjuk kepada jalan taubat itu ? Maka jawabnya: Ya dan siapakah yang menghalangi engkau dan taubat itu ? Pergilah engkau ke kampung itu dan di sana kamu menemui orang-orang yang menyembah Allah, maka sembahlah bersama mereka dan janganlah engkau kembali lagi ke tempat asalmu, kerana tempat itu adalah sejahat-jahat tempat". (al-Hadis, Riadus-Solihiin)

Hadis di atas adalah jelas menunjukkan kepada kita supaya menjauhkan diri dari tempat dan persekitaran yang jahat dan maksiat serta mungkar dan arahan supaya mencari tempat yang baik tempat orang-orang yang beriman dan takwa.

11. Hendaklah selalu menanamkan keinginan untuk berakhlak yang baik ke dalam jiwa kita. Jangan sekali-kali memuji perbuatan yang keji dan buruk sekalipun sedikit kerana orang Islam tidak boleh mencuba perangai dan perbuatan yang buruk dan tidak boleh meninggalkan akhlak yang mulia.

Rasulullah saw. bersabda: "Hindarkanlah dirimu daripada neraka sekalipun dengan (bersedekah) dengan sebiji korma".(al-Hadis)

12. Sentiasalah bersedia untuk menerima dan mendengar nasihat dari orang-orang yang beragama, beriman dan bertaqwa yang menghindarkan dirinya dari perkara-perkara yang haram dan syubhat yang berlaku benar. Orang Islam menyedari dan menginsafi kekurangan yang ada pada dirinya dan sentiasa bergaul dengan orang yang baik-baik untuk mendapat nasihat dan teguran darinya.
 
 

Sifat-Sifat Mazmumah

Sifat mazmumah ialah segala sifat yang buruk dan tercela di mana kita hendaklah berusaha mengikis dan membuangkannya sedapat mungkin untuk mendapat keredaan dari Allah swt. Sifat-sifat ini menjadikan seorang mukmin itu akan menjadikan dirinya rugi di dunia dengan celaan dan di akhirat kelak akan mendapat kemurkaan dan siksaan dari Allah swt.

Oleh itu untuk menjadi seorang mukmin yang baik dan terpuji maka hendaklah seseorang itu berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya dirinya terhindar dari segala sifat buruk ini tercela ini. Antara sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat tercela itu ialah:

1. Makan yang berlebih-lebihan. Makan berlebihan akan menjadikan seseorang itu terkena berbagai macam sifat lain yang tercela seperti mendorong kepada timbulnya nafsu syahwat dania juga mendorong kepada keinginan menimbun harta.

2. Banyak bercakap. Perkataan atau percakapan manusia khususnya perkara-perkara maksiat, percakapan yang dusta atau perkara yang tidak memberi faedah dan sia-sia.

3. Pemarah. Marah pada dasarnya adalah suatu sifat buruk di mana orang marah itu merasakan dirinya orang yang paling berkuasa, apabila ini berlaku berbagai kerusakan dan keburukan akan berlaku dan menimpa kepada orang ramai.

4. Hasad (dengki). Hasad ialah mengharapkan hilangnya ni'mat dari tangan orang lain. Ini adalah suatu sifat yang buruk dan tercela.

5. Hubbu al-Jah ialah suka kepada kemegahan dan sanjungan dari sesama makhluk.

6. Hubbu ad-dunya ialah cintakan dunia merupakan sifat ini merupakan suatu sifat yang sangat merugikan kerana dunia tidak kekal dan yang kakal itu adalah akhirat.

7. Takabbur ialah membesar diri,sombong dan anggkuh. takabbura yang paling bahaya ialah takabbur kepada Allah swt.

8. Riak dan Sum'ah ialah menunjuk-nunjuk dan memperdengar atau memberi tahu amalan kepada orang lain.

9. Ujub ialah merasa herankan dirinya kerana banyak beramal dibandingkan dengan orang lain.

10. Bakhil (kedekut).Bakhail ialah perasaan sayang dalam hati seseorang bagi menggunakan ni'mat yang disuruh. Apa yang dimaksudkan dengan ni'mat di sini ialah harta, tenaga, fikiran dan ilmu.

Sifat-Sifat Mahmudah

Sifat Mahmudah ialah segala sifat yang terpuji dan mulia di mana setiap orang mukmin sayugia berusaha menanamkannya ke dalam jiwa mereka, sebagaimana kita maklum kesempurnaan Iman seseorang itu berhubung rapat dengan kesempurnaan akhlaknya. Antara sifat-sifat Mahmudah ialah:

1. Taubat. Taubat ialah menyesal atas kesalahan dan dosa yang lalu,meninggalkan segala kemungkaran dan menghapuskannya dari diri dengan sebersih-bersihnya, kemudian melaksanakan segala amal soleh.

2. Khauf. Khauf ialah mempunyai perasaan takut akan Allah disebabkan oleh sesuatu kesalahan (dosa) yang telah dilakukan dari mendapat kemurkaan dan azab-Nya.

3. Zuhud. Zuhud ialah berpaling dari sesuatu atau tiada menghendakkinya kepada sesuatu kerana tidak ada mutu dan nilainya. Menurut syarak pula ialah mengambil sekadar yang perlu dari sesuatu yang diyakini halalnya.

4. Sabar. Sabar ialsh tshsn menderita yaang tidak disenangi dengan reda dan kemahuan hati dan dengan menyerahkan diri kepada Allah. Ia juga menyerah kepada Allah dan menerima ketetapan-Nya dengan dada yang lapang reda.

5. Syukur. Syukur ialah menggunakan segala anggota badan pada kegunaannya yang sebenar sebagaimana yang telah ditentukan oleh Allah swt.

6. Ikhlas. Ikhlas ialah Kita melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah,iatu kerana iman dan mengharapkan kepada-Nya.

7. Tawakkal. Tawakkal ialah menyerah diri kepada Allah dan berpegang teguh kepada-Nya.

8. Mahabbah. Mahabbah ialah rasa membesarkan akan yang dikasihi memuliakannya, rasa patuh, hormat, tunduk di bawah tapak yang di kasihi, enggan berpaling kepada yang lain.

9. Redha. Redha kepada qahda' ialah menerima segala kejadian yang menimpa diri dengan rasa senang hati.

10. Ingatkan mati. Ingatkan mati merupakan sesuatu yang terpuji kerana dengan seseorang itu akan sentiasa gerun untuk melakukan maksiat dan dengan itu ia sentiasa gemar untuk melakukan ketaatan kepada Allah swt.
 
 

 
 

-----ooOoo-----


 

Disediakan:

Abu Ahmad Syakir, Mohd.Sobari bin Salam

Kg.Pelindong

Beserah,Kuantan.

Ahad, 16 Oktober 2005